Wednesday, September 26, 2007

PERPADUAN ASAS KEKUATAN

Komposisi masyarakat Malaysia teradun dan terbina daripada pelbagai kaum, etnik, keturunan, budaya dan agama. Sifat ‘pluralisme’ ini telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian pola budaya (social diversities) yang bukan sahaja menjadi aset kepada tarikan dan destinasi pelancongan tetapi juga menjadi contoh kepada kemakmuran dan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.

Keupayaan dan kejayaan negara dalam mengurus dan mentadbir masyarakat yang unik ini telah menjadikan negara mendapat perhatian masyarakat dunia. Banyak di kalangan negara di dunia berminat untuk mempelajari pengalaman dan keupayaan Malaysia mewujudkan perpaduan dan keharmonian hidup. Di kebanyakan negara-negara yang bersifat majmuk, termasuk di negara-negara maju, ketegangan dan konflik kaum dan agama sering menghantui kehidupan mereka.

Di negara-negara seperti Amerika, Britain dan beberapa negara Eropah yang lain pergeseran agama dan kaum semakin berkembang dalam abad apa yang dinamakan Samuel Hungtington sebagai “clash of civilization”. Tesisnya menyebut akan berlakunya senario pergesaran budaya dan agama di antara tamadun-tamadun utama dunia, khususnya di antara tamadun Islam dan Barat (Kristian). “Perang terhadap keganasan” diketuai Amerika Syarikat telah menjadikan masyarakat Islam sebagai sasaran “amukan” di negara-negara Eropah yang kononnya mengaku bersifat demokratik dan bertoleransi.

Rakyat Malaysia terus bersikap matang dan rasional dalam soal-soal hubungan kaum walaupun dalam masa-masa tertentu terdapat individu-individu atau kumpulan-kumpulan yang cuba mengeruhkan suasana demi kepentingan dan agenda sempit mereka. Malaysia dari segi rekodnya telah benar-benar berjaya membina dan mewujudkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan serta mengekalkan kestabilan politik di bawah pendekatan pemerintahan dan pentadbiran kerajaan yang bersifat pragmatik, progresif dan adil serta demokratik terhadap semua kaum. Justeru kita harus bersyukur di atas nikmat perpaduan dan keharmonian yang masih terjalin dalam masyarakat kita.
Suasana harmoni ini membuktikan betapa kepelbagaian budaya dan kaum bukan menjadi batu penghalang kepada membina negara yang aman dan bersatupadu. Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara (1992) mendefinisikan perpaduan negara sebagai, ‘satu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara

Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi sendiri pernah menegaskan bahawa kekuatan beragama di kalangan rakyat Malaysia telah berjaya mengarah sikap dan orientasi mereka ke arah kebaikan, kemajuan dan pembangunan. Datuk Seri Najib Tun Razak pula ketika berucap di dalam di Majlis Penutup Perayaan Bulan Kemerdekaan ke-49 di Kota Kinabalu tahun lalu telah menegaskan bahawa kejayaan dan kecemerlangan negara selama ini adalah terbina di atas empat dimensi iaitu kestabilan negara, perpaduan kaum, kemajuan pembangunan dan keselamatan yang terjamin.

Dalam soal membina perpaduan, kerajaan bersikap realistik dan praktikal dengan mengambil kira kompleksiti kebudayaan dan demografik negara ini. Penyerapan kebudayaan dan assimilasi harus berkembang dengan sendirinya tanpa sebarang paksaan. Dalam sesetengah kes masyarakat Cina di Malaysia telah mengamalkan kepelbagaian kebudayaan yang umum di mana pemikiran dan sentimen mereka walaupun bersifat kecinaan dari segi etnik namun mereka dikatakan berkongsi sentimen bersama dan beberapa cara hidup orang Melayu, India dan penduduk-penduduk Malaysia yang lain” (Tan Cheng Beng, Cabaran-Cabaran Semasa, Aliran,1986).

Dr Zainal Kling (1996) menegaskan bahawa salah satu sendi asas dalam mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional ialah ‘disiplin nasional’. ‘Disisplin Nasional’ boleh didifenisikan sebagai satu cara bertindak anggota masyarakat melalui sifat-sifat yang membangun dan ditujukan pada obejektif-objektif tertentu yang dianggap baik (positif) dan berdasarkan nilai-nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat. Matlamatnya ialah untuk mencapai kesejahteraan dan keharmonian hidup bernegara dan bermasyarakat, mewujudkan keamanan dan keadilan sesama kaum dan di antara manusia. Sifat kemanusian menjadi elemen penting kepada ‘disiplin nasional’ supaya tidak wujud sikap prejudis, diskriminasi atau hina-menghinasa serta benci membenci antara kaum.

Perpaduan yang terarah memiliki nilai-nilai asas atau nilai-nilai standard. Justeru, bagi anggota masyarakat yang tahu menghargai betapa pentingnya nikmat perpaduan maka komitmen mereka terhadap nilai-nilai tertentu dalam konteks membina perpaduan dan integrasi nasional amat diperlukan. Di antara beberapa nilai utama yang perlu dihayati oleh anggota masyarakat termasuklah:

· memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan-Sultan yang memerintah;
· menerima dan menghormati hakikat ketuanan melayu sebagai teras perkongsian kuasa;
· mematuhi dan mendaulatkan perlembagaan negara;
· menghidupkan nilai dan semangat patriotisme terhadap negara;
· menghormati lambang-lambang negara seperti Lagu Kebangsaan, Bendera Malaysia dan sebagainya;
· mendaulat dan menghormati Bahasa Kebangsaan;
· menghormati nilai dan tradisi kepelbagaia kaum; dan,
· mengamalkan sikap toleransi, persefahaman dan semangat setiakawan di kalangan anggota masyarakat berbilang kaum..

Untuk menghapus dan membendung perpecahan (segmentasi) kerajaan telah mengabungkan pelbagai pendekatan-pendekatan termasuk perlembagaan, politik, ekonomi dan sosial. Pendekatan pragmatik sentiasa ditekankan demi kepentingan rakyat. Dipahak rakyat pula tanggungjawab memelihara perpaduan harus ditingkatkan. Di antara tanggungjawab dan peranan rakyat dalam memastikan perpaduan terus menjadi asas kukuh ialah:

Ø Memahami Sejarah: Sejarah adalah ”guru” dan warisan sesebuah negara. Rakyat yang tidak mengenali sejarah tanah airnya menyebabkan mereka tidak mengenali asal usul dan jati dirinya. Melalui sejarah semangat patriotisme dapat disubur dan dibangunkan di kalangan generasi muda. Sejarah perlu difahami dan dihayati pengajaran, perjuangan, pengorbanan, idea, pemikiran dan falsafah sesuatu peristiwa itu.

Ø Mengorbankan kepentingan diri: Setiap warga Malaysia mestilah memahami bahawa pembentukan ‘Bangsa Malaysia’ tidak boleh diasas dan dibangunkan kepada kehendak kelompok atau kaum tertentu. Cita-cita perkauman dan kehendak sendiri mestilah dikorbankan kerana ianya tidak selari dengan falsafah dan matlamat Perpaduan Nasional. Asas utama acuan kita ialah Rukun Negara sebagai ideologi dan falsafah utama masyarakat Malaysia.

Ø Mengamalkan keharmonian beragama: Prinsip kebebasan beragama warga Malaysia telah termaktub dengan jelas di dalam Perlembagaan Negara. Justeru, setiap penganut pelbagai agama di negara ini sepatutnya mengamalkan tradisi, amalan dan upacara serta penggunaan simbol agama dengan penuh tanggungjawab selari dengan falsafah semua agama mengajarkan manusia menghormati satu sama lain. Sentimen agama dan ‘ektremism’ agama boleh merosakkan kesepaduan negara.

Ø Amalkan perasaan muhibbah: Semangat perpaduan di kalangan rakyat boleh dipupuk dan terus dipertingkatkan melalui amalan semangat muhibbah sepanjang masa. Perasaan saling menghormati serta memahami adat dan budaya orang lain mesti dikekalkan. Amalan menziarahi rakan berlainan kaum perlu sentiasa diamalkan. Amalan “rumah terbuka” semasa musim-musim perayaan kaum boleh meningkatkan lagi perpaduan dan perasaan muhibbah di kalangan masyarakat.

Ø Memupuk Semangat Kekitaan: Semangat kekitaan harus dilihat sebagai prasyarat membina perpaduan dan integrasi nasional yang kukuh. Ibn Khaldun (1332-1406) dalam kitab tersohornya Mukadimah membahas pentingnya semangat kekitaan bagi memastikan tertegakknya sebuah negara. Semangat kekitaan juga dapat disemai dan disemarakkan melalui sifat saling bekerjasama, bantu-membantu, tolong menolong, rundingan dan semangat toleransi serta semangat setiakawan yang tiggi dalam apa jua aktiviti hidup bermasyarakat dan bernegara.

Ø Amalkan aktiviti sosial yang positif: Masyarakat Malaysia sewajarnya melibatkan diri di dalam persatuan-persatuan sukarela yang bersifat kebajikan tanpa mengira kaum. Kerja-kerja bergotong-royong serta aktiviti-aktiviti sukan setempat, rukun tetangga dan aktiviti-aktiviti sosial yang terdiri daripada pelbagai kaum akan berupaya membina kerukunan hidup yang sejahtera.

Ø Membuat transformasi sikap dan minda: Minda rakyat harus sentiasa positif dan sentiasa respon terhadap usaha dan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan memberikan keadilan kepada semua kaum. Partisipasi rakyat secara sihat terhadap program-program kerajaan mampu membentuk masyarakat yang dinamis dan progresif serta mengurangkan “politiking” yang boleh menjejaskan perpaduan dan solidariti masyarakat.

Ø Peranan ibu-bapa: Ibu-bapa haruslah memupuk semangat perpaduan di kalangan anak-anak dengan menggalakkan anak-anak bergaul, bertemu, berinteraksi dan bermain dengan anak-anak dari kaum lain. Ibu-bapa mestilah membina perasaan dan minda anak-anak agar mempunyai perasaan dan persepsi yang betul terhadap kaum-kaum lain di negara ini.

Ø Konsep kebajikan merentasi sempadan kaum: Sikap bantu membantu dalam aktiviti sosial dan ekonomi tanpa mengira kaum mesti disemarakkan lagi agar perpaduan bertambah kukuh. Persatuan-persatuan kebajikan dan sosial mestilah menghindarkan diri dari terjebak dalam perangkap sentimen perkauman.

Ø Menyemarakkan semangat patriotisma: Patriotisma merupakan aspek penting dalam mempertahankan negara. Walupun negara terdedah kepada berbagai bentuk nilai-nilai baru globalisasi namun ketahanan dan perpaduan negara boleh dikekalkan melalui semangat patriotisma yang tinggi melalui nilai-nilai seperti kesetiaan, keberanian, cintakan negara dan sedia berkorban, Semua nilai-nilia tersebut harus dijiwai bagi menjamin kelangsungan ‘Bangsa Malaysia’ agar terus berjaya dan disegani di arena antarabangsa.

Kesimpulannya, keseluruhan struktur masyarakat Malaysia yang wujud pada hari ini telah dibangun dan dibentuk melalui falsafah Rukun Negara dan dasar-dasar negara di mana ia telah benar-benar menyumbang kepada peningkatan toleransi, keamanan dan keharmonian negara. Alhamdulillah, usaha-usaha ini, khususnya selepas tragedi 13 Mei 1969 ternyata berjaya mencapai objektif dan matlamat perpaduan dan integrasi nasional.

No comments: