Oleh Mohd Ayob Abd Razid
KESEMPATAN beraya di kampung tempoh hari memberi peluang mendengar beberapa isu semasa yang dibangkitkan dalam perbualan dengan rakan dan sanak saudara. Antaranya termasuk isu kedudukan Bumiputera dalam ekonomi, Malangnya, ramai gagal melihat rasional beberapa langkah liberalisasi ekonomi yang dilaksanakan Datuk Seri Najib Razak. Mereka gagal melihat dan mengaitkan kerencaman ekonomi global yang menuntut kita melakukan perubahan.
Namun, kebanyakan pendukung pasaran bebas melihat kekangan utama yang dihadapi ialah peraturan dan undang-undang yang wujud di beberapa negara, mengehad dan menyekat peluang pelaburan. Untuk memecahkan kekangan itu, mereka memperkenalkan pelbagai pertubuhan perdagangan dunia, bertujuan memaksa liberalisasi ekonomi terhadap negara yang ingin menarik pelabur asing.
Misalnya, dalam bidang kewangan, trend ini amat jelas dirasai apabila tamatnya rundingan perdagangan Pusingan Uruguay dan penubuhan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) pada pertengahan 1990-an. Negara anggota tidak mempunyai pilihan melainkan mematuhi Perjanjian Am berkaitan Perkhidmatan dan Perdagangan (GATS). Koordinasi dan integrasi blok ekonomi pula sudah menjadi semakin penting dalam globalisasi kewangan dan ekonomi.
Integrasi ekonomi meliputi perdagangan dan kewangan. Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) adalah integrasi wilayah dengan anggotanya mengadakan kesepakatan perdagangan bebas untuk wilayah bersama. Melalui Pasaran Bersama pula, perpindahan faktor pengeluaran, tenaga kerja, modal, pengusaha dapat bergerak secara bebas.
Oleh kerana tuntutan liberalisasi semakin kuat dalam aliran ekonomi global, negara tidak boleh memencilkan diri. Kita terpaksa bersaing dengan beberapa ekonomi baru Asia seperti China, India, Vietnam dan Indonesia. Negara terbabit sudah lebih awal membuka dagangan mereka kepada pasaran bebas.
Di negara kita, walaupun ramai penganalisis ekonomi melihat dasar liberalisasi ekonomi negara sudah dimulakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, dasar terbabit lebih jelas haluannya di bawah kepemimpinan Najib. Begitu pun, negara melaksanakan dasar liberalisasi secara berhati-hati dan terkawal.
Perdana Menteri memulakannya pada 22 April lalu apabila mengumumkan liberalisasi 28 subsektor perkhidmatan yang berpotensi tinggi. Ia kemudian diikuti pengumuman liberalisasi kewangan pada 27 April yang dijangka menjadikan bank tempatan lebih kompetitif serta mampu membangun kepakaran bertaraf antarabangsa.
Ia juga akan dapat menarik lebih banyak modal asing serta mampu menjadikan negara hub kewangan Islam. Liberalisasi selanjutnya ialah dalam bidang pelaburan dan ekuiti. Beberapa garis panduan yang tidak lagi relevan dimansuhkan. Antaranya ialah memansuhkan syarat ekuiti 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO) kerana didapati tidak menyediakan ruang berkesan dalam peningkatan modal.
Pemansuhan itu dilihat bertepatan dengan usaha negara yang sudah pun membuka pintu pelaburan dengan pelbagai insentif yang meluas untuk menarik FDI. Selain itu, unsur dinamik dan kerencaman ekonomi global memerlukan keupayaan dan kemampuan Bumiputera dalam perlumbaan ke arah keseimbangan ekuiti.
Satu lagi usaha terserlah Najib untuk membangun ekonomi Bumiputera ialah apabila pada 1 Julai lalu beliau melancarkan Felda Global Ventures Holdings (Felda Global). Felda sinonim dengan pembangunan Melayu di luar bandar sejak 50 tahun lalu.
Felda Global berperanan mengembangkan sayap perniagaan Felda ke luar negara melalui pelaburan dalam pelbagai bidang baru yang berpotensi. Untuk lima tahun akan datang pelaburannya dianggarkan berjumlah RM6 bilion. Apa yang kita harapkan ialah Felda Global akan benar-benar dapat melahirkan ramai usahawan Bumiputera berdaya saing terutama di kalangan peneroka. BH 30 September 2009
No comments:
Post a Comment