Tuesday, April 20, 2010

Perbezaan 1Malaysia dengan ‘One Israel’
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Ketika Gagasan 1Malaysia mula diperkenalkan, pembangkang cuba mengaitkannya dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’. Apabila kerajaan dapat menjawab dan membuktikan bahawa keduanya adalah berbeza, maka hari ini pembangkang cuba pula menyamakan 1Malaysia dengan One Israel.
-
1Malaysia dituduhnya meniru konsep One Israel yang diperkenalkan oleh Ehud Barak, Perdana Menteri Israel pada awal tahun 1990-an. Benarkah 1Malaysia sama dengan One Israel? One Israel mesti dilihat dalam skop perjuangan Zionis yang berpusat kepada fahaman rasisme melampau, manakala 1Malaysia pula mesti dilihat dalam skop penyatuan rakyat Malaysia pelbagai kaum berasaskan kepada konsep penerimaan dan semangat toleransi.
-
One Israel sepenuhnya dikaitkan atau dikhususkan kepada bangsa Yahudi. 1Malaysia adalah untuk semua kaum supaya hidup secara harmoni, toleransi dan bekerja sama tanpa sebarang perasaan prejudis antara satu sama lain. One Israel adalah usaha kaum Yahudi Zionis untuk memperkukuh negara haram Israel di bumi Palestine supaya semua kaum Yahudi menyokong perjuangan rasis Zionisme.
-
1Malaysia pula adalah untuk memperkukuh negara-bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum agar setiap warga Malaysia melihat dirinya sebagai rakyat Malaysia yang sama-sama menyumbang kepada kekuatan dan kejayaan negara.
-
One Israel memiliki dogmatisme dan mitos tertentu, manakala 1Malaysia tidak diasaskan kepada sebarang dogma atau mitos tertentu. Mitos dan dogma utama bangsa Yahudi (Hebrew) ialah menganggap bangsa mereka sebagai ‘Bangsa Pilihan Tuhan’ (The Chosen People of God). Kaum Yahudi telah menjadikan faktor ‘darah keturunan’ sebagai faktor penentu kaum Tuhan memilih mereka sebagai People of God. Kaum Yahudi percaya bahawa pemilihan mereka sebagai Bangsa Pilihan adalah didasarkan kepada kasih sayang Tuhan Yahweh terhadap mereka.
-
Keistimewaan ini tidak dikurniakan kepada bangsa-bangsa yang lain. Keyakinan mereka ini kekal hingga hari ini dengan berpegang teguh kepada gambaran yang diberi oleh Old Testament yang menyebut mereka sebagai bangsa yang disucikan, disayangi dan dicintai Tuhan serta Tuhan telah menebus mereka daripada perhambaan Firaun Raja Mesir (Deuteronomy V11:6-8).
-
Bangsa Yahudi mempercayai bahawa tragedi-tragedi sejarah yang dilalui mereka sehingga menyebabkan mereka berada dalam pembuangan (exile) hampir 2000 tahun di mana mereka terpisah dari bumi Palestine adalah berpunca daripada kecuaian mereka mentaati tuhan Yahweh. Mereka mempercayai bahawa tempat yang bernama Zion, sebuah bukit yang terletak di selatan Bait al-Muqaddas yang pernah menjadi tapak kerajaan Nabi Daud adalah tempat yang telah dijanjikan untuk mereka. Zion dianggap tempat suci orang Yahudi di mana Tuhan Yahweh tinggal di situ.
-
Perkataan Zionisme di ambil dari sempena nama bukit tersebut. Pergerakan Zionisme berusaha a untuk menegakkan kembali keunggulan sejarah bangsa Yahudi dengan kembali berkuasa di bumi Palestine, malah mereka berhasrat untuk menguasai dunia ini dengan apa sekali pun. Cita-cita mereka ialah mahu mengembalikan keagungan Bani Israel dan keagungan bangsa Yahudi. Mereka mahu membina Haikal Sulaiman dengan memusnahkan Masjid al-Aqsa di Jurusalem.
-
Sebelum wujudnya pergerakan Zionisme secara rasmi, telah lahir pelbagai pergerakan Yahudi yang berjuang untuk kembali ke bumi Palestine seperti pergerakan Maccabean, pergerakan Barkokhba (117-136 M), pergerakan Maosis al-Kariti, pergerakan Dapid Robin (1501-1532M), pergerakan Mansyah bin Israel (1604-1657M), pegerakan Syabtai Lapei (1626-1676M).
-
Mulanya ia merupakan pergerakan agama tetapi bertukar kepada gerakan politik nasional Yahudi. Pada tahun 1897 pertubuhan Zionis Sedunia (The World Zionist Organization) ditubuhkan sebagai gerakan politik yang terkuat dan berpengaruh. Di Eropah, orang-orang Yahudi telah berjaya menguasai ekonomi Britain, Jerman, Peranchis dan Amerika Syarikat (AS). -
Politik Zionisme menjadi lebih kuat dan berkesan di bawah pimpinan Theodor Herzl, seorang wartawan Yahudi dari Austria yang bersifat radikal. Maxim Ghilan menyebut dalam bukunya How Israel Lost Its Soul (1974) bahawa sejarah Zionis merupakan satu pergerakan autokrat yang bercorak revolusioner. Ia juga adalah pergerakan yang pertama memberi hak undang-undang kepada orang Yahudi serta hak undang-undang sebagai satu bangsa manusia di Eropah.
-
Melalui bukunya, The Jewish State (Der Judenstaat), Theodor Herzl telah berjaya membakar semangat orang Yahudi di seluruh dunia untuk berpindah atau kembali ke Palestine dengan tujuan mewujudkan semula beberapa penempatan orang Yahudi. Akhirnya satu kongres pertama orang Yahudi diadakan di Basle, Switzerland pada tahun 1897 yang memutuskan Pertubuhan Zionis Sedunia akan berusaha mengembalikan kegemilangan Yahudi di bumi Palestine melalui penubuhan sebuah negara Israel.
-
Negara Zionis Israel akhirnya diwujudkan dengan sokongan dan dukungan kuat Britain dan AS pada tahun 1948. Apa yang berlaku ialah pembentukan negara haram Israel adalah dilakukan di atas penghapusan etnik ke atas bangsa Arab Palestine dan misi penghapusan dan penyingkiran rakyat Palestine dari tanah air mereka masih berterusan sehingga kini. Justeru, One Israel yang diperkenalkan oleh Ehud Barak mempunyai pertalian yang rapat dengan usaha rejim Zionis untuk memperkukuh kesatuan Yahudi bagi mendukung negara haram Israel itu.
-
Yang nyata, One Israel adalah gagasan untuk memantapkan kesatuan kaum Yahudi semata-mata dengan tidak memberi ruang keadilan kepada rakyat Palestine yang dizalimi dan ditindas itu. Ia berbeza dengan gagasan 1Malaysia yang bersifat penerimaan inklusif di mana keadilan sosial ditegakkan untuk semua kaum, agama dan kepercayaan berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Misi Nasional.
-
1Malaysia dibangunkan di atas konsep perpaduan dalam kepelbagaian di mana keadilan sosial, nilai-nilai murni dan nilai-nilai aspirasi 1Malaysia merangkumi budaya berprestasi tinggi, ketabahan, hormat-menghormati, budaya ilmu, integriti, kebijaksanaan, rendah hati dan kesetiaan ditekankan untuk dijadikan amalan seluruh rakyat Malaysia. 1Malaysia yang mendukung prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan dilaksanakan dalam struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat yang melibatkan aspek keterangkuman, iaitu penglibatan seluruh rakyat Malaysia tanpa batasan kaum.
-
Kesimpulan, antara Gagasan 1 Malaysia dan One Israel mempunyai perbezaan yang cukup nyata. Gagasan 1Malaysia tidak memiliki elemen rasisme atau ideologi perkauman, manakala One Israel adalah jelas bersifat rasis, egoistik, cauvinistik, partikularistik dan diskriminasi.
-
One Israel bersifat eksklusif yang dikhususkan untuk kaum Yahudi dengan menafikan hak rakyat Palestine, manakala 1Malaysia adalah bersifat inklusif. Ia adalah gagasan yang berusaha untuk memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini di mana hak semua kaum dibela berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

Thursday, April 15, 2010


BN ikut kehendak rakyat

Oleh ZULKIFLEE BAKAR


''Saya akan berenang, timbul dan tenggelam bersama-sama penduduk Hulu Selangor." Itulah laungan yang dilafazkan oleh P. Kamalanathan sebaik sahaja beliau diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.
oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 198 undi dalam pilihan raya umum lalu, namun Kamalanathan tetap tenang dan senyuman sentiasa terukir.
-
Biarpun sebelum ini nama Timbalan Ketua MIC kebangsaan, V.Mugilan disebut-sebut sebagai calon paling sesuai namun pucuk pimpinan BN dengan persetujuan MIC telah sepakat untuk mencalonkan Kamalanathan.
-
Ia kerana dari segi kriteria, Ketua Penerangan MIC itu tidak ada kurangnya dengan Mugilan atau lebih tepat lagi apa yang dimahukan oleh pengundi iaitu anak tempatan, orang muda dan berkelulusan tinggi.
-
''Pemilihan Kamalanathan adalah bertepatan dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kerana kita membuat keputusan memilih beliau selepas turun bertemu pengundi semua kawasan dalam tempoh dua minggu ini. Kita sepakat memilih Kamalanathan kerana itulah kriteria calon yang dimahukan oleh rakyat," kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
-
Ternyata walaupun terpaksa menempuh perbincangan yang agak panjang dan bak kata Muhyiddin secara berseloroh bahawa sejak dua hari ini beliau tidak tidur lena kerana terbayang wajah Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu tetapi BN berpuas hati kerana memilih calon yang memenuhi impian pengundi.
-
Oleh itu, soal calon sudah tidak menjadi isu lagi, apa yang lebih utama sekarang ialah jentera BN bergerak habis-habisan untuk memenangkan Kamalanathan bukan atas sifatnya untuk menjadikan beliau sebagai wakil rakyat tetapi demi BN dan kesejahteraan rakyat Hulu Selangor.
-
Penulis difahamkan pemilihan Kamalanathan melegakan jentera BN yang sebelum ini agak risau jika individu yang tidak disenangi oleh pengundi menjadi calon. Justeru tidak hairanlah sebaik sahaja Muhyiddin mengumumkan nama Kamalanathan, keseluruhan jentera BN berikrar akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan parti itu mencapai kejayaan.
-
Biarpun PKR menguar-uarkan bahawa calon mereka, Datuk Zaid Ibrahim sebagai 'calon heavyweight' namun pemilihan Kamalanathan dilihat mempunyai banyak kelebihan. Selain anak tempatan, rekod Kamalanathan sebagai seorang ahli politik tidak pernah tercemar biarpun sudah bergelumang dengan politik sejak berusia 18 tahun apabila menjadi ahli MIC cawangan Rawang.
-
''Dia tidak ada skandal atau rekod buruk, saya sudah check latar belakangnya, saya yakin inilah calon paling sesuai untuk BN dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat Hulu Selangor dapat dibela," kata Muhyiddin.
-
Sebab itulah, Muhyiddin sepanjang majlis pengumuman berkenaan dilihat cukup tenang dan ceria. Ini kerana beliau memahami bahawa BN telah membuat pemilihan yang tepat biarpun memakan sedikit masa.
-
Apa yang dilakukan oleh BN adalah demi kesejahteraan rakyat Hulu Selangor kerana BN tidak mahu mereka terus terpedaya dengan permainan politik PKR yang hanya tahu berjanji tetapi tidak menunaikannya.
-
Berdasarkan kepada perkiraan itulah Muhyiddin dalam ucapannya ketika mengumumkan calon BN tersebut menegaskan bahawa apabila pilihan raya kecil itu berakhir, semua jentera parti akan kembali ke kawasan masing-masing dan yang akan tinggal ialah penduduk Hulu Selangor.
-
''Kita mahu pastikan BN berjaya di sini supaya kehidupan rakyat di Hulu Selangor terjamin, tiada gunanya pengundi memilih calon PKR yang pastinya akan kembali ke Kota Bahru apabila menang," kata Muhyiddin.
-
Apa pun keadaannya, gendang Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor sudah dipalu. Kamalanathan kini menjadi harapan BN untuk merampas kembali kerusi tersebut dan sebagai anak tempatan, beliau sudah pasti tahu apa yang hendak dilakukan.
-
Kamalanathan akan menagih undi bukan untuk MIC tetapi untuk BN. Oleh itu pengundi-pengundi di Hulu Selangor yang memahami rekod cemerlang BN dalam mentadbir negara tidak harus melepaskan peluang keemasan ini.
-
Mereka perlu menaruh keyakinan dan memberi peluang kepada BN untuk kembali menguasai kawasan Parlimen berkenaan dan tidak harus terjerat dengan permainan politik PKR yang bertanding semata-mata untuk mencalarkan imej BN.
-
Jika PKR serius membela nasib penduduk Hulu Selangor sudah pastilah mereka tidak akan memilih Zaid sebaliknya akan meletakkan calon anak tempatan. PKR bukannya tidak ada pilihan tetapi Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sengaja berbuat demikian atas harapan dengan profail tinggi yang kononnya dimiliki oleh Zaid, parti itu akan dapat mempertahankan kerusi Hulu Selangor.
-
Bagaimanapun dengan pemilihan Kamalanathan, ia memberikan tamparan hebat kepada PKR yang sebelum ini amat berharap Timbalan Presiden MIC, Datuk G.Palanivel menjadi calon BN. Mereka tahu sentimen penduduk terhadap Palanivel, justeru mereka berharap akan mendapat undi protes. Tetapi PKR terlupa bahawa BN tidak pernah ketandusan calon dan pemilihan Kamalanathan sudah membuktikan hakikat itu.
-
BN kini mempunyai kelebihan untuk meraih undi daripada generasi muda kerana sebagai calon yang datang daripada golongan berkenaan, Kamalanathan sudah tentu memahami kehendak mereka.
-
Apa pun perjuangan baru bermula, BN tidak boleh memandang ringan pertarungan di Hulu Selangor kerana ia amat penting untuk parti tersebut. Setelah isu calon sudah tidak lagi menjadi beban, sasaran BN sekarang ialah meyakinkan seluruh pengundi tanpa mengira kaum untuk kembali memilih parti itu.
-
Dalam soal ini, adalah penting semua komponen BN bersatu hati dan bekerja sebagai satu pasukan. Seperti mana kata Muhyiddin, mereka perlu bergerak dengan memakai 'baju' BN dan bukannya parti masing-masing. Ia kerana sama ada Kamalanathan menang atau kalah, ia pasti membabitkan nama BN.
-
Bagi memastikan tiada apa-apa yang boleh menjejaskan peluang BN, tiada mana-mana individu pun berhak meneruskan kekecewaan berpanjangan sehingga ia menggugat semangat perjuangan BN. Kalau benar mereka ahli parti yang setia, berhasrat berbakti untuk parti, maka buktilah dengan kata-kata dan bukannya 'terus merajuk', apatah lagi kalau individu berkenaan mempunyai jawatan dalam parti.
-
Kini di bahu Kalamanathan terletak harapan yang tinggi tetapi semuanya bergantung kepada keberkesanan jentera BN sebab itulah dalam akhir ucapannya, Kamalanathan membaca serangkap pantun, ''Buah rambutan di luar pagar, ambil galah tolong jolokan, saya budak baru belajar, tolonglah bantu saya untuk memartabatkan Barisan Nasional, barisan kita."
-
Mungkin pantun yang dilafazkan dalam 'versi baru' tetapi ia cukup memberi makna kepada seorang anak tempatan yang benar-benar perlu diberi peluang untuk berbakti kepada masyarakatnya. Ini hanya boleh tercapai jika panji-panji BN kembali tertegak di bumi Hulu Selangor. Utusan Malaysia 16/4/2010

Monday, April 12, 2010


Wajib bendung kemungkaran zina

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

MASYARAKAT kita semakin terdedah kepada nilai-nilai kebebasan. Kebebasan yang melampau atau tanpa kekangan boleh menyebabkan nilai-nilai agama dan adat terhakis sama ada secara drastik atau beransur-ansur. Kebebasan didambakan oleh pemburunya dalam segenap aspek kehidupan.

Dalam persoalan mengenai seks misalnya, ramai mula terpengaruh dengan pandangan bahawa seks adalah persoalan individu semata-mata. Individu adalah bebas dan berhak untuk menentukan aktiviti seksnya.

Kesan daripada pandangan tersebut menyebabkan 'seks bebas' mula menular dan membudaya dalam masyarakat kita hari ini. Budaya keji itu berkembang bersama kebebasan bersosial, pesta-pesta hiburan dan pertemuan-pertemuan sosial yang melibatkan kebebasan pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas.

Di sisi Islam, seks bebas tanpa nikah itu adalah 'zina'. Zina mempunyai impak psikologi sama ada dari sudut agama mahupun moral kepada pelakunya. Jiwa penzina biasanya tertekan dan tidak tenteram kesan daripada perbuatan keji itu. Jika golongan ini tidak bertaubat dan kembali kepada jalan kehidupan yang bermoral maka mereka akan terus terbenam dalam kancah maksiat yang merosakkan hidupnya.

Tanpa menafikan golongan dewasa turut terlibat dalam perbuatan seks bebas, fenomena itu kini lebih menonjol di kalangan remaja kita yang terbabas dalam mencari erti kebebasan hidup. Bukan mereka tidak tahu hukum berzina di sisi agama tetapi kemungkaran yang dilakukan itu adalah berpunca daripada iman yang rapuh. Iman yang rapuh memudahkan proses 'pereputan' jati diri dan akal budi bangsa.

Kesan daripada mengambil secara membuta tuli fahaman kebebasan itu menjadikan masyarakat kita bersifat 'nafsi nafsi' atau istilah modennya individualistik. Justeru, tidak hairanlah lahir kefahaman atau pendapat seperti dosa masing-masing tanggung atau kubur masing-masing jaga. Pandangan itu boleh menyebabkan sesuatu kemungkaran itu dipandang ringan.

Ramai juga yang gagal memahami bahawa budaya pergaulan bebas mempunyai hubungan rapat dengan perbuatan zina. Bagi masyarakat Barat, remajanya diberi kebebasan dalam pergaulan lelaki dan wanita.

Pendidikan seks di Barat hanya mengajar bagaimana mencegah berlaku kehamilan, bukannya mengajar mengenai salahnya perlakuan zina itu. Ini tidak menghairankan kerana agama bukan lagi menjadi roh kehidupan masyarakat Barat walaupun agama Kristian mengharamkan perbuatan zina.

Di antara perkara-perkara yang mendedahkan kita kepada 'mendekati zina' adalah pergaulan bebas , berdua-duaan antara lelaki dan wanita, melihat wanita dengan bernafsu dan gambar atau video pornografi.

Secara fitrahnya, seks adalah satu bentuk anugerah dan nikmat kurniaan Allah kepada manusia. Malah, naluri itu turut diberikan kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Fitrah atau naluri inilah menyebabkan keturunan manusia berkembang biak. Bagi Islam, seks untuk manusia hanya boleh dilakukan secara halal iaitu melalui perkahwinan yang sah.

Justeru, mereka yang terpengaruh dengan budaya seks bebas adalah individu yang sudah rosak fitrahnya dan berada dalam daerah kebinatangan. Jalan keluarnya adalah segera bertaubat dan kembali kepada jalan hidup yang berakhlak dan bermoral sesuai dengan status manusia sebagai makhluk yang dimuliakan Allah SWT.

Secara tabiinya, hubungan seks akan menyebabkan wanita mengandung dan melahirkan anak. Keturunan manusia akan menjadi apabila nasab keturunannya dilahirkan secara sah.

Zina pula akan melahirkan keturunan yang tidak diketahui nasab keturunannya sehingga boleh menimbulkan pelbagai masalah lain seperti keruntuhan keluarga dan masyarakat.

Menurut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 17,303 anak luar nikah di kalangan Melayu-Islam didaftarkan pada tahun 2009, berbanding tahun sebelumnya iaitu 2008 sebanyak 16,541 kes, manakala tahun 2007 seramai 16,100.

Dari perangkaan itu, jelas kepada kita bahawa gejala zina semakin berleluasa di kalangan bangsa kita sendiri yang menganut agama Islam. Malah, masyarakat kini dikejutkan dengan fenomena pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi. Secara logiknya, pembuangan bayi adalah kesan daripada perbuatan zina.

Justeru, kebimbangan perlu ada pada kita tentang masa depan bangsa. Tidak wajar kita berpeluk tubuh menyaksikan segala kemungkaran yang melanda generasi muda hari ini.

Bayangkan bagaimana nanti keadaan generasi yang kita tinggalkan itu seandainya mereka berada dalam keadaan yang rendah akal budi dan jauh dari kehidupan yang mulia dan berakhlak. Kumpulan yang sedar ini seharusnya menjadi penggerak kepada usaha membetulkan keadaan. Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu harus memainkan peranan yang efisien dan efektif dalam hal ini.

Ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan kerana anak-anak remaja adalah golongan yang masih berada di bawah tanggungjawab mereka. Ibu bapa harus sedar bahawa kurangnya perhatian terhadap didikan agama menyebabkan anak-anak mudah terjebak kepada kehidupan tidak bermoral.

Kesan kekeliruan yang berlaku akibat keinginan untuk memburu kehidupan bebas tanpa mempedulikan nilai-nilai tradisi dan agama menyebabkan mereka mudah terjebak dengan amalan-amalan maksiat yang merosakkan kehidupan mereka.

Kesimpulannya, gejala sosial dan keruntuhan akhlak adalah sebahagian daripada kesan kekeliruan yang berlaku akibat keinginan untuk memburu kehidupan bebas tanpa mempedulikan nilai-nilai tradisi dan agama.

Sebenarnya, bukan sahaja perbuatan zina semakin berkembang dalam masyarakat Islam di negara kita tetapi pelbagai kemungkaran lain seperti meminum arak turut meningkat.

Utusan Malaysia 13/4/2010

Sunday, April 11, 2010

Khalid: PAS harus keluar PR jika rasa rugi tapi jangan khianat
Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 11 April — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menasihatkan PAS harus keluar Pakatan Rakyat (PR) jika merasakan keanggotaan dalam ikatan itu merugikan perjuangan parti Islam itu, tetapi sama sekali tidak menghianati persefahaman yang telah dicapai.
-
Sehubungan itu tegas beliau, PAS juga tidak harus menjadi “gunting dalam lipatan” hanya kerana tidak bersetuju dengan sesetengah tindakan dalam PR memandangkan ikatan itu dibentuk berdasarkan keputusan jemaah.
-
Dalam pandangan ketika PR bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, anggota Biro Politik PAS ini menambah, jika PAS merasakan dengan berada dalam PR merugikan, maka “keluar sahajalah dan jangan khianat.” “Tetapi, apabila dalam Pakatan, bertindak jujur dan ikhlas terhadap Pakatan, jangan menjadi gunting dalam lipatan atau bagaikan biawak hidup.
-
Tercemar imej Islam. “Bersama PR merupakan keputusan jemaah dan mengukuhkan PR juga keputusan jemaah. Maka laksanakan dengan jujur dengan kefahaman jelas terhadap proses perubahan yang saya nyatakan tadi,” kata Khalid dalam tulisan terbaru blognya.
-
Dalam menjawab reaksi pengunjung-pengunjung berhubung tulisan sebelum ini yang bertajuk “Bukti Kejujuran dan Keikhlasan Terhadap Pakatan Rakyat”, Khalid berkata “jikalau tidak bersetuju dengan keputusan jemaah, diam atau keluar.” “Jangan sekali-kali menimbulkan masalah dalam jemaah dengan adanya ‘agenda sendiri’,” katanya lagi.
-
Artikel itu yang disiarkan 11 Mac lalu menyambut tindakan tegas diambil Parti Keadilan Rakyat ke atas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin. Zulkifli, yang membuat laporan polis terhadap Khalid kemudian telah dipecat dari PKR.
-
Khalid dan Zulkifli yang berhadapan dengan 'perang mulut' ekoran isu kalimah Allah sejak awal tahun ini berkata, walaupun berhadapan dengan kemelut peristiwa wakil rakyat yang melompat, PKR masih tetap sanggup melakukan apa yang diperlukan untuk menjamin kestabilan PR.
-
Justeru dalam tulisan semalam Khalid menjawab pandangan yang diberikan oleh pengunjung-pengunjung blognya. Khalid juga berkata, beliau yakin PAS tidak akan mengetepikan PR kerana mereka tidak pernah bertindak khianat terhadap parti Islam itu.
-
Oleh itu tegasnya, tidak wajar pula PAS menunggu-nunggu alasan untuk mengkhianati mereka. “Saya tidak kata letak PR atas kepala dan PAS atas bahu. Hakikatnya perumpamaan itu tidak wajar. “PR adalah keputusan PAS. Kalau dengan meletakkan PR di atas bahu dengan sendirinya kita memperkecilkan keputusan PAS. “Bahawa ia tidak penting dan boleh diketepikan bila-bila masa atas alasan ia hanya atas bahu. Maka ketepikan PR sekiranya PAS kata kita ketepikan bukan apabila ada yang berkepentingan minta ia diketepikan,” katanya.
-
Sambil menekankan artikel beliau bulan lalu sebenarnya mempunyai “serampang banyak mata”, menurut Khalid yang penting ialah mempelajari daripada pengalaman yang ada dan dari sahabat dan rakan perjuangan. Oleh itu kata beliau, antara yang perlu dipelajari ialah semua perlu mengetepikan ‘kepentingan’ diri demi mencapai persepakatan yang lebih mantap dalam PR. “Contoh-contoh yang saya berikan adalah berasaskan fakta. Bagaimana PKR dan DAP mengetepikan kepentingan parti demi PR. “Tetapi, kalau ada yang terasa, memang itulah tujuannya pun.
-
Untuk Pakatan kukuh, setiap parti mesti sanggup mengutamakan kepentingan PR tanpa mengorbankan dasar parti sendiri dan tidak bersikap ‘mementingkan diri’,” katanya. Khalid berkata, kepentingan dan dasar adalah tidak sama, dan ramai yang tidak faham sambil mungkin menganggap perjuangan PAS adalah perjuangan untuk ‘kepentingan’ PAS. Jelas beliau, sebenarnya PAS memperjuangkan dasarnya iaitu Islam bukan kepentingannya seperti mahu Menteri Besar mesti dari PAS walaupun hanya lapan kerusi atau hendak menjadi Ketua Pembangkang mesti dari PAS dan sebagainya.
-
“Perjuangan dalam PAS bukanlah untuk jawatan tetapi untuk menentukan jalan ke arah kefahaman dan kebangkitan Islam di buka luas. “ Pada masa yang sama PAS ingin menzahirkan keadilan Islam dan kelebihan pejuang Islam, termasuk dalam adab berkawan dan berpakat. “Dengan itu akan tersebar luas kefahaman dan pengaruh Islam sebagai cara hidup dengan membawa perubahan dalam pemikiran rakyat, mengubah persepsi rakyat (Islam dan bukan Islam) terhadap Islam sehingga akhirnya memungkinkan Islam menjadi asas kepada pemerintahan yang akan mampu menjamin kesejahteraan umat Islam dan yang bukan Islam,” katanya.
-
Dalam penerangan panjang lebar ini, Khalid yang sedang menjalani hukuman digantung jawatan dalam parti selama enam bulan ekoran masalah disiplin memberitahu, di atas keyakinan bahawa PR tidak menghalang usaha ini, maka PAS bersama mereka. “Pada masa sama, PAS memerintah dengan melaksanakan prinsip ‘good governance’ yang dituntut Islam. Yang pasti, PAS tidak boleh buat ini semua sekiranya bersama Umno-BN,” katanya.
-
Beliau menambah, dominasi Islam bukan sesuatu yang hendak dituntut atau dilaung-laungkan. “Teriak macam budak kecil yang tidak diberi apa yang dikehendakinya. Pemikiran Islam memang tidak dominan sekarang, itu hakikatnya dan kita berusaha untuk mengubah keadaaan ini. “Pemikiran Islam mestilah menjadi yang dominan sebelum kita boleh mendapat sokongan untuk memerintah berdasarkan Islam.
-
“Saya sebenarnya hairan dengan golongan yang melaung-laungkan slogan “Islam mesti dominan” tetapi sikap dan tindakan mereka begitu meloyakan mata yang memandang,” kata Khalid. Beliau juga menarik perhatian bahawa “mereka anggap Islam akan menjadi dominan atas desakan dan ugutan mereka sedangkan tindakan mereka menghalau orang dari Islam.”
-
Ini termasuklah sikap mementingkan diri semasa dalam PR, kata Khalid sambil menambah, “sikap sebegini akan menyebabkan rakan yang lain tidak tertarik kepada PAS dan oleh itu dengan kepada Islam itu sendiri.” http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/59449-khalid-pas-harus-keluar-pr-jika-rasa-rugi-tapi-jangan-khianat-
Memahami rasional MEB dilaksanakan
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Empat tonggak ke arah mentransformasikan negara telah digariskan di bawah pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Tiga daripadanya sudah pun diumumkan iaitu konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Program Transformasi Kerajaan (PTK) dan Model Ekonomi Baru (MEB). Tinggal satu tonggak lagi yang akan digaris dan diumumkan, iaitu Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) 2011-2015. RMK-10 dijangka akan diumumkan pada pertengahan tahun ini.

Konsep atau gagasan 1Malaysia adalah untuk menyatupadukan semua rakyat Malaysia bagi menghadapi cabaran yang mendatang yang semakin kompleks sifatnya. PTK adalah bertujuan untuk memantapkan perkhidmatan awam dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Result Areas, NKRA). MEB pula bertujuan melonjakkan Malaysia ke arah status negara maju berpendapatan tinggi sejajar dengan matlamat Wawasan 2020.

RMK-10 akan menyasarkan pertumbuhan makroekonomi melalui pelbagai perancangan ekonomi yang pastinya akan mendukung MEB. Keempat-empat tonggak terbabit akan bertindak dan bergerak sebagai satu rangka kerja bersepadu ke arah transformasi ekonomi, sosial dan pentadbiran kerajaan bagi hasrat mencapai ciri-ciri sebuah negara maju pada tahun 2020 nanti.

MEB yang dilancarkan pada 30 Mac lalu akan dicapai melalui Program Transformasi Ekonomi (PTE) yang mengandungi lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS). PTE akan menjadi asas untuk mengemudi atau memandu langkah dasar yang relevan bagi MEB. Lapan IPS yang dimaksudkan itu adalah; IPS1: menyuburkan kembali sektor swasta; IPS 2: membangun tenaga kerja berkualiti dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing; IPS3: mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing; IPS4: mengukuhkan sektor awam; IPS5: tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran; IPS6: membina infrastruktur berasaskan pengetahuan; IPS7: meningkatkan sumber pertumbuhan dan IPS8: memastikan kebolehmampanan pertumbuhan.

Mengapa MEB dilaksanakan? Inilah persoalan yang perlu difahami oleh rakyat. Untuk menjawabnya kita memerlukan sedikit pemahaman mengenai senario ekonomi negara. Lima puluh tahun lalu model pertumbuhan ekonomi kita telah berjaya meletakkan negara dalam status negara berpendapatan sederhana. Kita berada dalam kelompok negara membangun. Ekonomi kita adalah terbuka. Sifat keterbukaan ekonomi ini membolehkan kita menarik banyak pelaburan dari luar (FDI).

Ekonomi kita membangun dan berkembang dengan baik dan kita menjadi pengeksport utama di peringkat global. Struktur eksport negara tertumpu kebanyakannya pada produk elektrik dan elektronik (E&E) dan pada komoditi utama, seperti petroleum dan minyak sawit. Melalui kemakmuran ekonomi, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara sejak merdeka lagi telah berjaya menyediakan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia, menyedia kemudahan kesihatan dan pendidikan berkualiti untuk rakyat.

Kerajaan juga berjaya membangun teknologi moden dan prasarana teknologi maklumat (ICT) yang membolehkan rakyat mendapat akses yang luas kepada teknologi moden termasuk teknologi maklumat. Kita juga berjaya membasmi sebahagian besar kemiskinan sehingga ramai yang dapat hidup dalam lingkungan berpendapatan sederhana. Namun, 40% daripada isi rumah Malaysia masih memperolehi pendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Jurang perbezaan ekonomi yang meluas di Sabah dan Sarawak serta di kawasan luar bandar di Semenanjung masih lagi ketara. Ketaksamaan pendapatan ini perlu diatasi segera supaya hasrat murni kerajaan untuk memastikan setiap rakyat menikmati kemakmuran ekonomi negara akan tercapai.

Pengalaman kita menunjukkan bahawa ekonomi negara yang bergantung pada pasaran luar mudah tergugat seperti yang dialami dalam beberapa episod krisis kewangan yang lalu dan juga yang sedang berlaku hari ini. Hari ini, ekonomi kita berkembang dengan perlahan sementara FDI semakin merosot. Negara telah kehilangan daya saing menyebabkan kedudukan kita sebagai peneraju ekonomi di rantau ini semakin terhakis. Ini berlaku sejak krisis kewangan Asia tahun 1997-1998.

Pihak swasta yang sepatutnya memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negara juga semakin kurang menggalakkan. Salah satu faktor yang mempengaruhi kemerosotan penyertaan swasta ialah penyertaan aktif Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam beberapa industri menyebabkan mereka sukar memainkan peranan. Kesulitan ini ditambah lagi dengan prosedur birokrasi yang rumit, lembap dan memakan masa serta mengandungi unsur-unsur rasuah.

Sumbangan pekerja mahir masih merosot merentasi industri kesan daripada kegagalan kebanyakan majikan membayar upah yang berpatutan untuk pekerja berkemahiran tinggi. Kebanyakan majikan di negara ini bergantung pada bekalan pekerja asing tidak mahir. Keadaan ini mendorong penghijrahan keluar rakyat kita yang mahir dengan pesat dan pantas sehingga meletakkan situasi modal insan kini sampai ke tahap yang kritikal. Kesannya, kita kehilangan daya saing serta gagal menjanakan keuntungan daripada pengeluaran produk dan perkhidmatan yang berkualiti. Laporan Global Competitiveness Index tahun 2010 melaporkan kedudukan kita telah jatuh ke nombor 24 dari kedudukan nombor 21 sebelumnya.

Pertumbuhan produktiviti yang lemah juga menggambarkan bahawa negara masih kurang dari segi kreativiti dan inovasi, terutama inovasi dalam sektor perindustrian dan sektor eksport. Pada masa yang sama sistem pendidikan kita tidak menghasilkan kemahiran yang dikehendaki oleh industri dan pasaran. Harus dimengerti bahawa globalisasi yang skopnya lebih menekankan kepada globalisasi ekonomi (pensejagatan ekonomi) telah mewujudkan persaingan yang sengit untuk mendapatkan modal insan berpengetahuan (k-ekonomi) dan berkemahiran tinggi serta memiliki elemen inovasi dan kreativiti telah memaksa syarikat dan kerajaan perlu memiliki golongan ini.

Justeru, untuk bersaing di peringkat serantau dan global maka negara mesti membangunkan modal insan yang menepati kehendak semasa. Yang jelas, sejak menduduki kerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib memikul tanggungjawab berat dalam memulihkan ekonomi negara. Corak dan perkembangan ekonomi dunia yang bersifat dinamik dengan saingan yang semakin sengit, kepantasan pemain-pemain global meneroka bidang-bidang baharu dalam samudera ekonomi yang semakin menekankan inovasi dan kreativiti serta kerencaman sistem kewangan dunia yang dikuasai oleh para kapitalis dari dunia Barat serta pengaruh-pengaruh politik dalam dunia ekonomi global menuntut kita melakukan perubahan radikal tanpa berlengah lagi.

Langkah melakukan perubahan radikal penting supaya pembangunan ekonomi akan terus mampan dalam jangka panjang dan membolehkan negara meraih status negara berpendapatan tinggi di mana rakyat dapat menikmati hasil kemakmuran ekonomi. Justeru, MEB lahir sebagai menyahut cabaran-cabaran baru dalam dunia ekonomi global hari ini. Dasar dan strategi membangun pertumbuhan ekonomi negara perlu berubah supaya pembangunan ekonomi akan terus mampan dalam jangka panjang dan dinikmati oleh setiap rakyat serta membolehkan Malaysia meraih status negara berpendapatan tinggi.

Jika tidak, kita akan terus ketinggalan dan terus berada dalam kategori negara berpendapatan sederhana sedangkan negara-negara seperti Korea Selatan, Singapura dan Hong Kong sudah mencapai tahap negara berpendapatan tinggi. Jumlah pendapatan per kapita Korea Selatan ialah AS$ 16,400 (RM54,499), Singapura AS$ 34,346 (RM113,685) dan Hong Kong AS$29,559 (RM97,840). Kedudukan per kapita kita adalah AS$7,469 (RM24,722). Harapan kita ialah dalam masa sepuluh tahun dari sekarang kita akan mampu melonjakkan per kapita rakyat kepada AS$15,000 (RM49,000) menjelang 2020 nanti.

MEB diyakini akan menjadi pemangkin untuk menjana dan membebaskan potensi pertumbuhan Malaysia dari kekangan yang dihadapi. Program Transformasi Ekonomi (PTE) dibentuk untuk mengerakkan Malaysia ke hadapan, keluar daripada keadaan lembap sekarang supaya dapat menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. Lapan IPS yang digariskan di bawah MEB akan menjadi asas bagi menjalankan perniagaan di Malaysia dengan keupayaan mengerakkan semula sektor swasta supaya menjadi aktif dan memberikan sumbangan penuh kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Walaupun sektor swasta diberi ruang yang luas setelah kerajaan melepaskan pegangan Khazanah Nasional dalam beberapa entiti, namun MEB mempunyai matlamat yang luas. Pendekatan MEB adalah bersifat holistik, bukan sekadar merangsang pertumbuhan dan menarik pelaburan swasta tetapi MEB turut memfokus kepada aspek pembangunan insan. Matlamat MEB sangat jelas iaitu menjadikan negara berpendapatan tinggi dengan ciri sasaran AS$15,000-20,000 per kapita pada tahun 2020.

Ada dua komponen utama dalam mencapai matlamat MEB itu. Komponen pertama ialah keterangkuman. Keterangkuman bertujuan memastikan bahawa tiada kumpulan yang akan dipinggirkan dan keperluan asas rakyat akan dipenuhi. Matlamat ini penting ke arah merealisasikan aspek keadilan sosial sebagai salah satu teras perpaduan di bawah gagasan 1Malaysia dan matlamat ini sekali gus dapat memupuk perasaan kekitaan. Keterangkuman akan membolehkan semua komuniti menyumbang dan berkongsi kekayaan negara.

Komponen kedua ialah kebolehmampanan yang bertujuan memastikan semua langkah dan saranan yang diutarakan di bawah MEB mestilah mampan dari segi ekonomi dan alam sekitar. Segala keputusan pelaburan dan dasar di bawah MEB hanya akan dibuat setelah diteliti dan dipertimbangkan keseluruhan impak jangka panjang terhadap masyarakat, ekonomi dan alam sekitar.

Konsep ‘KDNK Hijau’ akan digunakan untuk membuat penilaian mengenai impak pertumbuhan terhadap alam sekitar dan pembentukan langkah yang sesuai bagi menangani masalah alam sekitar. Sebelum ini, pengukuran KDNK konvensional bagi pertumbuhan ekonomi tidak mengambil kira kos terhadap masyarakat yang timbul akibat kemerosotan alam sekitar.

Tuesday, April 6, 2010

Brunei lebih takut laknat Allah
-
BANDAR SERI BEGAWAN (Brunei): Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Zain Serudin menolak usul ahli Parlimen, Goh King Chin supaya zon khas jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam. Zain menegaskan, andai ia diwujudkan, Brunei yang mengharamkan penjualan arak pasti dilaknat Tuhan.
-
Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja tapi semua yang berada di negara ini. “
-
Pelancong yang ingin minum arak boleh minum di negara mereka, malah mereka boleh mandi arak. “Hari ini mereka mahu zon arak, lepas ini mungkin zon pelacuran, kasino. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran,” tegasnya. - AP
“Manusia lapar” di AS dan pembasmian kemiskinan di Malaysia

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Amerika Syarikat (AS) sering dijadikan rujukan sebagai negara yang memiliki tahap kemakmuran ekonomi yang tinggi. Pada tahun 2008 Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS adalah sebanyak US$14.441 trilion. Kadar pendapatan per kapita rakyatnya berjumlah AS$45 800, manakala kadar kuasa belinya bernilai lebih AS$13.784 trilion.
-
Namun, di sebalik keunggulan dan kehebatan ekonomi negara kapitalis yang terbesar di dunia itu jarang orang mengetahui sisi “jelik” pengurusan ekonomi negara tersebut. Di AS terdapat puluhan juta rakyatnya yang hidup dalam kemiskinan. Laporan tahunan Jabatan Pertanian AS (USDA) 2007 menyebut 11.1 peratus atau 36.2 juta penduduk AS berada dalam kelompok mereka yang tidak cukup makan atau menghadapi masalah kebuluran.
-
Nyata sekali bahawa di sebalik kemegahannya sebagai negara maju yang mempunyai pencapaian ekonomi yang tinggi wujud fenomena “manusia lapar” . Statistik tersebut menunjukkan ramai rakyatnya yang terpaksa mengikat perutnya kerana kemiskinan. Jumlah tersebut adalah mengatasi keseluruhan penduduk Malaysia. Penduduk AS adalah berjumlah 303.0 juta orang.
-
Laporan itu turut menyatakan 700 000 orang kanak-kanak AS terpaksa berlapar untuk tempoh tertentu kerana kehidupan keluarganya yang miskin tegar. Ini jelas apabila laporan itu menyebut kira-kira 4.1 peratus isi rumah, iaitu 11.9 juta penduduk dikelompokkan dalam kategori sangat kurang bekalan makanan.
-
Apabila AS mengalami kejatuhan ekonomi pada tahun 2008, krisis “manusia lapar” ini terus meningkat . Isu ini seolah-olah dan diabaikan oleh pentadbiran Rumah Putih. Ini jelas apabila suntikan dana sebanyak AS$700 bilion (RM2400 bilion) yang dilakukan semasa pentadbiran Bush yang bertujuan memulih ekonomi pada hakikatnya adalah hanya untuk menyelamatkan kumpulan kaya daripada menjadi muflis.
-
Krisis “manusia lapar’ yang semakin meningkat di AS adalah bukti pentadbiran Rumah Putih hanya mengutamakan kaum kapitalis daripada membantu kumpulan rakyat yang sedang menderita kerana kemiskinan. Kemiskinan di AS mengalami peningkatan kritikal, iaitu daripada hanya 3.8 peratus juta penduduk pada tahun 1998 kepada 11.1 peratus pada tahun 2007 dan angka itu berterusan pada tahun 2008 dan terus meningkat sehingga kini.
-
Fenomena ini membuktikan bahawa walaupun pentadbiran AS bertukar ganti, namun golongan yang terus mendapat keistimewaan adalah pengusaha-pengusaha kapitalis. Apabila Presiden Barrack Obama menerajui pentadbiran, beliau juga mengambil pendekatan melakukan pakej rangsangan ekonomi. Setakat ini pakej rangsangan ekonomi AS dilihat gagal mengembangkan kredit di antara bank-bank di AS.
-
Keadaan ini membantutkan usaha pertumbuhan ekonomi global. Bukan sahaja negara kita yang merasi kesannya, malah bahananya turut dirasai oleh negara-negara maju seperti Jepun dan Kesatuan Eropah. Keadaan pasaran buruh di AS sangat membimbangkan di mana sejak penghujung tahun 2007 sehingga kini hampir 2 juta orang sudah diberhentikan kerja.
-
Pada November 2008 kadar penganggurannya berada pada kadar 7 peratus berbanding di negara kita bagi tempoh yang sama hanya pada kadar 4 peratus. Hari ini pengangguran AS mencecah 10 peratus.
-
Berbanding negara kita yang sering dikritik kononnya tidak telus dalam pengagihan ekonomi, namun kita telah dapat membuktikan bahawa pengurusan pentadbiran kita komited untuk memerangi kemiskinan. Kita tidak mengalami masalah atau krisis kebuluran seperti yang dialami oleh AS. Dengan populasi berjumlah 27 juta orang, tahap kemiskinan tegar di negara kita adalah sangat rendah.
-
Sejak awal lagi, pengurusan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 16.5 peratus pada tahun 1990. Kadar kemiskinan kita terus menurun kepada 5.7 peratus pada tahun 2004 dan pada tahun 2007 kadar kemiskinan kita hanya 3.6 peratus. Kini, masih terdapat lebih daripada 200,000 keluarga miskin dengan pendapatan bulanan kurang RM750 sebulan.
-
Jumlah miskin tegar pula lebih daripada 40,000 keluarga dengan pendapatan kurang daripada RM440 sebulan. Kerajaan mempunyai keazaman untuk membasmi kemiskinan tegar menjadi sifar pada akhir tahun 2010 dan mengurangkan kadar kemiskinan di antara 2010-2012. Usaha mempertingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah menjadi salah satu daripada Enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA).
-
Di bawah Dasar Model Ekonomi Baru negara mempunyai sasaran untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dengan per kapita AS$15,000 – 20,000 pada tahun 2020. Di bawah MEB semua rakyat tanpa mengira kaum akan berasa terangkum di mana golongan miskin akan turut mendapat perhatian kerajaan. Bagi mengurangkan ketaksamaan pendapatan beberapa langkah akan dilaksanakan seperti meneruskan program sokongan untuk kumpulan tidak bernasib baik dan memberikan tumpuan kepada isi rumah yang berpendapatan di bawah RM150,00 sebulan.

Sunday, April 4, 2010

Bendung budaya ‘zina’ dari berleluasa

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Di era globalisasi ini masyarakat kita semakin terdedah kepada nilai-nilai kebebasan. Globalisasi sebagai satu proses pensejagatan dalam semua aspek kehidupan telah menyuntik nilai-nilai liberalisme sehingga nilai-nilai agama dan adat tradisi menjadi tergugat. Falsafah liberalisma adalah untuk memberi kebebasan sepenuhnya kepada individu tanpa kekangan.
-
Kita ambil contoh dalam soal seks. Hari ini ‘seks bebas’ mula menular sebagai satu budaya yang boleh merosakkan masyarakat. Budaya keji ini berkembang bersama kebebasan bersosial, pesta-pesta hiburan dan pertemuan-pertemuan sosial yang melibatkan kebebasan pergaulan lelaki dan perempuan.
-
Ia berlaku sama ada di kalangan mereka yang berstatus rendah sehinggalah golongan yang berstatus tinggi. Justeru, bentuk dan tempat pertemuan sosial tersebut turut mempunyai caranya yang tersendiri. Mungkin golongan ‘high class ‘ pertemuan sosialnya adalah di tempat-tempat yang ada “class” seperti di hotel-hotel lima bintang, pusat-pusat peranginan ternama atau paling lekeh di banglo-banglo mewah yang indah.
-
Bentuk-bentuk interaksi sosial yang melibatkan pergaulan lelaki dan wanita tanpa batas biasanya akan mendorong ke arah mukadimah perlakuan seks bebas. Di sisi Islam, seks bebas tanpa nikah itu adalah ‘zina’. Oleh sebab istilah zina mempunyai impak psikologi sama ada dari sudut agama mahu pun moral kepada pelakunya maka istilah zina tidak begitu gemar digunakan. Ada usaha untuk melenyapkan perkataan tersebut dari kamus kehidupan masyarakat liberal.
-
Perbuatan keji itu hanya diistilahkan sebagai hubungan seks atau seks bebas. Kononnya ianya lebih sopan. Begitu juga ada pandangan yang menyatakan bahawa perbuatan liwat adalah perbuatan yang tidak harus diperbesar-besarkan dan ia seharusnya diterima sebagai kebebasan seks individu. Pemikiran-pemikiran seperti itu adalah hasil dari fahaman liberalisme yang mahu menjadikan soal seks bebas terlepas dari ikatan agama.
-
Bagi Islam seks hanya boleh dilakukan secara halal iaitu melalui pernikahan yang berasaskan kepada peraturan syariah yang telah ditetapkan. Objektif syariah atau ‘maqasid as-syariah’ perlu diambil kira. Objektif syariah dalam perkahwinan adalah untuk menjaga keturunan manusia. Pun begitu, hubungan seks suami isteri perlu dilakukan secara tertutup dan juga tidak patut dirakam (divideokan) sebagaimana yang dilakukan oleh sesetengah pasangan suami isteri yang jahil. Amat tidak beradab apabila ada pasangan suami isteri yang sanggup merakamkan hubungan seksual mereka untuk tujuan koleksi peribadi.
-
Di kalangan makhluk Allah hanya binatang sahaja yang melakukan seks secara bebas kerana binatang tidak memiliki sifat malu. Justeru, mereka yang terpengaruh dengan budaya seks bebas adalah individu yang sudah rosak fitrahnya dan sudah berada dalam daerah kebinatangan.
-
Secara alamiah atau semula jadinya, seks sama seks haram atau seks halal akan menyebabkan si wanita mengandung dan melahirkan zuriat. Hari ini, masyarakat kita dikejutkan dengan fenomena pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi. Secara logiknya, pembuangan bayi adalah kesan dari perbuatan zina.
-
Kes buang bayi satu hal. Bagaimana pula dengan kedudukan kes kelahiran anak luar nikah yang tidak dibuang tetapi terpaksa dipelihara oleh ibu kandung atau mereka yang prihatin terhadap nasib bayi yang dilahirkan itu. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Dato' Alwi Ibrahim, sebanyak 17,303 anak luar di kalangan Melayu-Islam nikah didaftar 2009. Menurutnya, bilangan itu meningkat 762 orang berbanding tahun sebelumnya, iaitu 2008 sebanyak 16,541 kes, manakala tahun 2007 seramai 16,100.
-
Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009 sebanyak 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa Adalah sebanyak 104,834orang. Dalam tempoh lima tahun itu, jumlahnya anak luar nikah Melayu-Islam adalah seramai 74,723 kes, India 23,696 kes dan Cina 23,692 kes . Kaum-kaum lain adalah sebanyak 91,922 kes. Nampaknya, anak luar nikah di kalangan kaum Melayu-Islam menduduki tempat kedua. Ia amat membimbangkan kita.
-
‘Zina’ akan melahirkan keturunan yang tidak diketahui nasab keturunannya sehingga boleh menimbulkan pelbagai masalah lain seperti keruntuhan keluarga dan masyarakat. Sebenarnya bukan sahaja zina semakin berkembang dalam masyarakat kita tetapi pelbagai gejala sosial lain turut menghantui kita. Gejala sosial dan keruntuhan akhlak adalah sebahagian dari kesan kekeliruan yang berlaku akibat keinginan untuk memburu kehidupan bebas tanpa mempedulikan nilai-nilai tradisi dan agama.
-
Pegangan aqidah yang rapuh memudahkan lagi proses “pereputan” jati diri dan akal budi bangsa. Kesan dari mengambil secara membuta tuli fahaman liberalisme menjadikan masyarakat kita bersifat ‘nafsi nafsi’ atau istilah modennya individualistik. Kebimbangan perlu ada pada kita tentang masa depan bangsa. Kebimbangan ini harus dirasai dan dikongsi bersama oleh semua mereka yang prihatin.
-
Kumpulan yang sedar ini seharusnya menjadi penggerak kepada usaha membetulkan keadaan. Di negara kita ada pelbagai pertubuhan sosial yang boleh memainkan peranan tersebut demi masa depan anak bangsa kita. Badan-badan Bukan Kerajaan Melayu (NGO) harus memainkan peranan yang efisien dan efektif dalam hal ini.
-
Tidak wajar kita berpeluk tubuh lagi menyaksikan segala kemungkaran yang melanda generasi muda kita hari ini. Bayangkan bagaimana nanti keadaan generasi yang kita tinggalkan itu seandainya mereka berada dalam keadaan yang rendah akal budi dan jauh dari agama kesan dari lemah iman dan rapuh aqidah. Anak-anak muda Islam kita harus disedarkan tentang bahayanya ‘zina’ yang semakin berleluasa hari ini. Sesungguhnya zina adalah perbuatan haram yang dikutuk dan dilaknat Allah SWT dan pelakunya yang tidak bertaubat akan menerima seksaannya di akhirat kelak.