Tuesday, July 20, 2010

Malaysia perlu bebas aktiviti pengganas

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

KENYATAAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa kumpulan militan, Jemaah Islamiah (JI) warga asing aktif merekrut golongan remaja di negara ini termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) harus dipandang serius oleh pihak-pihak yang terbabit dengan urusan keselamatan negara.

Selain mendedahkan adanya usaha kumpulan JI mempengaruhi golongan anak muda di negara ini, Musa juga mendedahkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesan kehadiran beberapa pemimpin kanan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang cuba menjadikan negara ini sebagai tempat perlindungan dan pangkalan logistik mereka.

Pendedahan beliau itu membuktikan bahawa PDRM sentiasa memantau pergerakan kumpulan-kumpulan pengganas (teroris) sama ada dari dalam mahupun dari luar negara. Sudah tentu kita tidak mahu negara ini dijadikan tempat bagi kumpulan ekstremis seperti JI dan LTTE menjalankan aktiviti mereka sama ada merekrut atau sebagai pangkalan logistik mereka.

Pengkaji dan peneliti terorisme mendapati ideologi ekstrem ini sudah wujud dan hidup sejak dulu hingga kini. Dari semasa ke semasa aktiviti mereka semakin canggih melalui pembentukan organisasi terancang dan turut menggunakan alat-alat teknologi dan komunikasi (ICT) canggih.

Apakah pengertian dan bentuk-bentuk terorisme itu? Sememangnya sukar untuk mendefinisikan erti terorisme secara tepat kerana ia berkaitan pelbagai aspek sosiologi, psikologi, politik dan kriminologi. Terorisme juga sering dikaitkan dengan tindakan-tindakan ganas (‘teror’), kekerasan, ekstrimisme dan intimidasi.

Secara umumnya, pengertian terorisme adalah perlakuan ‘keganasan’ yang dilakukan secara terancang oleh kumpulan pengganas dengan tujuan untuk menimbulkan ketakutan dan ketidaktenteraman awam.

Perlakuan terorisme melibatkan cara berfikir dan bertindak yang menggunakan kekerasan sebagai teknik untuk mencapai tujuan. Terorisme sebagai fahaman yang dicirikan atau diidentifikasikan dengan keganasan menimbulkan kesan negatif terhadap kemanusiaan kerana akibat dari aktiviti dan tindakan terorisme sering memakan korban kemanusiaan dan kehancuran harta benda yang tidak terhitung.

Malah, ia meninggalkan kesan psikologi seperti trauma yang cukup mendalam kepada mangsa. Ancaman terorisme adalah satu bentuk kejahatan kemanusiaan yang terus membayangi dan menghantui masyarakat dunia. Justeru, UN World Summit Outcome Document 2005 menyebut negara-negara anggota telah senada mengutuk terorisme dan menyatakan bahawa terorisme merupakan salah satu ancaman paling serius bagi perdamaian dan keamanan antarabangsa dewasa ini.

Mengenai bentuk-bentuk terorisme, pengkaji Barat seperti David C Rapoport (1989) membahagi ‘teror’ (keganasan) kepada dua bentuk, iaitu ‘keganasan suci’ dan ‘keganasan sekular’. ‘Keganasan suci’ adalah keganasan keagamaan (religious ). ‘Keganasan sekular’ pula ada dua iaitu ‘keganasan negara’ (state terror) dan ‘keganasan pemberontakan’ (rebel terror).

Kedua-dua keganasan sekular itu lebih merupakan tindakan keganasan yang didorong oleh tujuan politik dan kekuasaan. Biasanya, keganasan sekular akan mendapat simpati dan sokongan selagi ia memiliki semangat kerakyatan atau agenda politik tertentu. Ia lebih banyak berkisar pada usaha merebut kekuasaan sehingga kepentingan yang terlihat bersifat elitis.
‘Keganasan suci’ pula didorong kuat oleh kefahaman yang salah terhadap nilai-nilai keagamaan yang diyakini dan diimani. Dalam bingkai tujuan keagamaan inilah keganasan suci menumbuhkan dogmatisme yang mendalam di kalangan pengikutnya sehingga sanggup mati dengan melakukan tindakan-tindakan ekstrem seperti ‘bom bunuh diri’.

Apakah sebenarnya motif perjuangan terorisme? Pada hakikatnya perjuangan kelompok teroris sukar difahami. Namun, kajian dan siasatan mendapati bahawa terorisme menjadikan tindakan keganasan sebagai satu-satunya cara mencapai tujuan politik atau menjayakan sesuatu ideologi. Di mata pengganas, dilema politik dan konflik hanya dapat diselesaikan dengan keganasan.

Hakikatnya, perjuangan mereka penuh kekeliruan, kecelaruan dan seringkali berasaskan tafsiran yang menyimpang daripada ajaran agama. Sama ada mereka itu datang dari kalangan penganut Islam atau kumpulan teroris daripada agama lain.

Dari segi pergerakannya pula, terorisme bergerak dalam pelbagai bentuk, iaitu dari organisasi bawah tanah, pergerakan marginal dan melalui pelbagai kelompok ideologi radikal yang kadang-kadang dinamakan atas perjuangan agama dan ‘bangsa’. Ada gerakakan terorisme itu berasakan kepada pemujaan dan pendewaan terhadap seorang pemimpin yang disucikan.

Ada juga terorisme yang dilakukan atas kepentingan agenda dan perjuangan politik untuk memperjuangkan autonomi wilayah tertentu. Misalnya, Tentera Republik Ireland (IRA) yang berjuang untuk kemerdekaan Ireland telah melakukan serangan yang mengakibatkan kematian lebih dari 3,200 jiwa. Demikian juga perjuangan LTTE di Sri Lanka juga adalah contoh jelas yang boleh diketengahkan.

Ada juga terorisme yang ditegakkan atas nama pembinaan negara. Kes paling nyata dalam terorisme jenis ini ialah kewujudan negara haram Zionis-Israel sejak tahun 1948 hingga kini. Zionis-Israel telah melalukan banyak siri serangan ganas yang sehingga kini sudah mengorbankan ratusan ribu nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa. Ia adalah satu bentuk ‘keganasan suci’ yang dibangunkan di atas dogmatisme keagamaan yang melampau.

Apakah wujud jaringan terorisme antarabangsa? Terorisme pada abad ini mempunyai jaringan luas sehingga mampu mengancam keamanan antarabangsa. Menurut Adnan Oktar atau nama penanya Harun Yahya, wujud hampir 500 kelompok pengganas di dunia dan ada di antaranya mempunyai jaringan global (antarabangsa).

Apa yang disebut Harun Yahya itu ada kebenarannya kerana aktiviti terorisme berlaku di banyak negara seperti Amerika Syarikat (AS), Uganda, Angola, Nigeria, Britain, Perancis, Sepanyol, Jepun, Timur Tengah, Amerika Latin. Malah, jaringan terorisme juga muncul di kawasan Asia Tenggara dan sekitarnya.

Di Asia Tenggara, Indonesia adalah negara yang paling kerap mengalami insiden letupan oleh kumpulan pengganas yang mengorbankan banyak nyawa dan merosakkan harta benda yang bukan sedikit jumlahnya.

Rakyat perlu memahami apakah bahayanya terorisme itu. Bagi negara yang terdedah kepada ancaman terorisme maka keamanan nasional boleh terancam sehingga ke tahap yang kritikal. Yang nyata, kesan buruk daripada aktiviti terorisme menyebabkan kehidupan masyarakat menjadi terganggu. Ia mengocak dan mengganggu ketenteraman awam serta mengancam keselamatan jiwa dan harta benda.

Paling dibimbangi dan digeruni ialah kecenderungan mereka menggunakan senjata canggih dalam serangan yang dilakukan. Kedahsyatan dan kengerian tindakan pengganas dapat meninggalkan trauma yang berpanjangan kepada mangsa. Apa tidaknya, hanya dengan satu letupan atau ledakan bom berani mati akan mengakibatkan manusia tanpa mengira dewasa, orang tua atau kanak-kanak, lelaki atau wanita akan mengalami kematian atau kecederaan parah serta memusnahkan bangunan dan harta benda hancur berkecai sekelip mata.

Ajaran Islam menolak sama sekali ideologi yang bersifat ekstrem seperti ini. Islam adalah agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam tidak mengizinkan sama sekali tindakan dan perlakuan keganasan atas nama agama. Ia adalah tindakan mungkar yang mesti dicegah sedaya upaya. Dari sudut pandangan fikah Islam, terorisme termasuk dalam unsur ‘hirabah’ atau perlakuan ganas.

Islam hanya mengenal jihad. Pengertian ‘jihad’ pula harus difahami dengan tepat. Ia mengandungi beberapa pengertian yang khusus.

Pertama, jihad bermaksud menggunakan segala usaha dan upaya sepenuh tenaga serta kesediaan untuk menanggung kesulitan dalam memerangi dan menahan ancaman (serangan) musuh dalam apa jua bentuknya. Jihad dalam pengertian ini juga disebut qital atau al-harb (al-Hajj: 39).

Kedua, jihad juga membawa maksud segala usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan untuk menjaga dan meninggikan agama Allah. Terorisme memiliki ciri meruntuh, memusnah, merosak dan bersifat anarkis dengan tujuan untuk menimbulkan rasa ketakutan atau menghancurkan pihak lain. Tindakannya dilakukan tanpa peraturan dan sasaran tanpa batas.

Sebaliknya, jihad dilakukan secara berpatutan seperti yang ditentukan oleh syariat sekalipun dengan cara peperangan. Sasaran musuhnya jelas dan nyata dan tujuannya adalah menegakkan agama Allah dan membela hak-hak mereka yang dizalimi.

Dalam peperangan, Islam melarang membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua dan mereka yang tidak berdaya serta dilarang membakar ladang tanaman, menceroboh rumah-rumah ibadat termasuk membunuh musuh yang berlindung di dalam rumah ibadat mereka.

- Utusan, 17/6/2010