Sunday, December 26, 2010

'Pluralisme agama' keliru lagi mengelirukan

Oleh Mohd. Ayop Abd Razid

Sebelum kita memahami apa yang dimaksudkan dengan pluralisme agama adalah baik kita memahami dua perkataan yang sering disalah faham dalam konteks memahami 'pluralism agama'. Dua perkataan yang saya maksudkan itu ialah’ plurality(‘ pluralitas) dan 'pluralism'.
-
Perkara ini dijelaskan oleh Profesor Datuk Dr. Datuk Osman Bakar dalam ucaptamanya di Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah yang bertemakan "Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah".
-
Menurutnya, plurality adalah sifat sesuatu keadaan yang di dalam bahasa Melayu disebut 'kepelbagaian' atau 'kemajmukan'. Misalnya masyarakat kita adalah masyarakat yang bersifat majmuk dengan pelbagai etnik, kaum, agama, bahasa dan anutan agama.
-
Konsep kemajmukan ini disebut di dalam al-Quran sebagai masyarakat manusia (bani Adam) yang diciptakan dari pelbagai warna kulit dan keturunan dengan tujuan untuk saling kenal mengenali (al-Hujuraat:13). Sebaliknya apabila disebut pluralism maka ia sudah merupakan satu fahaman atau ideologi tersendiri yang memiliki doktrin-doktrin yang tertentu.
-
Justeru, apabila disebut pluralisme agama di dalam rencana ini maka ia merujuk kepada satu fahaman atau ideologi yang memiliki doktrin-doktrin tertentu. Apa maksudnya pluralisme agama?
-
Pluralisme agama adalah fahaman yang mengajar semua agama adalah sama kerana menganggap setiap agama bersifat relatif dan nisbi kebenarannya.
Mereka mendukung kesamarataan agama yang di dalam bahasa Inggeris disebut Transcendent Unity of Religions.
-
Fahaman ini telah dikembangkan oleh sekelompok pemikir Kristian seperti Raimundo Panikkar (Pastor Khatolik kelahiran Sepanyol), Wilfred Cantwell Smith (pengasas Institute of Islamic Studies di McGill University Canada), Frithof Schuon (bekas Kristian yang keluar masuk pelbagai agama) dan John Hick (Profesor teologi di Claremont School California AS).
-
Peter Byrne, Profesor di King's College London menyebut bahawa pluralisme agama adalah adunan tiga tesis iaitu: semua agama besar di dunia adalah sama; semua agama itu menawarkan jalan keselamatan, dan semua agama terbuka untuk dikritik dan ditinjau kembali.
-
John Hick menganggap bahawa agama-agama besar dunia adalah satu, iaitu "Hakikat Ultimate yang Tunggal" (The Ultimate Reality) dan Tuhan mempunyai pelbagai nama.
-
Doktrin beliau itu mencerminkan bahawa kewujudan agama yang beragam pada hakikatnya adalah memiliki manhaj yang sama dan autentik untuk membawa manusia ke jalan keselamatan (salvation).
-
Justeru, semua agama yang ada adalah authentic manifestations of the Real, dan tidak ada satu agama pun yang berhak mendakwa agamanya satu-satu yang benar dan satu-satunya jalan menuju keselamatan.
-
Implikasi dari fahaman ini ialah setiap agama tidak boleh mendakwa bahawa agamanya sahaja yang benar secara mutlak kerana menurut mereka setiap agama berkongsi sebahagian kebenaran (partial truth). Bagi mereka kebenaran yang mutlak hanya ada pada 'Hakikat Ultimate Reality'.
-
Pendukung fahaman ini mendakwa bahawa pluralisme agama adalah jalan penyelesaian terhadap konflik antara agama.'
-
Justeru, tokoh seperti Paul Knitter, pakar teologi Kristian Pluralis menyebut, pluralisme berkeinginan untuk melahirkan dialog yang jujur dan terbuka sehingga seluruh pemeluk agama dapat bekerjasama memperbaiki jalan kehidupan manusia.
-
Di Indonesia, wujud kelompok 'Islam Liberal' yang menerima fahaman 'pluralisme agama' ini. Ia telah berkembang subur melalui pelbagai medium seperti wacana, seminar, dialog, penerbitan buku dan jurnal.
-
Malah, ada usaha untuk mengubah kurikulum pendidikan Islam ke arah Pendidikan Islam Pluralis.
-
Apakah pendirian yang harus dipegang oleh kita? Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady dalam wacana tersebut mengingat umat Islam supaya berpegang kepada wacana Sunni (Ahlissunnah) yang merupakan aliran arus perdana yang berpegang kepada al-Quran, Hadis dan Ijmak.
-
Menurutnya pluralisme agama terletak atas sangkaan pandangan yang bercanggah dengan Quran, Sunah dan Ijmak.
-
Al-Quran datang sebagai petunjuk kepada manusia dan al-Quran sendiri menegaskan bahawa agama yang diterima di sisi Allah adalah al-Islam, iaitu Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Tidak ada paksaan ke atas manusia kufur untuk memeluk Islam.
-
Apa yang penting dalam konteks hidup bermasyarakat kita perlu menghormati nilai-nilai yang baik yang ada pada sistem kepercayaan masing-masing sebagaimana Muslim dan Yahudi serta Kristian hidup secara harmoni dalam zaman kemuncak Islam di Andalusia.
Utusan 17/12/2010

Wednesday, December 15, 2010

Memahami kedudukan dan fungsi institusi Raja di sisi perlembagaan
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Sistem politik dan pemerintahan tradisi Melayu meletakkan raja atau sultan sebagai pemerintah tertinggi yang diberikan sepenuh ketaatan dan kesetiaan. Sistem ini berlangsung berabad lamanya. Ketika berlangsungnya penjajahn British di Tanah Melayu, Raja-raja Melayu masih lagi mempunyai kuasa untuk hal-hal tertentu bagi negeri masing-masing. Kedudukan raja-raja masih dianggap berdaulat ketika itu.

Apabila perlembagaan moden Persekutuan Tanah Melayu digubal oleh British, pengiktirafan terhadap kepentingan sistem beraja tetap diambil kira dengan meletakkannya sebagai Raja berpelembagaan. Ia menjadi sebahagian elemen penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut Tun Salleh Abbas (1997), apabila kemerdekaan diberikan kepada Tanah Melayu, institusi beraja dikekalkan dengan beberapa pindaan untuk disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan.

Ia sekali gus melambangkan bahawa Raja-raja Melayu merupakan kesinambungan sejarah dan warisan negara.Kewujudan institusi Raja menjadi sebahagian daripada identiti negara dan ia dilindungi oleh perlembagaan. Ia disebut di dalam Perkara 159(5) yang menjelaskan bahawa tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Perkara 71 pula menjamin hak seseorang raja dalam negeri baginda untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan. Demikian juga Perkara 38(4) menyebut bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Institusi raja dianggap penting dalam menjamin kestabilan negara kerana ia menjadi ”payung negara” - menaungi seluruh rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan kepercayaan agama. Ini adalah selari dengan Perkara 32 (1) yang meletakkan kedudukan baginda sebagai ’Ketua Negara’ Namun,selari dengan kedudukannya sebagai Raja berperlembagaan, maka baginda perlu mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri (Perkara 39 dan 40).

Bagi orang Melayu institusi Raja berpelembagaan dengan fungsi-fungsinya yang tertentu penting bagi ’survival’ orang-orang Melayu. Ini dapat difahami di dalam Perkara 153 di mana ia meletakkan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk melindungi dan memelihara kedudukan istemewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Ia termaktub di bawah klausa (2) Perkara 153.

Berdasarkan Perkara 153, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan.

Sayugia difahami bahawa peruntukan 153 tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-raja seperti yang digariskan di bawah Perkara 159(5). Selain itu, kedudukan istimewa orang Melayu juga terkandung dalam Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu. Demikian juga pasukan Rejimen Askar Melayu hanya boleh dianggotai oleh orang Melayu sahaja sebagaimana dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f) .

Di dalam Perlembagaan Negeri-negeri yang memiliki raja pula menetapkan Raja-raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu hendaklah orang Melayu dan oleh kerana itu ianya orang Islam. Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong yang dipilih daripada kalangan Raja-Raja Melayu itu juga adalah seorang Melayu dan beragama Islam. Justeru, institusi raja turut melambangkan kedaulatan dan kuasa Islam di negara ini.

Hal ini dapat difahami di dalam Perkara 3(2) yang menjelaskan bahawa tiap-tiap negeri dalam persekutuan, kecuali Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, Raja atau Sultan adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri melayu terbabit. Peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan pula mengisytiharkan bahawa “Islam adalah agama bagi persekutuan”. Perkara 11(4) memperuntukkan bahawa Negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang bukan Islam menyebarkan diayah agama mereka kepada orang Islam.

Perkara 12(2) memberikan kebebasan, kuasa dan keistimewaan kepada kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menubuhkan, menyelenggara atau membantu penubuhan atau penyelenggaraan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan untuk mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk tujuan itu.

Selain itu, Perkara 41 meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, manakala Perkara 44 menyatakan bahawa baginda merupakan salah satu unsur utama daripada tiga unsur utama parlimen. Perkara 55 (1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang dan, dalam klausa (2) pula menyebut baginda mempunyai kuasa istimewa untuk memberhentikan atau membubarkan Parlimen.

Selain itu, Perkara 150 (1) memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat sekiranya baginda berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.

Dari aspek ‘kekebalan’ raja pula, Yang Dipertuan Agong tidak boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah sekalipun. Perbicaraan ke atas baginda hanya boleh dijalankan dalam Mahkamah Khas (Perkara 181(2)). Tindakan pendakwaan pula tidak boleh dimulakan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau raja kecuali dengan keizinan Peguam negara sendiri (Perkara 183).

Kebanyakkan dari apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong itu telah disimpulkan di dalam tujuah wasiat Raja-raja Melayu yang disampaikan semasa Raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan semasa pembentukan Perlembagaan pada 5 ogos 1957.

Jika diteliti wasiat itu, maka kesemuanya ada peruntukannnya di dalam Perlembagaan Persekutuan. Wasiat pertama berhubung dengan menamakan bumi (negara) ini sebagai Persekutuan Tanah Melayu; wasiat kedua berkenaan tanah simpanan Melayu; wasiat ketiga berkenaan penubuhan rejim Askar Melayu; wasiat keempat mengenai jaminan Kerajaan dan Kedaulatan Raja-raja Melayu; wasiat kelima ialah Islam sebagai agama Persekutuan; wasiat keenam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan wasiat ketujuh pula ialah tanggunjawab Raja-raja Melayu melindungai keistimewaan orang-orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Kesimpulan, institusi Raja seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu pengiktirafan oleh pengubal perlembagaan tersebut yang memahami sejarah, warisan dan tradisi masyarakat dan kedaulatan politik Melayu.

Mereka memahami bahawa ”ketuanan Melayu” sudah pun mengakar lama dengan kewujudan kuasa-kuasa raja yang menjadi pemerintah di negeri-negeri Melayu, iaitu berabad-abad lamanya sebelum British bertapak di negara ini. Kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong, terutamanya dalam Perkara 153 adalah untuk memelihara ”kedaulatan Melayu”.

Catatan: Artikel ini tersiar di ruangan rencana Berita Harian 15 Dis.2010 dengan tajuk Institusi Raja Bukti konsep Ketuanan Melayu masih releven.

Saturday, December 11, 2010

Memartabatkan bahasa Melayu sebagai saluran penguasaan ilmu
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

"Pelaksanaan PPSMI dilihat gagal beri manfaat kepada pelajar, terutama di luar bandar"
-

USAHA menggerakkan pelaksanaan program memperkasakan Bahasa Malaysia dan Inggeris pada semua peringkat sekolah seperti kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini adalah selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan mulai 2012 bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
-
Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud mengembalikan kedudukan bahasa itu sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. Memperkasa bahasa Inggeris pula bermaksud usaha mempertingkat penguasaan bahasa itu melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan supaya pelajar benar-benar dapat menguasainya dengan baik.
-
Pengumuman pemansuhan PPSMI dan dasar MBMMBI dibuat selepas kerajaan mengkaji dan meneliti pelbagai aspek membabitkan keberkesanan pelaksanaan dasar itu. Kerajaan juga mengambil kira pelbagai pandangan cendekiawan serta pandangan umum mengenai pro dan kontra pelaksanaan PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003.
-
Contoh, tokoh bahasa yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hassan Ahmad, menyatakan PPSMI boleh melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Menurutnya, sebelum ini pelbagai bidang ilmu ditumpukan dalam bahasa Melayu termasuk dalam bidang sains dan matematik.
-
Bahasa Melayu juga pernah digunakan dengan meluas di pusat pengajian tinggi sehinggakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi sebuah universiti yang sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dibuktikan UKM apabila melahirkan ramai siswazah dalam bidang perubatan dan pelbagai bidang lain. Golongan profesional yang dilahirkan oleh UKM dengan pengantar bahasa Melayu turut mahir berbahasa Inggeris.
-
Peranan DBP yang menterjemahkan banyak buku dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk menerbit pelbagai jenis kamus, peristilahan dan buku glosari dalam semua bidang pengajian berjaya mengangkat keupayaan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
-
Menurut kajian Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pelaksanaan PPSMI didapati menjarakkan lagi jurang pencapaian sains dan matematik antara pelajar bandar dan luar bandar. Masih ramai guru PPSMI tidak menguasai bahasa Inggeris. Kebanyakan murid pula menunjukkan sikap pasif dan kurang ceria apabila kelas Sains dan Matematik berlangsung.
-
Majoriti murid, terutama di luar bandar takut bertanya soalan kerana tidak memahami pelajaran yang diajar. Hampir 50 peratus murid didapati tidak faham bahasa Inggeris. Kajian itu juga mendapati lebih 80 peratus murid Melayu sukar memahami pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Justeru, PPSMI dilihat gagal memberi manfaat kepada pelajar, khususnya di luar bandar.
-
Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, Kementerian Pelajaran perlu mengambil beberapa langkah secara teliti dan terancang. Misalnya, untuk menyediakan buku teks dalam bahasa Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit memerlukan jangka masa tertentu. Ini termasuk melantik panel penulis, penyediaan isi kandungan, panggilan tender dan akhirnya proses mencetak. Saya kira proses ini sudah pun berjalan kerana selepas berakhir 2011 nanti maka dasar baru itu akan dilaksanakan.
-
Kita juga perlu faham selain mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Melayu, pada masa sama kerajaan mahu memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Seperti disarankan pakar bahasa bahawa untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa itu perlu dipertingkatkan.
-
Oleh itu, kementerian perlu merancang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan berkesan. Justeru, kemampuan melahirkan guru bahasa Inggeris berkualiti amat penting supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa itu menjadi lebih berkesan, menarik dan bersifat pembelajaran yang menyeronokkan.
-
Langkah kerajaan mengambil lebih ramai guru bahasa Inggeris dari luar negara adalah usaha mengatasi masalah kepakaran guru dalam bahasa Inggeris. Saya yakin ia langkah sementara sebelum negara dapat melahirkan lebih ramai guru yang mahir dan pakar dalam pengajaran bahasa Inggeris.Kerajaan juga boleh mempertimbangkan pengambilan guru bahasa Inggeris yang sudah bersara tetapi masih mampu mengajar dengan berkesan.
-
Guru berpencen yang diambil semula ini perlu memiliki kesihatan yang baik dan didedahkan dengan teknik pembelajaran bahasa Inggeris yang terkini.Selain itu, penambahan peruntukan masa mengajar bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah serta Tingkatan Enam dan Matrikulasi, akan dapat memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
-
Langkah menjadikan makmal komputer di kebanyakan sekolah sebagai makmal bahasa pula akan dapat memantapkan dasar MBMMBI. Justeru, sekolah yang belum mempunyai kemudahan komputer, perlulah kerajaan segera menyediakannya.
-
Kesimpulan, dasar MBMMBI mampu mengembalikan semula kedudukan bahasa Melayu dalam pendidikan negara. Pada masa sama, dapat memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
-
Sumber : http : //www.bharian.com.my (BH 11/12/2010)

Monday, November 29, 2010

Prinsip kesederhanaan mampu wujudkan kesejahteraan sosial

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

ISLAM adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam. Sesuai dengan sifatnya itu, Islam menolak watak melampau (ekstremisme), sebaliknya menganjurkan watak pertengahan atau kesederhanaan (wasatiyyah) dalam kehidupan. Watak ekstreme (ghuluw) amat dilarang kerana ia menyalahi fitrah dan sifat kemanusiaan insan.

Penekanan Islam terhadap prinsip pertengahan ini selari dengan watak manusia sebagai makhluk sosial yang sentiasa berinteraksi dan berkomunikasi antara satu dengan lain merentasi sempadan etnik, agama serta budaya. Malah ditinjau dari aspek sosiologi Islam, penggunaan perkataan ‘annas’ (al-Baqarah:21) dan ‘al-Unas’ (Al-Isra:71) menggambarkan sifat manusia yang suka hidup bermasyarakat, berkelompok dan bersosial.

Dalam kehidupan bermasyarakat dan bersosial, pelbagai pertembungan kepentingan individu serta kelompok akan berlaku. Justeru, sikap kesederhanaan dalam bertindak amat diperlukan demi kesejahteraan masyarakat. Dari sikap pertengahan inilah akan melahirkan ciri-ciri kehidupan yang mulia seperti toleransi, persefahaman dan penerimaan. Ciri-ciri itu terkandung dalam konsep kesederhanaan yang diajarkan Islam.

Oleh kerana prinsip kesederhanaan menjadi dasar ajaran Islam maka di dalam al-Quran, umat Islam disebut sebagai ‘umatan wasatan’ (umat pertengahan) yang menjadi saksi kepada seluruh perbuatan manusia (al-Baqarah:143). Kepentingan dan implikasi daripada pengamalan prinsip wasatiyyah ini ialah ia akan mendorong tertegaknya keadilan sosial.

Istilah ‘adil’ itu sendiri berasal dari bahasa Arab, iaitu al-Adalah yang mempunyai persamaan maksud dengan ‘qist’ dan ‘wasath’ yang bermaksud ‘tengah’ atau ‘pertengahan’. Jika keadilan sosial dapat ditegakkan dalam masyarakat, akan terzahir kebaikan umum dalam masyarakat. Sikap wasatiyyah juga boleh mendorong seseorang berlaku adil terhadap musuhnya. Al-Quran menganggap keadilan yang diberi terhadap pihak lawan atau musuh akan menyebabkan seseorang itu lebih dekat kepada nilai takwa (al-Maidah:8).

Keadilan juga membawa maksud persamaan (musawah). Namun, ia tidak sama dengan keadilan seperti yang mahu ditegakkan oleh liberalisme, komunisme dan sosialisme. Dalam Islam, selain hak individu dipelihara tetapi hak sosial dan kemaslahatan umum juga perlu dijaga serta diambil kira. Justeru, dalam konteks pemerintah atau pentadbiran kerajaan, sesuatu dasar pembangunan yang dirangka oleh kerajaan perlu mengambil kira hal-hal mengenai kemaslahatan umum.

Dalam konteks ini, ia memerlukan toleransi sosial (toleransi kemasyarakatan) di kalangan pemimpin pelbagai kaum. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan dari 1970-1990 adalah satu contoh terbaik bagaimana toleransi sosial diamalkan di negara ini. Orang Melayu yang jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi dibela melalui DEB tanpa mendiskriminasikan kaum lain.

DEB bukan diputuskan kepemimpinan Melayu (UMNO) semata-mata tetapi digubal melalui permuafakatan politik Barisan Nasional (BN) di mana semua pemimpin pelbagai kaum dalam BN bersetuju dan menerimanya sebagai satu dasar ‘affarmative’ untuk membantu Melayu yang ketinggalan dalam bidang sosioekonomi ketika itu. Mereka menyedari kemunduran Melayu dalam bidang ekonomi akan menyebabkan berlakunya jurang sosial dalam masyarakat sekali gus boleh mencetuskan ketidakstabilan sosial.

Demikian juga pelbagai ‘kontrak sosial’ yang diterima pemimpin pelbagai kaum terdahulu menggambarkan prinsip kesederhanaan diterima dan diamalkan untuk membina negara bangsa yang kuat dan bersatu padu. Pemimpin terdahulu memahami, dalam masyarakat majmuk, kita bukan saja memerlukan toleransi agama malah perlu toleransi sosial.

Pendekatan ini yang diambil kerajaan sejak merdeka. Hari ini, di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan turut memberi fokus terhadap pembelaan kaum minoriti dan juga kaum tertentu yang ketinggalan dalam arus pembangunan sosio-ekonomi negara. Prinsip kesederhanaan menjadi roh dan inti pati gagasan 1Malaysia yang bertujuan memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.

Pengalaman mengamalkan konsep kesederhanaan sejak merdeka mendorong dan mencetuskan idea kepada Najib untuk memperjuangkannya di persada antara bangsa. Prinsip itu diketengahkan ketika beliau berucap di persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baru-baru ini.

Dalam ucapan itu, Najib memberi perspektif yang betul dan jelas kepada masyarakat global bahawa kesederhanaan adalah tonggak ajaran Islam dan asas kepada usaha memupuk persefahaman antara Islam dengan agama lain.

Kesimpulan, amalan kesederhanaan amat penting dalam mengemudi masyarakat majmuk di negara ini. Prinsip ini mampu mewujudkan keadaan masyarakat yang aman, tenteram, harmoni, makmur dan bersatu padu. -BH 30/11/2010

Tuesday, November 2, 2010



Sejarah bantu kita fahami akar umbi tamadun bangsa
Oleh Mohd Ayob Abd Razid
ayop_60@yahoo.com

Langkah jadi subjek wajib lulus pada 2013 bantu generasi muda nilai kemanusiaan, tingkat penghayatan patriotisme
-

SEJARAH adalah satu cabang ilmu yang berasal dari Yunani pada abad ke-5 Sebelum Masihi (SM). Karya yang mula-mula dianggap sebagai penulisan sejarah ialah Histories, ditulis oleh Herodotus yang dianggap sebagai 'bapa sejarah'. Karya Herodotus ini membawa maksud penyelidikan atau penyiasatan. Ia diterjemahkan oleh G Rawlinson dengan judul The Persians Wars. Buku terjemahan ini diterbitkan oleh The Modern Library, New York pada 1942.
-
Dalam bahasa lain, sejarah dikenali seperti berikut iaitu historia di negara Latin, history (Inggeris); storia (Itali), historie (Perancis), geschichte (Jerman), gescheiedenis (Belanda), shih (Cina), itihasa dan purana (Hindu) dan tarikh (Arab). Dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia disebut sejarah (syajarah) yang diambil daripada perkataan Arab ‘syajaratun’ yang bererti pohon, keturunan atau asal-usul.
-
Sejarah adalah berkaitan dengan perkara atau peristiwa yang sebenar sudah berlaku (Sir John Seely). Ia merakamkan pengalaman kehidupan manusia dalam masyarakat yang bertamadun (G Renier). R G Collingwood menganggap semua sejarah ialah sejarah pemikiran (idea manusia). Lewis Namier pula menyebut bahan atau mauduk yang menjadi perhatian sejarah ialah mengenai tindakan manusia sehingga mencetuskan peristiwa mengikut keadaan dan masa.
-
Islam sangat memberi perhatian terhadap sejarah. Misri A Muchsin dalam Filsafat Sejarah Islam (Ar-Ruzz Press, Jogjakarta, 2002) menyebut sekitar dua pertiga daripada keseluruhan ayat al-Quran memiliki nilai atau norma sejarah yang mana al-Quran berbicara mengenai perubahan dalam masyarakat yang sangat ditentukan oleh kebaikan dan kejahatan yang dilakukan oleh manusia. Dalam konteks ini, al-Quran berbicara sebab khusus terjadinya perpecahan sosial bangsa yang sudah terlalu jauh menyimpang daripada sendi kebenaran hakiki.
-
Sejarah sebagai satu ilmu memerlukan kepada penyiasatan dan penyelidikan mengenai peristiwa masa lampau berdasarkan bukti yang ditemui. Daripada bukti atau sumber itu, maka pentafsiran sejarah akan dilakukan oleh sejarawan. Jacob Burchharht menyebut bahawa sejarah ialah pentafsiran berdasarkan kepada sumber. Ini bermakna sejarah ialah pencarian untuk mendapatkan kebenaran, hakikat dan penujuan manusia (Arnold Toynbee).
-
Dalam konteks ini, Edward Carr menyebut bahawa sejarawan mempunyai dua tugas utama iaitu menyingkap fakta penting dan menyingkirkan fakta 'ahistoris' (bukan fakta sejarah). Sejarawan harus dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan (pembohongan) sumber sejarah. Ibnu Khaldun sangat tegas dalam perkara mengenai fakta sejarah. Beliau menegaskan sejarawan perlu melakukan dua perkara penting, iaitu memberi pemikiran mendalam terhadap berita mengenai sesuatu peristiwa dan membuat kajian terhadap kebenaran dan kejujuran penutur (pencerita) dan penulis berita itu.
-
Ilmu sejarah adalah ilmu yang menggunakan pendekatan ilmu sosial. Hasil daripada metodologi kajian sejarah itu membolehkan ahli sejarah melakukan interpretasi sejarah terhadap peristiwa yang dikaji. Interpretasi itu pula bergantung kepada dari segi mana sejarawan itu melihatnya, dimensi mana yang diperhatikan serta undur mana yang diungkapkannya. Misalnya, jika ia menggunakan pendekatan politikologis sudah pasti sejarawan itu akan meneliti atau menyoroti pertentangan kekuasaan, ideologi politik, struktur politik dan jenis pemerintahan serta kepemimpinan.
-
Yang pasti, dalam apa jua pendekatan yang digunakannya, pengkaji sejarah memerlukan pengetahuan mengenai konsep dan teori ilmu sosial seperti antropologi, sosiologi, geografi, politik, ekonomi, bahasa, kesusasteraan, falsafah dan ilmu sosial yang lain. Malah, dalam keadaan tertentu pengkaji sejarah memerlukan bantuan ilmu fizik dan kimia untuk membuat penilaian mengenai bahan berkaitan fosil, batu bata, bahan purba dan dokumen lama yang dikajinya itu.
-
Pada sekitar 1920-an, ahli sejarah Perancis yang terdiri daripada aliran ‘Annales’ dianggap berjaya meletakkan ilmu sejarah sebagai ilmu bersifat saintifik dengan sempurna apabila berjaya menggunakan kaedah kuantitatif serta menghuraikan secara sahih peranan pelbagai faktor penyebab seperti geografi, struktur sosial dan pemikiran. Justeru, penulisan sejarah yang dihasilkan oleh ahli sejarah Annales telah memberikan satu nafas baru kepada pengajian ilmu sejarah dengan memperluaskan sudut pandangan ahli sejarah, baik dari segi ruang lingkup mahupun perkaedahan (R Suntharalingam, 1987).
-
Sebenarnya, bagi mereka yang membuat pengkhususan dalam pengajian sejarah, terlalu banyak cakupan ilmu sejarah yang perlu dikuasainya. Misalnya, seseorang penuntut atau pengkaji dalam pengkajian falsafah sejarah perlu memahami mengenai dasar dan persoalan falsafah sejarah, perkembangan pensejarahan (Timur dan Barat), perkembangan falsafah sejarah mengikut periodisasi, epistemologi sejarah, ontologi sejarah, teleologi sejarah, kosmologi sejarah, eskatologi sejarah, nomologi sejarah dan aksiologi sejarah.
-
Apakah fungsi sejarah? Apakah sejarah itu hanya dilihat sebagai satu nostalgia ataupun romantisisme yang digunakan sebagai satu pelarian seperti yang ditanggapi oleh orang yang bukan ahlinya. Ibnu Khaldun menyatakan bahawa ilmu sejarah adalah ilmu yang dikaji oleh pelbagai bangsa dan generasi untuk mengetahui mengenai kerajaan dan negara serta perubahan yang terjadi dalam sesuatu masyarakat itu.
-
Melalui sejarah, sesuatu bangsa itu dapat mengenali mengenai akar umbi serta jatuh bangunnya bangsa itu. Daripada peristiwa sejarah itu jugalah kita dapat memahami dan mengenali hukum sebab akibat daripada sesuatu peristiwa supaya boleh diambil pengajaran daripadanya. Nouruzzaman Shiddiqie dalam pengantar Sejarah Muslim (Nurcahaya, Yogyakarta, 1983) menyebut sejarah sebagai peristiwa masa lampau bukan sekadar memberi maklumat mengenai terjadinya peristiwa itu, tetapi juga memberi interpretasi atas peristiwa yang berlaku dengan melihat kepada hukum sebab akibat untuk dijadikan pengajaran.
-
Sejarah mampu memperteguhkan semangat dan ketahanan sesuatu bangsa dalam menghadapi krisis atau kekacauan dalam kehidupan semasa. Melalui pengalaman sejarah, ia dapat menyediakan arah garis tertentu serta membina keyakinan dan harapan masa depan yang lebih menyakinkan. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihasilkan di negara kita adalah didorong oleh pengalaman sejarah bangsa Melayu yang mengalami keterbelakangan dalam penyertaan ekonomi moden kesan daripada dasar yang diamalkan penjajah. Ia adalah berkaitan dengan kesan dan akibat daripada perjalanan sejarah kolonial di negara kita.
-
Bagi bangsa yang tidak memberikan perhatian kepada sejarahnya, ia akan kehilangan arah dan identiti kerana perilaku, pemikiran dan tindak tanduknya sudah tersasar dan terputus daripada sejarah akar umbi bangsanya. Hakikatnya, apabila kita meneliti negara dan masyarakat kita, maka kita dapati bahawa negara dan masyarakat kita yang wujud hari ini banyak dikenali melalui pelbagai simbol dan lembaga kenegaraan yang ada hubungannya dengan pensejarahan negara.
-
Justeru, sejarah nasional wajib menjadi sebahagian daripada unit sejarah dalam pengajian sejarah tanah air.
-
Pada hemat saya, sejarah tradisional tanah air mampu membawa kita mengenal akar umbi ketamadunan bangsa, manakala sejarah moden tanah air yang berkembang pada abad ke-19 dan 20 pula mampu memupuk semangat kita untuk meneruskan pembinaan negara bangsa yang mempunyai identiti dan jati diri yang kukuh.
-
Kita juga perlu memahami bahawa proses dan perjalanan sejarah tanah air tidak dapat dipisahkan daripada proses sejarah makro antarabangsa yang dalam keadaan, masa dan ruang tertentu turut mempengaruhi banyak aspek pensejarahan tanah air seperti aliran ideologi, politik, nasionalisme, perdagangan, kemasukan teknologi baru dan migrasi bangsa dari negara luar. Proses sejarah itu telah meninggalkan kesan yang cukup besar dalam proses pensejarahan negara.
-
Kesimpulan, pengajian sejarah akan menjadikan generasi kita memahami proses pembinaan negara bangsa, membangun intelektual, menghargai usaha dan sumbangan tokoh tanah air, membina nilai kemanusiaan serta membentuk warga negara yang patriotik. Melalui penghayatan terhadap pengalaman sejarah tanah air akan meningkatkan kesedaran, kepekaan dan semangat ingin membabitkan diri dalam proses pembinaan negara bangsa secara aktif dan produktif di atas penghayatan patriotisme yang tinggi terhadap tanah air.
-
Justeru, keputusan kerajaan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan Sejarah sebagai subjek teras di sekolah rendah mulai 2014 sangat dialu-alukan. - BH 1/11/2010

Thursday, October 28, 2010

Globalisasi ekonomi tuntut negara lakukan transformasi
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Globalisasi merupakan salah satu isu utama abad ke-21. Kesan globalisasi terhadap mana-mana negara adalah besar dan ia telah pun mula dirasai di negara kita. Apakah maksud globalisasi itu? Globalisasi adalah satu proses perubahan kesan daripada peningkatan pelbagai aktiviti manusia sejagat merentasi sempadan ‘geo-politik’ yang dipacu oleh kemajuan pesat teknologi maklumat di seluruh dunia.
-
Ini bermakna segala bentuk idea, kegiatan serta interaksi ekonomi, sosial dan politik berkembang tanpa mengambil kira persempadanan politik sesebuah negara. Kemajuan teknologi komunikasi dan pemerosesan maklumat menjadi semakin canggih membolehkan kita mengetahui segala peristiwa dan kejadian yang telah dan sedang berlaku di seluruh penjuru dunia dalam tempoh yang singkat sahaja.
-
Globalisasi dikatakan membawa pelbagai peluang kepada masyarakat dunia (negara). Namun, di sebalik itu timbul pelbagai cabaran yang harus dihadapi dan ditangani dengan bijaksana. Di antara ciri dan sifat utama globalisasi ialah persaingan, manakala bentuk globalisasi yang paling menonjol ialah globalisasi ekonomi. Perlu difahami bahawa kesan daripada globalisasi ekonomi ini menyebabkan batasan geografi dan sosial juga turut mengecil.
-
Bagi negara yang mahu terus maju maka ia harus bergiat aktif dengan melibatkan diri dalam keseluruhan ekonomi antarabangsa. Ini adalah jeranaglobalisasi ekonomi menjadikan persaingan, pengeluaran, kawalan pasaran, pengurusan, teknologi dan modal insan turut menjadi global. Proses ini menyebabkan faktor-faktor pengeluaran bergerak mudah merentasi sempadan geo-politik negara lantaran persempadanan pasaran dan ekonomi dunia yang semakin mengecil itu.
-
Semuanya ini mempunyai kesan terhadap pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara. Corak dan aliran ekonomi dunia hari ini mempamerkan suatu keadaan di mana wujudnya peningkatan terhadap pergantungan pasaran asing bagi pemasaran barangan domestik, pergerakan pesat aliran modal yang merentasi batasan geo-politik dan pergerakan migrasi buruh (modal insan) daripada sebuah negara ke negara yang lain.
-
Hakikatnya, globalisasi ekonomi menuntut kita melakukan perubahan berubah dari masa ke semasa. Negara perlu memiliki kelebihan bersaing (competitive edge) dalam pasaran antarabangsa. Daya saing kita mesti dipertingkatkan melalui pembangunan modal insan. Kepemimpinan dan pengurusan, sama ada di sektor awam atau pun swasta mestilah bersifat dinamik dan akomodatif. Ini penting bagi memastikan negara mampu berhadapan dengan cabaran persaingan ekonomi sejagat yang semakin meningkat.
-
Globalisasi dalam perdagangan antarabangsa juga memerlukan kita berinteraksi dengan pelbagai pihak dan pelbagai latar belakang budaya. Oleh itu, penguasaan dan kemahiran dalam bahasa-bahasa asing tertentu akan memberi kelebihan kepada kita untuk berpartisipasi dengan berkesan di arena antara bangsa. Negara seharusnya sedia membuat pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan pembangunan pengurusan. Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif merupakan aset penting buat negara.
-
Para pengurus dan pemimpin organisasi yang dinamik, bertenaga dan berwawasan pula mampu melonjak prestasi organisasi berasaskan standard atau piawai antarabangsa. Pengurus dan pemimpin yang memiliki ciri-ciri tersebut akan berupaya membina dan membangun suasana koporat yang dapat menggalakkan penghasilan yang berkualiti serta prestasi yang cemerlang. .
-
Rakyat juga mesti bersedia dan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam senario ekonomi dunia hari ini. Tiada mana-mana negara pun yang mampu mengasingkan diri daripada globalisasi ekonomi. Justeru, rangka pembangunan ekonomi nasional mestilah terus bersifat dinamik, kreatif dan inovatif bagi memastikan ekonomi negara dapat bertindak balas terhadap perubahan dan cabaran ekonomi global yang semakin kompetitif sifatnya.
-
Justeru, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) merupakan tindak balas kerajaan terhadap senario dan cabaran ekonomi global hari ini. Pelancaran Pelan Hala Tuju ETP yang dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada 25 Oktober lalu membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk membawa perubahan dan kemajuan ekonomi negara setanding dengan ekonomi negara-negara maju – negara maju berpendapatan tinggi.
-
Kesimpulan, kita perlu menyedari bahawa kejayaan atau kegagalan negara adalah bergantung kepada keupayaan dan kemampuan kita merencanakan agenda transformasi ekonomi dan pengurusan serta perkhidmatan yang dinamik dan peka kepada perkembangan domestik dan antarabangsa dapat menggerakkan organisasi ke satu tahap kecemerlangan melalui usaha-usaha konkrit bagi memupuk sikap yang positif ke arah budaya kerja dan pengurusan yang cemerlang.

Sunday, October 24, 2010

Bahaya jiwa Perlembagaan dicabuli

Oleh MOhd Ayop Abd Razid
-
APABILA meneliti Perlembagaan Persekutuan, kita dapati dalam perlembagaan wujud lima perkara asas yang tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan. Apakah lima perkara asas itu? Ia membabitkan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu termasuk pribumi Sabah dan Sarawak, hak kewarganegaraan, kedudukan agama Islam dan bahasa kebangsaan.
-
Mohd Foad Sakdan dalam bukunya Pengetahuan Asas Politik Malaysia (DBP, 1997) menyebut kelima-lima perkara asas itu sebagai politik perlembagaan yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan oleh Suruhanjaya Reid. Ia dimasukkan dalam Perlembagaan selepas berlakunya proses perundingan, permuafakatan atau kata sepakat secara kolektif di kalangan pemimpin pelbagai kaum di negara ini ketika itu.
-
Hakikatnya, kelima-lima perkara itu adalah satu bentuk kontrak sosial yang menjadi asas penting bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini. Menurut Dr Hassan Ahmad, dari segi kemanusiaannya, kontrak sosial yang dilaksanakan di negara ini tidak sedikit pun mendiskriminasikan kaum lain. Malah, ia memberikan asas penyelesaian masalah perkauman yang wujud hasil daripada penjajahan British.
-
Penerimaan terhadap kontrak sosial itu telah pun menjamin kestabilan politik dan perpaduan di negara ini. Oleh itu, usaha untuk mencabuli atau menghapuskan lima perkara asas itu boleh menimbulkan pelbagai sentimen termasuk perkauman yang boleh memecah-belahkan rakyat seterusnya menjerumuskan negara ini ke kancah kebinasaan.
-
Ia juga adalah satu bentuk kompromi politik atau politik permuafakatan di kalangan pemimpin terdahulu daripada UMNO, MCA dan MIC. Datuk Prof Dr Zainal Keling, melihat politik kompromi itu sebagai nilai tradisi permuafakatan dan kerjasama yang menjadi sebahagian daripada nilai hidup masyarakat Malaysia.
-
Pendekatan ini sangat berkesan kerana segala program perpaduan dan integrasi nasional dapat dilaksanakan dengan jaya. Malah segala perselisihan faham dapat diselesaikan di meja rundingan. Ini bermakna politik kompromi yang diamalkan selama ini berjaya membentuk politik persetiaan murni atau bargain formula antara tiga ras terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang berjaya memperkukuhkan struktur perpaduan negara.
-
Jika kita mengimbas kembali titik tolak bermulanya asas permuafakatan ini ialah apabila pada 1955 apabila Britain memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum pertama di Tanah Melayu. Pilihan raya itu merintis satu bentuk kerjasama parti politik yang mewakili tiga kaum utama yang diwakili oleh UMNO, MCA dan MIC. Mereka bersetuju menubuhkan gabungan parti politik yang dinamakan Perikatan (kini Barisan Nasional).
-
Perikatan mengemukakan manifesto yang mengandungi beberapa perkara penting yang mencerminkan tolak ansur, kompromi dan permuafakatan ketiga-tiga kaum terbabit. Antara perkara penting yang disentuh dalam manifesto Perikatan ialah mengenai politik di mana Perikatan berjanji akan menegak, mempertahan dan melindungi kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Berperlembagaan Negeri baginda masing-masing.
-
Untuk itu, Perikatan mendesak ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi meneliti pembaharuan perlembagaan yang berkait dengan kedudukan Raja-Raja Melayu dan kepentingan istimewa orang Melayu. Dalam perkara mengenai pelajaran, manifesto Perikatan bersetuju untuk mewujudkan satu jenis Sekolah Kebangsaan.
-
Mengenai bahasa pula, Perikatan bersetuju untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dianggap acuan untuk membentuk sebuah negara. Perikatan juga dalam manifestonya berjanji mendapatkan kemerdekaan negara dalam masa empat tahun.
-
Menurut Zainal Abidin Wahid (1971), pilihan raya umum pertama itu merekodkan 1,280,000 orang daripada 1,600,00 yang layak mengundi mendaftar sebagai pengundi. Pecahan peratusan kaum mereka yang mendaftar sebagai pengundi itu ialah Melayu 85 peratus, Cina 11 peratus dan kaum India kurang 5 peratus. Sebanyak 85 peratus daripada jumlah mereka yang mendaftar itu keluar untuk mengundi.
-
Perikatan meletakkan calon bagi semua 53 kerusi yang dipertandingkan. Perikatan akhirnya berjaya memenangi 52 kerusi, manakala satu kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Menariknya, calon bukan Melayu dari Perikatan yang bertanding di kawasan majoriti Melayu turut memenangi pilihan raya itu. Ini membuktikan betapa orang Melayu ketika itu sudah pun bersedia untuk menerima calon bukan Melayu di kawasan mereka.
-
Manifesto yang dikemukakan Perikatan itu juga jelas membuktikan betapa pemimpin pelbagai kaum itu sama-sama bersetuju dan memperjuangkan perkara mengenai warisan orang Melayu iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan agama Islam. Malah mereka turut sama menyetujui kepentingan satu jenis Sekolah Kebangsaan bagi kepentingan perpaduan.
-
Kelima-lima elemen politik perlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan kedudukannya kerana ia dilindungi oleh Perlembagaan. Justeru, kita bimbang melihat senario politik negara hari ini yang semakin tidak menghiraukan politik perlembagaan itu.
-
Perkara asas Perlembagaan Persekutuan itu dipertikai dan dipersenda malah dipolitikkan sewenang-wenangnya. Terbaru ialah pendedahan yang dibuat oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa sudah ada pihak mewujudkan perlembagaan baru yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang. Ia menandakan bahawa sudah ada kecenderungan pihak tertentu untuk mencabuli apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara. - BH 4/9/2010

Monday, October 18, 2010

Memahami maksud, tanggungjawab transformasi
Oleh Mohd Ayob Abd Razid - BH 18 Okt 2010


"Rakyat mesti bersama galas usaha jayakan pembangunan sejajar misi, visi pemimpin"
-

TRANSFORMASI menjadi agenda utama kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apa yang dimaksudkan dengan ‘transformasi’? Soalan ini sengaja dilontarkan kerana ramai tidak memahami erti transformasi, kabur istilahnya dan gagal memahami apa yang ingin dimaksudkan Perdana Menteri mengenai transformasi yang beliau bawa.
-
Jika mahu dihuraikan pengertian transformasi, kita perlu meneliti akar kata atau kata dasar yang membentuk perkataan itu. Istilah transformasi adalah daripada perkataan Inggeris iaitu transformation yang dibina daripada dua kata dasar iaitu trans dan form.
-
Trans bermaksud melintasi dari satu sisi ke sisi lainnya (across), atau melampaui (beyond), manakala kata form bererti bentuk. Jika istilah transformasi digunakan dalam bentuk kata kerja, maka kita menyebutnya sebagai mentransformasikan yang bermakna mengubah (rupa, bentuk, sifat dan fungsi) dan juga bererti mengalihkan.
-
Jelas, perkataan transformasi yang digunakan oleh kerajaan hari ini bukan istilah jargon yang tidak mempunyai makna signifikan terhadap kehidupan masyarakat dan negara. Ia mempunyai makna sangat luas.
-
Jika dikaitkan kepada perubahan sistem pentadbiran negara, maka kata transformasi itu merujuk perubahan dalam pembangunan nasional yang menjadi visi dan misi pemerintahan kerajaan pada hari ini. Ini bermakna transformasi mengandung makna perubahan yang biasanya menyebabkan perpindahan bentuk atau corak yang jelas. Ia berlaku secara terarah dan bertahap, bukan radikal tetapi tetap mengikut perancangan, malah ada jangka masanya.
-
Demikian, dalam usaha membangun dan menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 maka agenda transformasi menjadi sangat mendesak. Untuk memulakannya Najib terlebih dulu memperkenalkan Gagasan 1Malaysia menjadi asas dan landasan penting bagi menjayakan agenda itu.
-
Gagasan itu mendukung falsafah ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Slogan ini menjadi asas beberapa program transformasi kerajaan lain. Dalam bidang pentadbiran, Najib memperkenalkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), manakala dalam bidang ekonomi diperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).
-
Sambutan hari kemerdekaan tahun ini juga memakai tema ‘1Malaysia Menjana Transformasi’.
-
Usaha melaksanakan transformasi membabitkan seluruh rakyat. Ia bukan satu haluan transformasi yang mementingkan kelompok tertentu. Rakyat diberi harapan dan perubahan selari dengan objektif, maksud dan tujuan transformasi itu sendiri.
-
Satu lagi perkara perlu difahami ialah untuk menjayakan transformasi bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata. Rakyat sebagai aset modal insan harus membabitkan diri secara aktif dalam menjayakan transformasi nasional. Mereka harus didorong untuk memikul sama usaha menjayakan transformasi. Ia perlukan transformasi pola atau cara berfikir dan pola perilaku (budaya) rakyat untuk membentuk dinamisme perubahan yang diharapkan itu.
-
Masyarakat yang mempunyai kesedaran penuh terhadap sikap dan tindakan dirinya untuk menjayakan transformasi akan berupaya membentuk momentum transformasi yang memberangsangkan. Sebab itu, lapan nilai yang digariskan di bawah gagasan 1Malaysia adalah nilai yang harus dihayati rakyat supaya agenda transformasi dapat dilakukan dengan lancar dan efektif.
-
Lapan nilai itu ialah ketabahan, penerimaan, pendidikan, integriti, meritokrasi, rendah hati, kesetiaan, budaya kecemerlangan. Lapan nilai itu harus dapat merubah penampilan, sikap, paradigma, tingkah laku dan kebiasaan diri supaya daya tenaga masyarakat melonjakkan daya saing negara, terutama untuk menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020.
-
Justeru, sudah sampai masanya kita membentuk masyarakat yang inovatif, kreatif dan produktif. Elemen inovatif dan kreativiti harus menyerap dalam seluruh sistem masyarakat iaitu pentadbiran, ekonomi, pendidikan, pertahanan dan pelbagai sistem lain.
-


Jelas, makna transformasi terletak pada perubahan bentuk atau penampilan yang holistik supaya keberhasilan transformasi dapat menzahirkan impak yang berskala luas merangkumi seluruh sistem masyarakat itu.
-
Mungkin ini telahan penulis terhadap maksud kata-kata Najib: “Saya mengajak rakyat untuk sama-sama menjayakan transformasi besar ini”. Ia bukan dinamakan transformasi jika ia hanya sekadar membuat sedikit pembaikan atau perubahan dalam aspek tertentu. Apa yang nyata ialah agenda transformasi sangat diperlukan bagi menjayakan wawasan negara dan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi dapat dicapai sepenuhnya.

Monday, October 11, 2010

Ahli politik perlu hormati “politik perlembagaan”

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Di dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat beberapa perkara asas yang perlu dihormati oleh semua pihak di negara ini. Perkara-perkara asas tersebut ialah kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu termasuk Pribumi Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam dan Bahasa Kebangsaan. Perkara-perkara tersebut tidak boleh dipersoalkan atau dipertikaikan kerana ia termasuk perkara-perkara sensitif yang ditegah oleh perlembagaan.

Perkara-perkara tersebut merupakan manifestasi nilai-nilai budaya, sejarah dan ketamadunan negara. Mohd Foad Sakdan di dalam bukunya Pengetahuan Asas Politik Malaysia (DBP, 1997) menyebut perkara-perkara asas tersebut sebagai “politik perlembagaan” yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan setelah berlakunya proses perundingan dan permuafakatan secara kolektif di kalangan pemimpin pelbagai kaum. Perkara-perkara tersebut juga merupakan satu bentuk ‘kontrak sosial’ yang menjadi asas penting bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini.

Menurut Dr. Hassan Ahmad, dari segi kemanusiaannya kontrak sosial yang dilaksanakan di negara ini tidak sedikit pun mendiskriminasikan kaum-kaum lain. Malah, ia memberikan asas penyelesaian masalah perkauman yang wujud hasil daripada penjajahan British. Misalnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan peruntukan perlembagaan yang bertujuan mengimbangi kedudukan Melayu dengan kaum-kaum lain.

Penerimaan terhadap kontrak sosial itu telah menjamin kestabilan politik dan perpaduan di negara ini. Oleh itu, usaha untuk mempersoal, mencabuli atau menghapuskan perkara-perakara asas itu akan menimbulkan sentimen perkauman yang boleh memecah-belahkan rakyat dan menjerumuskan negara ini ke arah kehancuran.

Perlembagaan yang dibentuk itu juga melambangkan wujudnya satu bentuk ’kompromi politik’ atau ’politik permuafakatan’ di kalangan pemimpin terdahulu daripada UMNO, MCA dan MIC. Politik kompromi yang diamalkan selama ini telah berjaya membentuk politik ‘persetiaan murni’ antara kaum yang berjaya memperkukuhkan struktur perpaduan negara. Pendekatan ini telah terbukti dapat menyelesaikan segala perselisihan faham melalui meja rundingan
Prof. Dr. Zainal Keling melihat ‘politik kompromi’ sebagai nilai tradisi permuafakatan dan kerjasama yang menjadi sebahagian daripada nilai hidup masyarakat Malaysia. Jika kita mengimbas kembali titik tolak bermulanya asas permuafakatan murni tersebut ialah apabila pada tahun 1955 British memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum yang pertama di Tanah Melayu.

Pilihan raya ini telah merintis satu bentuk kerjasama parti politik yang mewakili tiga kaum utama ynag diwakili oleh UMNO-MCA-MIC. Mereka bersetuju menubuhkan gabungan parti politik ynag dinamakan Perikatan(kini BN). Perikatan telah mengemukakan ’manifesto’ yang mengandungi beberapa perkara penting yang mencerminkan tolak ansur, kompromi dan permuafakatan ketiga-kaum terbabit.

Di antara perkara penting yang disentuh dalam manifesto Perikatan itu ialah mereka berjanji akan menegak, mempertahan dan melindungi kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua berpelembagaan negeri baginda masing-masing. Untuk itu, Perikatan akan mendesak ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi meneliti pembaharuan perlembagaan yang berkait dengan kedudukan Raja-raja Melayu dan kepentingan istemewa orang Melayu.

Dalam perkara mengenai pelajaran pula, manifesto Perikatan bersetuju untuk mewujudkan satu jenis Sekolah Kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Selain itu, Perikatan juga bersetuju untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagi kaum di negara ini. Di dalam manifesto itu juga, Perikatan berjanji akan mendapatkan kemerdekaan negara dalam tempoh empat tahun.

Menurut sejarawan negara, Zainal Abidin Wahid (1971), Pilihan Raya Umum pertama itu merekodkan sebanyak 1,280,000 orang daripada 1,600,00 yang layak mengundi telah mendaftar sebagi pengundi. Pecahan peratusan kaum mereka yang mendaftar sebagai pengundi ialah Melayu 85 peratus, Cina 11 peratus dan kaum India kurang 5 peratus. Sebanyak 85 peratus daripada jumlah mereka yang mendaftar itu telah keluar untuk membuang undi.

Parti Perikatan telah meletakkan calon bagi kesemua 53 kerusi yang dipertandingkan. Perikatan akhirnya berjaya memenangi 52 kerusi, manakala satu kerusi lagi dimenangi oleh Pas. Menariknya, calon-calon bukan Melayu dari parti Perikatan yang bertanding di kawasan-kawasan majoriti Melayu turut memenangi pilihanraya itu. Ini membuktikan betapa orang Melayu ketika itu sudah pun bersedia untuk menerima calon-calon bukan melayu di kawasan mereka sebagai wakil rakyat.

Manifesto Perikatan itu jelas membuktikan betapa pemimpin pelbagai kaum itu telah bersetuju untuk memperjuangkan perkara-perkara yang berkaitan warisan orang Melayu iaitu kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan agama Islam. Malah mereka turut sama-sama menyetujui kepentingan mewujudkan sekolah kebangsaan yang memakai Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar demi kepentingan perpaduan rakyat di negara ini.

Hakikatnya, kelima-lima elemen ‘politik perlembagaan’ yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara itu tidak boleh dipersoalkan atau dipertikaikan kedudukannya kerana ia dilindungi oleh perlembagaan. Justeru, ucapan-ucapan yang mempertikai dan menghina serta usaha untuk merubah perkara-perkara tersebut boleh dianggap sebagai satu hasutan atau jenayah. Tindakan-tindakan seperti itu boleh memudaratkan ketenteraman awam dan kepentingan negara.

Di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya. Justeru, kita merasa bimbang melihat senario politik negara hari ini yang semakin tidak menghiraukan perkara-perkara asas Perlembagaan Persekutuan. Perkara-perkara asas perlembagaan tersebut telah mula dipertikaikan dan dipolitikkan sewenang-wenangnya.

Sudah ada mereka yang bersuara lantang menuntut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dihapuskan bagi memberi layanan sama rata di antara kaum di negara ini. Tidak berapa lama dulu Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pernah mendedahkan bahawa sudah ada pihak yang cuba mewujudkan perlembagaan baru yang mahu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Demikian juga sudah ada anak-anak muda yang berani mempertikai dan menghina perkara-perkara asas yang terkandung dalam Perlembagaan Negara. Kebanyakkan mereka menggunakan media siber sebagai salurannya.Sebenarnya keberanian mereka itu adalah hasil daripada ”kejahatan lidah-lidah” politikus tertentu yang bersifat anti-perlembagaan dan berhasrat mahu menghapuskan fasal-fasal penting tersebut. Anak-anak muda itu kebanyakannya jahil tentang perkara-perkara asas yang tidak boleh dipertikai atau dicabar di Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, ramai di kalangan mereka termakan ”racun” hasutan itu sehingga ada yang sanggup memperlekeh institusi Raja, kedudukan agama Islam serta mempertikai perkara-perkara berkaitan dengan fasal 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkembangan ini mesti dipantau rapi dan perlu ada tindakan yang konkrik dari segi perundangan negara terhadap mana-mana pihak yang berani bermain api dengan meniupkan isu-isu sensitif yang tegah oleh Perlembagaan Negara.

Sunday, September 26, 2010

Konsep federalisme negara masih utuh

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID
MALAYSIA adalah antara negara yang mengamalkan konsep federalisme (Persekutuan). Mohd Foad Sakdan dalam bukunya Asas Politik Malaysia (DBP, 1999) memetik pandangan Wheare yang menyebut bahawa konsep federalisme bermaksud wujudnya dua peringkat kerajaan, iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang tiap-tiap kerajaan itu mempunyai had bidang kuasa masing-masing serta bebas daripada campur tangan orang lain.
-
Ditinjau dari sudut sejarah, konsep federalisme di negara kita telah wujud dan diguna pakai sejak 1896. Ia bermula apabila kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu diperkenalkan melalui Perjanjian Persekutuan 1895 yang menggabungkan empat negeri yang dijajah British iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan di bawah satu kerajaan pusat yang diketuai oleh seorang Residen Jeneral. Setiap negeri itu pula diketuai oleh seorang Residen yang mentadbir berdasarkan panduan kuasa yang telah digariskan.
-
Sebelum itu, keempat-empat negeri tersebut diperintah oleh Residen masing-masing dengan memiliki kuasa yang terlalu luas sehingga kemajuan dan pembangunan di keempat-empat negeri itu tidak seimbang. Konsep federalisme yang dilaksanakan British itu telah berjaya mengubah landskap pembangunan di kesemua negeri terbabit. Banyak masalah dapat diatasi melalui pemerintahan berpusat itu.
-
Seterusnya pada 1 Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan berasaskan prinsip federalisme bagi menggantikan Malayan Union (Kesatuan Malaya) yang ditubuhkan pada 1946 tetapi mendapat tentangan hebat orang Melayu. Ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957, kesemua negeri-negeri di Tanah Melayu menandatangani perjanjian persekutuan dan menerima kewujudan negara yang dikenali sebagai 'Persekutuan Tanah Melayu' dengan kerajaan pusatnya berada di Kuala Lumpur.
-
Justeru, jika kita meneliti peruntukan asal Perlembagaan Perkara 1 (1), Perlembagaan Persekutuan 1957 dengan jelas menyatakan bahawa 'Persekutuan hendaklah dikenali dengan nama Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya).' Pada 16 September 1963, idea mengenai gagasan Malaysia yang diilhamkan Tunku Abdul Rahman pada 1961 telah dapat direalisasikan. Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk berada dalam Persekutuan yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.
-
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada itu digunakan dengan pindaan dibuat bagi membolehkan kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak. Perkara 1 (1) Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda menyebut bahawa 'Persekutuan adalah dinamakan Malaysia dalam Bahasa Melayu dan dalam Bahasa Inggeris'. Di dalam Perkara 1(2) disebut dengan jelas 13 buah negeri di dalam Persekutuan. Singapura menarik diri dari Malaysia dan menjadi sebuah negara merdeka pada 1965.
-
Secara mudahnya, konsep federalisme menonjolkan ciri-ciri pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Doktrin pengasingan kuasa juga menetapkan wujudnya pembahagian kuasa antara tiga badan utama iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman. Doktrin pengasingan kuasa bertujuan memastikan setiap cabang kuasa itu tidak diganggu atau dipengaruhi oleh cabang kuasa lain.
-
Ringkasnya, tiada campur tangan antara satu sama lain. Namun, check and balance antara satu sama lain tetap berlaku mengikut peranan masing-masing. Dari segi praktiknya, kerajaan pusat mempunyai bidang kuasa memerintah melalui Dewan Rakyat, manakala kerajaan negeri pula melalui Dewan Undangan Negeri. Di antara kuasa-kuasa yang ada pada kerajaan pusat adalah kewarganegaraan Persekutuan, hubungan luar, pertahanan, keselamatan dalam negeri, kewangan, pendidikan, perdagangan dan industri.
-
Kuasa kerajaan negeri pula merangkumi undang-undang Islam, tanah, pertanian dan perhutanan, kerajaan tempatan, perkhidmatan tempatan dan jentera kerajaan negeri. Untuk memastikan tujuan, agenda dan misi negara (nasional) tercapai, maka kerajaan negeri dan kerajaan pusat bersetuju bekerjasama dalam banyak bidang.
-
Di antara kuasa bersama ialah kebajikan awam, biasiswa, taman negara dan hidupan liar, parit dan tali air dan perkara-perkara lain yang bersangkutan. Kerajaan atau pemerintahan pusat juga mengatur beberapa urusan yang dianggap nasional yang perlu diikuti oleh kerajaan negeri.
Pemerintah pusat mengatur polisi nasional untuk kesejahteraan seluruh negeri dan rakyat.
Bagaimanapun, kerajaan pusat masih tetap menghormati bidang kuasa yang dimiliki oleh negeri.
Satu lagi unsur penting dalam sistem federalisme di negara kita ialah ketua negara adalah Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Institusi YDPA dibentuk setelah negara mencapai kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan diperkenalkan. Sebelum itu, terdapat sembilan raja-raja Melayu yang berkuasa ke atas negeri masing-masing. Apabila institusi YDPA diperkenalkan, maka seorang daripada mereka akan dipilih bagi setiap lima tahun untuk memegang jawatan tersebut. -
Berdasarkan Perlembagaan Negara, takhta YDPA diperoleh secara lantikan mengikut Jadual iii Perlembagaan Malaysia. Baginda dipilih mengikut kekananan dalam negara dan pemilihan dilakukan oleh Majlis Raja-raja. Ini bermakna Raja-raja Melayu akan bersidang setiap lima tahun untuk memilih salah seorang daripada mereka sebagai YDPA. Baginda adalah seorang Raja Berperlembagaan yang melaksanakan kuasanya secara terikat mengikut perlembagaan yang telah ditetapkan.
-
Baginda memerintah mengikut nasihat jemaah menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. Perlu difahami bahawa Perdana Menteri boleh dilantik berdasarkan budi bicara baginda sendiri. Baginda mempunyai beberapa keutamaan dan keistimewaan seperti yang diperuntukkan di dalam perlembagaan. Misalnya, baginda tidak boleh didakwa di dalam perbicaraan mana-mana mahkamah sekalipun.
-
Baginda yang merupakan sebahagian daripada Parlimen juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Baginda juga bertindak sebagai Ketua Agama Islam di Malaysia dan juga negeri-negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.
Selain itu, baginda boleh mengisytiharkan pembubaran Parlimen jika Parlimen hendak dibubarkan. Baginda juga mempunyai kuasa mengisytiharkan darurat jika baginda sendiri berpendapat keadaan memang memerlukan baginda berbuat demikian. Kedua-dua perkara tersebut akan dilaksanakan baginda atas nasihat Perdana Menteri. Baginda juga boleh memanggil raja-raja lain untuk mengadakan mesyuarat Majlis Raja-raja dan boleh membuat segala keputusan dalam mesyuarat itu.
-
Demikian juga, sebelum sesuatu rang undang-undang itu menjadi undang-undang, ia perlu mendapat perkenan baginda dalam tempoh 15 hari daripada rang undang-undang itu dipersembahkan kepada baginda. Jika selepas tempoh itu, rang undang-undang itu tetap akan diluluskan dengan menganggap rang undang-undang itu telah dipersetujui oleh baginda.
Ini adalah kerana rang undang-undang itu telah dibuat oleh Parlimen di mana YDPA adalah sebahagian daripada Parlimen itu sendiri. Justeru, apabila sesuatu rang undang-undang itu telah diluluskan oleh Dewan Negara dan Dewan Rakyat, maka rang undang-undang itu telah sah dan hanya memerlukan cop mohor daripada baginda atas nasihat Perdana Menteri.
-
Hanya undang-undang yang menyentuh hak, kedudukan, keistimewaan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu yang perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-raja Melayu terlebih dahulu jika hendak diluluskan.
-
Di peringkat negeri pula, Sultan-sultan Melayu, Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri adalah ketua kerajaan bagi negeri yang baginda warisi. Namun, seperti juga YDPA, baginda tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memerintah negeri masing-masing. Baginda menjalankan tugas dengan nasihat Menteri Besar atau pun Ketua Menteri.
-
Di negeri-negeri yang beraja, baginda juga adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing kecuali bagi empat negeri yang mana ketuanya adalah YDPA.
-
Kesimpulannya, sehingga kini konsep federalisme yang diperkenalkan sejak merdeka masih lagi berjalan dengan berkesan di negara ini. Prinsip pengasingan kuasa bagi tiga badan utama iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman masih lagi berjalan dengan baik. Kedudukan YDPA masih lagi kukuh dan dapat berfungsi dengan baik.
-
Kerajaan negeri masih bebas menjalankan kuasanya. Setiap Dewan Undangan Negeri di negara ini masih berfungsi dengan baik tanpa campur tangan kerajaan pusat. Ini termasuk di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang. Dewan Undangan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kedah terus dapat bersidang tanpa sebarang halangan.
-
Polisi-polisi nasional yang dibuat oleh kerajaan pusat pula tetap mengambil kira kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan ia juga tidak meminggirkan mana-mana negeri di negara ini. Semuanya menikmati faedah dan kebaikan yang sama. Kerajaan terus berusaha keras untuk menyeimbangkan pembangunan dan kemajuan di setiap negeri, termasuk di Sabah dan Sarawak.
-
Justeru, tuduhan pembangkang yang menyatakan bahawa kerajaan pusat menodai konsep federalisme hanyalah tuduhan politik liar yang dangkal dan bermotifkan kepentingan politik semata-mata. - Utusan 23 September 2010
1Malaysia tunjang transformasi
Oleh MOHD AYOP ABD RAZID

TRANSFORMASI merupakan agenda penting yang ingin dijayakan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak. Ada empat tonggak perubahan utama yang diperkenalkan beliau iaitu Gagasan1 Ma laysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi iaitu Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10). Keempat-empat tonggak perubahan itu bertujuan memastikan negara dapat mencapai hasrat Wawasan 2020, iaitu menjadikan Malaysia negara yang benar-benar maju menjelang 2020 mengikut acuan sendiri.
-
Kemajuan yang dihasratkan itu merangkumi aspek ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan. Untuk mencapai hasrat murni itu maka negara perlu lebih berdaya maju, berdaya saing, produktif, pragmatik dan dinamik. J usteru, inilah rasionalnya mengapa transformasi menjadi agenda penting pentadbiran Najib. Keempat-empat transformasi tersebut boleh dianalogikan sebagai sebuah rumah yang memiliki asas-asas utamanya iaitu bumbung (atap), tiang-tiang utama, lantai dan dinding.
-
Bumbungnya adalah gagasan1 Ma la y s ia, dua tiang utamanya adalah Program Transformasi Kerajaan (PTK) dan Program Transformasi Ekonomi (PTE). PTE adalah merujuk kepada Model Baru Ekonomi (MBE). Manakala, lantainya a dalah RMK-10 dan RMK-11. Dasar-dasar keadilan sosial dan budaya pencapaian tinggi boleh diumpamakan tangga bagi sebuah rumah.
Rencana ini akan memfokus kepada Gagasan1 Ma la ys ia kerana ia adalah
gagasan induk yang mendasari segala agenda perubahan negara. Gagasan
1Malaysia diperkenalkan sebaik sahaja Najib dilantik menjadi Perdana Menteri ke -6.
-
Prinsip penting bagi gagasan ini ialah "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Prinsip ini dijalin dan clijelmakan dalam struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat.
-
Matlamat akhirnya1 Ma la y s ia ialah perpaduan nasional yang berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan rakyat Malaysia. Ada tiga aspek teras bagi gagasan ini iaitu prinsip penerimaan, prinsip kenegaraan dan keadilan sosial. Prinsip kenegaraan adalah berasaskan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara (ideologi negara). Teras-teras utama itu pula disokong oleh empat nilai murni iaitu kesederhanaan, rendah hati, berbudi bahasa dan hormat menghormati.
-
Untuk menjadikan masyarakat Malaysia lebih pro-aktif, progresif dan dinamik maka gagasan1 Ma la y s ia menggariskan lapan nilai aspirasi merangkumi budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, budaya inovasi, integriti, ketabahan, kesetiaan dan kebijaksanaan.
GTP adalah penting kerana ia bertanggungjawab mendukung prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Justeru, ia penting bagi menjayakan gagasan1 Ma la y s ia yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum. Ia selari dengan apa yang disebutkan N ajib bahawa kita mengambil tindakan berdasarkan kehendak semua etnik dalam negara kita supaya tidak ada yang terpinggir dari arus pembangunan negara.
-
Objektif GTP ialah mempertingkat sistem penyampaian sektor awam. Untuk memudahkan pencapaian objektif ini maka kerajaan memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) merangkumi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA). Contoh MKRA ialah penyampaian yang cepat.
-
Secara khususnya, PTK akan memberi fokus utama kepada ena m Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) iaitu meluas akses pendidikan berkualiti, mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan menambah baik pengangkutan awam .
-
Untuk mengukur pencapaian NKRA itu maka Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan digunapakai bagi memantau KPI bagi semua menteri dan kemudiannya diikuti KPI bagi semua ketua-ketua jabatan. Rakyat turut diajak memberi maklum balas KPI tersebut melalui aktiviti 'Hari Terbuka' yang dianjurkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU). Unit ini bertanggungjawab menggalakkan perubahan drastik sektor awam dan sektor swasta serta menyokong pelaksanaan rancangan kementerian.
-
Transformasi dalam ekonomi yang dilaksanakan melalui MBE pula mempunyai matlamat untuk menjadikan negara ke arah negara berpendapatan tinggi dengan sasaran AS$15,000-20,000 per kapita pada tahun 2020. la menuntut seluruh lapisan dan golongan rakyat bertindak segera secara bersama untu k melakukan perubahan bagi meningkatkan kehidupan ynag berkualiti tinggi. Selari dengan gagasan 1Malaysia, MBE membuka ruang kepada semua etnik dan komuniti untuk terlibat dalam pembangunan ekonomi negara supaya kekayaan negara dapat dinikmati bersama.
-
Keterangkuman atau penyertaan menyeluruh dan bersama oleh semua kaum adalah penting bagi mengecilkan jurang ketidaksamaan pendapatan di kalangan kaum di negara ini. MBE turut memberi perhatian kepada menangani kemiskinan tanpa mengira kaum dengan mengutamakan atau menyasarkan bantuan kepada 40 peratus kumpulan berpendapatan rendah di negara ini.
-
Pada hakikatnya,1 Ma la y s ia bukan satu pendekatan yang terpisah daripada dasar-dasar kerajaan sebelum ini. Ia adalah penerusan agenda dan kesinambungan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara terdahulu. Perbezaannya ialah ia diterjemah dalam pelbagai pendekatan dan rupa bentuk. Justeru,1 Ma la y s ia dapat dianggap sebagai satu lagi formula yang diperkenalkan kerajaan untuk mencapai wawasan negara, khususnya bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.
Haluan
-
1Malaysia menjadi kompas haluan ke arah matlamat itu ke arah kewujudan µBangsa Malaysia¶ yang diilhamkan Tun Dr Mahathir melalui Wawasan 2020. Apakah rupa Bangsa Malaysia yang mahu dib entuk melalui Wawasan 2020 itu? Tun Dr Mahathir (2003) menyebut konsep 'Bangsa Malaysia' sebagai "satu bangsa yang bersatu padu, mempunyai satu masa depan sama dan dikongsi bersama. Sejahtera dan bersatu padu di antara wilayah atau kumpulan etnik. Hidup da lam keadaan harmoni dan berkongsi dalam cara yang sebenar dan adil. Satu bangsa Malaysia yang kesetiaan, politik dan kebaktiaannya bertumpu kepada bangsa terbabit".
-
Elemen penting ke arah mencapai bentuk rupa Bangsa Malaysia seperti yang disebut oleh Tun Mahathir itu ialah Sikap "penerimaan" antara kaum untuk mencapai perpaduan yang utuh. Sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum penting kerana ia adalah kunci sesuatu kaum itu menerima keunikan kaum yang lain. Sikap ini penting diamalkan supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan harmoni dan saling hormat-menghormati.
-
Keunikan kita selama ini ialah kita menerima kewujudan ciri pluralisme atau
kepelbagaian budaya di negara ini.1Malaysia menghargai dan menghormati
identiti etnik setiap kaum dan meli hatnya sebagai satu aset atau kel ebihan yang patut dibanggakan. Justeru, dalarn gagasan 1Malaysia tidak wujud apa yang dinamakan dasar asimilasi budaya.Kita tidak melaksanakan konsep
asimilasi seperti yang diamalkan di beberapa negara lain. Di beberapa negara, dasar asimilasi budaya telah melenyapkan identiti kaum-kaum etnik dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.
-
1Malaysia juga berbeza daripada konsep "Malaysian Malaysia" seperti yang diperjuangkan oleh pihak tertentu. Konsep "Malaysian Malaysia" memperjuangkan kesamarataan yang bercanggah dengan roh Perlembagaan Persekutuan dan semangat kontrak sosial seperti yang telah dipersetujui dan dim uafakatkan oleh pemimpin-pemimpin negara yang lalu.
-
Hak dan kepentingan kaum Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak akan tetap dipelihara seperti mana yang termaktub dalam fasal 153 Perlembagaan Persekutuan.1 Ma la y sia tidak sama sekali menyimpang daripad a roh Perlembagaan Persekutuan. Asas gagasan1 Ma la y sia adalah prinsip keadilan untuk semua kaum. Seluruh rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana -mana pihak akan dipinggirkan.
-
Kesimpulannya,1 Ma la y s ia adalah gagasan yang mudah difahami. la bertujuan untuk mencipta kebersatuan atau perpaduan berlandaskan penerimaan inklusif melalui perasaan saling menghormati dan penerimaan. la dibangun berasaskan konsep perpaduan dalam kepelbagaian, keadilan sosial dan nilai moral. Walaupun 1Malaysia adalah untuk semua kaum, namun ia tetap terikat dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.
- Mingguan Malaysia 15 Ogos 2010

Monday, August 23, 2010


Bangkit semangat patriotisme
Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID
-
SEMUA negara di dunia ini memiliki bendera rasmi yang tersendiri. Setiap bendera itu pula memiliki warna dan bentuk yang mengandungi makna tertentu.
Walaupun bendera hanyalah selembar kain yang dicorakkan dengan warna dan lukisan tertentu, namun ia mempunyai nilai dan darjat yang cukup istimewa. Memang makna dan erti sebuah bendera sangat dalam dan berharga.
-
Bagi sebuah negara berdaulat, bendera merupakan simbol dan juga identiti penting bagi negara itu. Bendera juga memiliki makna ideologi bagi sesebuah negara. Oleh kerana begitu pentingnya makna sebuah bendera itu, maka wujudnya ilmu tentang bendera yang dinamakan Veksilologi (vexillology).
-
Istilah Veksilologi berasal daripada kata vexillum (bentuk jamak vexilla), iaitu bendera zaman Romawi Kuno yang berbentuk bujur sangkar. Istilah ini mula digunakan pada tahun 1957 oleh seorang Amerika Syarikat (AS) bernama Whitney Smith.
-
Kajian ilmu veksilologi ini cukup luas cakupannya merangkumi sejarahnya, reka bentuknya, bahagian-bahagian dari bendera tersebut, protokol-protokol bendera dan apa jua yang berkaitan dengan bendera.
-
Dari sudut sejarahnya, bendera telah digunakan lebih dari 5,000 tahun lamanya. Sepanjang sejarahnya, bendera yang digunakan oleh pelbagai bangsa dan negara itu mempunyai variasi yang unik mulai dari bentuknya, gaya, warna serta gambarnya.
-
Pada awal kewujudannya, bendera digunakan untuk membezakan pihak yang sedang berperang. Kemudian penggunaannya berkembang sebagai simbol kelompok masyarakat, kelompok agama serta kelompok-kelompok lainnya.
-
Akhirnya, bendera berkembang menjadi simbol negara-bangsa dan juga organisasi-organisasi seperti yang kita kenal sekarang ini.
-
Jelaslah bahawa kewujudan bendera itu mempunyai akar umbinya tersendiri. Seorang warganegara yang baik dan prihatin terhadap kedaulatan negaranya akan memberikan penghormatan sewajarnya terhadap bendera tanah airnya.
-
Ia tidak akan memijak, menconteng dan mengoyakkan bendera tanah airnya. Ia juga akan memastikan bendera yang ingin dikibarkan itu berada dalam keadaan yang baik dan sempurna. Justeru, ia tidak akan mengibarkan bendera yang sudah koyak, lusuh atau luntur "wajahnya" supaya ia kukuh dan berkibar dengan megahnya di angkasa.
-
Bagi seorang perajurit atau warganegara yang memiliki semangat patriotisme yang kental maka ia memegangnya dengan penuh hati-hati agar tidak jatuh ke tanah. Bendera akan dilipat dan dibentangkannya dengan baik dan tertib serta diletakkan di tempat yang bersih dan layak.
Dalam peperangan, bendera yang dijulang oleh para perajurit dapat membangkitkan semangat juang yang tidak ternilai sehingga ke titisan darah terakhir.
-
Ketika negara kita akan diisytiharkan merdeka, maka saat paling dinanti-nantikan ialah penurunan bendera penjajah. Tepat pada jam 12.00 tengah malam, 31 Ogos 1957, bendera 'Union Jack' diturunkan lalu bendera negara pun dikibarkan sebagai tanda lahirnya Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang merdeka.
-
Justeru, bendera adalah saksi sejarah terhadap kemerdekaan, kedaulatan dan kewujudan identiti kita sebagai sebuah negara yang berdaulat di pentas antarabangsa.
-
Bendera bagi sesebuah negara turut dihargai oleh negara atau bangsa lain. Misalnya, apabila ketua tertinggi sesebuah negara itu mengadakan kunjungan hormat ke sebuah negara lain maka bendera negara tamu itu akan turut dikibarkan mengikut protokolnya.
-
Sebaliknya, bendera bagi sebuah negara juga sering dijadikan sasaran oleh negara lain terutamanya ketika saat krisis kedua-dua negara itu menjadi genting. Mungkin rakyat dari salah sebuah negara yang berkrisis itu menunjukkan kemarahan atau protes mereka dengan cara membakar, mengoyak, menginjak-injak bendera seterunya.
-
Justeru, sudah sewajarnya di seluruh pelosok tanah air, pada saat bulan kemerdekaan ini terutama menjelang 31 Ogos yang semakin hampir ini, maka sepatutnya kita dapat menyaksikan "Jalur Gemilang" berkibar dengan megahnya di premis-premis bangunan, kediaman dan kenderaan. Malangnya, suasana ini belum lagi dapat dilihat dan dirasai. Apakah rakyat kita sudah "lesu" daya patriotismenya?
-
Memang benar mengibarkan bendera bukannya satu-satu cara untuk menunjukkan semangat patriotisme tetapi setidak-tidaknya sambutan kemerdekaan negara yang disambut setahun sekali itu dizahirkan melalui kemeriahan dan suasana kibaran Jalur Gemilang.
-
Apatah lagi jika ia dilakukan dengan penuh penghayatan terhadap erti sebuah kemerdekaan. Oleh itu, aktiviti tradisi patriotisme mengibarkan bendera kemegahan negara pada setiap bulan Ogos tidak boleh dilunturkan dari sanubari rakyat negara ini.
-
program "Merakyatkan Kibaran Jalur Gemilang"

Justeru, untuk merangsang, membangkit dan melonjakkan momentum kibaran Jalur Gemilang ini maka Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menganjurkan program "Merakyatkan Kibaran Jalur Gemilang" sebagai satu kesinambungan aktiviti patriotisme dan sebagai acara dan aktiviti sokongan Kempen Bulan Kemerdekaan yang akan disempurnakan pada 31 Ogos di Stadium Putera Bukit Jalil nanti.
-
Program yang dinaungi oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan ini akan diadakan pada 26 Ogos 2010 di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur. Lokasi-lokasi tersebut ialah di Jalan Tunku Abdul Rahman (di hadapan SOGO), Jalan Brickfield (di hadapan bangunan YMCA), Jalan Petaling (di pintu gerbang masuk Jalan Petaling), Jalan Bukit Bintang (di Dataran Bukit Bintang hadapan Maybank) dan Kampung Baru (di hadapan pintu masuk Masjid Jamek Kg. Baru).
-
Ia akan dilakukan secara serentak di lokasi-lokasi tersebut pada jam 10.00 pagi di mana kumpulan-kumpulan yang bergerak itu akan mengunjungi premis-premis perniagaan di sekitar lokasi serta tumpuan orang ramai sambil menyerahkan Jalur Gemilang serta berbual mesra dengan mereka. YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim sendiri akan mengetuai acara ini.

Program "Merakyatkan Kibaran Jalur Gemilang" ini diadakan dengan objektif dan harapan untuk memupuk dan menyegarkan semangat patriotik di kalangan rakyat, khususnya di kalangan warga kota.
-
Alangkah meriahnya seandainya orang ramai, khususnya yang berada di lokasi-lokasi di mana program ini berlangsung dapat turut serta bersama kumpulan-kumpulan kibar Jalur Gemilang yang bergerak di lokasi-lokasi yang tersebut.
-
Sama-samalah kita memulakan momentum mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda bangganya kita terhadap bendera yang menjadi maruah negara yang tercinta ini.
Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media Jabatan hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.
-Utusan Malaysia 21/8/2010

Friday, August 6, 2010

Sudut pandangan politik Islam

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

ADA pelbagai pendapat mengenai politik Islam. Pertama, kelompok yang berpendapat politik dan agama tidak dapat dipisahkan. Hujah mereka adalah Islam merupakan agama sempurna dan serba lengkap yang mengatur segala aspek kehidupan. Justeru, ia merangkumi persoalan mengenai politik dan pentadbiran negara. Bagi golongan ini, hukum-hakam Islam hanya dapat ditegakkan dengan adanya kuasa politik.

Kedua, kelompok yang berpandangan bahawa politik bukannya juzuk atau ajaran dalam Islam. Aliran ini berpendapat bahawa al-Quran tidak mengatur masalah politik atau ketatanegaraan. Misalnya, Ali Abdul Raziq (1888-1966), ulama abad ke-20, lulusan Universiti Al-Azhar menyebut bahawa al-Islam al-Siyasi sebagai Islam bentuk baru yang diadakan oleh kaum fundamentalis.

Beliau menulis pandangannya itu di dalam bukunya, Islam wa usul al-hukm. Pandangannya yang kontroversi itu menyebabkan Universiti Al-Azhar menghukumnya sebagai sesat dan menarik kembali ijazah yang diberikan kepadanya.

Kelompok Islam Liberal juga berpendirian tidak ada politik dalam Islam. Negara hanyalah urusan keduniaan yang bergantung sepenuhnya kepada kewujudan masyarakat. Pandangan tersebut pernah disuarakan oleh pelopor Islam Liberal Indonesia, Nurcholish Madjid dalam tulisannya The Necessity of Renewing Islamic Thought and Reinvigorating Religious Understanding. Tulisannya itu terkandung di dalam buku Liberal Islam (Oxford University Press,1998).

Kelompok ketiga pula berpendirian bahawa al-Quran tidak menyebut secara qatie atau tidak ada nas yang jelas tentang politik dan sistem kenegaraan. Al-Quran tidak menetapkan model atau sistem politik tertentu yang harus diikuti.

Namun, kelompok ini tidak menolak urusan politik dalam Islam tetapi lebih menekankan tata nilai dan etika politik serta kehidupan bernegara seperti yang disebut pemikir Islam Mesir, Husain Haikal bahawa negara hanyalah instrumen politik untuk menegakkan etika Islam bersifat universal.

Jelaslah bahawa kelompok terbabit bersifat anjal (fleksibel) dalam menentukan bentuk politik Islam yang harus dipegang oleh umat Islam. Bagi kelompok ini, urusan pentadbiran adalah mengikut kebijaksanaan pemerintah selagi mana ia tidak melanggar prinsip dan asas-asas syariah. Pendapat ini merupakan pandangan pertengahan yang banyak diterima oleh para sarjana Muslim. Pendapat ketiga ini juga sesuai dengan situasi politik kontemporari hari ini.

Situasi politik hari ini memerlukan kita berfikir secara mendalam, kritis dan rasional tentang hubungan agama dan politik. Fakta utama yang perlu difahami ialah pembentukan pemerintahan dan kenegaraan mengambil kira pertumbuhan dan perkembangan masyarakat itu sendiri.

Dalam konteks ini, fasa-fasa pertumbuhan pemikiran politik Islam harus difahami. Ketika era nubuwah (kenabian), Rasulullah SAW telah menunjukkan kaedah-kaedah pokok Islam dalam membina dan mengatur sebuah negara.

Kemudian muncul pula era di mana kehidupan masyarakat dan negara terus berkembang dengan pesatnya. Pertumbuhan wilayah kekuasaan Islam terus berkembang selepas era khulafah ar-Rasyidin. Ia adalah era di mana muncul dan tertegaknya pelbagai kerajaan Islam di serata pelosok dunia. Dari semasa ke semasa, pergolakan politik berlaku dalam kerajaan-kerajaan Islam itu. Kebanyakannya berlaku hasil daripada perebutan kuasa yang dicetuskan oleh kelompok dan puak yang berkepentingan. Setiap puak itu pula mempunyai dukungan kelompok ulama mereka tersendiri.

Pertelingkahan pelbagai puak dan aliran ini telah melahirkan pelbagai pemikiran politik mengikut kelompok-kelompok terbabit. Kemudian muncul pula era penjajah kuasa Barat ke atas dunia Islam yang membawa masuk pelbagai pembaharuan sama ada dari segi pemikiran, ideologi dan teknologi baru ke dunia Islam. Apabila negara-negara umat Islam itu merdeka, masing-masing muncul sebuah negara bangsa (nation state) dan majoritinya menerima pakai sistem demokrasi dalam politik dan pentadbiran.

Dalam masa yang sama, wujud kelompok ulama dan sarjana Muslim yang memperjuangkan sistem teokrasi. Mereka berupaya menarik sokongan dan ada di kalangan mereka memimpin jemaah atau parti politik yang memperjuangkan negara Islam. Mereka menyeru pemerintah di negara-negara umat Islam supaya menegakkan negara Islam. Situasi ini telah mencetuskan perdebatan mengenai konsep negara Islam yang melahirkan beberapa pandangan tertentu.

Misalnya, tokoh-tokoh seperti Abul A'la al-Maududi dan Sayyid Qutb telah melahirkan gagasan mengenai sistem pemerintahan teokrasi sebagai bentuk pemerintahan Islam. Golongan sederhana seperti Dr.Yusuf al-Qaradawi dan Fathi Osman pula menerima demokrasi dengan syarat ia disesuaikan dengan syariat Islam.

Bagi Husain Haikal, mereka yang berusaha menegakkan negara berdasarkan syariat Islam melalui instrumen demokrasi dianggap golongan yang berusaha menegakkan negara 'teo-demokratik' iaitu konsep politik yang memberikan kekuasaan kepada rakyat, tetapi kekuasaan itu dibatasi oleh norma-norma daripada Tuhan.

Dalam dunia Islam, hanya wujud beberapa negara Islam yang dianggap mengamalkan sistem pemerintahan Islam seperti Iran dan Arab Saudi. Sungguhpun begitu, sistem pemerintahan republik Islam Iran adalah berasaskan model negara Islam versi Syiah. Arab Saudi pula dikuasai oleh aliran Wahabi.

Bagaimana pula dengan kedudukan negara kita? Apakah ia negara Islam atau sekular? Pada September 2001, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika Perdana Menteri Malaysia telah mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Menurut Dr. Mahathir, Malaysia diakui sebagai sebuah negara Islam yang berpegang kepada ahli Sunnah wal Jamaah.

Bagi menyokong kenyataan tersebut, beliau merujuk kepada kenyataan Syeikh al-Azhar Syeikh Sayyid Muhammad al-Tantawi yang menyebut Malaysia adalah sebuah negara Islam contoh (Utusan Malaysia, 11 Julai 2003). Kenyataannya itu telah menyemarakkan kembali ruang perbicaraan tentang negara Islam sehingga parti Pas mengeluarkan buku Dokumen Negara Islam yang dilancarkan pada 12 November 2003.

Meneliti pendapat pelbagai aliran pemikiran politik Islam, maka penulis berpendapat bahawa setakat ini pendekatan politik UMNO berjaya mengambil jalan tengah dan sederhana dengan memberi penekanan kepada nilai dan etika Islam bersifat universal.

Sejak menerajui negara ini, UMNO telah membuktikan keupayaannya menegakkan syiar Islam di samping dapat menerapkan kehidupan bertoleransi bersama masyarakat bukan Islam serta memberikan hak-hak yang sewajarnya kepada mereka selari dengan semangat perlembagaan negara.

Peliknya, Pas yang suatu ketika dahulu beria-ia mahu menegakkan negara Islam dan hukum hudud telah bertukar 'melodi' . Setelah bergabung dalam pakatan yang rapuh bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas kini terpaksa melupakan prinsip perjuangannya. Kerjasama Pas dengan DAP juga bercanggah dengan fatwa yang pernah dikeluarkannya bahawa haram bekerjasama dengan parti bukan Islam.

Malah, setelah bergabung, parti itu sanggup mempertahankan DAP yang jelas menentang kewujudan negara Islam dan memperlekehkan kedudukan dan hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, Pas gagal memahami atau tidak mahu mengakui bahawa ia telah terperangkap dan sedang diperkudakan oleh kedua-dua parti tersebut sehingga Pas menjadi parti yang tidak konsisten dalam perjuangan politiknya. Justeru, apa lagi alasan Pas untuk memperlekeh dan menolak saranan kerjasama dan perpaduan UMNO-Pas supaya perpaduan Melayu menjadi lebih kuat? - Utusan 6/8/2010
Perpaduan Melayu demi kelangsungan ummah
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

USAHA membina perpaduan Melayu wajar dijadikan agenda politik Melayu hari ini. Ia memerlukan komitmen atau iltizam yang tinggi dari kedua-dua parti Melayu UMNO dan Pas. Perpaduan harus menjadi wahana ke arah memperkasa kembali kuasa politik Melayu yang semakin terhakis.

Ia penting kerana kekuatan politik dan perpaduan Melayu di negara ini menjadi teras dan penentu kepada kestabilan politik dan perpaduan nasional. Ia juga asas kepada kedudukan dan keutuhan agama Islam di negara ini.

Justeru, sudah sampai masanya kepimpinan kedua-dua parti Melayu terbabit 'mencelikkan mata', 'menyaringkan telinga' dan 'membersihkan hati' dalam masalah isu perpaduan Melayu. Pemimpin UMNO dan Pas mesti memiliki daya fikir yang tajam supaya dapat merasionalisasikan nafsu politik kepartian masing-masing agar usaha murni ini menjadi kenyataan.

Kedua-dua parti itu harus melihat isu perpaduan Melayu sebagai masalah umat Melayu-Islam secara kolektif, bukan masalah kepartian. Ia bukan soal UMNO lemah atau kuat. Apa yang harus dilihat ialah kerjasama dan perpaduan UMNO-Pas sebagai peluang untuk merencana semula perpaduan dan masa depan orang Melayu supaya menjadi lebih kukuh dan padu.

Perbincangan ke arah perpaduan Melayu mesti berasaskan formula realistik dan jelas supaya ia bukan sahaja memberi faedah kepada bangsa Melayu, malah membawa kesejahteraan kepada semua pihak, termasuk masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Perkara pokok yang harus diberi perhatian ialah melihat perpaduan Melayu itu secara holistik. Justeru, kerjasama UMNO-Pas ini sewajarnya dapat membangun justifikasi jangka panjang serta harus dilihat sebagai sebuah pertimbangan untuk kelangsungan masa depan ummah di negara ini.

Untuk memulakannya, banyak belenggu dan halangan mesti dijauhi. Belenggu-belenggu tersebut lebih merupakan sifat mazmumah yang perlu disingkirkan oleh kedua-dua pihak. Setiap pihak harus saling menghormati dan menerima kebaikan pihak lawan.

Sikap fanatik kepartian perlu dielakkan. Perkara-perkara khilafiyah jangan diperbesarkan. Caci-mencaci dan tuduh-menuduh mesti dijauhi. Segala permusuhan yang bersifat peribadi di kalangan pemimpin kedua-dua parti Melayu itu harus dielakkan.

Sifat mahmudah seperti keterbukaan, ikhlas, tidak menyimpan dendam dan tidak bersangka buruk harus ada pada kedua-dua belah pihak untuk memulakan perundingan perpaduan Melayu. Sikap keterbukaan atau toleransi (berlapang dada) mesti menjadi amalan kita. Dalam soal keterbukaan ini, saya ingin mengutip rangkap puisi Tenas Effendy (Tunjuk Ajar Melayu, 2004) yang berbunyi:

Kalau hidup berterus terang,
Bala menjauh sengketa pun hilang,
Kalau runding berbuka-bukaan,
Beban berat menjadi ringan,
Berterus terang menurut patutnya,
Berbuka-buka menurut layaknya,
Kalau hendak berterus terang,
Niatnya jangan menghina orang.


Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin sudah pun menyatakan kesediaan mereka untuk duduk semeja dengan pemimpin Pas bagi membincangkan isu perpaduan Melayu. Saya kira di pihak Pas, Presidennya, Hadi Awang dan beberapa pemimpin kanan parti itu bersedia menerima usaha ini. Hadi sendiri pernah mengusulkan cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas tetapi tidak menjadi kenyataan kerana Datuk Nik Aziz Nik Mat sering berdolak dalih dalam isu mengenai kerjasama UMNO-Pas.

Atas sifat bersangka baik terhadap Nik Aziz, saya yakin di hati kecil Mursyidul Am Pas itu tetap berputik harapan untuk membina perpaduan Melayu yang lebih kukuh dan ampuh. Cuma 'ego politik' Nik Aziz masih membelenggu minda dan jiwanya sehingga beliau sering berubah-ubah pendirian dalam isu mengenai perpaduan Melayu ini.

Sebagai pemimpin 'kerohanian' parti itu, Nik Aziz sepatutnya berupaya menanggalkan ego politik dan bersifat terbuka, ikhlas serta sedia berkorban demi masa depan agama, bangsa dan tanah air.

Nik Aziz juga harus menerima dan menghormati pandangan tokoh-tokoh cendekiawan Melayu seperti Prof. Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Prof. Datuk Dr. Mohd Yusoff Hussein dan juga pandangan Mufti Perak, Tan Sri Harunssani Zakaria. Tokoh-tokoh tersebut menaruh harapan tinggi untuk melihat perpaduan Melayu di negara ini menjadi kenyataan.
- Utusan 22/7/2010
RMKe-10 bergantung kepada sektor swasta
Olhe Mohd Ayop Abd razid
-
MATLAMAT Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMKe-10) ialah untuk memenuhi agenda transformasi ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi. Ia bagi memenuhi hasrat Wawasan 2020 yang mahu menjadikan negara setaraf negara maju lain. Untuk mencapai hasrat itu, pertumbuhan ekonomi negara perlu berada pada kadar enam peratus setahun.
-
Ia satu cabaran kerana keadaan pertumbuhan ekonomi dunia masih perlahan pada kadar 4.5 peratus untuk tempoh lima tahun akan datang. Kesan daripada kejatuhan ekonomi dunia menyebabkan momentum pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh sedekad lalu adalah perlahan.
-
Dalam RMK-9, pertumbuhan ekonomi negara hanya pada kadar empat hingga lima peratus setahun. Justeru, negara memerlukan satu anjakan dan pendekatan baru untuk memantapkan struktur dan pertumbuhan ekonomi.
-
Cara menggerakkan ekonomi negara mesti lebih proaktif, pragmatik dan dinamik. Ia penting dalam konteks persaingan global dan serantau yang semakin kompleks dan mencabar. Penekanan kepada peningkatan daya saing negara menjadi agenda penting dalam memastikan hasrat negara berpendapatan tinggi tercapai.
-
Sebelum ini, indeks daya saing negara jatuh menyebabkan pendapatan perkapita menurun. Jika dulu pendapatan perkapita negara pernah mengatasi Korea, Singapura dan Taiwan tetapi hari ini keadaan sebaliknya berlaku.
-
Justeru, kita memerlukan satu pendekatan baru. Jika dulu kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah sesuai pada masanya, hari ini Model Baru Ekonomi (MBE) lahir selari dengan senario persekitaran, perubahan dan cabaran ekonomi global serta persaingan yang semakin sengit.
-
Semua perubahan ini menuntut kita berfikir secara positif dan dinamik ke arah menjayakan perubahan ekonomi yang diharapkan itu. Jika tiga dekad lalu pembangunan ekonomi negara sering dikaitkan dengan program pembasmian kemiskinan tetapi kini pembangunan ekonomi negara mesti dikaitkan dengan daya saing dan produktiviti negara. Adalah penting negara mencapai negara berpendapatan tinggi supaya kita dapat mengurangkan jurang perbezaan, menambah golongan menengah dan mencapai kesejahteraan hidup lebih sempurna.
-
Golongan berpendapatan rendah mesti diberi perhatian. Justeru, MBE tidak sama sekali meminggirkan golongan terbabit. Golongan ini perlu dibantu melalui pelbagai cara, termasuk memberikan kemahiran tertentu supaya pendapatan mereka boleh dipertingkatkan.
-
Pemberian subsidi wajar dinilai semula. Dalam konteks ini, kerajaan boleh mencontohi Denmark yang sudah mencapai status negara berpendapatan tinggi. Di negara itu, subsidi tidak diberi, sebaliknya elaun diberikan kepada golongan berpendapatan rendah untuk membeli barangan pada harga pasaran dunia. Kaedah ini memberi ruang kepada pemain dalam industri ekonomi negara bersaing dalam pasaran semasa.
-
Peranan sektor swasta penting dalam menggerakkan ekonomi negara. Sejak berlakunya krisis 1977-1978, pelaburan sektor swasta terus merosot menyebabkan pelaburan awam meningkat. Kesannya, berlaku defisit agak tinggi. Justeru, dalam RMKe-10, kerajaan mahu mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus pada 2010 kepada kurang 3 peratus pada 2015.
-
Untuk tujuan itu, pelaburan sektor swasta dalam negara amat penting. Oleh itu, dalam RMKe-10, kerajaan meletakkan sasaran untuk memangkinkan pelaburan swasta agar berkembang 12.8 peratus atau RM115 bilion setahun.
-
Negara memerlukan syarikat berdaya saing yang mampu bersaing di pentas antarabangsa. Justeru, sektor swasta perlu memiliki strategi berinovasi yang mampu menjana pertumbuhan.
Sektor Industri Kecil Sederhana (IKS) juga mesti memiliki daya saing tinggi supaya dapat diterima dalam pasaran domestik serta menembusi pasaran global. IKS perlu memanfaatkan kemudahan teknologi yang dapat membantu memodenkan pengeluaran produk dan sekali gus dapat memperkasakan ekonomi negara.
-
IKS yang kukuh boleh menjadi pemangkin dalam mencapai matlamat RMKe-10. Mana-mana syarikat IKS yang boleh maju dan berdaya saing maka syarikat terbabit wajar diberi bantuan dan sokongan. Kerajaan tidak harus membuang masa dan wang untuk membantu industri yang tidak berdaya saing. Produktiviti berkait rapat dengan tenaga buruh atau modal insan. Sejak 1990-an kita terlalu banyak bergantung kepada buruh asing yang kurang mahir menyebabkan daya saing kita merosot. Aliran ini mesti dihentikan dan negara perlu melahirkan modal insan tempatan berkemahiran tinggi.
-
Bertolak daripada faktor kritikal inilah, mengikut RMKe-10, peruntukan untuk infrastruktur bukan fizikal ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 21.8 peratus dalam RMK-9 dengan tumpuan diberikan kepada program pembangunan kemahiran, aktiviti R&D dan modal teroka.
-
Pembangunan modal insan amat berkait rapat dengan pendidikan, Justeru, usaha memperkasa pendidikan negara perlu mengambil kira keperluan melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam aspek teknikal, inovasi dan kreativiti. Adalah menjadi kewajipan institusi pengajian tinggi (IPT) menawarkan lebih banyak kursus teknikal dan profesional. Malah, kerajaan sewajarnya memperkasa sistem pendidikan atau sekolah vokasional dan teknik bagi melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam aspek teknikal, inovasi dan kreativiti.
-
Faktor ini dilihat kritikal kerana negara perlu maju ke tahap teknologi lebih tinggi. Kita tidak boleh lagi bersaing dengan menawarkan tenaga buruh rendah bayarannya. Sebaliknya, kita perlu menawarkan tenaga buruh berdaya saing dengan kemahiran dan pengetahuan tinggi supaya gaji dan pendapatan yang ditawarkan juga tinggi.
-
Dalam melaksanakan transformasi ekonomi kita memerlukan peranan sektor awam. Sektor awam berperanan penting memacu agenda transformasi negara. Sektor awam berkewajipan mendukung empat tonggak utama kerajaan iaitu gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), MBE dan RMKe-10. Kesimpulannya, kejayaan pelaksanaan RMKe-10 amat bergantung pada pelaburan sektor swasta, modal insan berkemahiran tinggi dan sektor awam yang berkesan serta teguh mendukung aspirasi negara. - BH 8/7/2010