Perbezaan 1Malaysia dengan ‘One Israel’
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
Ketika Gagasan 1Malaysia mula diperkenalkan, pembangkang cuba mengaitkannya dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’. Apabila kerajaan dapat menjawab dan membuktikan bahawa keduanya adalah berbeza, maka hari ini pembangkang cuba pula menyamakan 1Malaysia dengan One Israel.
-
1Malaysia dituduhnya meniru konsep One Israel yang diperkenalkan oleh Ehud Barak, Perdana Menteri Israel pada awal tahun 1990-an. Benarkah 1Malaysia sama dengan One Israel? One Israel mesti dilihat dalam skop perjuangan Zionis yang berpusat kepada fahaman rasisme melampau, manakala 1Malaysia pula mesti dilihat dalam skop penyatuan rakyat Malaysia pelbagai kaum berasaskan kepada konsep penerimaan dan semangat toleransi.
-
One Israel sepenuhnya dikaitkan atau dikhususkan kepada bangsa Yahudi. 1Malaysia adalah untuk semua kaum supaya hidup secara harmoni, toleransi dan bekerja sama tanpa sebarang perasaan prejudis antara satu sama lain. One Israel adalah usaha kaum Yahudi Zionis untuk memperkukuh negara haram Israel di bumi Palestine supaya semua kaum Yahudi menyokong perjuangan rasis Zionisme.
-
1Malaysia pula adalah untuk memperkukuh negara-bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum agar setiap warga Malaysia melihat dirinya sebagai rakyat Malaysia yang sama-sama menyumbang kepada kekuatan dan kejayaan negara.
-
One Israel memiliki dogmatisme dan mitos tertentu, manakala 1Malaysia tidak diasaskan kepada sebarang dogma atau mitos tertentu. Mitos dan dogma utama bangsa Yahudi (Hebrew) ialah menganggap bangsa mereka sebagai ‘Bangsa Pilihan Tuhan’ (The Chosen People of God). Kaum Yahudi telah menjadikan faktor ‘darah keturunan’ sebagai faktor penentu kaum Tuhan memilih mereka sebagai People of God. Kaum Yahudi percaya bahawa pemilihan mereka sebagai Bangsa Pilihan adalah didasarkan kepada kasih sayang Tuhan Yahweh terhadap mereka.
-
Keistimewaan ini tidak dikurniakan kepada bangsa-bangsa yang lain. Keyakinan mereka ini kekal hingga hari ini dengan berpegang teguh kepada gambaran yang diberi oleh Old Testament yang menyebut mereka sebagai bangsa yang disucikan, disayangi dan dicintai Tuhan serta Tuhan telah menebus mereka daripada perhambaan Firaun Raja Mesir (Deuteronomy V11:6-8).
-
Bangsa Yahudi mempercayai bahawa tragedi-tragedi sejarah yang dilalui mereka sehingga menyebabkan mereka berada dalam pembuangan (exile) hampir 2000 tahun di mana mereka terpisah dari bumi Palestine adalah berpunca daripada kecuaian mereka mentaati tuhan Yahweh. Mereka mempercayai bahawa tempat yang bernama Zion, sebuah bukit yang terletak di selatan Bait al-Muqaddas yang pernah menjadi tapak kerajaan Nabi Daud adalah tempat yang telah dijanjikan untuk mereka. Zion dianggap tempat suci orang Yahudi di mana Tuhan Yahweh tinggal di situ.
-
Perkataan Zionisme di ambil dari sempena nama bukit tersebut. Pergerakan Zionisme berusaha a untuk menegakkan kembali keunggulan sejarah bangsa Yahudi dengan kembali berkuasa di bumi Palestine, malah mereka berhasrat untuk menguasai dunia ini dengan apa sekali pun. Cita-cita mereka ialah mahu mengembalikan keagungan Bani Israel dan keagungan bangsa Yahudi. Mereka mahu membina Haikal Sulaiman dengan memusnahkan Masjid al-Aqsa di Jurusalem.
-
Sebelum wujudnya pergerakan Zionisme secara rasmi, telah lahir pelbagai pergerakan Yahudi yang berjuang untuk kembali ke bumi Palestine seperti pergerakan Maccabean, pergerakan Barkokhba (117-136 M), pergerakan Maosis al-Kariti, pergerakan Dapid Robin (1501-1532M), pergerakan Mansyah bin Israel (1604-1657M), pegerakan Syabtai Lapei (1626-1676M).
-
Mulanya ia merupakan pergerakan agama tetapi bertukar kepada gerakan politik nasional Yahudi. Pada tahun 1897 pertubuhan Zionis Sedunia (The World Zionist Organization) ditubuhkan sebagai gerakan politik yang terkuat dan berpengaruh. Di Eropah, orang-orang Yahudi telah berjaya menguasai ekonomi Britain, Jerman, Peranchis dan Amerika Syarikat (AS). -
Politik Zionisme menjadi lebih kuat dan berkesan di bawah pimpinan Theodor Herzl, seorang wartawan Yahudi dari Austria yang bersifat radikal. Maxim Ghilan menyebut dalam bukunya How Israel Lost Its Soul (1974) bahawa sejarah Zionis merupakan satu pergerakan autokrat yang bercorak revolusioner. Ia juga adalah pergerakan yang pertama memberi hak undang-undang kepada orang Yahudi serta hak undang-undang sebagai satu bangsa manusia di Eropah.
-
Melalui bukunya, The Jewish State (Der Judenstaat), Theodor Herzl telah berjaya membakar semangat orang Yahudi di seluruh dunia untuk berpindah atau kembali ke Palestine dengan tujuan mewujudkan semula beberapa penempatan orang Yahudi. Akhirnya satu kongres pertama orang Yahudi diadakan di Basle, Switzerland pada tahun 1897 yang memutuskan Pertubuhan Zionis Sedunia akan berusaha mengembalikan kegemilangan Yahudi di bumi Palestine melalui penubuhan sebuah negara Israel.
-
Negara Zionis Israel akhirnya diwujudkan dengan sokongan dan dukungan kuat Britain dan AS pada tahun 1948. Apa yang berlaku ialah pembentukan negara haram Israel adalah dilakukan di atas penghapusan etnik ke atas bangsa Arab Palestine dan misi penghapusan dan penyingkiran rakyat Palestine dari tanah air mereka masih berterusan sehingga kini. Justeru, One Israel yang diperkenalkan oleh Ehud Barak mempunyai pertalian yang rapat dengan usaha rejim Zionis untuk memperkukuh kesatuan Yahudi bagi mendukung negara haram Israel itu.
-
Yang nyata, One Israel adalah gagasan untuk memantapkan kesatuan kaum Yahudi semata-mata dengan tidak memberi ruang keadilan kepada rakyat Palestine yang dizalimi dan ditindas itu. Ia berbeza dengan gagasan 1Malaysia yang bersifat penerimaan inklusif di mana keadilan sosial ditegakkan untuk semua kaum, agama dan kepercayaan berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Misi Nasional.
-
1Malaysia dibangunkan di atas konsep perpaduan dalam kepelbagaian di mana keadilan sosial, nilai-nilai murni dan nilai-nilai aspirasi 1Malaysia merangkumi budaya berprestasi tinggi, ketabahan, hormat-menghormati, budaya ilmu, integriti, kebijaksanaan, rendah hati dan kesetiaan ditekankan untuk dijadikan amalan seluruh rakyat Malaysia. 1Malaysia yang mendukung prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan dilaksanakan dalam struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat yang melibatkan aspek keterangkuman, iaitu penglibatan seluruh rakyat Malaysia tanpa batasan kaum.
-
Kesimpulan, antara Gagasan 1 Malaysia dan One Israel mempunyai perbezaan yang cukup nyata. Gagasan 1Malaysia tidak memiliki elemen rasisme atau ideologi perkauman, manakala One Israel adalah jelas bersifat rasis, egoistik, cauvinistik, partikularistik dan diskriminasi.
-
One Israel bersifat eksklusif yang dikhususkan untuk kaum Yahudi dengan menafikan hak rakyat Palestine, manakala 1Malaysia adalah bersifat inklusif. Ia adalah gagasan yang berusaha untuk memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini di mana hak semua kaum dibela berasaskan Perlembagaan Persekutuan.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment