Sunday, September 26, 2010

Konsep federalisme negara masih utuh

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID
MALAYSIA adalah antara negara yang mengamalkan konsep federalisme (Persekutuan). Mohd Foad Sakdan dalam bukunya Asas Politik Malaysia (DBP, 1999) memetik pandangan Wheare yang menyebut bahawa konsep federalisme bermaksud wujudnya dua peringkat kerajaan, iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang tiap-tiap kerajaan itu mempunyai had bidang kuasa masing-masing serta bebas daripada campur tangan orang lain.
-
Ditinjau dari sudut sejarah, konsep federalisme di negara kita telah wujud dan diguna pakai sejak 1896. Ia bermula apabila kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu diperkenalkan melalui Perjanjian Persekutuan 1895 yang menggabungkan empat negeri yang dijajah British iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan di bawah satu kerajaan pusat yang diketuai oleh seorang Residen Jeneral. Setiap negeri itu pula diketuai oleh seorang Residen yang mentadbir berdasarkan panduan kuasa yang telah digariskan.
-
Sebelum itu, keempat-empat negeri tersebut diperintah oleh Residen masing-masing dengan memiliki kuasa yang terlalu luas sehingga kemajuan dan pembangunan di keempat-empat negeri itu tidak seimbang. Konsep federalisme yang dilaksanakan British itu telah berjaya mengubah landskap pembangunan di kesemua negeri terbabit. Banyak masalah dapat diatasi melalui pemerintahan berpusat itu.
-
Seterusnya pada 1 Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan berasaskan prinsip federalisme bagi menggantikan Malayan Union (Kesatuan Malaya) yang ditubuhkan pada 1946 tetapi mendapat tentangan hebat orang Melayu. Ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957, kesemua negeri-negeri di Tanah Melayu menandatangani perjanjian persekutuan dan menerima kewujudan negara yang dikenali sebagai 'Persekutuan Tanah Melayu' dengan kerajaan pusatnya berada di Kuala Lumpur.
-
Justeru, jika kita meneliti peruntukan asal Perlembagaan Perkara 1 (1), Perlembagaan Persekutuan 1957 dengan jelas menyatakan bahawa 'Persekutuan hendaklah dikenali dengan nama Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya).' Pada 16 September 1963, idea mengenai gagasan Malaysia yang diilhamkan Tunku Abdul Rahman pada 1961 telah dapat direalisasikan. Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk berada dalam Persekutuan yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.
-
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada itu digunakan dengan pindaan dibuat bagi membolehkan kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak. Perkara 1 (1) Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda menyebut bahawa 'Persekutuan adalah dinamakan Malaysia dalam Bahasa Melayu dan dalam Bahasa Inggeris'. Di dalam Perkara 1(2) disebut dengan jelas 13 buah negeri di dalam Persekutuan. Singapura menarik diri dari Malaysia dan menjadi sebuah negara merdeka pada 1965.
-
Secara mudahnya, konsep federalisme menonjolkan ciri-ciri pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Doktrin pengasingan kuasa juga menetapkan wujudnya pembahagian kuasa antara tiga badan utama iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman. Doktrin pengasingan kuasa bertujuan memastikan setiap cabang kuasa itu tidak diganggu atau dipengaruhi oleh cabang kuasa lain.
-
Ringkasnya, tiada campur tangan antara satu sama lain. Namun, check and balance antara satu sama lain tetap berlaku mengikut peranan masing-masing. Dari segi praktiknya, kerajaan pusat mempunyai bidang kuasa memerintah melalui Dewan Rakyat, manakala kerajaan negeri pula melalui Dewan Undangan Negeri. Di antara kuasa-kuasa yang ada pada kerajaan pusat adalah kewarganegaraan Persekutuan, hubungan luar, pertahanan, keselamatan dalam negeri, kewangan, pendidikan, perdagangan dan industri.
-
Kuasa kerajaan negeri pula merangkumi undang-undang Islam, tanah, pertanian dan perhutanan, kerajaan tempatan, perkhidmatan tempatan dan jentera kerajaan negeri. Untuk memastikan tujuan, agenda dan misi negara (nasional) tercapai, maka kerajaan negeri dan kerajaan pusat bersetuju bekerjasama dalam banyak bidang.
-
Di antara kuasa bersama ialah kebajikan awam, biasiswa, taman negara dan hidupan liar, parit dan tali air dan perkara-perkara lain yang bersangkutan. Kerajaan atau pemerintahan pusat juga mengatur beberapa urusan yang dianggap nasional yang perlu diikuti oleh kerajaan negeri.
Pemerintah pusat mengatur polisi nasional untuk kesejahteraan seluruh negeri dan rakyat.
Bagaimanapun, kerajaan pusat masih tetap menghormati bidang kuasa yang dimiliki oleh negeri.
Satu lagi unsur penting dalam sistem federalisme di negara kita ialah ketua negara adalah Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Institusi YDPA dibentuk setelah negara mencapai kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan diperkenalkan. Sebelum itu, terdapat sembilan raja-raja Melayu yang berkuasa ke atas negeri masing-masing. Apabila institusi YDPA diperkenalkan, maka seorang daripada mereka akan dipilih bagi setiap lima tahun untuk memegang jawatan tersebut. -
Berdasarkan Perlembagaan Negara, takhta YDPA diperoleh secara lantikan mengikut Jadual iii Perlembagaan Malaysia. Baginda dipilih mengikut kekananan dalam negara dan pemilihan dilakukan oleh Majlis Raja-raja. Ini bermakna Raja-raja Melayu akan bersidang setiap lima tahun untuk memilih salah seorang daripada mereka sebagai YDPA. Baginda adalah seorang Raja Berperlembagaan yang melaksanakan kuasanya secara terikat mengikut perlembagaan yang telah ditetapkan.
-
Baginda memerintah mengikut nasihat jemaah menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. Perlu difahami bahawa Perdana Menteri boleh dilantik berdasarkan budi bicara baginda sendiri. Baginda mempunyai beberapa keutamaan dan keistimewaan seperti yang diperuntukkan di dalam perlembagaan. Misalnya, baginda tidak boleh didakwa di dalam perbicaraan mana-mana mahkamah sekalipun.
-
Baginda yang merupakan sebahagian daripada Parlimen juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Baginda juga bertindak sebagai Ketua Agama Islam di Malaysia dan juga negeri-negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.
Selain itu, baginda boleh mengisytiharkan pembubaran Parlimen jika Parlimen hendak dibubarkan. Baginda juga mempunyai kuasa mengisytiharkan darurat jika baginda sendiri berpendapat keadaan memang memerlukan baginda berbuat demikian. Kedua-dua perkara tersebut akan dilaksanakan baginda atas nasihat Perdana Menteri. Baginda juga boleh memanggil raja-raja lain untuk mengadakan mesyuarat Majlis Raja-raja dan boleh membuat segala keputusan dalam mesyuarat itu.
-
Demikian juga, sebelum sesuatu rang undang-undang itu menjadi undang-undang, ia perlu mendapat perkenan baginda dalam tempoh 15 hari daripada rang undang-undang itu dipersembahkan kepada baginda. Jika selepas tempoh itu, rang undang-undang itu tetap akan diluluskan dengan menganggap rang undang-undang itu telah dipersetujui oleh baginda.
Ini adalah kerana rang undang-undang itu telah dibuat oleh Parlimen di mana YDPA adalah sebahagian daripada Parlimen itu sendiri. Justeru, apabila sesuatu rang undang-undang itu telah diluluskan oleh Dewan Negara dan Dewan Rakyat, maka rang undang-undang itu telah sah dan hanya memerlukan cop mohor daripada baginda atas nasihat Perdana Menteri.
-
Hanya undang-undang yang menyentuh hak, kedudukan, keistimewaan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu yang perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-raja Melayu terlebih dahulu jika hendak diluluskan.
-
Di peringkat negeri pula, Sultan-sultan Melayu, Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri adalah ketua kerajaan bagi negeri yang baginda warisi. Namun, seperti juga YDPA, baginda tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memerintah negeri masing-masing. Baginda menjalankan tugas dengan nasihat Menteri Besar atau pun Ketua Menteri.
-
Di negeri-negeri yang beraja, baginda juga adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing kecuali bagi empat negeri yang mana ketuanya adalah YDPA.
-
Kesimpulannya, sehingga kini konsep federalisme yang diperkenalkan sejak merdeka masih lagi berjalan dengan berkesan di negara ini. Prinsip pengasingan kuasa bagi tiga badan utama iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman masih lagi berjalan dengan baik. Kedudukan YDPA masih lagi kukuh dan dapat berfungsi dengan baik.
-
Kerajaan negeri masih bebas menjalankan kuasanya. Setiap Dewan Undangan Negeri di negara ini masih berfungsi dengan baik tanpa campur tangan kerajaan pusat. Ini termasuk di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang. Dewan Undangan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kedah terus dapat bersidang tanpa sebarang halangan.
-
Polisi-polisi nasional yang dibuat oleh kerajaan pusat pula tetap mengambil kira kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan ia juga tidak meminggirkan mana-mana negeri di negara ini. Semuanya menikmati faedah dan kebaikan yang sama. Kerajaan terus berusaha keras untuk menyeimbangkan pembangunan dan kemajuan di setiap negeri, termasuk di Sabah dan Sarawak.
-
Justeru, tuduhan pembangkang yang menyatakan bahawa kerajaan pusat menodai konsep federalisme hanyalah tuduhan politik liar yang dangkal dan bermotifkan kepentingan politik semata-mata. - Utusan 23 September 2010

No comments: