Wednesday, May 28, 2008


Krisis dalaman Umno terus cipta kekeliruan


Oleh Mohd Ayop Abd Razid



KEPEMIMPINAN Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dicabar dan diuji lagi dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 83, mengumumkan keluar daripada parti Isnin lalu.


Anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir turut menyokong tindakan bapanya itu, namun beliau membuat keputusan untuk tidak keluar Umno. Sebaliknya, seorang lagi anak bekas Perdana Menteri itu, Datuk Mokhzani, memutuskan untuk keluar Umno bagi mengikut jejak langkah ayahnya.


Dr Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2003 selepas 22 tahun memimpin kerajaan. Beliau melantik Abdullah sebagai penggantinya, tetapi selepas hampir setahun Abdullah berkuasa, Dr Mahathir dengan lantang mengkritiknya.


Abdullah dianggapnya lemah serta gagal meneruskan dasar pemerintahannya. Serangannya pada peringkat awal berkisar kepada soal maruah mengenai kedaulatan negara dalam kes Malaysia dan Singapura, jambatan bengkok, pengaruh tingkat empat Putrajaya dan lain-lain yang sudah dijawab oleh kepemimpinan Abdullah.


Umum melihat tindakan Dr Mahathir itu adalah satu lagi tekanan yang cuba dikenakan ke atas Abdullah supaya meletakkan jawatan selaku Presiden Umno. Ini jelas apabila Dr Mahathir menegaskan bahawa tindakannya itu kerana beliau sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepemimpinan Abdullah sebagai presiden parti dan Perdana Menteri yang dilihatnya gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu.


Pembangkang pula melihat tindakan Dr Mahathir mempunyai kaitan dengan siasatan klip video peguam Datuk V K Lingam dan juga arahan Kabinet supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta terhadap segala tuduhan ke atas individu yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya kes berkenaan.


Bagaimanapun, Dr Mahathir menafikan tindakannya itu ada kaitan dengan perkara terbabit. Pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula memberi komennya bahawa masalah dalaman Umno semakin parah dan jelas tiada harapan untuk pulih.


Pas yang pernah bersama dalam kerajaan campuran BN di era kepemimpinan Allahyarham Datuk Asri Muda berpandangan tindakan Dr Mahathir sebagai mencermin dan membuktikan Umno sudah tidak layak lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi penyelamat negara, bangsa Melayu dan agama Islam.


Itu semua adalah kata-kata musuh politik yang mengandungi serangan psikologi untuk melemahkan ahli Umno. Anwar sendiri pernah dipecat daripada jawatannya dalam kerajaan dan parti oleh Dr Mahathir pada 1998 atas tuduhan salah laku seks dan penyelewengan. Sejak itu Anwar dan Dr Mahathir adalah dua musuh ketat yang nampaknya tidak akan berdamai.


Justeru, ada yang berpendapat tindakan Dr Mahathir yang terus menerus menekan Abdullah adalah disebabkan kebimbangannya terhadap Anwar yang mungkin mengambil kesempatan untuk berkuasa di atas 'kelemahan' Abdullah. Itu tanggapan Dr Mahathir terhadap Abdullah.


Setakat ini, kita tidak tahu sejauh mana kesan desakan Dr Mahathir yang meminta ahli Umno mengikut jejak langkahnya meninggalkan parti itu.


Namun, Dr Mahathir meminta ahli Umno yang keluar parti tidak menyertai mana-mana parti lain dan beliau akan menyertai semula Umno sekiranya Pak Lah melepaskan jawatannya. Masyarakat umum di luar Umno pula terus memperkatakan hal ehwal Umno yang mereka lihat semakin kalut. Kini, orang Melayu bertambah keliru terhadap apa yang berlaku dalam Umno.


Kepemimpinan Umno yang ada sekarang boleh menasihatkan ahlinya bertenang dan tidak mengambil langkah yang boleh merosakkan parti. Tetapi bagaimana pula orang Melayu di luar parti, yang sudah memandang sinis terhadap Umno, terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.


Pergolakan yang berlaku dalam Umno boleh menghilangkan terus keyakinan mereka terhadap Umno, khususnya di kalangan mereka yang menolak Umno dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.


Mereka yang sayangkan Umno pula khuatir mengenai kesan yang bakal terjadi jika ada di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Umno yang menyahut seruan Dr Mahathir untuk keluar parti. Namun, kita boleh berasa lega apabila Ahli Parlimen Umno mengumumkan akan terus menyokong kepemimpinan Abdullah. Begitu juga pergerakan Puteri Umno akan terus menyokong Presiden parti. Malah Majlis Tertinggi (MT) Umno pada mesyuarat khasnya baru-baru ini turut memberi sokongan padu kepada Pak Lah.


Soalan lain ialah tidakkah tindakan Dr Mahathir boleh menghilangkan kepercayaan Ahli Parlimen di luar parti Umno terhadap Umno sehingga memungkinkan tindakan melompat parti seperti mana diharapkan Anwar. Jika ini terjadi, tidakkah akan menyebabkan berlakunya peralihan Kerajaan Pusat kepada Pakatan Rakyat?


Selain itu, rakyat turut keliru dengan kenyataan Tun Musa Hitam bahawa 'duri dalam daging' sudah terkeluar. Rakyat melihat ungkapan Musa ini seolah-olah menganggap Dr Mahathir adalah faktor utama yang mencetuskan masalah dalam Umno.


Rakyat mula bertanya benarkah Dr Mahathir yang diangkat sebagai negarawan dan 'bapa pemodenan' negara serta turut mempunyai jasa dalam Umno di anggap sebagai 'duri dalam daging'. Persoalan ini menimbulkan lagi kekeliruan rakyat terhadap masalah yang melanda Umno.


Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyatakan bahawa Musa tidak sewajarnya menyifatkan tindakan Dr Mahathir keluar Umno bagaikan 'duri dalam daging sudah terkeluar'.


"Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya dikeluarkan kerana Dr Mahathir adalah seorang negarawan yang banyak berjasa kepada pembangunan negara. Perkara ini memang tidak boleh kita nafikan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen kelmarin.


Umno sudah pun menerima kejutan dan pukulan hebat dalam pilihan raya umum lalu selain beberapa parti komponen mengalami kemerosotan sokongan yang besar serta tewas di lima negeri dan juga di Wilayah Persekutuan.


Dr Mahathir mendakwa bahawa Abdullah menghancurkan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC, Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP), dalam pilihan raya umum lalu.


Abdullah dalam reaksinya yang terkejut dengan tindakan Dr Mahathir itu menegaskan bahawa beliau tidak akan tunduk terhadap tekanan bekas bosnya itu supaya melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan.


Bagi Abdullah apa yang penting ialah sokongan majoriti ahli Umno terhadapnya akan menjadi kekuatan kepadanya untuk meneruskan tanggungjawab dan terus berjuang bersama-sama mereka bagi memperkukuhkan kedudukan bangsa.


Pada waktu yang kritikal ini, apa yang penting ialah ketaatan dan kesetiaan ahli Umno untuk terus mendokong pucuk pimpinan parti. Umno perlu menyelesaikan masalahnya melalui musyawarah bukannya berbalah secara terbuka kerana ia tidak melambangkan Umno sebagai satu keluarga.


Justeru, Umno mesti segera mencari formula penyelesaian yang berkesan. Pelbagai konflik yang berlaku dalam parti berkenaan mesti segera diatasi sebelum 'nasi menjadi bubur'.


--- Berita Harian 24/5/2008























































































Tuesday, May 20, 2008


Sistem demokrasi Malaysia terbukti bebas
Oleh Mohd Ayop Abd Razid



HASIL Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu membuktikan bahawa Malaysia sebuah negara demokratik. Ketika menjelangnya pilihan raya umum itu, parti politik yang bertanding bebas melakukan kempen dan serangan terhadap lawannya.

Parti-parti pembangkang lantang dan agresif menyerang Barisan Nasional (BN) dan beberapa peribadi calon BN.

Laungan tuntutan pilihan raya yang adil oleh pembangkang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bergema walaupun suruhanjaya itu selama ini membuktikan kewibawaan serta kecekapannya secara adil dan telus dalam mengendalikan pilihan raya.

Hakikatnya, semua parti politik di negara ini tidak pernah dinafikan hak untuk menyertai proses pilihan raya dan rakyat pula tidak pernah dihalang untuk memilih mana-mana calon atau parti yang disukainya.

Ini dibuktikan melalui keputusan pilihan raya umum itu. Realitinya, hari ini mereka mempunyai suara yang agak besar dalam Parlimen untuk berdepan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Namun, saya yakin sekiranya rakyat terus memberikan kemenangan majoriti dua pertiga kepada BN dan semua negeri kekal di bawah penguasaan BN, maka sudah pasti serangan terhadap SPR dan kerajaan akan menjadi lebih hebat.

Kerajaan akan terus ditempelak dan diserang habis-habisan kononnya tidak melaksanakan proses pilihan raya yang adil.

Begitu juga dengan laungan menuntut demokrasi yang lebih luas sedangkan realiti menunjukkan bahawa selama ini negara sudah berjaya mengekalkan sistem demokrasi yang memberi peluang kepada rakyat melaksanakan segala hak mereka.

Hak asasi warganegara seperti terkandung dalam Perlembagaan dilaksanakan dengan baik di negara ini. Jika pun ada akta tertentu dilaksanakan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ia adalah untuk tujuan maslahah umum.

Segala tuduhan palsu pembangkang seperti kerajaan menyekat hak bersuara, hak untuk berhimpun serta kerajaan dituduh melaksanakan tindakan tidak adil dan telus seperti dalam kes kaum minoriti India (kes Hindraf) adalah tuduhan liar untuk mengaburi mata rakyat.

Namun, kita yakin rakyat dapat melihat dan menilai hakikat sebenarnya terutama selepas mereka sendiri menunjukkan sikap tidak menghormati perlembagaan seperti dalam kes Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa Sultan dan cubaan menghapuskan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Pendemokrasian yang luas diberikan kepada rakyat juga dapat dibuktikan dengan wujudnya banyak badan bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja dan badan pemikir yang kesemuanya bergerak aktif dalam menyumbang kepada pembangunan negara.


Di Malaysia wujud kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan berpersatuan, kebebasan bergerak dan mencari rezeki. Keamanan dan keselamatan terjamin walaupun pembangkang mempertikaikannya.


Tidak ada mana-mana calon parti yang dibom, ditembak atau diserang ketika mengadakan kempen pada musim pilihan raya. Ini membuktikan betapa aman dan demokratiknya Malaysia. Selain itu, kebebasan sosial dikecapi rakyat sudah menjadi landasan kepada transformasi masyarakat ke arah kehidupan lebih bebas tetapi bertanggungjawab.


Pelbagai perkembangan sosial yang berlaku di negara ini seperti perpaduan kaum, pemilikan harta kekayaan secara bebas, pendemokrasian pendidikan, kebebasan membuat pilihan, kebebasan berfikir, beribadat dan mengamalkan adat resam serta memelihara budaya masing-masing menandakan bahawa amalan demokrasi begitu subur di negara ini.


Malah, dalam banyak keadaan negara sedang menuju ke arah liberalisasi. Liberalisasi penting bagi menyediakan rakyat menghadapi perubahan atau transformasi global yang bersifat kompetitif. Justeru, hari ini kerajaan begitu serius menekankan pembangunan modal insan bersifat holistik supaya rakyat dapat bersaing di arena antarabangsa dan seterusnya menentukan kejayaan lebih baik untuk masa depan negara yang lebih cemerlang.


Wawasan politik BN digerakkan sepenuhnya ke arah memperkukuhkan wawasan kenegaraan. Pelbagai dasar dilaksanakan kerajaan selama ini adalah untuk membangun kehidupan rakyat mencerminkan amalan kerajaan yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa.


Dasar kerajaan yang propembangunan bertujuan memelihara kesejahteraan dan kemakmuran hidup rakyat. Golongan terpinggir dan tidak bernasib baik tetap dibela melalui pelbagai program pembasmian kemiskinan dan pemberian bantuan bersifat kebajikan.


Dalam skala yang lebih besar (makro) semua rakyat di negara ini menikmati pelbagai bentuk pemberian subsidi yang disediakan kerajaan. Ini termasuk pemberian buku teks percuma kepada semua rakyat tanpa mengira pendapatan.


Justeru, kita curiga dengan suara pembangkang yang mempertikai amalan demokrasi di negara ini. Hiruk-pikuk mereka yang kononnya mahukan demokrasi lebih adil seolah-olah menggambarkan negara berada di bawah penguasaan pemerintahan diktator yang zalim dan bengis yang mengekang seluruh kehidupan rakyat.


Selama ini mereka mencipta tuduhan palsu yang pada hakikatnya bukan realiti di negara ini. Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku lidah utama pembangkang dan pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerap mempersoal dan mempertikaikan sistem demokrasi di Malaysia.


Beliau menggambarkan kepada rakyat dan dunia bahawa negara ini seolah-olah sebuah negara tirani (kuku besi) yang menutup semua pintu demokrasi kepada rakyatnya. Sikap Anwar ini adalah satu paradok yang wujud dalam dirinya.


-- Berita Harian, 20/5/08























Wednesday, May 14, 2008

Mengembalikan kekuatan bangsa
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Konsep, falsafah 'ketuanan Melayu-Islam' wajar dipertahan, usah dipersenda

NAIB Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat, mahu istilah ketuanan Melayu tidak dibangkitkan lagi kerana bimbang ia akan menimbulkan perasaan kurang selesa dan salah faham di kalangan kaum lain. Katanya, istilah itu yang sering dibangkitkan sejak akhir-akhir ini, tiada kaitan dengan kedudukan dan hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Bagaimanapun, ungkapan ketuanan Melayu yang melambangkan hak Raja-Raja sebagai pemerintah negara ini tidak wajar dipolitikkan sebagai isu perkauman sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat majmuk di sini. Seperti kata Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, ketuanan Melayu dalam konteks sejarah bermakna kedudukan tanah Melayu sebagai milik Raja-Raja Melayu harus dihormati keseluruhan rakyat.

"Ketuanan Melayu bukan bermakna orang lain atau kaum lain menjadi hamba, sebaliknya ini hanya pengiktirafan kepada kuasa Raja-Raja. Pada hakikatnya, hanya seseorang berketurunan Melayu boleh menjadi Raja. Namun, ini tidak bermakna kaum lain tidak boleh menerima institusi Raja ini. Jika di England orang boleh menerima Ratu Elizabeth kenapa tidak di sini," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pula berkata jika rakyat negara ini menafikan ketuanan Melayu, sama seperti menolak kewujudan Raja Melayu di Malaysia

"Istilah ini tidak perlu dibincangkan apatah lagi mahu dihapuskan kerana hakikatnya ialah berkaitan kedudukan Raja-Raja Melayu. Apa yang perlu dipertikaikan?" katanya seperti dilaporkan media.

Memang diakui perpaduan Melayu sudah menjadi mauduk utama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, baru-baru ini. Kedaulatan dan politik Melayu dilihat sesetengah pemimpin Melayu berada dalam 'kecemasan' berikutan wujudnya trend penolakan orang Melayu terhadap Umno, parti yang dilihat banyak berjasa kepada masyarakat Melayu.

Pandangan ini nampaknya dikongsi bersama bukan saja di kalangan pemimpin politik Melayu, bahkan juga di kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan cendekiawan Melayu.

Agenda yang menjadi keutamaan ialah perpaduan dan 'ketuanan Melayu'. Saya lebih gemar menambah atau menggabungkan perkataan Melayu dan Islam menjadi 'Ketuanan Melayu-Islam'. Lojiknya ialah Melayu tanpa Islam akan menjadikan 'bangsa' sebagai ideologi utama yang mungkin melahirkan semangat perkauman keras dan ekstrem.

Sebaliknya, jika perjuangan kita dihubungkan dengan Islam, maka Islam akan memandu kita ke arah keadilan dan kesejahteraan.

Asas utama pengukuhan orang Melayu ialah perpaduan. Justeru, kita wajar merenung ayat 4 daripada Surah As-Saaf yang dengan terang menyatakan bahawa Allah SWT menyukai dan mengasihi barisan (jemaah) yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan kukuh.

Apa yang dinyatakan dalam al-Quran itu adalah berkaitan dengan perpaduan atau ukhwah Islamiyyah. Ia adalah teras dalam berjihad, dalam apa bentuk jihad sekali pun. Memperkukuh politik Melayu-Islam supaya tidak mudah diperkotak katikkan oleh musuh adalah juga jihad yang harus diperjuangkan oleh orang Melayu.

Dalam konteks politik, Umno dan Pas perlu mencari jalan untuk bersatu dengan mengetepikan fahaman politik masing-masing. Walaupun Umno dan Pas berbeza dari segi pendekatan politik, kedua-duanya mempunyai beberapa persamaan asas, iaitu bangsa dan agama.

Namun, wajar juga pemimpin Melayu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) duduk sama demi masa depan orang Melayu. Demikian juga perpaduan Melayu tidak harus terbatas kepada Melayu di Semenanjung saja, malah mesti merangkumi Melayu di Sabah dan Sarawak.

Walaupun kita mungkin berbeza dari segi pendekatan politik, mengapa tidak kita bersatu atas kepentingan bangsa dan agama? Yang penting sentimen kebencian wajar diketepikan. Walaupun Umno masih berkuasa, parti ini harus menanggalkan sifat egonya terhadap Pas.

Begitu juga Pas yang mendakwa ia lebih Islamik perlu membuang sifat egonya terhadap Umno. Dalam hal ini, kaedah terbaik yang diajar Islam ialah muzakarah. Apa ruginya kita bermuzakarah jika ia diniatkan kerana Allah dan demi kepentingan bangsa dan watan. Orang bukan Melayu tidak harus curiga. Selama ini mereka bebas mengamalkan agama dan budaya yang diwarisinya. Mereka juga aktif berpolitik dan semakin memperkukuhkan kedudukan dalam politik tanah air.

Bersatunya Melayu bukan untuk menzalimi orang (kaum) lain. Asas perpaduan Melayu adalah Islam dan Islam adalah agama yang menekankan keadilan. Justeru, tiada sebab orang bukan Melayu perlu bimbang dengan usaha menyatukan orang Melayu. Tanpa menafikan Islam turut dianuti kaum lain di negara ini, kedudukan orang Melayu sebagai penganut utama Islam sudah menjadi teras kepada keseimbangan dan kestabilan struktur masyarakat Malaysia.

Justeru, kekuatan dan perpaduan orang Melayu menjadi wajib bagi menjamin keharmonian dan perpaduan negara. Ia juga penting bagi memastikan Islam terus dipertahankan. Perpaduan sebagai prasyarat kekuatan perlu menjadi keutamaan dan kemestian.

Ia perlu dimantapkan oleh seluruh bangsa Melayu di negara ini. Perpecahan menyebabkan bangsa Melayu terus dilemahkan oleh golongan tertentu yang memiliki agenda peribadi. Kita tidak nafikan sukar untuk menyatukan seluruh bangsa Melayu.

Semua bangsa di dunia demikian keadaannya. Namun, kita perlu mengecilkan perbalahan dan perpecahan sesama kita supaya tidak menjejaskan keseluruhan entiti kita sebagai satu bangsa.

Pemimpin Melayu daripada Umno, Pas dan PKR wajar melihat perpecahan bangsa sebagai malapetaka yang dapat menghancurkan bangsa dan agama. Orang Melayu perlu ingat, apa pun corak dan perkembangan masa depan politik tanah air adalah bergantung kepada kekuatan politik Melayu.

Jika politik Melayu menjadi lemah, maka kita akan lihat senario politik negara juga akan turut berubah dan ketika itu arah tujunya mungkin tidak lagi berpihak kepada realiti budaya serta sejarah bangsa Melayu itu sendiri. Usaha mendaulatkan Islam juga akan terhalang dan kita mungkin senasib dengan bangsa Palestin.

Penghayatan terhadap konsep dan falsafah 'ketuanan Melayu-Islam' wajar dipertahankan dan jangan dipersendakan, khususnya di kalangan generasi muda Melayu. Walaupun pengaruh globalisasi mempengaruhi perubahan pemikiran generasi muda, dalam keadaan tertentu, demi kelangsungan 'politik Melayu-Islam', maka orang Melayu mesti mempunyai semangat kasih dan sayangkan bangsanya.

Kasih dan sayangkan bangsa adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Hampir semua bangsa maju di rantau sebelah sini seperti Jepun, Korea dan China terus memperkukuhkan jati diri dan semangat nasionalisme mereka.

Bangsa kita pula ke mana? Apakah Melayu akan terus kekal mewarisi tanah air dan hak serta warisan asal mereka? Apa pun keadaannya, Melayu mesti menjadi bangsa dominan dalam politik dan pemerintahan negara.

Ingatlah 'sejarah adalah guru' sesuatu bangsa. Negara haram Israel dibina di atas semangat sejarah kenabian yang diyakininya. Al-Quran juga mengajar kita mengembara (melancong) ke bahagian lain dunia ini untuk melihat dan mengambil iktibar daripada kesan sejarah yang berlaku ke atas umat terdahulu.

Fakta sejarah dengan jelas meletakkan Melayu adalah 'bangsa induk' (bangsa pribumi). Sejak berabad lamanya kerajaan Melayu-Islam sudah wujud di rantau Nusantara (alam Melayu), termasuk di Tanah Melayu.

Memang benar sebelum kedatangan Islam, kerajaan Melayu-Hindu melingkungi alam Melayu tetapi penerimaan Islam menukar akidah, pemikiran, budaya dan watak Melayu ke arah yang lebih dinamik dan berjiwa. Roh akidah tauhid menukar pandangan hidup orang Melayu dengan begitu pesat sekali.

Ingatlah, atas kesedaran faktor warisan dan hak inilah maka Malayan Union (1946) yang cuba merungkai hak dan warisan orang Melayu ditentang habis-habisan. Namun, perlu diingat bahawa pengisian kecemerlangan ke arah bangsa Melayu yang gemilang bukan dengan retorika semata-mata. Ia perlu dilaksanakan berasaskan tanggungjawab memandu bangsa dalam segenap aspek termasuk politik, kemasyarakatan, sosial dan ekonomi.

-- Berita Harian, Rabu 14/5/2008

Tuesday, May 13, 2008

Bersatu syarat kebangkitan Umno
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Pemimpin wajar elak perpecahan daripada hancurkan bangsa Melayu


UMNO ke mana arahmu? Bagi kebanyakan orang, soalan ini agak ganjil untuk dikaitkan dengan Umno. Bukankah Umno sejak kelahirannya pada 1946 sudah mempunyai arah yang jelas dalam perjuangannya?

Asal perjuangan Umno adalah berjuang untuk bangsa, agama dan watan (tanah air). Selama berpeluang memerintah negara dalam bentuk pakatan politik yang dikenali sebagai Barisan Nasional (BN), Umno menjadi parti yang dilihat hebat dan kuat kekuasaannya.

Tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu, keadaan berubah. Umno dan rakan utamanya dalam BN mula ditolak oleh rakyat, menyebabkan Umno semakin kalut menentukan arah tujunya.

Umno bagaikan orang 'kemamau' (kebingungan) untuk menentukan arah tuju dan masa depannya. Justeru, soalan Umno ke mana arahmu amat sesuai dilontarkan ketika ini.

Umno yang sejak kelahirannya sehingga kini sudah berusaha dan berjuang mengangkat 'karamah' (kemuliaan) dan martabat bangsa Melayu adalah fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan sesiapa pun.

Jika Pas memperjuangkan nasib orang Melayu dalam bentuk retorika yang disandarkan kepada pemikiran Islamnya, Umno memperjuangkannya dalam bentuk praktikal melalui semangat Melayu-Islamnya.

Ketika pada awal kemunculan dan kebangkitannya, Umno bukan saja dilihat membawa obor nasionalisme Melayu, malah nasionalisme ini turut disandarkan kepada semangat dan tuntutan Islam yang menghendaki umat Melayu dibela melalui pendekatan wasathiyyah (pertengahan) tanpa menzalimi kaum atau agama lain. Itulah sifat Umno pada asal kelahiran dan penubuhannya.

Sepanjang perjalanannya dalam mentadbir negara melalui kuasa atau mandat yang diberi rakyat, Umno berpijak kepada realiti masyarakat majmuk di negara ini.

Sebagai parti yang menerima kehadiran masyarakat bukan Melayu yang menjadi sebahagian warga negara serta membentuk rupa bangsa Malaysia yang bersifat pluralis ini, maka Umno tidak mengetepikan sama sekali kepentingan dan hak kaum lain.

Mereka adalah sebahagian daripada warga negara yang turut terikat dengan Perlembagaan negara dan memberikan kesetiaan berasaskan kepada tuntutan negara-bangsa.

Justeru, memahami keadaan inilah Umno dengan bijaksana membentuk konsep perkongsian kuasa melalui apa yang dikenali sebagai BN (asalnya Perikatan) dengan Umno menjadi tunjangnya.

Oleh itu, adalah munasabah Umno memiliki kerusi Parlimen lebih banyak berdasarkan kepada konsep 'bangsa induk' di negara ini.

Sebaik saja mencapai kemerdekaan, Umno berusaha memenuhi tanggung jawab menegakkan maruah bangsa Melayu.

Melalui perkongsian kuasa, Umno berusaha memastikan segala dasar pembangunan negara mengambil kira kepentingan dan kedudukan bangsa Melayu.

Generasi bukan Melayu terdahulu memahami sejarah bangsa Melayu. Mereka juga akur dengan fakta bahawa bangsa Melayu terpinggir disebabkan dasar penjajah yang memencilkan mereka daripada arus ekonomi moden.

Justeru, atas kefahaman inilah mereka menerima konsep 'ketuanan Melayu', kontrak sosial dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Parti Melayu yang lahir hasil perpaduan kukuh orang Melayu (1946) ini dianggap parti 'keramat' oleh bangsanya.

Ia memiliki nilai dan kehebatan yang dapat dibanggakan. Mengambil kira hakikat inilah maka wajar sekali Umno dilihat sebagai warisan bangsa Melayu. Itulah harapan orang Melayu selama ini.

Semalam 11 Mei, Umno menyambut kelahirannya yang ke-62. Ketika menyambut hari kelahiran Umno ke-61 pada 11 Mei 2007, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan harapan Umno akan terus relevan sekurang-kurangnya untuk 50 tahun akan datang bagi mengenap hasrat dan harapan Umno akan berupaya bertahan untuk 100 tahun.

Namun, pilihan raya umum lalu memberikan isyarat sebaliknya. Umno kini terpukul dan tercabar apabila mengalami kemerosotan teruk dalam pilihan raya itu.

Di Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor, ramai calon Umno tumbang sama ada di tangan Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan negeri terbabit jatuh ke tangan pembangkang, termasuk juga di Wilayah Persekutuan.

Umno kini hanya mempunyai 79 kerusi Parlimen, iaitu satu jumlah yang jauh merosot berbanding dengan 11 pilihan raya umum lalu. Jika kita mahu mencampur kerusi Umno, Pas dan kerusi Melayu milik PKR, maka jumlah keseluruhan kerusi Parlimen bagi wakil rakyat Melayu ialah sebanyak 122 kerusi.

Pada perkiraan kita, ia masih banyak tetapi jangan lupa bahawa ia diimbangi oleh parti lain, khususnya di kalangan bukan Melayu.

Selain itu, Umno dan Pas tidak pernah berdamai atau sekurang-kurangnya dokong mendokong dalam hal berkaitan kepentingan bangsa.

Jika pembangkang benar-benar dapat mencipta solidariti dalam bentuk gabungan atau pakatan yang kukuh di kalangan mereka, maka cabaran sengit akan menanti Umno. Namun, kita yakin Umno masih lagi memiliki tenaga dan upaya untuk bangkit semula tetapi dengan syarat Umno mesti segera merawat dan memulih kecederaan serta luka yang dialami berikutan kesan 'tsunami politik'.

Untuk memastikan bendera 'Sang Saka Bangsa' terus menjadi kebanggaan umat Melayu, maka Umno mesti segera mengembalikan kepercayaan dan keyakinan orang Melayu kepadanya. Asas utama yang perlu dilihat ialah perpaduan.

Dalam konteks ini, Umno mesti segera memulihkan perpaduannya. Perpaduan sebagai prasyarat kekuatan perlu menjadi keutamaan dan kemestian. Setakat ini kita melihat pemimpin Umno masih berbalah sesama sendiri.

Ketaatan dan kesetiaan kepada pemimpin tertinggi kelihatan rapuh. Justeru, perpaduan dan setia kepada pemimpin perlu dimantapkan bukan saja di kalangan ahli Umno bahkan seluruh bangsa Melayu di negara ini.

Perpecahan menyebabkan bangsa Melayu terus dilemahkan oleh golongan tertentu yang menunggu peluang untuk berkuasa.

Pemimpin Melayu sama ada daripada Umno, Pas dan PKR sewajarnya melihat perpecahan bangsa sebagai malapetaka yang mampu menghancurkan bangsa Melayu.

Justeru, mereka harus duduk bermuzakarah secara ikhlas demi masa depan bangsa Melayu dan bangsa Malaysia amnya.

Orang Melayu perlu ingat, apa pun corak dan perkembangan masa depan politik tanah air bergantung kepada kekuatan politik Melayu itu sendiri.

Jika politik Melayu lemah, maka kita akan lihat senario politik negara juga akan turut berubah.

Ketika itu arah tujunya mungkin tidak lagi berpihak kepada realiti budaya, agama dan sejarah bangsa Melayu itu sendiri.

Hari ini Umno menjadi rosak dan carca marba pemikiran, dasar dan tindakannya berikutan lahirnya ramai pemimpin dan pengikut 'musang berbulu ayam' yang memiliki agenda peribadi.

Tubuh badan Umno dipenuhi anai-anai yang akan membawa rebah kepadanya.

Apa yang penting ialah Umno mesti istiqamah dan ikhlas dalam mengembalikan perjuangannya. Ini penting bagi memastikan orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya kembali menyokongnya.

Umno juga akan terus berdepan dengan generasi yang semakin kritis dan tajam pemikirannya.

Mereka mampu mencerna perubahan dan perkembangan semasa yang berlaku di sekeliling mereka, sama ada dalam mahupun luar negara. Mereka adalah 'generasi siber' yang kritis terhadap kerajaan.

Harapan kita ialah, walaupun pengaruh globalisasi mempengaruhi perubahan pemikiran generasi muda, dalam keadaan tertentu, demi kelangsungan 'politik Melayu', maka orang Melayu mesti mempunyai semangat kasih dan sayangkan bangsanya.

Perlu diingat bahawa pengisian kecemerlangan ke arah tertegaknya bangsa Melayu yang gemilang bukan dengan retorika semata-mata.

Ia perlu dilaksana berasaskan tanggung jawab memandu bangsa dalam segenap aspek termasuk politik, kemasyarakatan, sosial dan ekonomi.

Justeru, walaupun politik itu penting, Umno tidak harus menekankan politik semata-mata sehingga melupakan tugas membangun aspek sosial, ekonomi, agama, jati diri dan budaya bangsa.

Apa pun telahan kita, masih ramai yang yakin bahawa Umno masih memiliki tenaga dan upaya kepemimpinan yang dapat melaksanakan aspirasi bangsa. Apa yang penting ialah Umno harus memulihkan kecederaan dan luka yang dialami yang menyentap jantung Umno.

Sehingga saat ini denyutan nadinya masih kencang menyebabkan biji matanya berpinar-pinar sehingga hampir pitam jatuh terbujur di batu-bata yang menyakitkan.

Selamat menyambut hari jadi yang ke -62 buat Umno. Semoga Umno mampu bangkit membina kekuatan demi bangsa, agama dan watan (tanah air).

--- Berita Harian 12/5/208

Sunday, May 11, 2008

Al-Bayan (1)

‘Build our faith through the mind of Al-Quran’





Islam is the religion preached by all the prophets of God. Islam is the religion of truth. God said: “Say, (O Muhammad) we believe in God, and in the revelation given to us, and to Abraham, Ishmael, Isaac, Jacob and the Tribes. We believe in the revelation that was sent to Moses, Jesus and all other prophets from their Lord. We make no distinction between them and to Him we surrender (The Qur’an: 3:83 & 2:136).
Basically, Islam denotes submission, surrender and obedience. Another literally meaning of the word Islam is “peace”; signifies that man can only achieve real peace through submission and obedience to Allah.
Allah is the Lord and Sovereign of the Universe. He is the Lord of the Universe which He alone sustains. He created man and prescribed a certain code of life but has at the same time conferred upon man freedom of choice.
The Kalimah (Article of faith) “Lailaha illa’l-Lah” (There is no God except Allah) presents the concept of Tawheed (Oneness of Good) and the second part of Kalimah, “Muhammad-ur-Rasu’l-Lah (Muhammad is His Prophet) affirms the prophethood of Muhammad (peace be upon him).
When faith enters our heart, it causes certain mental states which resulted to essence of Ibada (Worshipping or serving God).
- megatrambai

Saturday, May 10, 2008

Pakatan Rakyat dibelenggu perbezaan ideologi
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

PENUBUHAN Pakatan Rakyat pada 1 April lalu yang dianggotai Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menandakan pembangkang cuba membina satu bentuk pakatan politik yang padu sebagai saingan kepada Barisan Nasional (BN).

Ia sekali gus cuba menawarkan kepada rakyat satu pakatan politik alternatif pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Yang jelas konsep permuafakatan politik BN sudah menjadi inspirasi kepada Pakatan Rakyat. Parti pembangkang yang selama ini memiliki ego tersendiri, kini mula sedar untuk menjadi saingan kepada BN, mereka memerlukan persefahaman dan permuafakatan bagi menjalin ikatan yang kukuh.

Kemenangan mereka mengekalkan penguasaan di Kelantan dan menguasai lima negeri dan Wilayah Persekutuan, memberikan suntikan baru kepada mereka untuk terus mara pada pilihan raya akan datang.

Pakatan ini bermula dengan tiga komponen utama parti politik iaitu Pas, DAP dan PKR. Jika kita masih ingat, ketika parti Perikatan yang menggunakan simbol kapal layar ditubuhkan, ia juga terdiri daripada tiga komponen utama parti politik iaitu Umno, MCA dan MIC tetapi komponennya bertambah apabila Perikatan menjadi BN.

Apakah Pakatan Rakyat mampu menggamit parti politik lain untuk bersama mereka, adalah sesuatu yang mungkin dalam dunia politik. Justeru, BN harus melihat pakatan ini sebagai satu cabaran baru supaya strategi berkesan dapat diatur untuk memastikan BN terus unggul sebagai gabungan serta pakatan politik berwibawa.

Anggaplah ini sebagai satu pertarungan politik yang tidak boleh dipandang ringan. Persetujuan penubuhan Pakatan Rakyat dicapai pada mesyuarat antara Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Perbincangan mereka dilakukan di pejabat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya. Wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti itu dijangka mengadakan satu konvensyen pada 27 April ini bagi memantapkan pemahaman atas semua dasar yang dipersetujui mereka.

Perkara pokok yang perlu dilihat ialah wujud perbezaan yang ketara antara gabungan BN dan Pakatan Rakyat. BN diasaskan atas permuafakatan tulen bagi kepentingan politik nasional yang bertitik tolak daripada semangat kemerdekaan dan kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum (Umno, MCA dan MIC) ketika itu.

Atas semangat inilah BN berjaya membina perpaduan dan kejayaan besar dalam setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Sebaliknya, gabungan Pakatan Rakyat dilihat lebih berasaskan kepada kepentingan untuk mentadbir kerajaan negeri yang dimenangi mereka pada pilihan raya baru-baru ini. Dalam konteks ini, pakatan terbabit dilihat tidak tulen yang dapat menggambarkan semangat sebenar permuafakatan dan toleransi di kalangan mereka.
Asas hujahnya ialah selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, tiada satu parti pembangkang pun boleh menubuhkan kerajaan negeri, kecuali di Kelantan. Justeru, di negeri yang dimenangi, mereka terpaksa membentuk kerajaan campuran.

Sebagai usaha memperkukuhkan kedudukan mereka, ketiga-tiga parti pembangkang terbabit cuba mewujudkan gabungan yang dikenali Pakatan Rakyat. Tujuan utama adalah bagi membolehkan mereka mentadbir negeri yang dikuasainya secara berkesan. Itu adalah harapan mereka yang bukan mudah untuk dilaksanakan.

Jika sebelum ini, pembangkang sering menuduh BN adalah berasaskan kepada perkauman (merujuk kepada parti Umno, MCA, MIC), maka apa bezanya dengan Pakatan Rakyat. Rakyat tahu Pas dan DAP adalah dua parti yang mewakili kaum tertentu dan kedua-duanya bersifat ekstrem dalam ideologi. Begitu juga PKR dilihat parti yang didominasi orang Melayu.

Nampaknya melalui Pakatan Rakyat ini, Pas dan DAP cuba memulihkan kerjasama antara mereka. PKR pula tidak memiliki ideologi tertentu dan ia lebih fokus memperjuangkan politik sivil dengan menonjolkan imejnya sebagai pembela hak rakyat.

Usaha Pas untuk mempamerkan imej barunya tidak dipercayai oleh DAP. Justeru, tidak hairanlah apabila Karpal Singh meminta Pas melupakan saja hasrat untuk menegakkan negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud.

DAP melalui lidah Karpal mengingatkan Pas supaya menerima realiti bahawa kaum Cina dan India di negara ini tidak dapat menerima undang-undang hudud dan negara Islam yang diperjuangkan Pas.

Karpal berkata, DAP hanya menerima Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub mengikut Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Semua kenyataan terbaru ini dibuatnya selepas beberapa hari penubuhan Pakatan rakyat. Sebagai tindak balas, Nik Aziz menyelar kenyataan Karpal dan menganggapnya memperlekeh usaha Pas membangunkan Islam di negara ini. Ingatan DAP kepada Pas jelas menggambarkan bahawa DAP masih tidak meyakini Pas. Justeru, persoalan ideologi akan terus menjadi isu dan kekangan dalam Pakatan Rakyat.

Persoalan seterusnya ialah parti mana yang akan menjadi teras kepada Pakatan Rakyat? Jika dalam BN, Umno dapat diterima sebagai parti teras oleh barisan komponen politiknya maka bagaimana pula dalam Pakatan Rakyat? Pas pastinya mahu meletakkan dirinya sebagai parti teras. Adakah PKR tiada hasrat yang sama?

Jika mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat berhasrat meletakkan dirinya sebagai parti teras, apakah pula kewajarannya? Ini berbeza dalam BN, kerana Umno diterima sebagai parti teras berasaskan kepada warisan sejarah Melayu di negara ini.

Jika mahu menjadikan warisan sejarah sebagai asasnya, maka Pas yang sewajarnya dianggap sebagai parti teras dalam Pakatan Rakyat ini. Soalnya bersediakah PKR dan DAP mengiktirafnya?

Kesimpulannya, sejauh mana Pakatan Rakyat ini mampu bertahan bergantung sepenuhnya kepada semangat setia kawan yang diasaskan kepada permuafakatan dan toleransi tulen sesama mereka.

PKR, DAP dan Pas mesti bersedia secara jujur untuk mengorbankan ideologi politik masing-masing dan ini menjadi prasyarat untuk pakatan terbabit bertahan dan menjadi pesaing politik kepada BN. Pastinya BN akan terus dilihat sebagai gabungan yang masih relevan demi kepentingan politik nasional dan pembangunan negara.
-- Berita Harian 12/4/08

Friday, May 9, 2008

Renungan buat UMNO

Mao Zedong pernah berkata “Politik adalah peperangan tanpa darah, dan jika mana-mana pihak tidak sedar bahawa satu peperangan telah bermula, maka terimalah padahnya”.

Kita mengambil kata-kata ini bukan bermakna kita taksub kepada pemimpin komunis tersebut tetapi intipati yang berkaitan dengan liku-liku politik itulah yang harus kita renungkan. Buktinya, PRU-12 telah memberi isyarat bahawa pembangkang telah membina fasa pertama kemenangan mereka. Pada 1 April lalu mereka telah berjaya membentuk gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

Mereka pasti mahu mencipta kejayaan untuk fasa selanjutnya, khusunya dalam PRU-13 nanti. Jika percaturan dan strategi mereka berkesan dan mengena maka nantikanlah kehancuran Umno ketika itu. Mungkin ketika itu orang melayu ada alternatif untuk bersatu di bawah bendera Pas – “sesungguhnya Allah maha berkuasa dan ia meberikan kuasa kepada sesiapa yang dikehendakiNya”. Itu jika beralih kuasa kepada PAS kalau beralih kepada bukan melayu bagaimana?


Selamat menyambut hari jadi yang ke -62 buat Umno. Semoga Umno mampu bangkit membina kekuatan demi bangsa, agama dan watan (tanah air).
Setelah Rakyat Menghukum UMNO-BN

(mohd ayop abd razid ) - www.republika.co.id / www.republikaonline.com

Hasil Pemilu ke-12 sarat masalah dan teka-teki. Semuanya bersumber dari dampak 'tsunami politik' yang menumbangkan empat negara bagian milik UMNO-BN ke tangan oposisi.

Empat partai komponen Barisan Nasional (BN) yaitu UMNO, MCA, MIC, dan Gerakan, menerima kejutan besar karena banyak calon yang diajukan kalah. Presiden MIC, Samy Vellu dan Pemangku Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon, kalah di tangan lawan masing-masing.

Hasil pemilu menimbulkan banyak pertanyaan mengenai arah dan masa depan politik Malaysia. Sekarang, sudah terdengar pendapat yang menyatakan bahwa Pemilu ke-12 mungkin merupakan perintis sistem dua partai seperti di Inggris dan Amerika Serikat.

Di Inggris ada dua partai yaitu Partai Buruh dan Partai Konservatif. Di AS, Partai Republik dan partai Demokrat. Di dua negara maju itu, kedua partai sering bertukar peran: menjadi pemerintah atau oposisi. Jika dilihat dari dinamisme politik Malaysia seperti pada pemilu kali ini, tidak mustahil semua itu terjadi.

Ada juga yang melihat Pemilu ke-12 menjadi 'revolusi kejam' karena rakyat menghukum keras UMNO-BN. UMNO-BN bingung mencari penyebab 'tsunami politik' yang hampir menenggelamkan bahtera BN.

Ada beberapa faktor penting yang menyebabkan terjadinya perubahan itu, yang semuanya berkaitan cara berpikir rakyat yang semakin kritis.

Pertama, kemampuan UMNO-BN mempertahankan kesuksesan dalam setiap pemilu bergantung pada kekuatan kampanye yang menonjolkan kesuksesan pembangunan fisik dan ekonomi. Masyarakat memang tertarik dan faktor itu menjadi ukuran utama mendukung pemerintahan BN.

Tapi, kali ini yang terjadi adalah sebaliknya. Kampanye yang menonjolkan kesuksesan pembangunan yang diusung UMNO-BN tidak begitu relevan dengan perubahan pemikiran rakyat, khususnya generasi muda berpendidikan. Kini, mereka cenderung menilai aspek integritas, moral, hak asasi, keamanan sosial, dan demokrasi dalam konteks lebih luas.

Mereka melihat pembangunan adalah kewajiban dasar sebuah pemerintahan. Seperti kewajiban seorang bapak memberi nafkah kepada keluarganya.

Kedua, selama ini sebagian besar dari proses pembangunan negara berdasarkan 'kontrak sosial'. Kontrak sosial yang sudah tumbuh sejak negara mencapai kemerdekaan, kini mulai dilihat sebagian besar generasi muda berpendidikan sebagai sesuatu yang tak relevan lagi.

Hak keistimewaan Melayu mulai dipertikaikan meluas di dalam 'media cyber' yaitu di website dan blog. Kebijakan Ekonomi Baru (DEB) dikritik bukan karena tidak mendatangkan manfaat, tapi generasi muda mulai menilai pelaksanaannya yang katanya menyimpang, sehingga tujuan DEB tidak tercapai sepenuhnya dan hanya berlaku untuk kalangan tertentu.

Serangan terhadap DEB di 'media cyber' dan ceramah politik oposisi banyak menyumbang perubahan sikap dan pemikiran sebagian besar pemilih kali ini.

Ketiga, sebagian besar generasi muda mulai tertarik dengan agenda 'politik sipil' yang dipromosikan partai oposisi, khususnya DAP dan PKR. Agenda politik sipil lebih menekankan
pada pembahasan yang lebih terbuka mengenai demokrasi, hak asasi, pendidikan, kesehatan, keamanan sosial, alam sekitar, dan wanita.

Politik sipil menentang keras segala bentuk undang-undang yang dianggap bertentangan dengan sistem demokrasi dan HAM. Isu sosial dan ekonomi yang melingkari etnis tertentu diperjuangkan sepenuhnya oleh kelompok tertentu yang didukung partai oposisi.

Ini terlihat dalam isu Badan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf). Kebangkitan organisasi yang tidak terdaftar ini memberi 'pukulan maut' kepada MIC hingga semua pemimpin tertingginya kalah.

Mau tidak mau kita harus mengakui bahwa perjuangan politik sipil ini banyak mempengaruhi pemikiran rakyat, khususnya di kawasan perkotaan dan generasi berpendidikan di luar kota.

Media cyber digunakan sepenuhnya oleh partai oposisi untuk menghadapi media konvensional yang dilihat lebih berpihak pada pemerintah (UMNO-BN). Media cyber telah mengubah system kampanye.

Selama ini, sistem kampanye konvensional seperti perang poster memainkan peran cukup besar memengaruhi pemilih. Keadaan ini tampaknya sudah berubah.

Penguasaan media nasional oleh satu pihak, juga menimbulkan rasa tidak puas sebagian rakyat. Mereka melihat media nasional berlaku tidak adil kepada partai oposisi.

Hasil Pemilu ke-12 ini memperluas masalah dan tantangan yang akan dihadapi orang Melayu, khususnya dalam konteks mempertahankan 'kelangsungan politik' Melayu yang makin terkikis.

Justru, orang Melayu kini menantikan apakah tindakan UMNO dan PAS untuk menyelamatkan kedudukan politik Melayu. Apakah mereka akan bergandeng dan bersatu? Ini yang ditunggu-tunggu masyarakat Melayu.

Tuesday, May 6, 2008


Penjara Sg Buluh pilihan Raja Petra

Penulis blog kontroversial yang pernah tampil dalam program Blog di RTM 1 baru-baru ini, Raja Petra telah memilih untuk ditahan di penjara Sg.Buluh dari membayar ikatjamin sebanyak RM5000 ke atasnya selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan menghasut.

Tuduhan tersebut adalah berhubung artikel yang didakwa mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya dalam pembunuhan seorang wanita muda Mongolia yang ditulis dalam blognya Malaysia Today pada 25 April lalu bertajuk Let's Send The Altantuya Murderers To Hell.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur hasutan. Kes tersebut akan didengar pada 6 hingga 10 Oktober depan.

Monday, May 5, 2008

Hasil Kongres Permuafakatan Melayu

Kongres Permuafakatan Melayu bertemakan ‘Kedaulatan Melayu Paksi Kewujudan Bangsa’ yang diadakan baru-baru ini di Johor Bharu telah sebulat suara bersetuju menubuhkan sekretariat tetap dikenali Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) dengan penglibatan jawatankuasa terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Penubuhan badan ini merupakan sebahagian daripada ikrar yang terkandung dalam resolusi kongres.Penubuhannya bertujuan memantau, mempertahankan dan melaksanakan semua tuntutan berkaitan kedaulatan Melayu. Dari segi struturnya, MMMM tidak mempunyai kuasa eksekutif namun ia akan membina saluran untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan dan Perdana Menteri.

MMMM akan berperanan sebagai tempat rujukan dan wadah rasmi untuk menggerakkan resolusi yang telah kita persetujui dalam kongres (diterajui Gepena) yang berlangsung dari 2-4 Mei lalu, di Konvensyen Antarabangsa Persada di sini yang dihadiri oleh 2,100 peserta yang mewakili 200 NGO .

Resolusi yang dihasilkan itu merangkumi tiga perkara utama iaitu piagam, tuntutan dan ikrar. Perkara berkaitan piagam merangkumi sembilan rukun perjuangan diantaranya ialah menjunjung kedaulatan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri; mempertahankan kemuliaan dan kesucian Islam sebagai agama Persekutuan; menjaga, memelihara dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu dan kedaulatannya dan menegaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.


Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu mengandungi pelbagai tuntutan mempertahankan kedudukan Melayu telah diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar, dalam satu majlis ringkas di Istana Bukit Serene pada hari berakhirnya konvensyen tersebut. Di antara tuntutannya merangkumi aspek perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya.

TUNTUTAN

PERLEMBAGAAN
i. Mempertahankan hak, keistimewaan dan kedudukan kaum Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan
ii. Menentang segala pindaan yang boleh melemahkan kedaulatan dan kedudukan kaum Melayu dalam Perlembagaan dan perundangan Malaysia.
iii. Menentang segala tafsiran sewenang-wenangnya yang bersifat memilih terhadap fasal-fasal Perlembagaan bagi tujuan kepentingan dan perkauman.


POLITIK
i. Memohon Majlis Raja-Raja Melayu menyempurnakan tugas, tanggungjawab dan obligasi untuk memelihara dan mempertahankan seluruh kedaulatan Melayu.
ii. Menentang tafsiran hak asasi manusia dan proses demokrasi yang mengetepikan kedaulatan Melayu.
iii. Mendesak supaya peruntukan Perlembagaan dan undang-undang tubuh mengenai pentadbiran negara dikekalkan.
iv. Menentang usaha untuk mempolitikkan pentadbiran pihak berkuasa tempatan demi memelihara kesejahteraan seluruh rakyat.
v. Memperjuangkan peranan prinsip kedaulatan Melayu sebagai teras dan ideologi parti-parti politik Melayu dan menolak segala ideologi asing berkenaan Malaysian Malaysia.
vi. Menuntut parti-parti politik Melayu sentiasa memperjuangkan dan membentuk pemikiran strategik dalam mengekalkan ketahanan dan kelangsungan kedaulatan Melayu.


EKONOMI
i. Menuntut pelaksanaan keadilan sosial dan kesaksaman pengagihan kekayaan negara bagi semua warganegara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
ii. Menuntut dilaksanakan penyusunan semula pemilikan ekonomi bagi mencapai matlamat pembasmian dan penghapusan kegiatan ekonomi berasaskan kaum.
iii. Memperluaskan gerakan Jihad Ekonomi berasaskan dua matlamat besar, pertamanya untuk membentuk pendorong dinamik dan memperkasakan kaum Melayu hingga tercapai sasaran 65% penguasaan dan kedua, menyusun semula sistem ekonomi supaya lebih adil dan saksama.
iv. Membina strategi bagi meluaskan penyertaan pertubuhan korporat Melayu untuk menguasai sistem ekonomi negara dan antarabangsa.


ISLAM
i. Menuntut kawalan berkesan pembinaan rumah ibadat agama lain mengikut prinsip keperluan sebenar saiz komuniti dan lokasi.
ii. Menolak gagasan pluraslisme agama yang bercanggah dengan Perlembagaan negara.


BAHASA MELAYU
i. Menolak usaha sebarang pihak mewujudkan dasar multilingualisme di negara ini.
ii. Menuntut pengekalan Fasal 152 Perlembagaanyang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan.
iii. Memastikan kedudukan bahasa Melayu menjadi bahasa utama dalam pembinaan ilmu dan menggalakkan penterhemahan ke bahasa Melayu dan menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris sebagai media pengajaran di semua institusi pengajian tinggi.
iv. Menuntut dasar pengajaran dan peperiksaan mata pelajaran Sains dan Matematik dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.v. Menggalakkan penggunaan tulisan jawi sebagai satu daripada bentuk tulisan bahasa Melayu.


PENDIDIKAN
i. Memperkasakan sistem pendidikan kebangsaan sebagai teras sistem pendidikan nasional.
ii. Menuntut pengukuhan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sistem Pendidikan Kebangsaan sebagai wahana komunikasi dan keilmuan bagi mencapai matlamat pembinaan bangsa.
iii. Memastikan supaya jurang perbezaan penyampaian pendidikan dihapuskan di seluruh negara.
iv. Mendesak pengajaran ilmu pengetahuan kenegaraan yang berlandaskan Rukun Negara diajar di semua peringkat persekolahan dan pendidikan tinggi.
v. Memastikan semua sistem pendidikan swasta mengutamakan unsur kebangsaan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran mereka.vi. Mendesak ujian lisan bahasa Melayu di semua peringkat peperiksaan dilaksanakan.

BUDAYA
i. Menuntut Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai landasan citra dan imej kebangsaan dan antarabangsa.
ii. Menerapkan nilai Islam dan budaya kebangsaan sebagai asas amalan mendalam dan bermakna anggota masyarakat Malaysia.
iii. Menolak sekeras-kerasnya gagasan, dasar, dan pelaksanaan ‘multiculturalism’ yang menggunakan tafsiran serong Perlembagaan.
Selain itu, ia juga meliputi prinsip perjuangan Tuntutan pula merangkumi aspek Perlembagaan, politik, ekonomi, Islam, Bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya.





















'Demokrasi siber' untuk blogger beretika
Oleh Mohd Ayob Abd Razid
BIDANG 'blogging' adalah satu bentuk 'media baru' yang semakin berpengaruh membentuk minda masyarakat. Dalam keadaan tertentu media baru ini dilihat mampu membentuk sikap dan tindakan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan.
Contoh terbaik ialah dalam kes Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini. Keberkesanan kempen blog yang dikatakan propembangkang berupaya mempengaruhi sebilangan besar pengundi, khususnya di kalangan pengundi muda.
Walaupun ia bukan faktor mutlak, pilihan raya umum lalu membuktikan penulis blog (blogger) mampu untuk mempengaruhi tindakan rakyat dalam proses pembuangan undi.
Jelaslah bahawa kemudahan internet membuka ruang cukup luas kepada sesiapa saja untuk menyertai 'media baru' ini. Kewujudan 'media baru' menjadikan lebuh raya maklumat dipenuhi berjuta-juta maklumat yang boleh dicapai oleh sesiapa saja.
Tanpa menafikan elemen positif, kewujudan ribuan laman blog tanpa sebarang kawalan dan pemantauan boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat dan negara.
Tanpa menafikan elemen positif, kewujudan ribuan laman blog tanpa sebarang kawalan dan pemantauan boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat dan negara.
Dr Muhamamad Uthman el-Muhammady pernah mengibaratkan kewujudan blogger tanpa kawalan umpama 'gelembong gergasi' (Berita Minggu, 15 Julai 2007) yang menyerang sesiapa saja secara semborono.
Ia disebabkan kebanyakan 'blogger' gemar menabur fitnah kebencian dan hasutan menerusi tulisan yang sarat dengan kata-kata menghina dan mengeji. Beliau melihat perkembangan ini patut dipantau dan dikawal oleh kerajaan supaya 'gelembong gergasi' yang tidak sihat ini tidak berterusan menjatuhkan martabat jiwa bangsa.
Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyekat dan menghapuskan segala bentuk keburukan yang ditimbulkan oleh sesetengah penulis blog yang bersikap biadap dalam penulisan mereka apatah lagi 'blogger' yang tidak menampilkan identiti sebenar.
Memang diakui tidak semua 'bloggers' bersikap seperti itu, tetapi jumlah 'blogger' yang memiliki nilai integriti adalah terlalu kecil. Hakikatnya, trend yang masih mewarnai dunia blogger di negara ini ialah kurangnya nilai dan sifat profesionalisme kewartawanan yang mampu menulis secara beretika dan berintegriti.
Pelbagai bentuk penulisan berita dan rencana, kebanyakannya berbentuk fitnah, provokasi, hasutan, prejudis, emosional, suka mengaib dan menghina dengan menggunakan bahasa tidak berakhlak, serangan berunsur perkauman secara keterlaluan dan tidak berasas yang bersalut kebencian terhadap pihak yang dikritik.
Mauduk penulisan yang paling banyak bersifat demikian ialah penulisan berkaitan isu politik tanah air. Ia adalah gejala tidak sihat yang sedang berkembang dalam penyalahgunaan kemudahan komunikasi maya (siber) yang wujud pada hari ini.
Sifat 'keegoaan' atau 'keakuan' yang berlandaskan nafsu menjadi sifat kebanyakan 'bloggers' yang tidak bertanggungjawab dan tidak memiliki nilai integriti.
Apa yang dapat saya sarankan di sini ialah blogger seharusnya memiliki tanggungjawab utama apabila mahu meletakkan diri sebagai penulis bertanggungjawab. Di antara tanggungjawab itu ialah tanggungjawab etika (moral), tanggungjawab intelektual, tanggungjawab spiritual (agama) dan tanggungjawab sosial.
Tanggungjawab etika memerlukan penulis blog mengutamakan penyampaian maklumat secara profesional, berintegriti dan bertanggungjawab dalam keadaan dirinya menguasai sifat terpuji dengan hati jernih, fikiran rasional, tenang dan tenteram ketika menulis.
Adalah disarankan penulis blog utama dan berpengaruh perlu mengambil inisiatif mengadakan seminar di kalangan mereka untuk membentuk hala tuju penulis blog yang lebih berwibawa, beretika dan berintegriti.
Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana blogger kini turut bertanggungjawab dalam proses pembentukan minda generasi muda.
Penulis yang beretika (berakhlak) selalunya akan berusaha memastikan jiwa dan mindanya jauh daripada sifat al-hasud, riya dan sifat buruk lain. Anggaplah penulisan yang ingin disumbangkan sebagai satu ibadah yang memerlukan nilai dan adab sopan.
Sesungguhnya seorang penulis yang jernih jiwa dan mindanya menggambarkan kebenaran yang jauh daripada sifat kebencian, fitnah, adu-domba dan hasutan.
Dalam konteks tanggungjawab intelektual, penulis blog, khususnya mereka yang cenderung mengulas isu sosial, ekonomi dan politik negara perlulah menulis dengan kualiti yang dapat diterima dan rasional supaya ia dapat diukur dari sudut ilmiah.
Apa yang diharapkan ialah akan wujud penulis internet yang dapat berhujah menerusi pelbagai disiplin ilmu, khususnya dalam menangani masalah umat melalui pandangan rasional dan saintifik. Dengan cara ini penulis blog akan dapat menyumbang sesuatu pemikiran yang dapat dimanfaatkan oleh kerajaan demi kepentingan negara.
Justeru, misi memperbaiki pemikiran dan kehidupan rakyat mesti diutamakan oleh penulis blog. Kesimpulannya, ruang 'demokrasi siber' harus digunakan dengan sihat dan penuh tanggungjawab.
Dalam konteks pembinaan negara-bangsa, penulis 'media siber' harus memiliki nilai etika, moral dan integriti tinggi supaya ia dapat menyumbang kepada pembinaan negara bukannya meracuni pemikiran pembaca, khususnya di kalangan generasi muda dengan fitnah dan hasutan.
- Berita Harian, Isnin 5/5/2008