Wednesday, December 15, 2010

Memahami kedudukan dan fungsi institusi Raja di sisi perlembagaan
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Sistem politik dan pemerintahan tradisi Melayu meletakkan raja atau sultan sebagai pemerintah tertinggi yang diberikan sepenuh ketaatan dan kesetiaan. Sistem ini berlangsung berabad lamanya. Ketika berlangsungnya penjajahn British di Tanah Melayu, Raja-raja Melayu masih lagi mempunyai kuasa untuk hal-hal tertentu bagi negeri masing-masing. Kedudukan raja-raja masih dianggap berdaulat ketika itu.

Apabila perlembagaan moden Persekutuan Tanah Melayu digubal oleh British, pengiktirafan terhadap kepentingan sistem beraja tetap diambil kira dengan meletakkannya sebagai Raja berpelembagaan. Ia menjadi sebahagian elemen penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut Tun Salleh Abbas (1997), apabila kemerdekaan diberikan kepada Tanah Melayu, institusi beraja dikekalkan dengan beberapa pindaan untuk disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan.

Ia sekali gus melambangkan bahawa Raja-raja Melayu merupakan kesinambungan sejarah dan warisan negara.Kewujudan institusi Raja menjadi sebahagian daripada identiti negara dan ia dilindungi oleh perlembagaan. Ia disebut di dalam Perkara 159(5) yang menjelaskan bahawa tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Perkara 71 pula menjamin hak seseorang raja dalam negeri baginda untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan. Demikian juga Perkara 38(4) menyebut bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Institusi raja dianggap penting dalam menjamin kestabilan negara kerana ia menjadi ”payung negara” - menaungi seluruh rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan kepercayaan agama. Ini adalah selari dengan Perkara 32 (1) yang meletakkan kedudukan baginda sebagai ’Ketua Negara’ Namun,selari dengan kedudukannya sebagai Raja berperlembagaan, maka baginda perlu mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri (Perkara 39 dan 40).

Bagi orang Melayu institusi Raja berpelembagaan dengan fungsi-fungsinya yang tertentu penting bagi ’survival’ orang-orang Melayu. Ini dapat difahami di dalam Perkara 153 di mana ia meletakkan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk melindungi dan memelihara kedudukan istemewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Ia termaktub di bawah klausa (2) Perkara 153.

Berdasarkan Perkara 153, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan.

Sayugia difahami bahawa peruntukan 153 tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-raja seperti yang digariskan di bawah Perkara 159(5). Selain itu, kedudukan istimewa orang Melayu juga terkandung dalam Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu. Demikian juga pasukan Rejimen Askar Melayu hanya boleh dianggotai oleh orang Melayu sahaja sebagaimana dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f) .

Di dalam Perlembagaan Negeri-negeri yang memiliki raja pula menetapkan Raja-raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu hendaklah orang Melayu dan oleh kerana itu ianya orang Islam. Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong yang dipilih daripada kalangan Raja-Raja Melayu itu juga adalah seorang Melayu dan beragama Islam. Justeru, institusi raja turut melambangkan kedaulatan dan kuasa Islam di negara ini.

Hal ini dapat difahami di dalam Perkara 3(2) yang menjelaskan bahawa tiap-tiap negeri dalam persekutuan, kecuali Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, Raja atau Sultan adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri melayu terbabit. Peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan pula mengisytiharkan bahawa “Islam adalah agama bagi persekutuan”. Perkara 11(4) memperuntukkan bahawa Negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang bukan Islam menyebarkan diayah agama mereka kepada orang Islam.

Perkara 12(2) memberikan kebebasan, kuasa dan keistimewaan kepada kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menubuhkan, menyelenggara atau membantu penubuhan atau penyelenggaraan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan untuk mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk tujuan itu.

Selain itu, Perkara 41 meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, manakala Perkara 44 menyatakan bahawa baginda merupakan salah satu unsur utama daripada tiga unsur utama parlimen. Perkara 55 (1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang dan, dalam klausa (2) pula menyebut baginda mempunyai kuasa istimewa untuk memberhentikan atau membubarkan Parlimen.

Selain itu, Perkara 150 (1) memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat sekiranya baginda berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.

Dari aspek ‘kekebalan’ raja pula, Yang Dipertuan Agong tidak boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah sekalipun. Perbicaraan ke atas baginda hanya boleh dijalankan dalam Mahkamah Khas (Perkara 181(2)). Tindakan pendakwaan pula tidak boleh dimulakan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau raja kecuali dengan keizinan Peguam negara sendiri (Perkara 183).

Kebanyakkan dari apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong itu telah disimpulkan di dalam tujuah wasiat Raja-raja Melayu yang disampaikan semasa Raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan semasa pembentukan Perlembagaan pada 5 ogos 1957.

Jika diteliti wasiat itu, maka kesemuanya ada peruntukannnya di dalam Perlembagaan Persekutuan. Wasiat pertama berhubung dengan menamakan bumi (negara) ini sebagai Persekutuan Tanah Melayu; wasiat kedua berkenaan tanah simpanan Melayu; wasiat ketiga berkenaan penubuhan rejim Askar Melayu; wasiat keempat mengenai jaminan Kerajaan dan Kedaulatan Raja-raja Melayu; wasiat kelima ialah Islam sebagai agama Persekutuan; wasiat keenam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan wasiat ketujuh pula ialah tanggunjawab Raja-raja Melayu melindungai keistimewaan orang-orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Kesimpulan, institusi Raja seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu pengiktirafan oleh pengubal perlembagaan tersebut yang memahami sejarah, warisan dan tradisi masyarakat dan kedaulatan politik Melayu.

Mereka memahami bahawa ”ketuanan Melayu” sudah pun mengakar lama dengan kewujudan kuasa-kuasa raja yang menjadi pemerintah di negeri-negeri Melayu, iaitu berabad-abad lamanya sebelum British bertapak di negara ini. Kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong, terutamanya dalam Perkara 153 adalah untuk memelihara ”kedaulatan Melayu”.

Catatan: Artikel ini tersiar di ruangan rencana Berita Harian 15 Dis.2010 dengan tajuk Institusi Raja Bukti konsep Ketuanan Melayu masih releven.

No comments: