Tuesday, May 13, 2008

Bersatu syarat kebangkitan Umno
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Pemimpin wajar elak perpecahan daripada hancurkan bangsa Melayu


UMNO ke mana arahmu? Bagi kebanyakan orang, soalan ini agak ganjil untuk dikaitkan dengan Umno. Bukankah Umno sejak kelahirannya pada 1946 sudah mempunyai arah yang jelas dalam perjuangannya?

Asal perjuangan Umno adalah berjuang untuk bangsa, agama dan watan (tanah air). Selama berpeluang memerintah negara dalam bentuk pakatan politik yang dikenali sebagai Barisan Nasional (BN), Umno menjadi parti yang dilihat hebat dan kuat kekuasaannya.

Tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu, keadaan berubah. Umno dan rakan utamanya dalam BN mula ditolak oleh rakyat, menyebabkan Umno semakin kalut menentukan arah tujunya.

Umno bagaikan orang 'kemamau' (kebingungan) untuk menentukan arah tuju dan masa depannya. Justeru, soalan Umno ke mana arahmu amat sesuai dilontarkan ketika ini.

Umno yang sejak kelahirannya sehingga kini sudah berusaha dan berjuang mengangkat 'karamah' (kemuliaan) dan martabat bangsa Melayu adalah fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan sesiapa pun.

Jika Pas memperjuangkan nasib orang Melayu dalam bentuk retorika yang disandarkan kepada pemikiran Islamnya, Umno memperjuangkannya dalam bentuk praktikal melalui semangat Melayu-Islamnya.

Ketika pada awal kemunculan dan kebangkitannya, Umno bukan saja dilihat membawa obor nasionalisme Melayu, malah nasionalisme ini turut disandarkan kepada semangat dan tuntutan Islam yang menghendaki umat Melayu dibela melalui pendekatan wasathiyyah (pertengahan) tanpa menzalimi kaum atau agama lain. Itulah sifat Umno pada asal kelahiran dan penubuhannya.

Sepanjang perjalanannya dalam mentadbir negara melalui kuasa atau mandat yang diberi rakyat, Umno berpijak kepada realiti masyarakat majmuk di negara ini.

Sebagai parti yang menerima kehadiran masyarakat bukan Melayu yang menjadi sebahagian warga negara serta membentuk rupa bangsa Malaysia yang bersifat pluralis ini, maka Umno tidak mengetepikan sama sekali kepentingan dan hak kaum lain.

Mereka adalah sebahagian daripada warga negara yang turut terikat dengan Perlembagaan negara dan memberikan kesetiaan berasaskan kepada tuntutan negara-bangsa.

Justeru, memahami keadaan inilah Umno dengan bijaksana membentuk konsep perkongsian kuasa melalui apa yang dikenali sebagai BN (asalnya Perikatan) dengan Umno menjadi tunjangnya.

Oleh itu, adalah munasabah Umno memiliki kerusi Parlimen lebih banyak berdasarkan kepada konsep 'bangsa induk' di negara ini.

Sebaik saja mencapai kemerdekaan, Umno berusaha memenuhi tanggung jawab menegakkan maruah bangsa Melayu.

Melalui perkongsian kuasa, Umno berusaha memastikan segala dasar pembangunan negara mengambil kira kepentingan dan kedudukan bangsa Melayu.

Generasi bukan Melayu terdahulu memahami sejarah bangsa Melayu. Mereka juga akur dengan fakta bahawa bangsa Melayu terpinggir disebabkan dasar penjajah yang memencilkan mereka daripada arus ekonomi moden.

Justeru, atas kefahaman inilah mereka menerima konsep 'ketuanan Melayu', kontrak sosial dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Parti Melayu yang lahir hasil perpaduan kukuh orang Melayu (1946) ini dianggap parti 'keramat' oleh bangsanya.

Ia memiliki nilai dan kehebatan yang dapat dibanggakan. Mengambil kira hakikat inilah maka wajar sekali Umno dilihat sebagai warisan bangsa Melayu. Itulah harapan orang Melayu selama ini.

Semalam 11 Mei, Umno menyambut kelahirannya yang ke-62. Ketika menyambut hari kelahiran Umno ke-61 pada 11 Mei 2007, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan harapan Umno akan terus relevan sekurang-kurangnya untuk 50 tahun akan datang bagi mengenap hasrat dan harapan Umno akan berupaya bertahan untuk 100 tahun.

Namun, pilihan raya umum lalu memberikan isyarat sebaliknya. Umno kini terpukul dan tercabar apabila mengalami kemerosotan teruk dalam pilihan raya itu.

Di Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor, ramai calon Umno tumbang sama ada di tangan Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan negeri terbabit jatuh ke tangan pembangkang, termasuk juga di Wilayah Persekutuan.

Umno kini hanya mempunyai 79 kerusi Parlimen, iaitu satu jumlah yang jauh merosot berbanding dengan 11 pilihan raya umum lalu. Jika kita mahu mencampur kerusi Umno, Pas dan kerusi Melayu milik PKR, maka jumlah keseluruhan kerusi Parlimen bagi wakil rakyat Melayu ialah sebanyak 122 kerusi.

Pada perkiraan kita, ia masih banyak tetapi jangan lupa bahawa ia diimbangi oleh parti lain, khususnya di kalangan bukan Melayu.

Selain itu, Umno dan Pas tidak pernah berdamai atau sekurang-kurangnya dokong mendokong dalam hal berkaitan kepentingan bangsa.

Jika pembangkang benar-benar dapat mencipta solidariti dalam bentuk gabungan atau pakatan yang kukuh di kalangan mereka, maka cabaran sengit akan menanti Umno. Namun, kita yakin Umno masih lagi memiliki tenaga dan upaya untuk bangkit semula tetapi dengan syarat Umno mesti segera merawat dan memulih kecederaan serta luka yang dialami berikutan kesan 'tsunami politik'.

Untuk memastikan bendera 'Sang Saka Bangsa' terus menjadi kebanggaan umat Melayu, maka Umno mesti segera mengembalikan kepercayaan dan keyakinan orang Melayu kepadanya. Asas utama yang perlu dilihat ialah perpaduan.

Dalam konteks ini, Umno mesti segera memulihkan perpaduannya. Perpaduan sebagai prasyarat kekuatan perlu menjadi keutamaan dan kemestian. Setakat ini kita melihat pemimpin Umno masih berbalah sesama sendiri.

Ketaatan dan kesetiaan kepada pemimpin tertinggi kelihatan rapuh. Justeru, perpaduan dan setia kepada pemimpin perlu dimantapkan bukan saja di kalangan ahli Umno bahkan seluruh bangsa Melayu di negara ini.

Perpecahan menyebabkan bangsa Melayu terus dilemahkan oleh golongan tertentu yang menunggu peluang untuk berkuasa.

Pemimpin Melayu sama ada daripada Umno, Pas dan PKR sewajarnya melihat perpecahan bangsa sebagai malapetaka yang mampu menghancurkan bangsa Melayu.

Justeru, mereka harus duduk bermuzakarah secara ikhlas demi masa depan bangsa Melayu dan bangsa Malaysia amnya.

Orang Melayu perlu ingat, apa pun corak dan perkembangan masa depan politik tanah air bergantung kepada kekuatan politik Melayu itu sendiri.

Jika politik Melayu lemah, maka kita akan lihat senario politik negara juga akan turut berubah.

Ketika itu arah tujunya mungkin tidak lagi berpihak kepada realiti budaya, agama dan sejarah bangsa Melayu itu sendiri.

Hari ini Umno menjadi rosak dan carca marba pemikiran, dasar dan tindakannya berikutan lahirnya ramai pemimpin dan pengikut 'musang berbulu ayam' yang memiliki agenda peribadi.

Tubuh badan Umno dipenuhi anai-anai yang akan membawa rebah kepadanya.

Apa yang penting ialah Umno mesti istiqamah dan ikhlas dalam mengembalikan perjuangannya. Ini penting bagi memastikan orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya kembali menyokongnya.

Umno juga akan terus berdepan dengan generasi yang semakin kritis dan tajam pemikirannya.

Mereka mampu mencerna perubahan dan perkembangan semasa yang berlaku di sekeliling mereka, sama ada dalam mahupun luar negara. Mereka adalah 'generasi siber' yang kritis terhadap kerajaan.

Harapan kita ialah, walaupun pengaruh globalisasi mempengaruhi perubahan pemikiran generasi muda, dalam keadaan tertentu, demi kelangsungan 'politik Melayu', maka orang Melayu mesti mempunyai semangat kasih dan sayangkan bangsanya.

Perlu diingat bahawa pengisian kecemerlangan ke arah tertegaknya bangsa Melayu yang gemilang bukan dengan retorika semata-mata.

Ia perlu dilaksana berasaskan tanggung jawab memandu bangsa dalam segenap aspek termasuk politik, kemasyarakatan, sosial dan ekonomi.

Justeru, walaupun politik itu penting, Umno tidak harus menekankan politik semata-mata sehingga melupakan tugas membangun aspek sosial, ekonomi, agama, jati diri dan budaya bangsa.

Apa pun telahan kita, masih ramai yang yakin bahawa Umno masih memiliki tenaga dan upaya kepemimpinan yang dapat melaksanakan aspirasi bangsa. Apa yang penting ialah Umno harus memulihkan kecederaan dan luka yang dialami yang menyentap jantung Umno.

Sehingga saat ini denyutan nadinya masih kencang menyebabkan biji matanya berpinar-pinar sehingga hampir pitam jatuh terbujur di batu-bata yang menyakitkan.

Selamat menyambut hari jadi yang ke -62 buat Umno. Semoga Umno mampu bangkit membina kekuatan demi bangsa, agama dan watan (tanah air).

--- Berita Harian 12/5/208

No comments: