Tuesday, November 10, 2009

Lawatan Susilo perkasa hubungan serumpun
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

’SALAM hormat’ dan ’salam Nusantara’ untuk bapak Presiden. ’Selamat datang ke Malaysia’. Mungkin inilah lafaz yang dapat diucapkan oleh seluruh rakyat Malaysia kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang melakukan lawatan ke Malaysia selama dua hari mulai hari ini. Sebagai menghargai kunjungan Presiden yang memimpin umat Islam terbesar di rantau ini maka izinkan penulis menukilkan serangkap pantun berbunyi:

Kapal dagang dari seberang
Penuh muatan kayu meranti
Dari seberang bapak Presiden datang
Kami di Malaysia sedia menanti

Malaysia adalah negara pertama dilawati Presiden itu sejak beliau dilantik sebagai Presiden Indonesia buat penggal kedua pada 20 Oktober lalu. Justeru, pada hari ini, Rabu, tanggal 11 November 2009 bersamaan 23 Zulkaedah 1430 Hijrah mencatat satu lagi sejarah bermakna hubungan intim Malaysia-Indonesia. Sudah termaktub dan tersurat dalam sejarah bahawa Indonesia dan Malaysia adalah dua bangsa serumpun yang mempunyai akar sejarah dan budaya yang sama dalam alam ’Nusantara’ atau alam Melayu. Akar umbi sejarah dan budaya dua bangsa merdeka dan berdaulat ini umpama ”serai serimbun, sireh sejunjung” yang amat rapat susur galurnya.

Sejak dulu lagi kedua-dua negara sudah menjadi bangsa yang membentuk tamadun dan peradaban Melayu-Islam Nusantara. Mungkin ungkapan, ”kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa hamba dirikan” dapat mengambarkan betapa eratnya hubungan peradaban Malaysia dan Indonesia. Dua bangsa inilah yang memberikan makna kepada bangsa Melayu serta identitinya melalui cakupan kebudayaan yang luas merangkumi aspek sosio-politik, psikologi, minda, emosi, budaya dan keseniaan.

Ruang alam fikir kita adalah sama, iaitu berpaksi dan bertunjangkan kosmologi Melayu Nusantara yang bertunjang dan berteraskan doktrin tauhid. Kedua-dua bangsa inilah yang mendukung tunjang tamadun berasaskan Islam berabad lamanya. Justeru, Indonesia dan Malaysia harus dilihat sebagai benteng kepada kelangsungan dan kekuatan umat Islam di Nusantara dan Asia Tenggara amnya. Kita adalah benteng ’Ahlus Sunnah wal Jamaah’ yang seharusnya padu dan kukuh. Jika lebur Islam di kedua buah negara ini maka lebur dan hancurlah Islam di rantau ini.

Apa pun, pastinya lawatan Susilo ke Malaysia memberikan banyak makna, khusus dalam konteks hubungan diplomatik dan perdagangan antara Indonesia dan Malaysia. Sememangnya hubungan mesra dan intim dua beradik serumpun dan seketurunan ini sudah lama terbina sejak berabad lamanya. Cumanya, setelah Indonesia dan Malaysia merdeka dari kuasa penjajah Belanda (Indonesia) dan Inggeris (Malaysia) maka masing-masing mula menjadi negara-bangsa (nation state) moden yang berasaskan kepada semangat nasionalisme kenegaraan masing-masing.

Di bawaha konsep negara bangsa inilah maka hubungan kita mula dilihat dari perspektif atau hubungan diplomatik moden. Oleh kerana itu, dalam waktu-waktu tertentu kita sering terbawa-bawa sentimen negara-bangsa walaupun dalam perkara yang berkaitannya dengan warisan budaya bersama. Kata bidalan, ”Lidah mana yang tidak tergigit” dan ”bumi mana yang tidak ditimpa hujan” maka demikianlah sejak kebelakangan ini Malaysia sentiasa dikritik oleh golongan tertentu di Indonesia dalam isu-isu remeh dan terpencil seperti isu tarian pendet, terang bulan, lagu rasa sayang dan isu-isu lain seperti penderaan pembantu rumah warga Indonesia sehingga menimbulkan keresahan hubungan kedua-dua negara.

Kita yakin bahawa kedua-dua kerajaan dan kepemimpinan terbabit arif tentang hal-hal remeh temeh yang tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga memberi kesempatan kepada ’dalang’ atau ’tangan ghaib’ dari luar yang mahu melihat kita terus bersengketa sesama sendiri. Justeru, kita berharap dengan lawatan Susilo ini akan dapat melunturkan segala sentimen yang tidak menguntungkan kita.

Lebih jauh dari itu, kita optimis bahawa lawatan mesra ini mampu memberi impak yang lebih besar, khusus dalam soal hubungan diplomatik, hubungan perdagangan dan perkara-perkara yang mempunyai kebaikan bersama seperti pendidikan, tenaga buruh, pembangunan dan beberapa bidang berkepentingan strategik yang harus tumbuh dalam lingkungan hubungan yang dinamik dan membina. Memang kita pernah berkrisis tentang soal kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan yang terletak di perairan Sabah.Namun, kedua negara sentiasa berunding sehinggalah akhirnya sama-sama bersetuju menyelesaikannya di Mahkamah Antarabangsa (ICJ) di The Hague pada tahun 2002.

Walaupun keputusan memihak kepada Malaysia tetapi ia tidak sedikit pun menjejaskan keakraban dan keintiman hubungan kita. Mungkin beberapa isu tertangguh seperti isu Ambalat yang berpotensi mengocakkan hubungan kedua negara ini mampu menjadi ”duri dalam daging”. Begitu pun, kita yakin ia mampu diselesaikan dengan kebijaksanaan kedua-dua pemerintah melalui saluran diplomatik yang berasaskan semangat serumpun dan setiakawan ASEAN.

Kita juga melihat bahawa dalam konteks membina hubungan yang dinamik dan membina, maka media atau kewartawanan memainkan peranan yang cukup besar dan berkesan. Justeru, media dari kedua-dua belah pihak harus melapor berita yang benar, tepat dan menyeluruh mengenai sesuatu insiden atau peristiwa yang berlaku. Usaha untuk merapatkan jurang hubungan media dan saluran dua hala antara pengamal media kedua negara perlu wujud. Mekanismenya perlu ada. Justeru, sudah timbul kesungguhan di kalangan sekelompok wartawan Malaysia menubuhkan apa yang dipanggil Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWMI).

Datuk Ahmad Talib, Pengerusi ISWMI dalam kenyataan medianya pada 14 September lalu menyebut bahawa ISWMI adalah langkah positif oleh pihak media sendiri atas kesedaran peranan moral untuk bersama-sama mendukung aspirasi kepimpinan dua negara dalam. Ia adalah usaha untuk mengeratkan hubungan kerjasama bagi mengurangkan ”ketegangan” antara Malaysia dengan Indonesia. Untuk mengerakkan kerjasama dan menjaga hubungan media antara kedua negara maka ISWMI akan turut ditubuhkan di Indonesia. Ia masih dalam proses perbincangan ke arah itu.

Apa yang kita harapkan biarlah ISWMI benar-benar menjadi satu platform atau jambatan yang dapat membina persefahaman dalam menjelaskan pelbagai isu yang berbangkit di antara kedua buah negara serumpun ini. Mungkin dengan lawatan Susilo ke negara ini akan memberikan ruang dan kesempatan kepada para wartawan kedua buah negara ynag membuat liputan bertemu dan bermesra ynag akhirnya akan membuahkan apa yang dihasratkan itu.

Monday, November 9, 2009

1Malaysia iltizam model ekonomi baru

Oleh Mohd Ayop Abd Razid ayop_60@yahoo.com

Pentadbiran Najib utama pendekatan lebih inovatif, kreatif tingkat pertumbuhan graf negara

PERSEKITARAN ekonomi yang semakin mencabar menuntut kebijaksanaan kita mencorak pengurusan ekonomi agar lebih dinamik dan responsif. Trend pertumbuhan ekonomi global yang semakin mementingkan inovasi dan kreativiti menyebabkan kita tidak boleh lagi berpaut sepenuhnya kepada struktur ekonomi lama.
-
Aspek peraturan kewangan global yang semakin bergerak pantas ke arah perubahan agresif pula menuntut institusi kewangan kita mempunyai piawaian urus tadbir dan pengurusan risiko yang berkesan. Kita sebenarnya tiada pilihan melainkan berubah. Jika tidak, kita terpaksa berdepan risiko kehilangan momentum pertumbuhan ekonomi dan pasaran.
-
Inilah antara perkara ditegaskan Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada acara ‘Invest Malaysia 2009’ di Kuala Lumpur, Jun lalu. Beliau mengingatkan bahawa keupayaan dalam membuat keputusan dasar dalam semua pasaran kewangan perlu dipertingkat dan diberi perhatian serius. Ini penting untuk mengelak kesan lebih buruk kepada ekonomi negara.
-
Hakikatnya, sejak dinobatkan sebagai Perdana Menteri, April lalu, Najib sudah menunjukkan iltizam dan kesungguhan yang cukup tinggi dan serius bagi memulihkan kedudukan ekonomi negara yang terjejas akibat krisis kewangan global yang belum menampakkan pemulihan meyakinkan. Justeru, langkah dan pendekatan yang beliau ambil adalah ke arah menyediakan respons agresif untuk mengekang impak kemurungan ekonomi global.
-
Najib memulakannya dengan melaksana dua pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion. Hasrat ini selari aspirasi menjadi Malaysia negara maju menjelang 2020. Cabaran utama ialah bagaimana mengurus perubahan yang begitu besar, terutama dalam tekanan saingan global yang semakin meningkat.
-
Perancangan strategik perlu dilakukan. Untuk itu, Najib menggerakkan usaha menggaris formula sebuah model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tinggi. Model ekonomi baru yang bertunjangkan inovasi dan produktiviti itu diumumkan pada 2 Mei lalu.
-
Pelaksanaan model ekonomi baru memerlukan rombakan dasar secara besar-besaran dan komprehensif dalam pelbagai aspek. Di sinilah rasionalnya tindakan kerajaan mengumumkan liberalisasi dalam 27 sub-sektor perkhidmatan, disusuli langkah liberalisasi dalam sektor kewangan dan pelaburan. Langkah mengantarabangsakan sektor perkhidmatan kewangan dan pasaran modal dilihat dapat membantu negara muncul sebagai pangkalan operasi pelaburan peringkat serantau dan antarabangsa, sama ada pelaburan dalam sektor kewangan mahupun sektor perkhidmatan lain, di samping mengekalkan pelaburan dalam sektor sedia ada seperti sektor sumber dan perusahaan.
-
Dari segi modal insan, model ekonomi baru menuntut kita mengubah budaya pergantungan kepada asas pengeluaran menggunakan pekerja separuh mahir dan buruh murah kepada industri teknologi tinggi dan sektor perkhidmatan moden yang menggunakan pekerja mahir dan berpendapatan tinggi. Ia menuntut seluruh rakyat menerapkan nilai budaya kecemerlangan serta mengutamakan budaya kerja berpasukan.
-
Nilai itu terkandung di dalam konsep 1Malaysia. Budaya inovasi sebahagian penerapan nilai aspirasi di bawah konsep terbabit. Nilai ini menuntut rakyat untuk mencuba perkara baru berorientasikan inovasi dalam apa juga bidang diceburi.
-
Kesungguhan Najib untuk menjadikan inovasi sebagai agenda penting negara terbukti apabila pada 20 Oktober lalu beliau mengumumkan penubuhan Pusat Inovasi Negara (MyNIC) dan rangkaian Pusat Kecemerlangan Inovasi (i-CoE).
-
Bidang inovasi yang dimaksudkan Najib tidak terhad kepada bidang sains dan teknologi, malah merangkumi inovasi secara holistik dalam semua bidang termasuk dalam bidang kemasyarakatan dan tadbir urus. Justeru, mulai tahun depan, Hari Kualiti Negara peringkat sektor awam akan ditukar dengan Hari Inovasi Negara.
-
Kesimpulannya, model ekonomi baru akan menjadi fokus dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) nanti meliputi tempoh antara 2011 hingga 2015. Pastinya usaha meningkatkan inovasi, kreativiti dan nilai tinggi akan menjadi perkara utama yang akan diberi perhatian dalam RMK-10. - BH 4/11/09

Wednesday, October 14, 2009

Ahli Umno perlu hayati Empat rukun perubahan

Mohd Ayop Abd Razid

Empat rukun untuk Umno berubah seperti yang digariskan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut kefahaman dan penghayatan oleh seluruh ahli Umno yang berjumlah lebih dua juta orang. Empat rukun itu adalah wahdatul fikr (kesatuan minda), wahdatul qalb (kesatuan hati), wahdatul amal (kesatuan amal) dan wahdatul hadaf (kesatuan matlamat).

Penghayatan yang tuntas terhadap keempat-empat rukun terbabit mampu menjadikan Umno kembali bersemangat terutama dalam berhadapan dengan cabaran politik yang semakin mencabar. Jika umno mahu terus relevan untuk mengemudi kepemimpinan negara yang bersemangatkan 1 Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ maka keempat-empat rukun itu mesti diterjemahkan dalam amalan dan gerak kerja parti secara menyeluruh.

Dalam ucapan perasmian persidangan perwakilan ketiga-tiga sayap Pemuda, Wanita dan Puteri yang bertema 'Menggalas Tuntutan Perubahan’, Tan Sri Muhyiddin memberikan takrifan ringkas ke empat-empat rukun terbabit. ‘Kesatuan minda’ bermaksud seluruh ahli Umno mesti mempunyai visi perjuangan yang jelas. ‘Kesatuan hati’ pula dituntut bagi membolehkan ahli menjiwai erti perjuangan parti.

Apakah perjuangan parti itu? Perjuangan parti adalah untuk mengangat dan memartabatkan maruah bangsa ke kedudukan yang dihormati dan disegani. Ia berlandaskan kepada tujuan perjuangan iaitu demi agama, bangsa dan negara.

Bertolak dari kedua-dua rukun itu, ia kemudiannya perlu diterjemahkan kepada ’kesatuan amal’ yang bermaksud bermaksud seluruh ahli umno dan jentera parti mesti bergerak dan bertindak atas satu landasan dan pasukan. Rukun keempat, ’kesatuan matlamat’ pula membolehkan kita mencapai tujuan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Yang perlu dilakukan mulai sekarang ialah seluruh ahli parti mesti segera bangkit dan merapatkan saf serta menghayati keempat-emapt rukun itu demi memastikan perubahan serta pembaharuan yang direncana dan dihasaratkan itu dapat diterjemahkan dalam seluruh gerak kerja parti. Seperti yang ditegaskan Muhyiddin bahawa, "Yang ada hanya satu wadah, satu pasukan dan satu Umno, dan itu semua dapat dilaksanakan jika kita menghayati empat rukun itu" .

Perlu diingat bahawa Umno tidak menagguh-nangguhkan perubahan. Parti itu tidak mempunyai banyak masa untuk mengembalikan kenyakinan rakyat terhadapnya. Umno hanya ada dua tahun saja untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13). Ia akan mementukan nasib parti itu dalam persada politik tanah air. Justeru, Umno perlu bertindak segera memulihkan diri yang dikatakan mulai pudar di mata rakyat.

Jangan terlalu bersandarkan kepada kemenangan di Bagan Pinang walaupun ia boleh dikatakan kemenangan yang menunjukkan rakyat pelbagai kaum kembali menyokong BN dan Umno. Rakyat seluruh negara, dari Perlis sampai ke sabah perlu ditawan hati mereka dengan imej baru ynag menyakinkan.

Sesungguhnya kelangsungan dan perjuangan Umno amat bergantung kepada penghayatan keempat-empat rukun itu. Ia perlu dicerna dan diterjemah segera oleh seluruh ahli parti. Keempat-emapt rukun itu bukan sahaja penting dalam menjana dan membungar kembali kekuatan parti, malah ia penting dalam usaha parti melaksanakan transformasi ke arah Umno yang lebih dinamis, progresif dan pro-aktif dalam memenuhi tuntutan zaman serta selari dengan gagasan 1Malaysia, ’Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Memang perubahan seharusnya bermula dari dalam parti. Justeru, persidangan tahunan Umno yang sedang berlangsung antara lain akan membahaskan pindaan perlembagaaan parti. Antara motif pindaan itu adalah untuk menghapuskan rasuah yang dikatakan sudah berleluasa dalam parti. Apakah dengan menghapuskan sistem kuota pencalonan untuk semua jawatan tertinggi dalam parti mampu menghapuskan rasuah adalah sesuatu yang subjektif sifatnya? Ia amat bergantung kepada sikap ahli.

Yang jelas, dalam konteks pemilihan pemimpin maka penghapusan sistem kuota itu dilihat mampu memulihkan amalan demokrasi yang dikatakan sudah ’layu’ dalam Umno sejak sistem itu diperkenalkan tahun 80-an. Ada pun penghapusan rasuah itu pada hemat saya memerlukan penghayatan terhadap keempat-emapt rukun terbabit secara ikhlas.

Jika di atas pentas mulut hanya menyebut dan melaungkan perjuangan untuk bangsa, agama dan tanah air tetapi hati pula berkiblatkan kepada perjuangan untuk kepentingan peribadi dan kebendaan maka jangan mimpi Umno akan pulih, malah kehancuran akan menantinya. Bagi saya, ahli umno perlu berupaya mempraktikkan ’mujahadahtun nafs’. Ia adalah ubat mujarab tetapi bukan sesuatu yang mudah dilakukan jika hati sudah bersarang dengan kepentingan peribadi.

Ia memerlukan sisitem pentarbiyyahan yang berkesan. Mungkin Umno perlu merangka silibus tarbiyyah seperti mana yang diamalkan oleh Pas. Ia sesuatu yang patut difirkan oleh Umno. Di dalam Pas amalan usrah dirangka untuk diaplikasi sama ada di peringkat kepimpinan tertinggi hinggalah ke peringkat akar umbi.

Ingin saya akhiri tulisan ini dengan memetik kata-kata Timbalan Presiden Umnio itu bahawa, "Diharap tidak ada lagi antara kita yang menjadi batu api, batu ronson, kaki cucuk, talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam dan si Kitol yang lidah bercabang, tidak ada lagi perpecahan dalaman, tiada lagi team A atau B seperti dulu, tidak ada lagi gerakan menjatuhkan pemimpin atau budaya ugut mengugut dan tidak ada lagi perebutan kuasa sehingga parti menjadi mangsa”. Sekali lagi, semuanya itu memerlukan kepada ’mujahadatun nafs’. Selamat bersidang Umno.

Thursday, October 8, 2009

Bajet 2010 dijangka lonjak pemulihan ekonomi negara

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

BAJET 2010 dijangka dibentangkan di Parlimen pada 23 Oktober ini. Datuk Seri Najib Razak sudah pun membayangkan beberapa sifat Bajet 2010. Antaranya, bajet kali ini merupakan bajet berhemat atau bajel berjimat cermat. Untuk tujuan itu, beberap langkah mungkin dilaksanakan dalam bajet kali ini termasuklah akan mengambilkira pengagihan subsidi hanya kepada kumpulan sasar yang layak sahaja. Di negara kita subsidi diberi dalam pelbagai bentuk seperti subsidi petrol, makanan, kesihatan, perumahan, pertanian , pendidikan dan lain-lain bentuk subsidi.

Kerajaan membelanjakan jumlah yang besar untuk tujuan itu.Justeru, pengagihan subsidi hanya kepada kumpulan sasar yang layak sahaja adalah wajar, terutama dalam keadaan negara berhadapan dengan kesan krisis ekonomi global. Selain itu, bajet kali ini dijangka akan mengurangkan peruntukan untuk perbelanjaan kerajaan. Namun, langkah itu tidak akan memberi impak negatif kepada keberkesanan pentadbiran kerajaan. Amalan pembanziran pada perkara yang tidak perlu akan dijauhi sama sekali.

Penulis berpendapat, dalam usaha pengurangan peruntukan atau perbelanjaan kerajaan adalah penting peruntukan untuk beberapa sektor seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan sosial tidak dikurangkan, malah ia patut ditambah kerana sektor terbabit memainkan peranan yang cukup penting dalam pembangunan modal insan dan pembagunan kualiti hidup rakyat di negara ini.

Sektor pembangunan sosial yang meliputi usaha pembasmian kemiskinan, pembangunan kualiti hidup rakyat seperti penyedian kemudahan asas seperti eletrik dan air, bantuan untuk orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan masyarakat orang asli penting diberi perhatian dalam bajet kali ini. Ia akan mengambarkan keprihatian kerajaan terhadap golongan terbabit dan sekli gus memenuhi maksud ’Rakyat Didahulukan’ sebagaimana ynag diuar-urakan dalam Gagasan 1Malaysia.

Dalam usaha pembasmian kemiskinan, penulis melihat bajet kali ini perlu memberi fokus yang jelas kepada pembasmian kemiskinan bandar kerana kemiskinan bandar memberi impak negatif kepada keluarga terbabit, terutamanya kanak-kanak dan remaja bandar. Satu kajian dalam Jurnal The American Psychologist (1998) menyebut bahawa tekanan kemiskinan bandar boleh menyebabkan kanak-kanak dan remaja terdedah kepada perlakuan jenayah, kerosakan akhlak dan penyalahgunaan dadah. Perlu difahami bahawa mengurangkan kadar jenayah adalah salah satu daripadaenam Bidang Keberhasilan Utma Negara (NKRA)

Untuk menjana atau mempertingkatkan pendapatan kerajaan, Najib membayangkan bahawa sektor percukaian akan diperkuatkan.Langkah memperkuatkan dasar percukaian itu dilihat wajar kerana selama ini dasar sedia ada agak longgar sehingga memberi kesan dalam pendapatan kerajaan. Dalam mana-mana negara, cukai meminkan peranan penting dalam mengurangkan tekanan inflasi. Cukai mempunyai kesan deflasi (deflationary efects) dan keadaan ini bergatung kepada jenis cukai yang dilaksanakan

Misalnya,cukai pendapatan dapat mengurangkan tekanan inflasi akaibat pengurangan perbelanjaan.Sebaliknya cukai import pula mungkin meninggkatkan harga domestik. Apa pun, cukai adalah penting dalam pendapatan kerajaan. Sekiranya kerajaan memperolehi pendapatan yang tinggi maka ia mampu menambah perbelanjaan untuk pembangunan. Namun, mengenakan cukai yang tinggi adalah langkah yang kurang disenangi, lebih-lebih lagi dalam situasi kelembapan ekonomi.

Jika terpaksa juga kerajaan menaikkan cukai mungkin ia patut diimbangi dengan pemberian insentif tertentu. Sebagai contoh, penulis mencadangkan mana-mana syarikat yang beroperasi di negara ini yang membeli tiga atau lima buah kereta nasional untuk kegunaan syarikat maka kerajaan bolehlah mempertimbangkan rebat cukai pada kadar tertentu.Cara ini juga dapat membantu memajukan industri kereta nasional.

Kita juga yakin bajet kali ini akan menekankan tiga prinsip ke arah memperkasa model ekonomi baru seperti yang disebut Tan Sri Muhyiddin Yasin. Prinsip terbabit adalah prinsip pertumbuhan asas secara meluas, prinsip pemerkasaan asas ekonomi secara meluas dan prinsip pertumbuhan berperingkat.Prinsip terbabit amat sesuai dilaksanakan dalam usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara. Adalah diharapkan bajet kali ini akan turut memberikan penekanan kepada usaha membantu pertumbuhan dan pengembangan ekonomi domestik.

Justeru, penulis mencadangkan strategi mempertingkat pembangunan ekonomi domestik dijadikan salah satu strategi dalam bajet 2010.Lumrahnya pertumbuhan ekonomi moden sesebuah negara moden banyak bergantung kepada aktiviti ekonomi bandar. Penulis melihat ianya perlu dikekalkan tetapi dalam masa yang sama bajet kali ini perlu memberi fokus yang seimbang kepada pembangunan ekonomi luar bandar. Ekonomi luar bandar secara tradisinya bergantung kepada pertanian, penternakan dan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

Sektor terbabit perlu dibantu sekiranya kita mahu melihat ekonomi domestik berkembang dengan baik. Beberapa bentuk insentif atau bantuan kepada sektor terbabit perlu diberikan dalam bajet kali ini. Selain itu, kerajaan juga wajar memberikan beberapa insentif baru bagi membantu sektor swasta dan GLC, khusus dalam mendorong mereka berkembang mencapai taraf syarikat multinasional.

Untuk membantu usahawan bumiptera yang berpotensi memajukan perniagaan mereka maka dicadangkan sejumlah peruntukan yang munasabah disalurkan kepada Permodalan Nasional Berhad (Ekuinas).Ekuins yang dilancarkan pada 30 Jun lalu hanya bermula dengan peruntukan RM500 juta.

Sektor Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) memainkan peranan penting dalam meemajukan negara. Sebagai sebuah negara yang berhasrat mencapai tahap negara maju menjelang 2020, maka R&D harus diperkasa dengan menyediakan peruntukan besar supaya ia benar-benar dapat memainkan peranan yang berkesan. R&D juga dilihat penting dalam usaha kerajaan mahu mengalakkan pembangunan model ekonomi baru berasasakan inovasi dan kreativiti.

Langkah liberalisasi sektor ekonomi dan kewangan negara dijangka menarik banyak pelabur asing, terutama dari Asia Barat. Ia sudah pun bermula apabila Arab Saudi bersetuju melabur sebanyak RM8.5 bilion (AS$2.5 bilion) pada 30 September lalu. Justeru, bajet kali ini perlu mengambil kira perkembangan tersebut dengan memperkukuhkan lagi sistem kewangan Islam.

Penulis melihat inilah masanya kita memainkan peranan memperkukuh penggunaan mata wang dinar terutama dalam berurusan dengan pelabur dari Asia Barat. Mungkinkah bejet 2010 kan memasukkan elemen ini? Moga-moga bajek kali ini dapat melonjakkan ekonomi domestic kita.

Tuesday, September 29, 2009

Liberalisasi tak pinggir usahawan Bumiputera

Oleh Mohd Ayob Abd Razid

KESEMPATAN beraya di kampung tempoh hari memberi peluang mendengar beberapa isu semasa yang dibangkitkan dalam perbualan dengan rakan dan sanak saudara. Antaranya termasuk isu kedudukan Bumiputera dalam ekonomi, Malangnya, ramai gagal melihat rasional beberapa langkah liberalisasi ekonomi yang dilaksanakan Datuk Seri Najib Razak. Mereka gagal melihat dan mengaitkan kerencaman ekonomi global yang menuntut kita melakukan perubahan.
Namun, kebanyakan pendukung pasaran bebas melihat kekangan utama yang dihadapi ialah peraturan dan undang-undang yang wujud di beberapa negara, mengehad dan menyekat peluang pelaburan. Untuk memecahkan kekangan itu, mereka memperkenalkan pelbagai pertubuhan perdagangan dunia, bertujuan memaksa liberalisasi ekonomi terhadap negara yang ingin menarik pelabur asing.
Misalnya, dalam bidang kewangan, trend ini amat jelas dirasai apabila tamatnya rundingan perdagangan Pusingan Uruguay dan penubuhan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) pada pertengahan 1990-an. Negara anggota tidak mempunyai pilihan melainkan mematuhi Perjanjian Am berkaitan Perkhidmatan dan Perdagangan (GATS). Koordinasi dan integrasi blok ekonomi pula sudah menjadi semakin penting dalam globalisasi kewangan dan ekonomi.
Integrasi ekonomi meliputi perdagangan dan kewangan. Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) adalah integrasi wilayah dengan anggotanya mengadakan kesepakatan perdagangan bebas untuk wilayah bersama. Melalui Pasaran Bersama pula, perpindahan faktor pengeluaran, tenaga kerja, modal, pengusaha dapat bergerak secara bebas.
Oleh kerana tuntutan liberalisasi semakin kuat dalam aliran ekonomi global, negara tidak boleh memencilkan diri. Kita terpaksa bersaing dengan beberapa ekonomi baru Asia seperti China, India, Vietnam dan Indonesia. Negara terbabit sudah lebih awal membuka dagangan mereka kepada pasaran bebas.
Di negara kita, walaupun ramai penganalisis ekonomi melihat dasar liberalisasi ekonomi negara sudah dimulakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, dasar terbabit lebih jelas haluannya di bawah kepemimpinan Najib. Begitu pun, negara melaksanakan dasar liberalisasi secara berhati-hati dan terkawal.
Perdana Menteri memulakannya pada 22 April lalu apabila mengumumkan liberalisasi 28 subsektor perkhidmatan yang berpotensi tinggi. Ia kemudian diikuti pengumuman liberalisasi kewangan pada 27 April yang dijangka menjadikan bank tempatan lebih kompetitif serta mampu membangun kepakaran bertaraf antarabangsa.
Ia juga akan dapat menarik lebih banyak modal asing serta mampu menjadikan negara hub kewangan Islam. Liberalisasi selanjutnya ialah dalam bidang pelaburan dan ekuiti. Beberapa garis panduan yang tidak lagi relevan dimansuhkan. Antaranya ialah memansuhkan syarat ekuiti 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO) kerana didapati tidak menyediakan ruang berkesan dalam peningkatan modal.
Pemansuhan itu dilihat bertepatan dengan usaha negara yang sudah pun membuka pintu pelaburan dengan pelbagai insentif yang meluas untuk menarik FDI. Selain itu, unsur dinamik dan kerencaman ekonomi global memerlukan keupayaan dan kemampuan Bumiputera dalam perlumbaan ke arah keseimbangan ekuiti.
Satu lagi usaha terserlah Najib untuk membangun ekonomi Bumiputera ialah apabila pada 1 Julai lalu beliau melancarkan Felda Global Ventures Holdings (Felda Global). Felda sinonim dengan pembangunan Melayu di luar bandar sejak 50 tahun lalu.
Felda Global berperanan mengembangkan sayap perniagaan Felda ke luar negara melalui pelaburan dalam pelbagai bidang baru yang berpotensi. Untuk lima tahun akan datang pelaburannya dianggarkan berjumlah RM6 bilion. Apa yang kita harapkan ialah Felda Global akan benar-benar dapat melahirkan ramai usahawan Bumiputera berdaya saing terutama di kalangan peneroka. BH 30 September 2009

Friday, September 18, 2009


Wednesday, September 16, 2009

1Malaysia penuhi suara muda semua kaum

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Sekitar 50an dan awal 60an lahir sekelompok sarjana sains sosial Barat yang bersikap pesimis terhadap masa depan negara bermasyarakat majmuk yang baru mencapai kemerdekaan ketika itu. Mereka melihat masalah perkauman menjadi cabaran kepada pembangunan politik negara terbabit. Usaha modenisasi untuk membina negara bangsa yang bersatu sering ‘menelurkan’ persaingan kaum menyebabkan pembentukan identifikasi berasaskan kaum yang jelas. Itulah rumusan teori pemodenan negara membangun bermasyarakat majmuk yang mereka bangunkan.

Di sekitar 70an pula lahir sarjana yang membawa pemikiran ynag berbeza daripada aliran pemikiran kelompok sarjana di atas. Sarjana seperti Claude Ake (1967), Nardlinger (1972), Arend Lijphart (1977), Karl Von Varys (1975) dan Menom K.Morison (1983) melalui kajian mereka merumuskan bahawa konflik kaum dalam masyarakat majmuk boleh ditangani untuk mewujudkan kestabilan serta demokrasi politik yang sihat.

Mereka melihat identiti etnik tidak semestinya menjadi penghalang kepada pembinaan masyarakat yang bersatu padu, malah ia boleh menjadi pemangkin kepada kepada perubahan yang dinamik. Sarjana seperti Menom K.Morison (1983) melihat bahawa integrasi nasional, keadilan sosial dan kestabilan politik boleh menjadi kenyataan dalam sebuah negara bermasyarakat majmuk.

Jika kita menganalisis perkembangan politik dan masyarakat di negara kita, kedua-dua pandangan kelompok sarjana terbabit ada kebenarannya. Di peringkat awal kemerdekaan sehingga tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, masyarakat kita sangat kuat dipengaruhi oleh perasaan perkauman.Ketika itu belum wujud lagi dasar yang jelas terhadap integasi nasional. Selepas berlakunya peristiwa hitam itu maka bermulalah ‘pembinaan sosial’ ke arah pembentukan masyarakat yang bersatu padu melalui dasar integrasi nasional bermula.

Pelabagi dasar yang diwujudkan mempunyai matlamat ke arah perpaduan. Proses pembinaan negara bangsa yang lebih terarah inilah dilihat bersesuaian dengan pandangan sarjana kelompok kedua yang menyatakan bahawa kemajmukan masyarakat bukannya penghalang kepada membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Memang kita berjaya membuktikan bahawa proses pembangunan negara bangsa dapat dicapai dan dikecapi melalui kestabilan politik, integrasi nasional dan keadilan sosial. Semuanya dilaksanakan melalui konsep dan falsafah ‘politik kompromi’ sehingga kita berjaya mengawal dan membendung isu-isu perkauman yang boleh memecah belahkan masyarakat.

Kaedah perundingan, persefahaman dan tolak ansur yang tinggi sentiasa menjadi amalan masyarakat. Pemimpin politik dan pemimpin masyarakat sangat berpegang kepada semanagat perlembagaan negara dan kontrak sosial yang dibina oleh para pemimpin pelbagai kaum sejak kemerdekaan negara. Malangnya, hari pelbagai isu perkauman yang mengeruhkan keharmonian dan ketenteraman masyarakat mula menyubur. Situasi ini mengambil tempat ekoran wujudnya beberapa tuntutan seperti demokrasi-liberal yang lebih terbuka, hak-hak kebebasan yang luas, keadilan sosial yang lebih dinamik dan penglibatan ekonomi yang lebih terbuka dan liberal.

Yag jelas tuntutan terbabit mula dikumandangkan ketika menjelangnya pilihan raya umum ke-12 dan semakin lantang selepas berlakunya ‘tsunami’ politik 2008. Ia dikatakan mewakili suara generasi muda yang majoritinya berada bersama politik pembangkang. Kononnya mereka mahu melihat perubahan yang lebih dinamik berlaku dalam politik dan sosial di negara ini. Penulis melihatnya sebagai sesuatu yang positif dan tidak wajar kita perlekekhkan suara generasi muda itu.

Namun, masalah timbul apabila kebanyakan tuntutan terbabit disaluti dan dipengaruhi dengan pelbagai agenda bersifat peribadi dan perkauman. Tidak nampak kemantangan dalam tuntutan mereka dan kebanyakan tuntuan terbabit melampaui semangat perlembagaan negara. Inilah cabaran yang dihadapi oleh Barisan Nasional (BN). Justeru, tidak hairanlah Datuk Seri Najib Razak mengingatkan Umno dan komponen BN yang lain agar berubah – ‘berubah atau rebah’. Najib memahami kehendak generasi muda dan tuntutan yang diketengahkan mereka.

Untuk itu, beliau memperkenalkan gagasan yang bersifat dinamik iaitu gagasan 1Malaysia dengan falsafah ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Tema gagasan ini sangat jelas iaitu perpaduan. Seperti yang dirumuskan Najib dalam Sidang Dewan Rakyat 15 Jun lalu bahawa “Satu Malaysia” membawa maksud “perpaduan dan kesepakatan”, “Rakyat didahulukan” membawa pengertian “pengagihan dan perkhidmatan” dan “Pencapaian Diutamakan” membawa maksud “kerajinan dan penghasilan”.

Gagasan 1Malaysia adalah kesinambungan aspirasi negara ynag bertindak sebagai pelengkap kepada dasar sedia wujud ke arah keharmonian, kestabilan dan pembangunan negara. Seperti yang dijelaskan Najib di Dewan dan tarikh yang sama bahawa “1Malaysia merupakan formula yang menjadi prasyarat untuk memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang 2020 tercapai”. Ujarnya lagi, “apabila kita bersatu padu akan lahir sebuah negara yang kukuh dan stabil”.

Wujud perbezaaan antara tuntutan pembaharuan pembangkang dengan gagasan 1Malaysia. Tuntutan pembaharuan pembangkang lebih bersifat memenuhi konsep ‘Malaysia Malaysian’ dengan menolak teras Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, 1Malaysia akan memberikan hak kepada yang berhak tanpa menafikan Perlembagaan Persekutuan. Apa yang dilakukan ialah melaksanakan transformasi berdasarkan pendekatan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Prinsip keadilan sosial merentasi tembok perkauman diterapkan dalam dasar dan tindakan kerajaan. Ini terbukti apabila kerajaan membuat keputusan bahawa mulai tahun depan Biasiswa Nasional di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan dilaksanakan berdasarkan merit. Demikian juga liberalisasai dalam bidang ekonomi mula diterjemahkan apabila syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera dimansuhkan.

Begitu pun, untuk memelihara kepentingan bumiputera seperti yang wujud dalam semangat perlembagaan negara maka kerajaan menubuhkan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas). Fungsinya adalah untuk membantu syarikat Bumiputera yang melabur melalui Ekuinas bersaing berasaskan merit. Jelaslah bahawa pendekatan keterbukaan dalam gagasan 1Malaysia berupaya memenuhi aspirasi dan kehendak generasi sura muda pelbagai kaum di negara ini. -BH 16/9/09