Wednesday, February 23, 2011


Krisis Libya mempengaruhi harga minyak dunia
Oleh Mohd. Ayop Abd. Razid

KRISIS politik Libya meledak begitu parah. Kesannya mungkin lebih teruk daripada apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir. Revolusi rakyat yang sudah pun berlangsung selama seminggu mungkin mencetuskan perang saudara. Ia tidak mustahil kerana Muammar Gaddafi dengan kekuatan pengikut yang setia mengancam akan berhadapan dengan pemberontakan rakyat walaupun terpaksa menumpahkan darah.
-
Walaupun penguasaannya terhadap tentera semakin lemah, namun kenyataan Gaddafi yang sanggup 'mati syahid' menunjukkan bahawa beliau adalah pemimpin yang sanggup mati mempertahankan kuasanya yang sudah pun ditolak oleh rakyatnya. Justeru, pemberontakan rakyat yang berlaku di Libya akan menentukan 'hidup-mati' rakyat Libya yang inginkan perubahan politik.
-
Rakyat Libya mahu Gaddafi turun dari takhta kekuasaannya dan mengharapkan kerajaan baru yang lebih demokratik. Gaddafi sudah berkuasa di Libya selama empat dekad.
Pergolakan yang berlaku bukan sahaja memberi kesan kepada negara itu tetapi juga kepada dunia, terutama kesannya terhadap kenaikan harga minyak dunia. Di London dan New York, harga minyak sudah mencapai AS$108 setong bagi jenis minyak brent.
-
Libya, sebuah negara yang terletak di Afrika Utara merupakan negara yang paling kaya minyak di Afrika. Ia menduduki tangga kesembilan dalam pengeluaran minyak dunia dengan mengeluarkan 4.5 juta tong minyak setiap hari. Selain simpanan minyak yang besar, Libya juga memiliki simpanan gas sebanyak 54 trilion kubik.
-
Justeru, Libya yang juga anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) mempunyai peranan yang sangat penting bagi kestabilan tenaga dunia, terutama untuk negara-negara Barat dan Kesatuan Eropah.
-
Hampir 95 peratus minyak Libya dieksport ke negara-negara Eropah. Minyak Libya yang dieksport adalah jenis minyak terbaik yang diperlukan oleh perusahaan dan industri di Barat. Sejak Gaddafi mendekatkan dirinya kepada negara-negara Barat, ia telah membuka laluan kepada banyak syarikat minyak dan gas dari negara Barat untuk beroperasi di Libya. Hubungan baik Gaddafi dengan Barat bermula setelah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menarik balik sekatan ke atas Libya.
-
Turut mempengaruhi perubahan itu ialah tindakan Amerika Syarikat (AS) menarik balik status Libya sebagai negara 'pengganas' pada 2006. Ia membuka laluan kerjasama Libya dengan syarikat-syarikat petroleum Barat setelah hampir dua dekad negara-negara Barat tidak melabur di dalam penerokaan minyak di Libya. Penerokaan besar-besaran dilakukan oleh syarikat minyak Barat seperti British Petroleum (BP), Occidental Petroleum, Marathon Oil, Exxon, Total dan Oil and Amerada Hess.
-
Kini, revolusi rakyat di Libya telah meletakkan situasi politik di negara itu menjadi tidak menentu dan sukar diramal corak kepemimpinan pasca Gaddafi nanti. Apa yang pasti ialah pergolakan yang sedang berlaku di Libya itu boleh menjejaskan pembekalan minyak dunia. Jika krisis di Libya berlarutan maka ia boleh menyebabkan kepentingan Barat dan Kesatuan Eropah terancam. Libya menjadi faktor penting bagi kestabilan tenaga di Eropah.
-
Satu hakikat yang harus difahami ialah Barat bukan sahaja berhadapan dengan pergolakan di Libya tetapi juga berhadapan dengan krisis politik di seluruh Timur Tengah yang memperlihatkan senario revolusi rakyat yang mahu suasana politik baru, iaitu pemerintahan yang lebih demokratik dengan menolak rejim sedia ada yang rata-rata bersifat autokratik. Apakah dunia akan kembali berhadapan dengan kenaikan harga minyak jika krisis yang berlaku di dunia Arab itu berlarutan?
-
Kenaikan harga minyak pastinya akan memberi kesan terhadap ekonomi global. Satu lagi persoalan ialah apakah sikap kerajaan atau pemimpin-pemimpin baru yang muncul di dunia Arab itu nanti terhadap AS dan negara-negara Barat? Yang pasti, AS dan Barat mahu kerajaan dan pemimpin baru yang muncul itu boleh berkompromi dan bekerja sama dengan mereka demi kelangsungan negara haram Israel di bumi Palestin. -Utusan 24/2/2011

No comments: