Monday, October 11, 2010

Ahli politik perlu hormati “politik perlembagaan”

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Di dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat beberapa perkara asas yang perlu dihormati oleh semua pihak di negara ini. Perkara-perkara asas tersebut ialah kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu termasuk Pribumi Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam dan Bahasa Kebangsaan. Perkara-perkara tersebut tidak boleh dipersoalkan atau dipertikaikan kerana ia termasuk perkara-perkara sensitif yang ditegah oleh perlembagaan.

Perkara-perkara tersebut merupakan manifestasi nilai-nilai budaya, sejarah dan ketamadunan negara. Mohd Foad Sakdan di dalam bukunya Pengetahuan Asas Politik Malaysia (DBP, 1997) menyebut perkara-perkara asas tersebut sebagai “politik perlembagaan” yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan setelah berlakunya proses perundingan dan permuafakatan secara kolektif di kalangan pemimpin pelbagai kaum. Perkara-perkara tersebut juga merupakan satu bentuk ‘kontrak sosial’ yang menjadi asas penting bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini.

Menurut Dr. Hassan Ahmad, dari segi kemanusiaannya kontrak sosial yang dilaksanakan di negara ini tidak sedikit pun mendiskriminasikan kaum-kaum lain. Malah, ia memberikan asas penyelesaian masalah perkauman yang wujud hasil daripada penjajahan British. Misalnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan peruntukan perlembagaan yang bertujuan mengimbangi kedudukan Melayu dengan kaum-kaum lain.

Penerimaan terhadap kontrak sosial itu telah menjamin kestabilan politik dan perpaduan di negara ini. Oleh itu, usaha untuk mempersoal, mencabuli atau menghapuskan perkara-perakara asas itu akan menimbulkan sentimen perkauman yang boleh memecah-belahkan rakyat dan menjerumuskan negara ini ke arah kehancuran.

Perlembagaan yang dibentuk itu juga melambangkan wujudnya satu bentuk ’kompromi politik’ atau ’politik permuafakatan’ di kalangan pemimpin terdahulu daripada UMNO, MCA dan MIC. Politik kompromi yang diamalkan selama ini telah berjaya membentuk politik ‘persetiaan murni’ antara kaum yang berjaya memperkukuhkan struktur perpaduan negara. Pendekatan ini telah terbukti dapat menyelesaikan segala perselisihan faham melalui meja rundingan
Prof. Dr. Zainal Keling melihat ‘politik kompromi’ sebagai nilai tradisi permuafakatan dan kerjasama yang menjadi sebahagian daripada nilai hidup masyarakat Malaysia. Jika kita mengimbas kembali titik tolak bermulanya asas permuafakatan murni tersebut ialah apabila pada tahun 1955 British memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum yang pertama di Tanah Melayu.

Pilihan raya ini telah merintis satu bentuk kerjasama parti politik yang mewakili tiga kaum utama ynag diwakili oleh UMNO-MCA-MIC. Mereka bersetuju menubuhkan gabungan parti politik ynag dinamakan Perikatan(kini BN). Perikatan telah mengemukakan ’manifesto’ yang mengandungi beberapa perkara penting yang mencerminkan tolak ansur, kompromi dan permuafakatan ketiga-kaum terbabit.

Di antara perkara penting yang disentuh dalam manifesto Perikatan itu ialah mereka berjanji akan menegak, mempertahan dan melindungi kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua berpelembagaan negeri baginda masing-masing. Untuk itu, Perikatan akan mendesak ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi meneliti pembaharuan perlembagaan yang berkait dengan kedudukan Raja-raja Melayu dan kepentingan istemewa orang Melayu.

Dalam perkara mengenai pelajaran pula, manifesto Perikatan bersetuju untuk mewujudkan satu jenis Sekolah Kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Selain itu, Perikatan juga bersetuju untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagi kaum di negara ini. Di dalam manifesto itu juga, Perikatan berjanji akan mendapatkan kemerdekaan negara dalam tempoh empat tahun.

Menurut sejarawan negara, Zainal Abidin Wahid (1971), Pilihan Raya Umum pertama itu merekodkan sebanyak 1,280,000 orang daripada 1,600,00 yang layak mengundi telah mendaftar sebagi pengundi. Pecahan peratusan kaum mereka yang mendaftar sebagai pengundi ialah Melayu 85 peratus, Cina 11 peratus dan kaum India kurang 5 peratus. Sebanyak 85 peratus daripada jumlah mereka yang mendaftar itu telah keluar untuk membuang undi.

Parti Perikatan telah meletakkan calon bagi kesemua 53 kerusi yang dipertandingkan. Perikatan akhirnya berjaya memenangi 52 kerusi, manakala satu kerusi lagi dimenangi oleh Pas. Menariknya, calon-calon bukan Melayu dari parti Perikatan yang bertanding di kawasan-kawasan majoriti Melayu turut memenangi pilihanraya itu. Ini membuktikan betapa orang Melayu ketika itu sudah pun bersedia untuk menerima calon-calon bukan melayu di kawasan mereka sebagai wakil rakyat.

Manifesto Perikatan itu jelas membuktikan betapa pemimpin pelbagai kaum itu telah bersetuju untuk memperjuangkan perkara-perkara yang berkaitan warisan orang Melayu iaitu kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan agama Islam. Malah mereka turut sama-sama menyetujui kepentingan mewujudkan sekolah kebangsaan yang memakai Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar demi kepentingan perpaduan rakyat di negara ini.

Hakikatnya, kelima-lima elemen ‘politik perlembagaan’ yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara itu tidak boleh dipersoalkan atau dipertikaikan kedudukannya kerana ia dilindungi oleh perlembagaan. Justeru, ucapan-ucapan yang mempertikai dan menghina serta usaha untuk merubah perkara-perkara tersebut boleh dianggap sebagai satu hasutan atau jenayah. Tindakan-tindakan seperti itu boleh memudaratkan ketenteraman awam dan kepentingan negara.

Di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya. Justeru, kita merasa bimbang melihat senario politik negara hari ini yang semakin tidak menghiraukan perkara-perkara asas Perlembagaan Persekutuan. Perkara-perkara asas perlembagaan tersebut telah mula dipertikaikan dan dipolitikkan sewenang-wenangnya.

Sudah ada mereka yang bersuara lantang menuntut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dihapuskan bagi memberi layanan sama rata di antara kaum di negara ini. Tidak berapa lama dulu Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pernah mendedahkan bahawa sudah ada pihak yang cuba mewujudkan perlembagaan baru yang mahu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Demikian juga sudah ada anak-anak muda yang berani mempertikai dan menghina perkara-perkara asas yang terkandung dalam Perlembagaan Negara. Kebanyakkan mereka menggunakan media siber sebagai salurannya.Sebenarnya keberanian mereka itu adalah hasil daripada ”kejahatan lidah-lidah” politikus tertentu yang bersifat anti-perlembagaan dan berhasrat mahu menghapuskan fasal-fasal penting tersebut. Anak-anak muda itu kebanyakannya jahil tentang perkara-perkara asas yang tidak boleh dipertikai atau dicabar di Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, ramai di kalangan mereka termakan ”racun” hasutan itu sehingga ada yang sanggup memperlekeh institusi Raja, kedudukan agama Islam serta mempertikai perkara-perkara berkaitan dengan fasal 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkembangan ini mesti dipantau rapi dan perlu ada tindakan yang konkrik dari segi perundangan negara terhadap mana-mana pihak yang berani bermain api dengan meniupkan isu-isu sensitif yang tegah oleh Perlembagaan Negara.

No comments: