Wednesday, August 26, 2009


Ramadhan peluang untuk menyucikan ’nafs’
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
-
ROHANI adalah komponen penting dalam membentuk kesempurnaan hidup insan. Ia adalah berkaitan dengan ‘nafs’ (jiwa) atau ‘ruh’ manusia. ‘Nafs’ yang diciptakan Allah adalah asalnya sempurna dan suci (al-kahfi:74) boleh menjadi tercemar dan kotor jika tidak dipelihara mengikut petunjuk ilahi. Hal ini dapat difahami dari maksud firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat” (as-Syam:10, Tafsir Pimpinan ar-Rahman).
-
Punca utama pencemaran jiwa manusia adalah disebabkan perbuatan mungkar yang dilakukan. Pengertian mungkar merangkumi maksud derhaka kepada tuhan, melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ibadat dan maksiat yang diharamkan oleh syariat atau tindakan yang diharam serta dibenci oleh syarak. Di kalangan manusia, tahap kekotoran jiwa adalah berbeza antara satu sama lain. Kualiti dan keadaan jiwa (hati) manusia ini boleh difahami dan dicerakinkan katogerinya melalui ayat-ayat al-Quran.
-
Di antara kualiti hati yang disebut al Quran termasuklah hati yang bersih, hati yang bertakwa, hati yang condong kepada kebaikan, hati yang terkunci mati, hati yang berdosa, hati yang lalai, hati yang buta dan hati yang ingkar. Dari kerosakan nafs inilah lahirnya pelbagai kemaksiatan dan kemungkaran dalam masyarakat. Justeru, ramai pemikir agama dan ruhani dari Timur mahupun Barat melihat ‘kegersangan’ hubungan insan dengan penciptanya menjadikan manusia semakin terbeban dengan hambatan hawa nafsu yang tidak puas memburu kebendaan dan keseronokan.
-
Dalam ajaran Islam, proses penyucian jiwa (‘tazkiyyah an-nafs’) adalah jalan terbaik untuk mengembalikan nafs kepada fitrahnya yang sebenar. Ia boleh dilakukan melalui pelbagai bentuk pendidikan (tarbiyyah). Usaha ini bukan sahaja dapat dipandu secara teori malah untuk mendapat impak yang berkesan perlulah kepada amal ibadah atau amal sholeh. Usaha tazkiyyah an-nafs adalah suatu perbuatan terpuji ynag dijanjikan syurga (surah Taha: 75-76). Bagi umat Islam banyak jalan disediakan kepada mereka untuk membersihkan kembali jiwanya.
-
Yang penting ialah adanya kesedaran yang bermula dengan muhasabah diri. Kata ahli sufi, “lihatlah hatimu sendiri” supaya segera mengetahui ehwal Tuhan. Pada hakikatnya semua bentuk ibadah dan amal sholeh yang dianjurkan Islam kepada umatnya mampu menjadi proses tarbiyyah rohaniyyah untuk manusia kembali mendampingkan dirinya kepada Allah SWT. Ibadah puasa adalah di antara jalan berkesan untuk menyegar dan mengembalikan manusia kepada fitrahnya yang sebenar.
-
Puasa yang dilaksanakan dengan sempurna mengikut lunas-lunas al-Quran dan as-Sunnah akan membawa kita kepada matlamat akhir iaitu menjadi insan yang bertakwa (al-Baqarah: 183). Allahyarham Proffesor Dr.Hamka memberi gambaran yang cukup jelas tentang perintah berpuasa. Menurut Pak Hamka perintah puasa seperti juga perintah Allah yang lain bukanlah satu perintah yang kaku dan kering. Perintah mengerjakan puasa, yang diturunkan dari Allah dengan perantaraan RasulNya adalah mengetuk hati, iman dan akidah. Ia menyatukan akal dan perasaan, jiwa dan sanubari; semuanya sekali gus!
-
Jelas kepada kita bahawa puasa yang sempurna mampu menjadi madrasah rohani dan latihan akhlak untuk membina sifat mahmudah (terpuji) dan mencapai takwa. Puasa menjadi jihad melawan hawa nafsu serta perisai dari godaan syaitan.Puasa yang sempurna dapat menjadikan seseorang mukmin merasai diri sentiasa diawasi Allah SWT sama ada ketika bersendirian mahupun di hadapan ramai.
-
Menahan lapar dan dahaga ketika puasa mampu menjernihkan akal sepertimana nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya, “Wahai anakku, jika perut terisi penuh, fikiran akan tidur, hikmah tidak akan muncul dan anggota tubuh akan malas melaksanakan ibadah”.
-
Puasa yang dilakukan dengan penuh ikhlas dan keimanan akan dapat membangkitkan rasa kesepaduan dalam masyarakat kerana ia dapat memupuk mawadah (kasih sayang) , ukhwah, silaturahim, tolong menolong dan rasa persaudaraan sesama Islam.
-
Perasaan lapar dan dahaga dapat menanamkan nilai manusiawi (kemanusiaan) terhadap mereka yang miskin dan tidak bernasib baik. Justeru, ia dapat mencegah rasa tamak haloba, hasad dengki dan sifat zalim sesama manusia.
-
Sejarah Islam turut membuktikan bahawa kesungguhan para sahabat dan mereka yang beriman mengamalkan puasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan dapat membawa kejayaan dalam perjuangan mempertahan dan meperjuangkan ketinggian akidah Islam. Di antara kemenangan yang dicatatkan mereka ialah kemenangan dalam Perang Badar (17 Ramadhan, 2 Hijrah), peristiwa Fathu Makkah (10 Ramadhan, 8 Hijrah) dan Perang Tabuk (Ramadhan, 9 Hijrah).
-
Selain itu, penaklukan Andalusia di mana pasukan tentera muslim pimpinan panglima Tariq bin Zahid menewaskan Roderick dalam ‘Perang Buhairah’ turut berlaku pada 20 Ramadhan, 92 Hijrah.
-
Demikian juga peristiwa ‘Az-Zallaqah’ yang berlaku pada Jumaat, 25 Ramadhan, 479 Hijrah di mana tentera muslim Andalusia pimpinan Yusuf bin Tasyifin berjaya menewaskan tentera Peranchis di sebuah dataran bernama Az-Zalalaqah, Portugal. Peristiwa ‘Ainul Jalut’ di mana tentera muslim pimpinan Sultan Quthuz, Sultan Mamluk Mesir mengalahkan tentera Mongol juga berlaku pada Jumaat, 25 Ramadhan, 658 Hijrah.
-
Kesimpulannya, bulan Ramadhan adalah bulan terbaik untuk umat Islam bermuhasabah dan mendampingkan diri kepada Allah SWT. Untuk mendapat impak yang berkesan dari puasa maka sepanjang bulan Ramadhan harus dipenuhi dengan berbagai amal kebaikan seperti membaca al-Quran, berzikir, berdoa, bersahur, bertarawih, memperbanyak sholat sunat, bersedekah, mengeluarkan zakat fitrah dan beriktikaf di masjid bermula dari malam 20 Ramadhan sehingga akhir Ramadhan dengan harapan akan dikurniakan malam Lailatul Qadar.
-
Amalan puasa juga mesti dijaga dengan sempurna supaya kita tidak tergolong di kalangan orang yang rugi akibat gagal mengawal lidah dari mengumpat dan memfitnah. Rasulullah s.a.w. pernah ditanya, “Apakah yang menyebabkan puasa itu batal?” Lalu baginda menjawab, “bercakap dusta dan mengumpat”.
Selamat berpuasa

No comments: