Wednesday, February 16, 2011

Nabi Muhamamd sumber ikutan insan
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

PADA setiap tahun, tanggal 12 Rabiul Awal, umat Islam akan mengingati satu peristiwa penting dalam sejarah Islam iaitu kelahiran insan mulia Nabi Muhammad SAW. Umat Islam di Malaysia akan menyambutnya dalam acara yang dikenali sebagai Maulidur Rasul. Tujuan Maulidur Rasul adalah untuk mengingati dan memuliakan Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya baginda adalah semulia-mulia insan dan makhluk yang wujud di alam ini.
-
Kehadirannya bukan sahaja untuk membawa rahmat ke seluruh alam (rahmatan lil-alamin) seperti maksud firman Allah: “Dan tiadalah kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam” (surah al-Anbiya:107).Baginda adalah insan kamil yang memiliki akhlak dan peribadi bersumberkan wahyu. Justeru, rasulullah SAW adalah contoh teladan sepanjang masa dan zaman.
-
Sejak kecil lagi baginda telah ditarbiyyah (dididik), dipelihara dan dilindungi oleh Allah SWT. Pada dirinya terpancar akhlak terpuji yang menjadi sumber ikutan umat (’uswatun hasanah’). Insan yang bergelar al-Amin inilah satu-satunya insan yang telah mengalami dan merasai alam rohani yang paling tinggi melalui peristiwa Isra’ wal Mi’raj (27 Rejab). Justeru, sejarah hidupnya perlu dihayati dan sunnahnya perlu diteladani oleh seluruh umat Islam.
-
Baginda telah menjadi yatim piatu semasa kecil lagi. Bapanya meninggal dunia sewaktu baginda masih dalam kandungan ibunya dan apabila baginda berusia enam tahun ibunya (Aminah) pula meninggal dunia lalu dipelihara oleh datuknya Abdul Muttalib sehinggalah datuknya meninggal dunia ketika usia nabi lapan tahun. Selepas itu, penjagaanya berpindah tangan kepada bapa saudaranya, Abu Thalib sehinggalah baginda dewasa dan beristeri dengan Siti Khadijah, wanita mulia yang telah banyak berkorban harta benda serta memberi sokongan sepenuhnya dalam membantu usaha dakwah nabi di Kota Makkah.
-
Masyarakat Makkah ketika itu adalah masyarakat jahiliyyah yang menyembah berhala serta berpuak-puak (berkabilah-kabilah) dan mengamalkan budaya hidup yang tidak berakhlak sehinggakan anak-anak perempuan mereka dibunuh kerana semata-mata mempercayai membawa bencana atau sial. Dalam keadaan suasana kehidupan jahiliyyah ynag begitu kuat mencengkam masyarakat Makkah, baginda telah dipelihara dan dididk oleh Allah SWT sehingga karakter dan akhlak nabi Muhammad SAW dipandang mulia oleh masyarakat jahiliyyah Makkah. Mereka mengurniakan gelaran ’Al-Amin’ kepada baginda.
-
Dalam keadaan suasana jahilliyyah itulah baginda gemar beruzlah dan berkhalwat di Gua Hira’ sehinggalah ketika baginda berusia 40 tahun baginda telah didatangi malaikat Jibrail membawa wahyu pertama pada hari Isnin, 17 Ramadhan (tarikh al-Quran diturunkan). Misinya adalah membina masyarakat rabbani yang dinaungi Nur Ilahi (cahaya ketuhanan) lagi diredhai Allah SWT. Baginda bangkit membawa syariat rabbani yang telah disempurnakan Allah SWT baik dalam aspek akidah, ibadah, akhlak, munakahat dan muamalat. Semuanya itu adalah untuk menjamin kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.
-
Di antara mereka yang awal-awal sekali beriman dengan nubuwah dan kerasulan baginda ialah isterinya Khadijah binti Khuwalid, Abu Bakar, Ali bin Abi Tholib, Zaid bin Harith yang kemudiannya diikuti oleh tokoh-tokoh elit kaum Quaraisy seperti Uthman bin Affan, Zubair bin Al-Awam, Abdurrahman bin Auf, Abdullah bin Mas’ud, Saa ibn Waqas dan Thalha ibn Ubaidullah.
-
Baginda adalah sumber kekuatan beragama dan sumber kekuatan rohani. Maksud dan tujuan baginda di utus ke alam ini adalah untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia (makarimu’l akhlaq). Nabi adalah manusia maksum di mana kekuatan nafsunya terlatih dengan sebaik-baiknya. Jiwanya telah disucikan Allah sejak kecil lagi . Justeru, akhlaknya adalah pancaran dari nilai-nilai al-Quran sebagaimana kata isterinya, Aisyah r.a. bahawa akhlak nabi adalah umpama al-Quran yang bergerak (‘Kana Khuluquhul Quran’).
-
Akhlak nabi adalah asas panduan dan ikutan umat. Terdapat banyak sifat-sifat dan akhlak-akhlak mulia nabi yang boleh dipelajari, dihayati dan diamalkan. Menurut Muhammad Uthman El-Muhammady, secara keseluruhannya terdapat beberapa sifat yang menjadi dasar kepada segala sifat-sifat utama (Ummahat al-Fada’il) pada diri nabi. Sifat-sifat utama tersebut ialah Al-hikmah, As-Shaja’ah, Al-Iffah dan Al-Adl.
-
Sifat Al-hikmah menggambarkan Rasulullah memiliki al-hikmatul- Ilahiyyah iaitu kesedaran dan ilmu yang mendalam yang mampu membezakan antara yang haq dan yang batil. As-Shaja’ah adalah sifat keberanian. Al-Iffah adalah sifat pengawasan dan pengendalian diri yang melahirkan sifat-sifat mulia seperti pemurah, sabar, berlapang dada, qanaa, wara, pemalu, berbudi, warak dan lain-lain lagi. Al-Adl pula adalah sifat keadilan yang dimiliki nabi, Semuan sifat-sifat mulia Nabi itu adalah hasil dari kesucian dan kematangan rohaninya.
-
Nabi memiliki akal yang dan rohani yang dipenuhi dengan al-hikmah dari Tuhan. Dengan rohani dan akal yang sedemikian maka nafsunya berada di bawah taalukan akalnya yang suci dan bersih. Baginda telah mengajarkan tentang al-ihsan dalam melakukan ibadah dan amal sholeh seperti mana maksud hadisnya “beribadatlah seolah-olah kamu melihat Allah, dan jika tidak dapat merasai demikian hadirkan hatimu seolah-olah kamu diperhatikanNya”. Al-ihsan merangkumi segala bentuk kebaikan yang dibuat oleh manusia semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
-
Justeru, selaku umat Islam kita dituntut mencintai Rasulullah SAW dengan mencontohi akhlak baginda, mentaati ajarannya, memperbanyakkan shalawat ke atasnya serta membantu menyebarkan risalah Allah (kerja dakwah). Di antara sifat-sifat kekuatan diri (nafs) baginda yang patut dijadikan panduan dalam kehidupan kita ialah sifat tawadhuk, pemalu, siddiq, amanah, fatanah, tabah, sabar, syukur, pemaaf , sentiasa bertaqwa, beristiqamah, ikhlas, khusyu’ dalam ibadah, zuhud, qanaa, bijaksana, lemah lembut, membalas kejahatan dengan kebaikan dan sebagainya.
-
Para pendakwah (da’i) pula patut mencontohi kesabaran yang tinggi serta keteguhan jiwa yang dimiliki baginda ketika menyampaikan risalah Allah kepada manusia dengan menghadapi ujian dan tentangan. Para pendakwah perlu mengikut sifat dakwah nabi yang di antara termasuklah:

· Menyampai risalah Allah secara yang benar.
· Menjadikan kitab al-Quran sebagai kitab pendoman.
· Menjadi khudwah (pimpinan) yang baik dan uswah (teladan) yang sholeh kepada manusia.
· Beramal dan berakhlak dengan ajaran Islam
· Mengajar, menegur, menasihati serta menghadapi orang-orang yang ingkar dengan sabar dan penuh bijaksana.
· Sentiasa mentarbiyyah diri dan pengikut dengan tarbiyyah rabbaniyyah.
· Mengikhlaskan amal dan ibadah serta amal sholeh hanya kepada Allah
· Bersifat zuhud iaitu mengutamakan akhirat daripada dunia.
-
Nabi juga adalah contoh ikutan dalam beribadah. Di antara contoh amalan ibadah nabi yang perlu diikuti ialah bersolat wajib secara berjemaah di masjid, memperbanyakkan sholat sunnat di rumah, bersholat tahajjud, berpuasa sunat, beriiktikaf di masjid, sentiasa berzikir, berdoa, bertaubat, mendoakan untuk orang lain, kuat berjihad, membaca quran, melazimkan siwak (bersugi), sedikit makan dan minum dan beristiqamah dalam semua amalan-amalan baik.
-
Sebagai rasul untuk seluruh umat maka baginda s.a.w. sentiasa berinteraksi dengan masyarakat. Di antara sifat-sifat baginda ketika bergaul dan berhubung dengan masyarakat yang patut dijadikan panduan amalan hidup kita ialah mengasihi anak-anak yatim, mengasihi kanak-kanak, mengasihi orang-orang miskin, menghormati orang-orang tua, membimbing dan mengasihi yang muda, berkelakuan baik terhadap haiwan, membalas pemberian orang, sentiasa memberi salam, menziarahi orang sakit dan bertoleransi dengan orang bukan Islam serta menghormati mereka sebagai insan.
-
Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pendidik yang cukup unggul dalam membangun peribadi insan. Di antara sifat-sifat nabi sebagai pendidik yang boleh dijadikan contoh teladan ialah bersifat murabbi, muallim, muaddib, berilmu dan berhikmah, mengutamakan pendidikan tauhid dan akhlak matang berhujah, sabar, menggunakan pelbagai kaedah mendidik, mendidik jiwa dan akal serta menunjukkan contoh-contoh teladan yang baik
-
Nabi juga adalah seorang pemimpin agung yang memiliki sifat-sifat kepimpinan yang tinggi. Di antara sifat kepemimpinan ynag haruis diikuti ialah amanah, bertanggungjawab, mengutamakan umat (masyarakat), sanggup menanggung kesusahan bersama pengikut, berani, pemurah, pemaaf, tegas dan berprinsip, mampu menyusun strategi, sentiasa mengamalkan syura bagi mendapatkan pandangan dan pendapat orang lain, memberikan hak dan keadilan, tidak bermatlamat kebendaan dan tidak mengharapkan penghormatan dan pujian.
-
Akhirnya, nabi adalah manusia yang tetap mendirikan rumahtangga (berkahwin) malah beliau menyuruh umatnya berkahwin dan tidak menyukai hidup membujang. Di antara contoh teladan akhlak nabi bersama keluarga ialah sentiasa mendidik isteri dan ahli keluarga, bergaul secara makruf dengan ahli keluarga, sentiasa bermesra dengan isteri, berlaku adil terhadap isteri-isteri (poligami), bersifat lemah lembut terhadap isteri, tidak memukul dan menghina isteri, sabar dengan perangai isteri, membantu kerja-kerja isteri dan menyuruh keluarga melakukan kebaikan dan mendirikan sholat.
-
Kesimpulan, sempena sambutan Maulidur Rasul yang akan kita sambut pada 15 Februari ini, maka marilah kita sama-sama memperbaiki pemahaman dan penghayatan kita terhadap ajaran Rasulullah SAW, iaitu ajaran Islam yang bersumberkan wahyu Ilahi. Apa yang dibawa dan ajar oleh baginda sudah pun lengkap. Cuma dek kerana kejahilan, kelalaian dan kelemahan kita sahaja yang menyebabkan kita sering terbabas daripada mentaati dan beramal dengan ajaran Islam. Untuk kembali kepada hidayah dan jalan yang benar maka ajaran dan akhlak Nabi Muhammad SAW wajib dirujuk kembali oleh mereka yang mahu bahagia dan selamat di dunia dan akhirat.

No comments: