Oleh Mohd Ayob Abd Razid
Tuesday, September 29, 2009
Oleh Mohd Ayob Abd Razid
Friday, September 18, 2009
Wednesday, September 16, 2009
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
Sekitar 50an dan awal 60an lahir sekelompok sarjana sains sosial Barat yang bersikap pesimis terhadap masa depan negara bermasyarakat majmuk yang baru mencapai kemerdekaan ketika itu. Mereka melihat masalah perkauman menjadi cabaran kepada pembangunan politik negara terbabit. Usaha modenisasi untuk membina negara bangsa yang bersatu sering ‘menelurkan’ persaingan kaum menyebabkan pembentukan identifikasi berasaskan kaum yang jelas. Itulah rumusan teori pemodenan negara membangun bermasyarakat majmuk yang mereka bangunkan.
Di sekitar 70an pula lahir sarjana yang membawa pemikiran ynag berbeza daripada aliran pemikiran kelompok sarjana di atas. Sarjana seperti Claude Ake (1967), Nardlinger (1972), Arend Lijphart (1977), Karl Von Varys (1975) dan Menom K.Morison (1983) melalui kajian mereka merumuskan bahawa konflik kaum dalam masyarakat majmuk boleh ditangani untuk mewujudkan kestabilan serta demokrasi politik yang sihat.
Mereka melihat identiti etnik tidak semestinya menjadi penghalang kepada pembinaan masyarakat yang bersatu padu, malah ia boleh menjadi pemangkin kepada kepada perubahan yang dinamik. Sarjana seperti Menom K.Morison (1983) melihat bahawa integrasi nasional, keadilan sosial dan kestabilan politik boleh menjadi kenyataan dalam sebuah negara bermasyarakat majmuk.
Jika kita menganalisis perkembangan politik dan masyarakat di negara kita, kedua-dua pandangan kelompok sarjana terbabit ada kebenarannya. Di peringkat awal kemerdekaan sehingga tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, masyarakat kita sangat kuat dipengaruhi oleh perasaan perkauman.Ketika itu belum wujud lagi dasar yang jelas terhadap integasi nasional. Selepas berlakunya peristiwa hitam itu maka bermulalah ‘pembinaan sosial’ ke arah pembentukan masyarakat yang bersatu padu melalui dasar integrasi nasional bermula.
Pelabagi dasar yang diwujudkan mempunyai matlamat ke arah perpaduan. Proses pembinaan negara bangsa yang lebih terarah inilah dilihat bersesuaian dengan pandangan sarjana kelompok kedua yang menyatakan bahawa kemajmukan masyarakat bukannya penghalang kepada membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Memang kita berjaya membuktikan bahawa proses pembangunan negara bangsa dapat dicapai dan dikecapi melalui kestabilan politik, integrasi nasional dan keadilan sosial. Semuanya dilaksanakan melalui konsep dan falsafah ‘politik kompromi’ sehingga kita berjaya mengawal dan membendung isu-isu perkauman yang boleh memecah belahkan masyarakat.
Kaedah perundingan, persefahaman dan tolak ansur yang tinggi sentiasa menjadi amalan masyarakat. Pemimpin politik dan pemimpin masyarakat sangat berpegang kepada semanagat perlembagaan negara dan kontrak sosial yang dibina oleh para pemimpin pelbagai kaum sejak kemerdekaan negara. Malangnya, hari pelbagai isu perkauman yang mengeruhkan keharmonian dan ketenteraman masyarakat mula menyubur. Situasi ini mengambil tempat ekoran wujudnya beberapa tuntutan seperti demokrasi-liberal yang lebih terbuka, hak-hak kebebasan yang luas, keadilan sosial yang lebih dinamik dan penglibatan ekonomi yang lebih terbuka dan liberal.
Yag jelas tuntutan terbabit mula dikumandangkan ketika menjelangnya pilihan raya umum ke-12 dan semakin lantang selepas berlakunya ‘tsunami’ politik 2008. Ia dikatakan mewakili suara generasi muda yang majoritinya berada bersama politik pembangkang. Kononnya mereka mahu melihat perubahan yang lebih dinamik berlaku dalam politik dan sosial di negara ini. Penulis melihatnya sebagai sesuatu yang positif dan tidak wajar kita perlekekhkan suara generasi muda itu.
Namun, masalah timbul apabila kebanyakan tuntutan terbabit disaluti dan dipengaruhi dengan pelbagai agenda bersifat peribadi dan perkauman. Tidak nampak kemantangan dalam tuntutan mereka dan kebanyakan tuntuan terbabit melampaui semangat perlembagaan negara. Inilah cabaran yang dihadapi oleh Barisan Nasional (BN). Justeru, tidak hairanlah Datuk Seri Najib Razak mengingatkan Umno dan komponen BN yang lain agar berubah – ‘berubah atau rebah’. Najib memahami kehendak generasi muda dan tuntutan yang diketengahkan mereka.
Untuk itu, beliau memperkenalkan gagasan yang bersifat dinamik iaitu gagasan 1Malaysia dengan falsafah ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Tema gagasan ini sangat jelas iaitu perpaduan. Seperti yang dirumuskan Najib dalam Sidang Dewan Rakyat 15 Jun lalu bahawa “Satu Malaysia” membawa maksud “perpaduan dan kesepakatan”, “Rakyat didahulukan” membawa pengertian “pengagihan dan perkhidmatan” dan “Pencapaian Diutamakan” membawa maksud “kerajinan dan penghasilan”.
Gagasan 1Malaysia adalah kesinambungan aspirasi negara ynag bertindak sebagai pelengkap kepada dasar sedia wujud ke arah keharmonian, kestabilan dan pembangunan negara. Seperti yang dijelaskan Najib di Dewan dan tarikh yang sama bahawa “1Malaysia merupakan formula yang menjadi prasyarat untuk memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang 2020 tercapai”. Ujarnya lagi, “apabila kita bersatu padu akan lahir sebuah negara yang kukuh dan stabil”.
Wujud perbezaaan antara tuntutan pembaharuan pembangkang dengan gagasan 1Malaysia. Tuntutan pembaharuan pembangkang lebih bersifat memenuhi konsep ‘Malaysia Malaysian’ dengan menolak teras Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, 1Malaysia akan memberikan hak kepada yang berhak tanpa menafikan Perlembagaan Persekutuan. Apa yang dilakukan ialah melaksanakan transformasi berdasarkan pendekatan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Prinsip keadilan sosial merentasi tembok perkauman diterapkan dalam dasar dan tindakan kerajaan. Ini terbukti apabila kerajaan membuat keputusan bahawa mulai tahun depan Biasiswa Nasional di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan dilaksanakan berdasarkan merit. Demikian juga liberalisasai dalam bidang ekonomi mula diterjemahkan apabila syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera dimansuhkan.
Begitu pun, untuk memelihara kepentingan bumiputera seperti yang wujud dalam semangat perlembagaan negara maka kerajaan menubuhkan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas). Fungsinya adalah untuk membantu syarikat Bumiputera yang melabur melalui Ekuinas bersaing berasaskan merit. Jelaslah bahawa pendekatan keterbukaan dalam gagasan 1Malaysia berupaya memenuhi aspirasi dan kehendak generasi sura muda pelbagai kaum di negara ini. -BH 16/9/09
Tuesday, September 8, 2009
Abdullah Munsyi (1796-1854) Pendeta Zaaba (1895-1973)
-
Melayu sentiasa dikritik untuk berubah
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
-
Catatan sejarah menunjukkan bahawa sejak kurun ke-18 orang Melayu sudah mula dikritik oleh bangsanya sendiri. Abdullah bin Abdulkadir atau Abdullah Munsyi (1796-1854) adalah di antara pengkritik awal masyarakat Melayu. Bukunya Hikayat Abdullah (1840-an) mengandungi pandangan beliau tentang beberapa adat, kepercayaan, budaya kerja dan pemikiran masyarakat Melayu yang difikirkannya kolot sebagi penyebab kepada kemunduran bangsa Melayu. Di antara yang disebutnya ialah kepercayaan kepada hal-hal khurafat dan tahyul, sikap memandang ringan terhadap usaha membaiki mutu hidup dan sifat hasad dengki sesama bangsa.
-
Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Zaaba (1895-1973), tokoh bahasa, budayawan dan cendekiawan Melayu juga mengkritik keras fenomena kemunduran orang Melayu. Pandangan dan kritikan beliau itu boleh diteliti di dalam bukunya Perangai bergantung kepada Diri Sendiri (DBP, 1982). Beliau mengkritik sikap orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri, lemah cita-cita dan terlalu bergantung kepada orang lain serta berkiblatkan taklid buta tanpa memahami tuntutan Islam yang sebenarnya.
-
Pada awal abad ke 20, lahir gerakan kesedaran membela nasib bangsa Melayu ynag dipimpin oleh beberapa tokoh islah dan tajdid seperti Syed Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syeikh Ahmad`Al-Hadi, Hj Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohd Kalim al-Kalali. Golongan yang dikenali sebagai ‘Kaum Muda’ ini lebih responsif terhadap perubahan yang berlaku ketika itu. Mereka menyedari kemunduran umat Melayu bukan sahaja dalam soal sosioekonomi tetapi juga dalam kebekuan ilmu termasuk ilmu agama yang banyak diresapi ajaran-ajaran khufarat yang merugikan orang Melayu.
-
Lidah rasmi mereka, majalah Al-Imam (1906 – 1908) yang diterbitkan di Singapura adalah bertujuan untuk menyedarkan orang Melayu supaya segera melakukan perubahan seperti yang dicatat oleh Abdul Aziz Mat Ton bahawa peranan Al-Imam adalah untuk “mengingatkan mana-mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan mana yag sesat” (Jurnal Sejarah, Jilid XI,1973/73). Malah, Al-Imam ketika itu sudah pun menyeru umat Melayu supaya melihat dan mencontohi pembaharuan yang berlaku di negeri Jepun.
-
Seruan-seruan itu dibuat kerana keadaan hidup orang Melayu pada awal abad ke-20 sangat mundur dalam semua bidang. Demikian juga akhbar Saudara yang diterbitkan sekitar tahun 1928-1941 turut mengkritik umat Melayu disamping membela nasib mereka. Di antara tokoh-tokoh penting penerbitan akhbar terbabit ialah Abdul Rahim Kajai, Mohd Yunus Abdul Hamid, Syed Sheikh al-Hadi dan Syed Alwi bin Syed Sheikh Ahmad al-Hadi. Mereka banyak menyeru orang Melayu supaya memajukan diri dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelbagai kehidupan sosial ynag lain.
-
Sekitar tahun 1930an hingga 1940an pula lahir banyak persatuan dan pertubuhan Melayu yang cuba menyedarkan orang Melayu supaya membuat perubahan. Mereka bergerak dalam berbagai pendekatan dari bercorak kebudayaan, sosial, pendidikan hinggalah kepada bernafaskan perjuangan politik. Ketika orang Melayu disuntik kesedaran oleh pemuka-pemuka tajdid bangsa, masyarakat Cina pula sudah pun aktif dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersumberkan modal serta mementingkan keuntungan.
-
Kelahiran UMNO pada tahun 1946 berjaya menyatukan orang Melayu dari pelbagai pertubuhan itu. Bangsa Melayu mula menunjukkan semangat untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah.Ramai cendekiawan, budayawan, saterawan, usahawan dan agamawan Melayu ketika itu menyokong perjuangan Umno. Umno ketika itu dilihat seperti ’kain putih’ yang bersih dari noda dan kepentingan diri.
-
Untuk menggerakkan minda orang Melayu, maka gabungan tenaga intelektual dan pemimpin politik Melayu diketuai Datuk Senu Abdul Rahman menerbitkan buku Revolusi Mental (1970) yang dihasilkan ketika era Tun Razak (1970-1976). Pada tahun 1970 juga Tun DR. Mahathir menulis sebuah buku yang berjudul The Malays Dilemma yang turut mengkritik kelemahan Melayu.Melayu dilihatnya terpinggir dan dimarjinalisasi di tanah air sendiri sebagai warga kelas dua.
-
Perubahan orang Melayu mula menjadi realiti selepas diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Namun, Setelah 52 tahun mencapai kemerdekaan kita masih terus membicarakan masa depan bangsa Melayu. Bukankah bangsa Melayu telah mengalami anjakan dan transformasi dalam hampir semua bidang kehidupan hasil perjuangan Umno.Memang keadaan bangsa Melayu ketika ini tidaklah seburuk era penjajahan. Kemerdekaan telah memberikan kedaulatan dan kebebasan kepada kita untuk mentadbir dan mengurus negara.
-
Bagaimanapun pelbagai halangan dan cabaran seperti ketirisan dalam pelaksanaan DEB, politikus yang tidak amanah, perpecahan Melayu yang semakin meruncing kesan dari pertelingkahan politik, wujudnya petualang politik Melayu, cabaran ekonomi global dan halangan psikologi bangsa Melayu yang semakin keliru dengan identi dan jati dirinya memerlukan kita merangka dan merencana anjakan baru bagi mengatasi cabaran yang lebih kompleks sifatnya ini. Wujudnya pelbagai masalah itu menyebabkan bangsa Melayu terus dikritik oleh bangsanya sendiri.
-
Tidak salah kita mengkritik diri sendiri selagi ianya bertujuan untuk menimbulkan kesedaran.Apa yang penting ialah pihak yang mengkritik biarlah berpada-pada dalam kritikan, sementara yang dikritik harus bersedia menerima kritikan serta menunjukkan sikap mengakui kesilapan. Namun, pastinya bangsa Melayu berasa terhina apabila kaum lain turut menempelak dan mengkritik beberapa hak keistemewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita masih boleh menerima kritikan yang positif dan membina tetapi bukannya mencabar dan mempersoalkan hak kita.
-
Justeru, cadangan untuk menghapuskan hak Melayu adalah sikap yang melampau. Orang Melayu harus menghadapinya dengan berani tetapi dalam bentuk tindakan yang berstrategi. Ia memerlukan kepemimpina Melayu yang benar-benar beramanah dan memilki minda strategik yang hebat. Sejarah membuktikan bahawa bangsa yang ingin bangkit dari kelemahan dan kejatuhan memerlukan empat kekuatan iaitu keyakinan terhadap kebolehan diri, kepemimpinan yang amanah, solidariti yang mantap dan disiplin yang tinggi. Keempat-empatnya memainkan peranan besar dalam ketahanan bangsa.
(Catatan: BH 9/9/09 - Usah cabar hak Melayu di ruangan rencana ms.19 adalah berkaitan artikel ini. Artikel yang penulis paparkan ini adalah artikel asal penulis ke BH. )
Wednesday, September 2, 2009
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
Bangsa jadi gersang tanpa nilai rohani akibat tiru acuan negatif
SAMBUTAN kemerdekaan negara yang ke-52 tahun ini disambut dengan penuh kesederhanaan di perkarangan bangunan Parlimen, kelmarin. Kerajaan memutuskan sambutan kemerdekaan kali ini diadakan secara sederhana kerana mengambil kira penularan wabak H1N1 dan juga untuk menghormati Ramadan.
Sambutan yang berlangsung selama 40 minit itu diisi dengan beberapa acara utama seperti perbarisan dan perarakan. Laungan 'merdeka' dan '1Malaysia' pula mempunyai kesannya yang tersendiri.
Laungan 'merdeka' menjadi roh sambutan kemerdekaan yang dapat mengimbau kembali sejarah perjuangan kemerdekaan negara yang penuh onak dan duri. Laungan '1Malaysia' pula dapat membangkitkan semangat perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum yang hadir pada majlis itu.
Perayaan kemerdekaan adalah sesuatu yang penting buat negara kerana melalui sambutan inilah kita dapat mengenang kembali sejarah perjuangan dan pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air termasuk pasukan keselamatan negara.
Daripada sambutan ini jugalah kita dapat mengenal akar umbi sebenar kewujudan negara-bangsa yang berdaulat pada persada antarabangsa. Apa pun, kemerdekaan tidak sepatutnya difahami sebagai kebebasan daripada penjajahan kuasa asing semata-mata. 'Penjajahan fizikal' sudah lebih setengah abad berlalu tetapi persoalan yang membelenggu kita ialah 'penjajahan minda'.
Penjajahan inilah yang jarang disedari dan difahami kerana ia perkara yang berkaitan dengan fahaman, ideologi, sikap, minda, jiwa dan emosi kita. Elemen utama penjajahan minda dan jiwa bangsa ialah sikap suka meniru tanpa pemikiran yang kritis.
Allahyarham Profesor Datuk Dr Syed Hussein al-Atas dalam tulisannya berjudul 'watak tertawan' di negara membangun menyebut bahawa gejala suka meniru apa saja yang datang dari Barat adalah tabiat atau perangai buruk yang boleh merosakkan jati diri sesuatu bangsa. Gejala buruk itu diistilahkan beliau sebagai 'watak tertawan'. Bagi penulis watak tertawan ini adalah berpunca daripada 'penjajahan minda'.
Tulisan beliau terkandung di dalam buku Pasca Kolonialisme Dalam Pemikiran Melayu (DBP, 2005). Katanya, selepas negara-negara Asia dan Afrika mencapai kemerdekaan (pasca kolonialisme ) wujud satu budaya suka meniru Barat tanpa pemikiran yang kritis. Apa saja yang disogok Barat semua baik, indah dan betul belaka.
Ada dua gejala utama berkaitan watak tertawan ini. Pertama, kesan terlalu meniru tanpa usul periksa dan penilaian kritis menyebabkan suburnya pengaruh budaya Barat yang tidak menguntungkan malah merosakkan masyarakat.
Kedua, ekoran masalah pertama tadi, maka timbullah gejala budaya Barat yang ditiru itu menjadi 'kuasa imperialis' dalam bentuk penjajahan minda dan jiwa anak bangsa kita. Syed Hussein menjelaskan, masalah watak tertawan adalah masalah keperibadian kita yang terlalu mudah terikut-ikut secara membuta tuli.
Ia akhirnya membawa kemusnahan dan kerosakan tamadun dan warisan budaya bangsa itu sendiri. Proses ini berlaku secara tidak disedari akibat ketiadaan pemikiran kritis dan rasional. Tidak salah jika kita meniru budaya yang positif seperti menepati masa, berdisiplin, bekerja keras, rajin membaca dan seumpamanya.
Masalah timbul apabila yang ditiru itu adalah pemikiran asing dan budaya hidup yang dapat menghakis jati diri bangsa yang sepatutnya menjadikan unsur kekuatan utama membangun dan membina kehidupan kita. Watak tertawan menggambarkan kita bukannya bangsa yang suka berfikir menyebabkan kita gagal melahirkan idea bernas dan praktikal.
Kita menjadi bangsa yang tidak berupaya atau tidak mempunyai kebolehan 'meramalkan' terhadap masalah yang akan terjadi akibat peniruan yang membabi buta itu. Kesan suka meniru menyebabkan kita sering dibelenggu masalah yang tidak berkesudahan. Misalnya, dalam pendidikan, sekiranya kita terlalu bergantung sepenuhnya kepada bacaan atau sumber dari Barat tanpa sikap analitik melalui kajian saintifik, maka kita mungkin akan melanjutkan atau mewarisi kesalahan Barat.
Begitu juga dalam meniru model pembangunan Barat yang akhirnya menyebabkan kita dihantui dengan pelbagai masalah lain kesan pelaksanaan model pembangunan yang tidak secocok dengan keadaan dan persekitaran negara. Kesilapan meniru model pembangunan yang tidak tepat itu menyebabkan kita terpaksa membelanjakan wang yang lebih untuk mengatasi masalah yang muncul akibat peniruan itu.
Demikian juga jika peniruan itu membabitkan budaya dan amalan hidup, maka kita sebenarnya mengheret peradaban dan budaya bangsa kepada kemusnahan. Hari ini budaya bangsa kita seolah-olah tidak lagi dihargai kesan daripada watak tertawan.
Generasi muda kita hari ini lebih terpengaruh dengan budaya hidup Barat yang tidak memiliki roh agama dan budaya bangsa yang mulia. Begitu juga dengan pejuang Hak Asasi Manusia yang semakin keliru dengan erti kebebasan yang diperjuangkan mereka kesan sikap tertawan dengan kebebasan acuan Barat.
Mereka yang tersilau dan taksub dengan politik demokrasi-liberal Barat pula berpandangan bahawa kononnya demokrasi-liberal acuan Barat dapat memberikan kebebasan dan keadilan sebenar kepada rakyat.
Hari ini perjuangan politik sedemikian menyebabkan berlakunya kekalutan dalam politik dan sosial kita. Banyak yang diperjuangkan itu cuba merungkai apa yang termaktub dalam perlembagaan negara termasuk 'roh' kontrak sosial yang ada di dalamnya. Kebebasan yang diperjuangkan itu melangkaui asas-asas politik dan kenegaraan yang selama ini sudah diterima di negara ini.
Apakah liberalisme membawa manfaat ke arah memperkasa patriotisme dan nasionalisme serta jati diri kita adalah sesuatu yang perlu diteliti oleh mereka yang taksub atau tertawan dengannya.
Kesimpulannya, watak tertawan menjadi satu masalah besar yang membelenggu minda, mengekang kemajuan intelektual dan merosakkan jati diri sesuatu bangsa. Tidak ada maknanya kita maju jika kita gagal membangun intelektualisme, pemikiran kritis serta memelihara nilai peradaban dan budaya bangsa.
Kita mungkin boleh berbangga dengan kehebatan pembangunan material tetapi bangsa akan gersang daripada nilai rohani kesan peniruan membabi buta terhadap apa yang datang dari dunia Barat sehingga kita memandang ringan persoalan mengenai kemerdekaan minda dan jiwa (rohani). - BH 2/9/09