Wednesday, September 2, 2009

Bebaskan diri daripada belenggu 'watak tertawan'

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Bangsa jadi gersang tanpa nilai rohani akibat tiru acuan negatif

SAMBUTAN kemerdekaan negara yang ke-52 tahun ini disambut dengan penuh kesederhanaan di perkarangan bangunan Parlimen, kelmarin. Kerajaan memutuskan sambutan kemerdekaan kali ini diadakan secara sederhana kerana mengambil kira penularan wabak H1N1 dan juga untuk menghormati Ramadan.

Sambutan yang berlangsung selama 40 minit itu diisi dengan beberapa acara utama seperti perbarisan dan perarakan. Laungan 'merdeka' dan '1Malaysia' pula mempunyai kesannya yang tersendiri.

Laungan 'merdeka' menjadi roh sambutan kemerdekaan yang dapat mengimbau kembali sejarah perjuangan kemerdekaan negara yang penuh onak dan duri. Laungan '1Malaysia' pula dapat membangkitkan semangat perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum yang hadir pada majlis itu.

Perayaan kemerdekaan adalah sesuatu yang penting buat negara kerana melalui sambutan inilah kita dapat mengenang kembali sejarah perjuangan dan pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air termasuk pasukan keselamatan negara.

Daripada sambutan ini jugalah kita dapat mengenal akar umbi sebenar kewujudan negara-bangsa yang berdaulat pada persada antarabangsa. Apa pun, kemerdekaan tidak sepatutnya difahami sebagai kebebasan daripada penjajahan kuasa asing semata-mata. 'Penjajahan fizikal' sudah lebih setengah abad berlalu tetapi persoalan yang membelenggu kita ialah 'penjajahan minda'.

Penjajahan inilah yang jarang disedari dan difahami kerana ia perkara yang berkaitan dengan fahaman, ideologi, sikap, minda, jiwa dan emosi kita. Elemen utama penjajahan minda dan jiwa bangsa ialah sikap suka meniru tanpa pemikiran yang kritis.

Allahyarham Profesor Datuk Dr Syed Hussein al-Atas dalam tulisannya berjudul 'watak tertawan' di negara membangun menyebut bahawa gejala suka meniru apa saja yang datang dari Barat adalah tabiat atau perangai buruk yang boleh merosakkan jati diri sesuatu bangsa. Gejala buruk itu diistilahkan beliau sebagai 'watak tertawan'. Bagi penulis watak tertawan ini adalah berpunca daripada 'penjajahan minda'.

Tulisan beliau terkandung di dalam buku Pasca Kolonialisme Dalam Pemikiran Melayu (DBP, 2005). Katanya, selepas negara-negara Asia dan Afrika mencapai kemerdekaan (pasca kolonialisme ) wujud satu budaya suka meniru Barat tanpa pemikiran yang kritis. Apa saja yang disogok Barat semua baik, indah dan betul belaka.

Ada dua gejala utama berkaitan watak tertawan ini. Pertama, kesan terlalu meniru tanpa usul periksa dan penilaian kritis menyebabkan suburnya pengaruh budaya Barat yang tidak menguntungkan malah merosakkan masyarakat.

Kedua, ekoran masalah pertama tadi, maka timbullah gejala budaya Barat yang ditiru itu menjadi 'kuasa imperialis' dalam bentuk penjajahan minda dan jiwa anak bangsa kita. Syed Hussein menjelaskan, masalah watak tertawan adalah masalah keperibadian kita yang terlalu mudah terikut-ikut secara membuta tuli.

Ia akhirnya membawa kemusnahan dan kerosakan tamadun dan warisan budaya bangsa itu sendiri. Proses ini berlaku secara tidak disedari akibat ketiadaan pemikiran kritis dan rasional. Tidak salah jika kita meniru budaya yang positif seperti menepati masa, berdisiplin, bekerja keras, rajin membaca dan seumpamanya.

Masalah timbul apabila yang ditiru itu adalah pemikiran asing dan budaya hidup yang dapat menghakis jati diri bangsa yang sepatutnya menjadikan unsur kekuatan utama membangun dan membina kehidupan kita. Watak tertawan menggambarkan kita bukannya bangsa yang suka berfikir menyebabkan kita gagal melahirkan idea bernas dan praktikal.

Kita menjadi bangsa yang tidak berupaya atau tidak mempunyai kebolehan 'meramalkan' terhadap masalah yang akan terjadi akibat peniruan yang membabi buta itu. Kesan suka meniru menyebabkan kita sering dibelenggu masalah yang tidak berkesudahan. Misalnya, dalam pendidikan, sekiranya kita terlalu bergantung sepenuhnya kepada bacaan atau sumber dari Barat tanpa sikap analitik melalui kajian saintifik, maka kita mungkin akan melanjutkan atau mewarisi kesalahan Barat.

Begitu juga dalam meniru model pembangunan Barat yang akhirnya menyebabkan kita dihantui dengan pelbagai masalah lain kesan pelaksanaan model pembangunan yang tidak secocok dengan keadaan dan persekitaran negara. Kesilapan meniru model pembangunan yang tidak tepat itu menyebabkan kita terpaksa membelanjakan wang yang lebih untuk mengatasi masalah yang muncul akibat peniruan itu.

Demikian juga jika peniruan itu membabitkan budaya dan amalan hidup, maka kita sebenarnya mengheret peradaban dan budaya bangsa kepada kemusnahan. Hari ini budaya bangsa kita seolah-olah tidak lagi dihargai kesan daripada watak tertawan.

Generasi muda kita hari ini lebih terpengaruh dengan budaya hidup Barat yang tidak memiliki roh agama dan budaya bangsa yang mulia. Begitu juga dengan pejuang Hak Asasi Manusia yang semakin keliru dengan erti kebebasan yang diperjuangkan mereka kesan sikap tertawan dengan kebebasan acuan Barat.

Mereka yang tersilau dan taksub dengan politik demokrasi-liberal Barat pula berpandangan bahawa kononnya demokrasi-liberal acuan Barat dapat memberikan kebebasan dan keadilan sebenar kepada rakyat.

Hari ini perjuangan politik sedemikian menyebabkan berlakunya kekalutan dalam politik dan sosial kita. Banyak yang diperjuangkan itu cuba merungkai apa yang termaktub dalam perlembagaan negara termasuk 'roh' kontrak sosial yang ada di dalamnya. Kebebasan yang diperjuangkan itu melangkaui asas-asas politik dan kenegaraan yang selama ini sudah diterima di negara ini.

Apakah liberalisme membawa manfaat ke arah memperkasa patriotisme dan nasionalisme serta jati diri kita adalah sesuatu yang perlu diteliti oleh mereka yang taksub atau tertawan dengannya.

Kesimpulannya, watak tertawan menjadi satu masalah besar yang membelenggu minda, mengekang kemajuan intelektual dan merosakkan jati diri sesuatu bangsa. Tidak ada maknanya kita maju jika kita gagal membangun intelektualisme, pemikiran kritis serta memelihara nilai peradaban dan budaya bangsa.

Kita mungkin boleh berbangga dengan kehebatan pembangunan material tetapi bangsa akan gersang daripada nilai rohani kesan peniruan membabi buta terhadap apa yang datang dari dunia Barat sehingga kita memandang ringan persoalan mengenai kemerdekaan minda dan jiwa (rohani). - BH 2/9/09

No comments: