Wednesday, September 17, 2008

PAS dilanda keretakan

’PAS membinasakan diri sendiri’. Itulah ungkapan yang dapat saya luahkan terhadap keretakan yang mula melanda parti tersebut. Semuanya berpunca dari keghairahan parti berkenaan mempercayai impian pembentukan kerajaan baru pada 16 September seperti dicanangkan Ketua Pembangkang yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di kalangan pemimpin tertinggi PAS sendiri telah muncul kenyataan yang beracanggah mengenai omongan kosong Anwar Ibrahim. Mursyidul Am terus mempertahankan ilusi Anwar sementara Presiden Pas menyatakan ia adalah ‘angan-angan Mat Jenin’ semata-mata. Paling menonjol sekarang ini ialah pertelagahan di antara Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali yang juga adalah pengarah pilihanraya parti itu.

Nik Aziz mengkritik keras kenyataan kritikal Mustafa terhadap pembentukan kerajaan 16 September di dalam wawancara Mustafa dengan Harakah dan Utusan Malaysia minggu lalu. Nik Aziz tidak menyenangi kenyataan Mustafa dalam kedua-dua akhbar itu. Kenyataan yang menjadi kontroversi ialah sikap kritikal Mustafa yang berpendapat perubahan kerajaan yang diuar-uarkan Anwar itu tidak mungkin menjadi kenyataan.

Mustafa memberikan alasan bahawa pada 16 September Dewan Rakyat tidak bersidang yang tidak memungkinkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibawa walaupun sekiranya majoriti ahli parlimen menyokong Pakatan Rakyat. Mustafa juga berhujah, secara politiknya tidak pernah terjadi wakil rakyat kerajaan melompat parti untuk menyertai pembangkang.

Mursyidul Am Pas memberikan kritikan keras terhadap kenyataan Mustafa itu dengan menyifatkan Mustafa "sudah menjadi lidah Umno" dan "betul-betul serupa dengan nada presiden Umno". Dalam ceramah di Markaz Tarbiah PAS di Gombak, Ahad lepas, Nik Aziz turut mengulangi kritikannya ke atas Mustafa.

Lebih jauh dari itu, Nik Aziz menyifatkan PAS Terengganu telah tersalah memilih Pesuruhjaya. Melalui beberapa laman blog yang saya tinjau mencatatkan bahawa beberapa kenyataan Nik Aziz yang pedas dan keras tidak dimuatkan dalam edisi terbaru Harakah, akhbar rasmi parti itu. Wan Nordin Wan Yaakob, wartawan Harakah dilaporkan terpaksa menarik balik kenyataan penuh Nik Aziz daripada blognya atas arahan Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang eksekutif akhbar itu.

Berkenaan arahan menarik balik kenyataan Nik Aziz itu, wartawan tersebut mencatatkan dalam blognya (wannordinwanyaakob.blogspot.com), ”Malangnya oleh kerana kebimbangan saya di atas beberapa sebab, saya dengan itu menarik kembali artikel tersebut dengan rasa berat hati dan merasai kebebasan bersuara telah disekat.” Wan Nordin juga merasakan arahan yang dikeluarkan oleh Ahmad Lutfi Othman itu sebenarnya dikeluarkan dalam keadaan yang tersepit.

Harakah kini mula diragui oleh Musrsyidul Am Pas itu. Keraguanya diasaskan kepada tindakan Harakah menyiarkan pandangan Mustafa yang dikatakan membawa ”lidah Umno”. Menurut Nik Aziz sikap dan pendirian Mustafa itu jelas membelakangi keputusan Muktamar.

"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Harakah boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu (Mustafa) yang merupakan pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar," kata Nik Aziz.

Jelaslah bahawa di kalangan pemimpin tertinggi PAS sendiri ada yang meragui usaha pembentukan kerajaan baru yang kononnya akan berlaku pada 16 September. ’916’ telah pun berlalu. Yang peliknya Nik Aziz beria-ia mempertahankan usaha Anwar itu tetapi DAP kelihatan ”relax”. Ini mungking DAP sendiri tidak mempercayai projek Anwar itu. Sikap Nik Aziz juga nampaknya tidak selari dengan Haji Hadi Awang yang jelas melalui kenyatan-kenyataannya menunjukkan Presiden Pas itu tidak mempercayai projek Anwar Ibrahim.

Apa yang berlaku di dalam PAS hari ini adalah akibat terlalu mempercayai perang saraf Anwar. Niat buruk yang keterlaluan untuk melihat Umno-BN hancur akhirnya mula memakan diri sendiri. Kita masih ingat ketika Piliharaya Raya Kecil Permatang Pauh, Pakatan Rakyat dalam satu majlisnya mendoakan kebinasaan individu tertentu dalam Umno serta kehancuran parti Umno. Sekarang apa sudah jadi, mungkinkah doa memakan diri.

Penyakit berpuak sebenarnya telah mula melanda PAS ketika PRU-12 lalu. Ia semakin jelas kelihatan semasa berlangsungnya Muktamar Pas di Ipoh beberapa bulan lalu. Di antara kumpulan yang cuba membina pengaruh di dalam PAS ialah "kumpulan Erdogan". Ia satu kumpulan yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin muda beraliran moderat.

Menurut blog Anti Husam ungkapan "kumpulan Erdogan" adalah nama Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan. Kumpulan ini dipercayai menyokong kuat uasaha muqabalah di antara Pas dan Umno tetapi ia tidak begitu disenangi oleh golongan tertentu di dalam PAS yang ingin memperatahnkan status quo mereka.

Megatrambai

2 comments:

sumandak bayu said...

Kalo dah dalam kepimpinan berlainan kenyataan akhba disiarkan sememangnya jelas mereka dah mula retak ni semua laknat ALLAH s.w.t yang terlalu percaya kepada pembohongan pemimpin bernama ANWAR

Anonymous said...

Terima kasih atas komen.

'Manusia merancang, Tuhan menentukan'. Hakikat sebenar hanya Allah yang tahu.Wallahu'alam.