Zambry kekal MB Perak
PUTRAJAYA 12 Mei - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Dengan keputusan itu, status quo Zambry sebagai Menteri Besar Perak kekal buat masa ini sehingga rayuannya terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) semalam diputuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak.
Hakim Datuk Ramly Ali ketika memutuskan demikian turut memerintahkan agar tarikh awal ditetapkan bagi mendengar rayuan tersebut.
Hakim Ramly ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, mahkamah menggunakan bidang kuasanya mengeluarkan perintah penggantungan tersebut berdasarkan kepada keunikan dan kepentingan situasi politik di Perak.
Beliau menyatakan, perkembangan di Perak bukan hanya melibatkan Zambry selaku Menteri Besar malah ia turut membabitkan keseluruhan perjalanan politik di negeri tersebut.
''Mahkamah menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi itu setelah berpuas hati bahawa perkembangan kes ini amat penting dan unik. Rayuannya akan didengar pada tarikh awal,'' ujar Hakim Ramly.
Semalam, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membenarkan permohonan semakan kehakiman Mohammad Nizar, 52, agar mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati sultan untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, setelah hampir 18 jam keputusan Mahkamah Tinggi dikeluarkan, Zambry memfailkan permohonan rasmi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan kira-kira pukul 9.30 pagi ini agar perintah itu digantung sementara menunggu rayuan selesai.
Tindakan itu dibuat berikutan keputusan Hakim Abdul Aziz semalam yang menolak permohonan lisan peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakilinya untuk menangguhkan perintah keputusan tersebut.
Permohonan itu ditolak setelah Abraham gagal mengemukakan nas undang-undang berkaitan penangguhan itu.
Selain permohonan penangguhan, Zambry hari ini turut memfailkan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Notis rayuan itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Zul Rafique & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di ibu negara kira-kira pukul 9 pagi ini.
Dalam prosiding hari ini, peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar berhujah agar penangguhan perintah itu ditolak dan memohon mahkamah mengembalikan isu berbangkit ke Mahkamah Tinggi.
Beliau menyatakan, Hakim Mahkamah Tinggi sudah memberi laluan bahawa penangguhan boleh dibuat asalkan Zambry memfailkan permohonan secara bertulis di samping mengemukakan nas undang-undang yang berkaitan.
Sulaiman dalam hujahnya turut memohon agar satu tarikh awal ditetapkan untuk mendengar rayuan terhadap perintah tersebut bagi membolehkan ia diselesaikan segera.
''Jalan penyelesaian yang ada ialah menolak permohonan penangguhan atau mengembalikan ke Mahkamah Tinggi melainkan mahkamah berpendapat isu berbangkit sudah akademik kerana Zambry bukan lagi Menteri Besar Perak,'' ujar Sulaiman.
Menurut beliau lagi, Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) melainkan setelah mendapat perkenan Sultan Perak yang mana ia pernah ditolak pada kali pertama permohonan dibuat.
Kata Sulaiman, jika mahkamah menetapkan tarikh awal, kemungkinan Sultan Perak akan menangguhkan perkenan baginda (agar Dewan dibubarkan) dan menunggu sehingga keputusan dikeluarkan.
Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry pula berhujah, perintah Mahkamah Tinggi itu perlu ditangguhkan segera bagi menyekat Mohammad Nizar memperoleh perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN.
Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang bertindak sebagai pencelah bagi kerajaan Malaysia berhujah agar isu itu diselesaikan ke peringkat Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.
Beliau menyatakan, perkembangan politik di Perak memberi kesan kepada seluruh negara dan jika dilengah-lengahkan akan menimbulkan krisis yang berpanjangan.
Sementara itu di luar mahkamah, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun bersama-sama Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Barisan Nasional (BN) memberitahu, keputusan itu menandakan kejayaan awal BN yang diperoleh berlandaskan kepada lunas undang-undang.
Menurut Mohd. Hafarizam, penangguhan itu dengan sendirinya menjadikan perintah semalam digantung manakala status quo Zambry serta barisan Exconya kekal. - Utusan Malaysia 13/5/09
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment