Memahami rasional MEB dilaksanakan
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
Empat tonggak ke arah mentransformasikan negara telah digariskan di bawah pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Tiga daripadanya sudah pun diumumkan iaitu konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Program Transformasi Kerajaan (PTK) dan Model Ekonomi Baru (MEB). Tinggal satu tonggak lagi yang akan digaris dan diumumkan, iaitu Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) 2011-2015. RMK-10 dijangka akan diumumkan pada pertengahan tahun ini.
Konsep atau gagasan 1Malaysia adalah untuk menyatupadukan semua rakyat Malaysia bagi menghadapi cabaran yang mendatang yang semakin kompleks sifatnya. PTK adalah bertujuan untuk memantapkan perkhidmatan awam dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Result Areas, NKRA). MEB pula bertujuan melonjakkan Malaysia ke arah status negara maju berpendapatan tinggi sejajar dengan matlamat Wawasan 2020.
RMK-10 akan menyasarkan pertumbuhan makroekonomi melalui pelbagai perancangan ekonomi yang pastinya akan mendukung MEB. Keempat-empat tonggak terbabit akan bertindak dan bergerak sebagai satu rangka kerja bersepadu ke arah transformasi ekonomi, sosial dan pentadbiran kerajaan bagi hasrat mencapai ciri-ciri sebuah negara maju pada tahun 2020 nanti.
MEB yang dilancarkan pada 30 Mac lalu akan dicapai melalui Program Transformasi Ekonomi (PTE) yang mengandungi lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS). PTE akan menjadi asas untuk mengemudi atau memandu langkah dasar yang relevan bagi MEB. Lapan IPS yang dimaksudkan itu adalah; IPS1: menyuburkan kembali sektor swasta; IPS 2: membangun tenaga kerja berkualiti dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing; IPS3: mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing; IPS4: mengukuhkan sektor awam; IPS5: tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran; IPS6: membina infrastruktur berasaskan pengetahuan; IPS7: meningkatkan sumber pertumbuhan dan IPS8: memastikan kebolehmampanan pertumbuhan.
Mengapa MEB dilaksanakan? Inilah persoalan yang perlu difahami oleh rakyat. Untuk menjawabnya kita memerlukan sedikit pemahaman mengenai senario ekonomi negara. Lima puluh tahun lalu model pertumbuhan ekonomi kita telah berjaya meletakkan negara dalam status negara berpendapatan sederhana. Kita berada dalam kelompok negara membangun. Ekonomi kita adalah terbuka. Sifat keterbukaan ekonomi ini membolehkan kita menarik banyak pelaburan dari luar (FDI).
Ekonomi kita membangun dan berkembang dengan baik dan kita menjadi pengeksport utama di peringkat global. Struktur eksport negara tertumpu kebanyakannya pada produk elektrik dan elektronik (E&E) dan pada komoditi utama, seperti petroleum dan minyak sawit. Melalui kemakmuran ekonomi, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara sejak merdeka lagi telah berjaya menyediakan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia, menyedia kemudahan kesihatan dan pendidikan berkualiti untuk rakyat.
Kerajaan juga berjaya membangun teknologi moden dan prasarana teknologi maklumat (ICT) yang membolehkan rakyat mendapat akses yang luas kepada teknologi moden termasuk teknologi maklumat. Kita juga berjaya membasmi sebahagian besar kemiskinan sehingga ramai yang dapat hidup dalam lingkungan berpendapatan sederhana. Namun, 40% daripada isi rumah Malaysia masih memperolehi pendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.
Jurang perbezaan ekonomi yang meluas di Sabah dan Sarawak serta di kawasan luar bandar di Semenanjung masih lagi ketara. Ketaksamaan pendapatan ini perlu diatasi segera supaya hasrat murni kerajaan untuk memastikan setiap rakyat menikmati kemakmuran ekonomi negara akan tercapai.
Pengalaman kita menunjukkan bahawa ekonomi negara yang bergantung pada pasaran luar mudah tergugat seperti yang dialami dalam beberapa episod krisis kewangan yang lalu dan juga yang sedang berlaku hari ini. Hari ini, ekonomi kita berkembang dengan perlahan sementara FDI semakin merosot. Negara telah kehilangan daya saing menyebabkan kedudukan kita sebagai peneraju ekonomi di rantau ini semakin terhakis. Ini berlaku sejak krisis kewangan Asia tahun 1997-1998.
Pihak swasta yang sepatutnya memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negara juga semakin kurang menggalakkan. Salah satu faktor yang mempengaruhi kemerosotan penyertaan swasta ialah penyertaan aktif Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam beberapa industri menyebabkan mereka sukar memainkan peranan. Kesulitan ini ditambah lagi dengan prosedur birokrasi yang rumit, lembap dan memakan masa serta mengandungi unsur-unsur rasuah.
Sumbangan pekerja mahir masih merosot merentasi industri kesan daripada kegagalan kebanyakan majikan membayar upah yang berpatutan untuk pekerja berkemahiran tinggi. Kebanyakan majikan di negara ini bergantung pada bekalan pekerja asing tidak mahir. Keadaan ini mendorong penghijrahan keluar rakyat kita yang mahir dengan pesat dan pantas sehingga meletakkan situasi modal insan kini sampai ke tahap yang kritikal. Kesannya, kita kehilangan daya saing serta gagal menjanakan keuntungan daripada pengeluaran produk dan perkhidmatan yang berkualiti. Laporan Global Competitiveness Index tahun 2010 melaporkan kedudukan kita telah jatuh ke nombor 24 dari kedudukan nombor 21 sebelumnya.
Pertumbuhan produktiviti yang lemah juga menggambarkan bahawa negara masih kurang dari segi kreativiti dan inovasi, terutama inovasi dalam sektor perindustrian dan sektor eksport. Pada masa yang sama sistem pendidikan kita tidak menghasilkan kemahiran yang dikehendaki oleh industri dan pasaran. Harus dimengerti bahawa globalisasi yang skopnya lebih menekankan kepada globalisasi ekonomi (pensejagatan ekonomi) telah mewujudkan persaingan yang sengit untuk mendapatkan modal insan berpengetahuan (k-ekonomi) dan berkemahiran tinggi serta memiliki elemen inovasi dan kreativiti telah memaksa syarikat dan kerajaan perlu memiliki golongan ini.
Justeru, untuk bersaing di peringkat serantau dan global maka negara mesti membangunkan modal insan yang menepati kehendak semasa. Yang jelas, sejak menduduki kerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib memikul tanggungjawab berat dalam memulihkan ekonomi negara. Corak dan perkembangan ekonomi dunia yang bersifat dinamik dengan saingan yang semakin sengit, kepantasan pemain-pemain global meneroka bidang-bidang baharu dalam samudera ekonomi yang semakin menekankan inovasi dan kreativiti serta kerencaman sistem kewangan dunia yang dikuasai oleh para kapitalis dari dunia Barat serta pengaruh-pengaruh politik dalam dunia ekonomi global menuntut kita melakukan perubahan radikal tanpa berlengah lagi.
Langkah melakukan perubahan radikal penting supaya pembangunan ekonomi akan terus mampan dalam jangka panjang dan membolehkan negara meraih status negara berpendapatan tinggi di mana rakyat dapat menikmati hasil kemakmuran ekonomi. Justeru, MEB lahir sebagai menyahut cabaran-cabaran baru dalam dunia ekonomi global hari ini. Dasar dan strategi membangun pertumbuhan ekonomi negara perlu berubah supaya pembangunan ekonomi akan terus mampan dalam jangka panjang dan dinikmati oleh setiap rakyat serta membolehkan Malaysia meraih status negara berpendapatan tinggi.
Jika tidak, kita akan terus ketinggalan dan terus berada dalam kategori negara berpendapatan sederhana sedangkan negara-negara seperti Korea Selatan, Singapura dan Hong Kong sudah mencapai tahap negara berpendapatan tinggi. Jumlah pendapatan per kapita Korea Selatan ialah AS$ 16,400 (RM54,499), Singapura AS$ 34,346 (RM113,685) dan Hong Kong AS$29,559 (RM97,840). Kedudukan per kapita kita adalah AS$7,469 (RM24,722). Harapan kita ialah dalam masa sepuluh tahun dari sekarang kita akan mampu melonjakkan per kapita rakyat kepada AS$15,000 (RM49,000) menjelang 2020 nanti.
MEB diyakini akan menjadi pemangkin untuk menjana dan membebaskan potensi pertumbuhan Malaysia dari kekangan yang dihadapi. Program Transformasi Ekonomi (PTE) dibentuk untuk mengerakkan Malaysia ke hadapan, keluar daripada keadaan lembap sekarang supaya dapat menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. Lapan IPS yang digariskan di bawah MEB akan menjadi asas bagi menjalankan perniagaan di Malaysia dengan keupayaan mengerakkan semula sektor swasta supaya menjadi aktif dan memberikan sumbangan penuh kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Walaupun sektor swasta diberi ruang yang luas setelah kerajaan melepaskan pegangan Khazanah Nasional dalam beberapa entiti, namun MEB mempunyai matlamat yang luas. Pendekatan MEB adalah bersifat holistik, bukan sekadar merangsang pertumbuhan dan menarik pelaburan swasta tetapi MEB turut memfokus kepada aspek pembangunan insan. Matlamat MEB sangat jelas iaitu menjadikan negara berpendapatan tinggi dengan ciri sasaran AS$15,000-20,000 per kapita pada tahun 2020.
Ada dua komponen utama dalam mencapai matlamat MEB itu. Komponen pertama ialah keterangkuman. Keterangkuman bertujuan memastikan bahawa tiada kumpulan yang akan dipinggirkan dan keperluan asas rakyat akan dipenuhi. Matlamat ini penting ke arah merealisasikan aspek keadilan sosial sebagai salah satu teras perpaduan di bawah gagasan 1Malaysia dan matlamat ini sekali gus dapat memupuk perasaan kekitaan. Keterangkuman akan membolehkan semua komuniti menyumbang dan berkongsi kekayaan negara.
Komponen kedua ialah kebolehmampanan yang bertujuan memastikan semua langkah dan saranan yang diutarakan di bawah MEB mestilah mampan dari segi ekonomi dan alam sekitar. Segala keputusan pelaburan dan dasar di bawah MEB hanya akan dibuat setelah diteliti dan dipertimbangkan keseluruhan impak jangka panjang terhadap masyarakat, ekonomi dan alam sekitar.
Konsep ‘KDNK Hijau’ akan digunakan untuk membuat penilaian mengenai impak pertumbuhan terhadap alam sekitar dan pembentukan langkah yang sesuai bagi menangani masalah alam sekitar. Sebelum ini, pengukuran KDNK konvensional bagi pertumbuhan ekonomi tidak mengambil kira kos terhadap masyarakat yang timbul akibat kemerosotan alam sekitar.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment