Abdullah Munsyi (1796-1854) Pendeta Zaaba (1895-1973)
-
Melayu sentiasa dikritik untuk berubah
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
-
Catatan sejarah menunjukkan bahawa sejak kurun ke-18 orang Melayu sudah mula dikritik oleh bangsanya sendiri. Abdullah bin Abdulkadir atau Abdullah Munsyi (1796-1854) adalah di antara pengkritik awal masyarakat Melayu. Bukunya Hikayat Abdullah (1840-an) mengandungi pandangan beliau tentang beberapa adat, kepercayaan, budaya kerja dan pemikiran masyarakat Melayu yang difikirkannya kolot sebagi penyebab kepada kemunduran bangsa Melayu. Di antara yang disebutnya ialah kepercayaan kepada hal-hal khurafat dan tahyul, sikap memandang ringan terhadap usaha membaiki mutu hidup dan sifat hasad dengki sesama bangsa.
-
Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Zaaba (1895-1973), tokoh bahasa, budayawan dan cendekiawan Melayu juga mengkritik keras fenomena kemunduran orang Melayu. Pandangan dan kritikan beliau itu boleh diteliti di dalam bukunya Perangai bergantung kepada Diri Sendiri (DBP, 1982). Beliau mengkritik sikap orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri, lemah cita-cita dan terlalu bergantung kepada orang lain serta berkiblatkan taklid buta tanpa memahami tuntutan Islam yang sebenarnya.
-
Pada awal abad ke 20, lahir gerakan kesedaran membela nasib bangsa Melayu ynag dipimpin oleh beberapa tokoh islah dan tajdid seperti Syed Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syeikh Ahmad`Al-Hadi, Hj Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohd Kalim al-Kalali. Golongan yang dikenali sebagai ‘Kaum Muda’ ini lebih responsif terhadap perubahan yang berlaku ketika itu. Mereka menyedari kemunduran umat Melayu bukan sahaja dalam soal sosioekonomi tetapi juga dalam kebekuan ilmu termasuk ilmu agama yang banyak diresapi ajaran-ajaran khufarat yang merugikan orang Melayu.
-
Lidah rasmi mereka, majalah Al-Imam (1906 – 1908) yang diterbitkan di Singapura adalah bertujuan untuk menyedarkan orang Melayu supaya segera melakukan perubahan seperti yang dicatat oleh Abdul Aziz Mat Ton bahawa peranan Al-Imam adalah untuk “mengingatkan mana-mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan mana yag sesat” (Jurnal Sejarah, Jilid XI,1973/73). Malah, Al-Imam ketika itu sudah pun menyeru umat Melayu supaya melihat dan mencontohi pembaharuan yang berlaku di negeri Jepun.
-
Seruan-seruan itu dibuat kerana keadaan hidup orang Melayu pada awal abad ke-20 sangat mundur dalam semua bidang. Demikian juga akhbar Saudara yang diterbitkan sekitar tahun 1928-1941 turut mengkritik umat Melayu disamping membela nasib mereka. Di antara tokoh-tokoh penting penerbitan akhbar terbabit ialah Abdul Rahim Kajai, Mohd Yunus Abdul Hamid, Syed Sheikh al-Hadi dan Syed Alwi bin Syed Sheikh Ahmad al-Hadi. Mereka banyak menyeru orang Melayu supaya memajukan diri dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelbagai kehidupan sosial ynag lain.
-
Sekitar tahun 1930an hingga 1940an pula lahir banyak persatuan dan pertubuhan Melayu yang cuba menyedarkan orang Melayu supaya membuat perubahan. Mereka bergerak dalam berbagai pendekatan dari bercorak kebudayaan, sosial, pendidikan hinggalah kepada bernafaskan perjuangan politik. Ketika orang Melayu disuntik kesedaran oleh pemuka-pemuka tajdid bangsa, masyarakat Cina pula sudah pun aktif dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersumberkan modal serta mementingkan keuntungan.
-
Kelahiran UMNO pada tahun 1946 berjaya menyatukan orang Melayu dari pelbagai pertubuhan itu. Bangsa Melayu mula menunjukkan semangat untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah.Ramai cendekiawan, budayawan, saterawan, usahawan dan agamawan Melayu ketika itu menyokong perjuangan Umno. Umno ketika itu dilihat seperti ’kain putih’ yang bersih dari noda dan kepentingan diri.
-
Untuk menggerakkan minda orang Melayu, maka gabungan tenaga intelektual dan pemimpin politik Melayu diketuai Datuk Senu Abdul Rahman menerbitkan buku Revolusi Mental (1970) yang dihasilkan ketika era Tun Razak (1970-1976). Pada tahun 1970 juga Tun DR. Mahathir menulis sebuah buku yang berjudul The Malays Dilemma yang turut mengkritik kelemahan Melayu.Melayu dilihatnya terpinggir dan dimarjinalisasi di tanah air sendiri sebagai warga kelas dua.
-
Perubahan orang Melayu mula menjadi realiti selepas diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Namun, Setelah 52 tahun mencapai kemerdekaan kita masih terus membicarakan masa depan bangsa Melayu. Bukankah bangsa Melayu telah mengalami anjakan dan transformasi dalam hampir semua bidang kehidupan hasil perjuangan Umno.Memang keadaan bangsa Melayu ketika ini tidaklah seburuk era penjajahan. Kemerdekaan telah memberikan kedaulatan dan kebebasan kepada kita untuk mentadbir dan mengurus negara.
-
Bagaimanapun pelbagai halangan dan cabaran seperti ketirisan dalam pelaksanaan DEB, politikus yang tidak amanah, perpecahan Melayu yang semakin meruncing kesan dari pertelingkahan politik, wujudnya petualang politik Melayu, cabaran ekonomi global dan halangan psikologi bangsa Melayu yang semakin keliru dengan identi dan jati dirinya memerlukan kita merangka dan merencana anjakan baru bagi mengatasi cabaran yang lebih kompleks sifatnya ini. Wujudnya pelbagai masalah itu menyebabkan bangsa Melayu terus dikritik oleh bangsanya sendiri.
-
Tidak salah kita mengkritik diri sendiri selagi ianya bertujuan untuk menimbulkan kesedaran.Apa yang penting ialah pihak yang mengkritik biarlah berpada-pada dalam kritikan, sementara yang dikritik harus bersedia menerima kritikan serta menunjukkan sikap mengakui kesilapan. Namun, pastinya bangsa Melayu berasa terhina apabila kaum lain turut menempelak dan mengkritik beberapa hak keistemewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita masih boleh menerima kritikan yang positif dan membina tetapi bukannya mencabar dan mempersoalkan hak kita.
-
Justeru, cadangan untuk menghapuskan hak Melayu adalah sikap yang melampau. Orang Melayu harus menghadapinya dengan berani tetapi dalam bentuk tindakan yang berstrategi. Ia memerlukan kepemimpina Melayu yang benar-benar beramanah dan memilki minda strategik yang hebat. Sejarah membuktikan bahawa bangsa yang ingin bangkit dari kelemahan dan kejatuhan memerlukan empat kekuatan iaitu keyakinan terhadap kebolehan diri, kepemimpinan yang amanah, solidariti yang mantap dan disiplin yang tinggi. Keempat-empatnya memainkan peranan besar dalam ketahanan bangsa.
(Catatan: BH 9/9/09 - Usah cabar hak Melayu di ruangan rencana ms.19 adalah berkaitan artikel ini. Artikel yang penulis paparkan ini adalah artikel asal penulis ke BH. )
No comments:
Post a Comment