Monday, February 7, 2011

Kajian Ramal Umat Islam Lebih Pantas Berkembang

Populasi Muslim dijangka capai 8.3 bilion menjelang 2030

WASHINGTON: Penduduk Islam dunia akan bertambah dua kali lebih cepat berbanding penduduk bukan Islam dalam tempoh 20 tahun akan datang apabila umat Islam dijangka menjadikan lebih satu perempat daripada penduduk global

Dengan menggunakan kadar kesuburan, kematian dan perpindahan, penyelidik Pew Forum Agama dan Kehidupan Awam, meramalkan bahawa kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 1.5 peratus bagi umat Islam seluruh dunia sepanjang dua dekad akan datang, dan hanya 0.7 peratus perkembangan penduduk bukan Islam setiap tahun.

Kajian yang dipanggil, ‘Masa Depan Populasi Islam Global’ meramalkan, pada 2030 penduduk Islam akan meliputi kira-kira 26.4 peratus daripada penduduk dunia, yang dijangka secara total berjumlah 8.3 bilion.

Ia menandakan kenaikan tiga peratus daripada 23.4 peratus yang dipegang umat Islam ketika ini. Bilangan mereka di seluruh dunia pada masa ini dianggarkan 6.9 bilion, kata kajian berkenaan.

Lebih enam dalam 10 pengikut Islam akan tinggal di rantau Asia Pasifik pada 2030, dan Pakistan akan mengambil alih daripada Indonesia sebagai negara dengan umat Islam paling ramai di dunia.

Di Afrika, penduduk Islam di negara sub-Sahara, Nigeria akan menjadi lebih besar daripada Mesir dalam tempoh 20 tahun akan datang, ramal projek terbabit.

Di Eropah, penyelidik turut meramalkan penduduk Islam akan berkembang hampir satu pertiga dalam tempoh yang sama, daripada 44.1 juta atau enam peratus daripada penduduk di rantau itu pada 2010 kepada 58.2 juta atau lapan peratus daripada keseluruhan bilangan penduduk yang diramalkan pada 2030.

Sebilangan negara Kesatuan Eropah akan menyaksikan pertambahan dua digit peratusan penduduk Islam pada 2030.

Sementara itu, penduduk Islam di Belgium diramalkan meningkat daripada enam peratus kepada 10.2 peratus manakala Perancis dijangka mencecah 10.3 peratus pada 2030, meningkat sebanyak 4.7 peratus daripada 7.5 peratus, ketika ini.

Di Sweden, penyelidik meramalkan penduduk Islam akan meningkat hampir 10 peratus berbanding lima peratus pada hari ini.

Penduduk Islam di Britain diramalkan meningkat daripada 4.6 peratus kepada 8.2 peratus pada 2030 dan 9.3 peratus penduduk Austria dijangka orang Islam berbanding kurang daripada enam peratus pada masa ini.

Russia yang bukan ahli EU pula akan terus menyaksikan bilangan penduduk Islam terbesar di Eropah pada 2030 dengan 18.6 juta penduduk Islam atau 14.4 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara berkenaan.

Amerika Syarikat pula dijangka mempunyai bilangan penduduk Islam paling ramai berbanding negara Eropah lain seperti di Russia dan Perancis tetapi peratusan penduduk Islam di negara itu lebih kecil berbanding Eropah. – AFP (Berita Harian 28/1/2011)



No comments: