Thursday, September 18, 2008

Pakatan Rakyat dibelenggu perbezaan ideologi

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

PENUBUHAN Pakatan Rakyat pada 1 April lalu yang dianggotai Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menandakan pembangkang cuba membina satu bentuk pakatan politik yang padu sebagai saingan kepada Barisan Nasional (BN).

Ia sekali gus cuba menawarkan kepada rakyat satu pakatan politik alternatif pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Yang jelas konsep permuafakatan politik BN sudah menjadi inspirasi kepada Pakatan Rakyat. Parti pembangkang yang selama ini memiliki ego tersendiri, kini mula sedar untuk menjadi saingan kepada BN, mereka memerlukan persefahaman dan permuafakatan bagi menjalin ikatan yang kukuh.

Kemenangan mereka mengekalkan penguasaan di Kelantan dan menguasai lima negeri termasuk Wilayah Persekutuan, memberikan suntikan baru kepada mereka untuk terus mara pada pilihan raya akan datang.

Pakatan ini bermula dengan tiga komponen utama parti politik iaitu Pas, DAP dan PKR. Jika kita masih ingat, ketika parti Perikatan yang menggunakan simbol kapal layar ditubuhkan, ia juga terdiri daripada tiga komponen utama parti politik iaitu Umno, MCA dan MIC tetapi komponennya bertambah apabila Perikatan menjadi BN.

Apakah Pakatan Rakyat mampu menggamit parti politik lain untuk bersama mereka, adalah sesuatu yang mungkin dalam dunia politik. Justeru, BN harus melihat pakatan ini sebagai satu cabaran baru supaya strategi berkesan dapat diatur untuk memastikan BN terus unggul sebagai gabungan serta pakatan politik berwibawa.

Anggaplah ini sebagai satu pertarungan politik yang tidak boleh dipandang ringan. Persetujuan penubuhan Pakatan Rakyat dicapai pada mesyuarat antara Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perbincangan mereka dilakukan di pejabat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya. Wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti itu dijangka mengadakan satu konvensyen pada 27 April ini bagi memantapkan pemahaman atas semua dasar yang dipersetujui mereka.

Perkara pokok yang perlu dilihat ialah wujud perbezaan yang ketara antara gabungan BN dan Pakatan Rakyat. BN diasaskan atas permuafakatan tulen bagi kepentingan politik nasional yang bertitik tolak daripada semangat kemerdekaan dan kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum (Umno, MCA dan MIC) ketika itu.

Atas semangat inilah BN berjaya membina perpaduan dan kejayaan besar dalam setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Sebaliknya, gabungan Pakatan Rakyat dilihat lebih berasaskan kepada kepentingan untuk mentadbir kerajaan negeri yang dimenangi mereka pada pilihan raya baru-baru ini. Dalam konteks ini, pakatan terbabit dilihat tidak tulen yang dapat menggambarkan semangat sebenar permuafakatan dan toleransi di kalangan mereka.

Asas hujahnya ialah selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, tiada satu parti pembangkang pun boleh menubuhkan kerajaan negeri, kecuali di Kelantan. Justeru, di negeri yang dimenangi, mereka terpaksa membentuk kerajaan campuran.

Sebagai usaha memperkukuhkan kedudukan mereka, ketiga-tiga parti pembangkang terbabit cuba mewujudkan gabungan yang dikenali Pakatan Rakyat. Tujuan utama adalah bagi membolehkan mereka mentadbir negeri yang dikuasainya secara berkesan. Itu adalah harapan mereka yang bukan mudah untuk dilaksanakan.

Jika sebelum ini, pembangkang sering menuduh BN adalah berasaskan kepada perkauman (merujuk kepada parti Umno, MCA, MIC), maka apa bezanya dengan Pakatan Rakyat. Rakyat tahu Pas dan DAP adalah dua parti yang mewakili kaum tertentu dan kedua-duanya bersifat ekstrem dalam ideologi. Begitu juga PKR dilihat parti yang didominasi orang Melayu.

Nampaknya melalui Pakatan Rakyat ini, Pas dan DAP cuba memulihkan kerjasama antara mereka. PKR pula tidak memiliki ideologi tertentu dan ia lebih fokus memperjuangkan politik sivil dengan menonjolkan imejnya sebagai pembela hak rakyat.

Usaha Pas untuk mempamerkan imej barunya tidak dipercayai oleh DAP. Justeru, tidak hairanlah apabila Karpal Singh meminta Pas melupakan saja hasrat untuk menegakkan negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud.

DAP melalui lidah Karpal mengingatkan Pas supaya menerima realiti bahawa kaum Cina dan India di negara ini tidak dapat menerima undang-undang hudud dan negara Islam yang diperjuangkan Pas.

Karpal berkata, DAP hanya menerima Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub mengikut Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Semua kenyataan terbaru ini dibuatnya selepas beberapa hari penubuhan Pakatan rakyat. Sebagai tindak balas, Nik Aziz menyelar kenyataan Karpal dan menganggapnya memperlekeh usaha Pas membangunkan Islam di negara ini. Ingatan DAP kepada Pas jelas menggambarkan bahawa DAP masih tidak meyakini Pas. Justeru, persoalan ideologi akan terus menjadi isu dan kekangan dalam Pakatan Rakyat.

Persoalan seterusnya ialah parti mana yang akan menjadi teras kepada Pakatan Rakyat? Jika dalam BN, Umno dapat diterima sebagai parti teras oleh barisan komponen politiknya maka bagaimana pula dalam Pakatan Rakyat? Pas pastinya mahu meletakkan dirinya sebagai parti teras. Adakah PKR tiada hasrat yang sama?

Jika mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat berhasrat meletakkan dirinya sebagai parti teras, apakah pula kewajarannya? Ini berbeza dalam BN, kerana Umno diterima sebagai parti teras berasaskan kepada warisan sejarah Melayu di negara ini. Jika mahu menjadikan warisan sejarah sebagai asasnya, maka Pas yang sewajarnya dianggap sebagai parti teras dalam Pakatan Rakyat ini. Soalnya bersediakah PKR dan DAP mengiktirafnya?

Kesimpulannya, sejauh mana Pakatan Rakyat ini mampu bertahan bergantung sepenuhnya kepada semangat setia kawan yang diasaskan kepada permuafakatan dan toleransi tulen sesama mereka.

PKR, DAP dan Pas mesti bersedia secara jujur untuk mengorbankan ideologi politik masing-masing dan ini menjadi prasyarat untuk pakatan terbabit bertahan dan menjadi pesaing politik kepada BN. Pastinya BN akan terus dilihat sebagai gabungan yang masih relevan demi kepentingan politik nasional dan pembangunan negara.


(Artikel ini tersiar di Berita Harian, 12/4/08)

2 comments:

waritarakyat said...

Penubuhan Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)sebenarnya alternatif untuk menentang kerajaan. Sungguhpun begitu, usaha mereka tidak kesampaian kerana perjuangan mereka lebih mementingkan agenda parti masing-masing. Berbeza dengan BN yang mengutamakan pembangunan negara dan kesejahteraan semua rakyat.

Laman Blog Lama (Ada masalah): http://waritarakyat.blogspot.com

Laman Blog Baru :
http://suratrakyat.blogspot.com

Anonymous said...

Terima kasih atas komen waritarakyat. Megat berkongsi sama pandangan tersebut.