Usah sampai Bumiputera jadi mangsa liberalisasi
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
EKONOMI negara tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada sektor pembuatan berorientasikan eksport. Justeru, untuk cabaran jangka panjang, kerajaan mula melakukan transformasi ke arah pembangunan ekonomi berteraskan kreativiti dan inovasi. Di bawah model baru ekonomi ini, kerajaan akan membangunkan sektor perkhidmatan menjadi peneraju pertumbuhan dan pembentukan kekayaan baru masa depan negara. Pada masa sama, kerajaan akan terus menggalakkan sektor pembuatan bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi.
Mengenai pemikiran kreatif dan inovatif, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora baru-baru ini menyebut: “Kita mesti berani keluar daripada kotak pemikiran konvensional. Bagi menangani krisis, kita tidak sesekali mampu bersifat dogmatik dan menolak secara awal sebarang opsyen. Semua opsyen mesti dipertimbangkan demi kepentingan negara”. Justeru, syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pengusaha perusahaan kecil sederhana (PKS) perlu menjadi pengeluar yang kompetitif bagi memastikan kelangsungan produk mereka kekal dalam pasaran.
Mereka harus menjadi peserta dan pemain aktif yang kreatif dan inovatif dalam pasaran tempatan dan global. Kejayaan Proton dalam mengeluarkan Exora dengan menggunakan hampir 90 peratus komponen dan alat ganti tempatan serta dihasilkan sepenuhnya rakyat tempatan baik daripada konsep, reka bentuk hingga kepada sistem kejuruteraan dan pengeluarannya harus dijadikan contoh kepada syarikat pengeluar barangan tempatan.
Satu lagi transformasi utama dilakukan kerajaan ialah melaksanakan proses liberalisasi kepada 27 subsektor perkhidmatan dan kewangan untuk tujuan meningkatkan kemasukan pelaburan asing. Tindakan kerajaan meliberalisasikan sektor terbabit memang kena pada masanya. Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, negara turut berdepan persaingan dari negara serantau yang kebanyakannya sudah melaksanakan dasar liberalisasi ekonomi.
Justeru, adakah kita mahu terus berada di takuk lama atau turut serta dalam persaingan itu? Jika kita mahu terus menarik pelaburan asing langsung (FDI) dan menjadi pemain utama dalam sektor tertentu, maka kita tiada pilihan lain kecuali turut serta dalam persaingan. Negara perlu mempertingkatkan promosi perdagangan dan menarik masuk FDI.
Tindakan kerajaan meliberalisasikan sektor perkhidmatan dan sektor kewangan mampu membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana pelbagai peluang pekerjaan. Liberalisasi sektor kewangan negara dilihat mampu menjadikan sektor itu lebih berdaya saing sama ada dalam sektor kewangan konvensional mahu pun sektor perbankan Islam. Pastinya pemberian dua lesen perbankan Islam kepada pelabur asing mampu menjadikan sistem muamalah berasaskan syariah berkembang dan membudaya di negara kita.
Pembangunan sistem kewangan Islam dan sistem takaful juga akan menjadi faktor penarik kepada pelabur asing dari Asia Barat kerana mereka lebih mesra dengan sistem perbankan dan takaful Islam. Kemampuan dan prestasi Bank Negara Malaysia (BNM) mengawal selia sistem kewangan negara memang tidak dapat diragukan. Penguasaan 70 peratus bank-bank tempatan ke atas sistem kewangan domestik membuktikan keupayaan bank pusat itu mengawasi dan mengurus sistem kewangan negara dengan cekap. Perbankan domestik memiliki modal kukuh dengan nisbah modal wajaran risiko (RWCR) pada 12.5 peratus dan purata saiz aset RM91.6 bilion.
Ini sekali gus meyakinkan kita bahawa bank tempatan mampu bersaingan dengan pelabur asing dalam sektor kewangan. Sejauh mana liberalisasi akan membawa kemakmuran kepada ekonomi negara adalah sesuatu yang perlu dipantau dari masa ke semasa. Unit Perancangan Ekonomi, BNM dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri harus membina mekanisme bersama dalam memantau kesan liberalisasi terhadap sektor perkhidmatan dan kewangan terbabit. Perlu diingat, dalam skala global, liberalisasi ekonomi lebih banyak memberi keuntungan kepada kapitalis Barat melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas.
Bagaimanapun, pada satu pihak lagi sering dibelenggu ketidakadilan yang akhirnya menyebabkan pengagihan ekonomi di kalangan rakyatnya menjadi isu. Liberalisasi ekonomi yang tidak diurus dengan baik boleh melebarkan lagi jurang pendapatan antara kaya dan miskin. Ia juga boleh menyebabkan wujud segelintir ahli korporat yang kaya semakin bertambah kaya. Selain itu, isu berkaitan dengan gaji dan kebajikan pekerja tempatan juga perlu diberi perhatian supaya mereka menerima upah yang sewajarnya hasil dari keuntungan yang dinikmati majikan.
Dalam konteks negara kita, perbezaan jurang pendapatan yang ketara antara kaum boleh menjadi kekangan terhadap usaha menyatupadukan rakyat di bawah konsep ‘1Malaysia’. Justeru, kita berharap liberalisasi ekonomi yang kini dijadikan polisi negara jangan sampai menyebabkan ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Masih ramai usahawan Bumiputera yang tidak mampu bersaing berasaskan meteriokrasi. Walaupun hari ini semangat kita meluap-luap dengan konsep ‘1Malaysia’, jangan kita lupa hak Bumiputera berasaskan Perlembagaan dan akar umbi sejarah bangsa Melayu itu sendiri.
Apa pun kita yakin kerajaan mempunyai kebijaksanaan dalam hal ini. Kerajaan mempunyai cara tersendiri dalam melaksanakan dasar liberalisasi. Walaupun kerajaan mensasarkan peningkatan sumbangan sektor perkhidmatan sehingga 70 peratus kepada pelabur asing, namun segmen yang mempunyai kepentingan negara seperti lapangan terbang dan pelabuhan akan terus dilindungi.
Kerajaan juga memberi jaminan bahawa liberalisasi terbabit tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan serta menjejaskan usahawan Bumiputera. Dasar 30 peratus pemilikan Bumiputera akan terus dipertahankan. Untuk itu, kerajaan menetapkan dua pendekatan ke arah meningkatkan penyertaan Bumiputera.
Pertama, bagi menjana pertumbuhan, kerajaan menggalakkan golongan terbabit menyalurkan dana pelaburan mereka melalui saham-saham amanah yang diurus secara profesional. Kedua, kerajaan akan menggunakan pendekatan memberi galakan khususnya melalui kewujudan komuniti industri komersial Bumiputera dengan menumpukan sekurang-kurangnya pada 13 kluster utama. Kerajaan akan memberi tumpuan kepada Bumiputera untuk menjayakan perniagaan, bukan saja dari segi pemilikan tetapi pelaksanaan pengurusannya dan sokongan pengembangan perniagaan seperti dalam sektor automotif dan dalam sektor minyak dan gas.
Akhirnya, kita berharap lapan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) yang dibubarkan dan diserapkan ke beberapa kementerian akan benar-benar dapat membantu menjayakan pembentukan masyarakat industri Bumiputera yang teguh dan berdaya saing. Peranan mereka harus terus dipantau oleh kerajaan.
- BH 6/5/09
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment