Thursday, September 4, 2008

Semangat nasionalisme kaum bukan Melayu

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

TULISAN saya minggu lalu bertajuk 'Semangat nasionalisme pencetus kemerdekaan negara' mendapat reaksi daripada salah seorang pembaca. Melalui e-mel yang dikirim, pembaca berkenaan menanyakan tidakkah wujud semangat nasionalisme di kalangan bukan Melayu yang turut menyumbang kepada kemerdekaan negara.

Ia satu soalan yang baik untuk difahami warga Malaysia, terutama generasi muda. Memang tulisan saya minggu lalu menyentuh secara ringkas semangat nasionalisme Melayu sehingga terkuburnya Malayan Union (1946).

Reaksi tegas yang ditunjukkan oleh orang Melayu menyebabkan British menarik balik Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu (1948) melalui perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Melalui perjanjian itu, konsep Persekutuan Tanah Melayu dengan sebuah Kerajaan Pusat, konsep Raja Berperlembagaan dan ciri demokrasi diperkenalkan dan dilaksanakan. Perubahan ini merintis ke arah kemerdekaan tanah air. Perjanjian Persekutuan 1957 yang ditandatangani pada 15 Ogos 1957 melahirkan Perlembagaan Tanah Melayu dan kemudiannya kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957.

Tokoh berbilang kaum seperti Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tan Cheng Lock, Tun H S Lee dan Tun V T Sambanthan adalah tokoh kemerdekaan negara yang dikenang sehingga kini. Tokoh pelbagai kaum ini jugalah bersama-sama bersetuju dengan ‘kontrak sosial’ yang dirangka sebagai elemen penting membina dan menyatu padukan rakyat.

Hari ini, apa yang dipersetujui itu mula dipersoal oleh segolongan generasi muda yang bongkak lagi buta sejarah. Beberapa sarjana seperti Profesor Cheah Boon Kheng melihat selepas perang muncul satu bentuk semangat nasionalisme baru yang dikenali sebagai nasionalisme Malaya.

Ia dicetuskan oleh gabungan Putera-AMCJA (1947). Putera ialah singkatan untuk Pusat Tenaga Rakyat yang dipimpin Ahmad Boestamam sementara AMCJA singkatan untuk Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya pimpinan Tan Cheng Lock.

Gabungan ini bermula melalui penubuhan Jawatankuasa Bertindak 1946 yang diketuai Tan Cheng Lock sebagai Presidennya. Yang perlu difahami ialah gabungan ini terdiri daripada parti berhaluan kiri. Bahkan sebahagian ahli AMCJA sendiri dipengaruhi oleh Parti Komunis Malaya.

Namun, seperti pendapat Prof Cheah bahawa gabungan itu adalah satu usaha awal perjuangan parti politik berlainan kaum dalam satu gabungan atau pakatan. Gabungan itu cuba menghalang perisytiharan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Bagi mereka, Perlembagaan terbabit tidak menggambarkan sifat demokratik serta masih bercirikan penjajahan. Pakatan itu mengusulkan satu cadangan Perlembagaan dikenali sebagai Perlembagaan Rakyat.

Banyak perkara kontroversi berbangkit dalam Perlembagaan Rakyat. Di antaranya ialah kompromi AMCJA menerima cadangan supaya istilah ‘Melayu’ diterima sebagai satu bentuk kerakyatan untuk semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira etnik atau kaum.

Cadangan ini diterima baik oleh Putera tetapi mendapat tentangan kaum Cina dan India yang menganggap ia akan menghapuskan identiti mereka.

Selain itu, walaupun gabungan terbabit menerima kedudukan Raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu, dalam cadangan Perlembagaan Rakyat tidak langsung disentuh perkara berkenaan. Ia sudah tentu menjadi keraguan kepada orang Melayu.

Walaupun gabungan itu cuba membawa satu dimensi baru dalam politik tanah air ketika itu tetapi ia dilihat tidak sesuai. Perjuangan mereka gagal dan Persekutuan Tanah Melayu yang dipersetujui British dan Umno diisytiharkan pada 1948.

Saya amat bersetuju dengan pandangan seorang sarjana bernama James Ongkili yang melihat nasionalisme Malaya yang berkembang secara beransur-ansur pada awal 1950-an membawa kepada terbinanya kerjasama Umno, MCA dan MIC. Justeru, Ongkili menolak gabungan Putera-AMCJA sebagai pengasas kepada nasionalisme Malaya.

Apa pun, bagi saya nasionalisme Melayu harus dipandang sebagai teras nasionalisme Malaya dan perjuangan kemerdekaan. Mengapa? Pertama, secara akar umbinya warisan politik dan budaya Melayu adalah wajah keseluruhan Tanah Melayu berabad lamanya.

Kedua, selama lebih 500 tahun orang Melayu dijajah dan orang Melayu yang bangkit menentang penjajah dengan penuh tenaga dan upaya. Ia lahir daripada semangat cintakan tanah air, bangsa dan agama.

Ketiga, sayugia dimengerti sebelum terkuburnya Malayan Union orang bukan Melayu masih berorientasikan kepada negara asal mereka. Sebahagian kaum bukan Melayu mula menunjukkan semangat nasionalisme apabila negara mula mengorak langkah ke arah kemerdekaan yang menjanjikan hak kerakyatan kepada mereka.

Ingin saya menyokong hujah di atas dengan merujuk kepada tulisan James Ongkili bertajuk The British and Malayan Nationalism, 1946-1957 (dalam JEBAT bil.1,1971/72) yang menyifatkan nasionalisme Malaya adalah kesinambungan daripada semangat nasionalisme Melayu 1946.

--- BH 3/9/08

No comments: