Terdidikkah ‘nafsu politik’ Nizar melalui tarbiyyah Pas
Mohd Ayop Abd Razid
KEMELUT politik Perak masih di persimpangan. Ia sudah mengambil masa agak lama untuk diselesaikan sehingga menjejaskan pentadbiran negeri Perak serta merugikan rakyat negeri itu. Terkini kemelut politik Perak lebih fokus kepada menentukan siapakah Menteri Besar yang sah melalui proses mahkamah.
Esok, Mahkamah Rayuan akan mendengar Rayuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Mahkamah sama juga akan mendengar permohonan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan mengadakan pilihan raya perlu dilihat sebagai pilihan terakhir. Pada hakikatnya, jika Pakatan Rakyat memahami dan menerima realiti demokrasi, maka sejak awal lagi kemelut politik Perak sudah dapat diselesaikan.
Namun, mereka gagal menerima hakikat bahawa mereka sudah hilang sokongan majoriti di DUN Perak. Ia berlaku apabila tiga Adun mereka, iaitu dua daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang daripada DAP bertindak keluar parti dan mengisytiharkan sebagai wakil rakyat Bebas. Mereka kemudian menyokong Barisan Nasional (BN) dan sokongan itu membentuk ’sifar matematik’ 28 lawan 28+3 (BN).
Jelas di sini BN mempunyai sokongan majoriti dengan kelebihan tiga kerusi. Asas dan prinsip demokrasi meletakkan parti yang mempunyai sokongan majoriti, walaupun dengan satu kerusi layak membentuk kerajaan. Ini pernah berlaku di Kelantan apabila Pas Kelantan mempunyai majoriti hanya dua kerusi dalam Pilihan Raya Umum 2004.
Namun, apabila BN menang pada pilihan raya kecil 2005, Pas hanya mempunyai kelebihan satu kerusi. Hanya dengan kelebihan satu kerusi saja Pas berhak membentuk kerajaan negeri tanpa gangguan BN (Umno) sebagai pembangkang di negeri itu.
Lain pula ceritanya apabila BN memperoleh majoriti dengan kelebihan tiga kerusi. Pakatan pembangkang terus menimbulkan pelbagai onar semata-mata kerana kemaruk kuasa serta tidak mahu menerima realiti dan prinsip demokrasi.
Apabila Nizar kehilangan sokongan majoriti di DUN Perak dan cubaannya untuk mendapatkan perkenan Sultan bagi membubar DUN pada 5 Februari lalu gagal, sebaliknya BN mendapat perkenan Sultan untuk membentuk kerajaan baru negeri Perak yang membawa kepada pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Februari.
Sultan Azlan Shah sudah mengamalkan prinsip dan semangat demokrasi sama ketika melantik Menteri Besar daripada pembangkang dan juga BN.
Prinsip demokrasi berperwakilan inilah yang harus difahami Pakatan Rakyat. Apabila sesuatu parti memiliki sokongan majoriti, maka parti itulah yang memerintah. Apakah pakatan pembangkang lupa bahawa ketika mahu membentuk kerajaan negeri Perak sebelum ini mereka juga mempunyai majoriti tiga kerusi.
Keabsahan melalui kaedah ‘formula demokrasi’ enggan diterima dan diakui Nizar sehingga merumitkan dan mengusutkan keadaan. Nyata sekali Pakatan Rakyat tidak mahu menghormati keputusan dan kuasa yang dibuat Sultan Perak yang bertindak secara adil menerusi kuasa yang termaktub di dalam Perlembagaan negeri.
Jika Nizar dan Pakatan Rakyat mengutamakan kepentingan rakyat, pastinya mereka akan akur dengan tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Sepatutnya mereka menerima hakikat itu dan bersedia menjadi pembangkang yang berkesan. Nizar sebagai pemimpin Pas yang dikatakan sentiasa dididik dengan program tarbiyyah yang dibanggakan Pas selama ini, sepatutnya tidak melihat kuasa sebagai segala-galanya.
Nizar tidak seharusnya terus memburu kedudukan Menteri Besar padahal ia bukan lagi miliknya mengikut formula dan prinsip demokrasi. Apa cacatnya Nizar menjadi pembangkang di DUN Perak jika itulah kedudukannya. Lihat bagaimana Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang dulunya berkedudukan Menteri Besar sanggup menjadi ketua pembangkang di DUN Selangor. Apa yang penting negara memerlukan peranan pembangkang yang berkesan sama ada di Dewan Rakyat mahu pun di DUN.
Sebagai pemimpin parti yang kuat tarbiyyah Islamiahnya, Nizar sepatutnya faham bahawa di antara tanda seseorang itu cintakan dunia ialah apabila ia terlalu kuat merindui untuk menjadi pemimpin atau penguasa. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya memberi tazkirah kepada Nizar mengenai perkara ini.
Biarlah Mahkamah Rayuan membuat keputusannya nanti. Nizar dan Zambry harus bersedia menerima sebarang keputusan itu dengan hati dan minda yang terbuka. Bukankah bersikap tasamuh atau berlapang dada dalam menerima sesuatu hakikat itu satu akhlak mahmudah (terpuji)?
Amat jeliknya nafsu kita apabila sesuatu yang menguntungkan menyebelahi kita, maka kita puji dan sanjung, tetapi apabila sesuatu itu tidak memihak kepada kita maka kita keji dan bersangka buruk terhadapnya.
Jika Nizar boleh menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebelahinya, mengapa pula beliau perlu berburuk sangka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tempoh hari. Ia adalah persoalan mengenai proses perundangan yang sepatutnya dihormati dan dihargai semua pihak.
Nizar nampaknya lebih memperlihatkan keengganannya menerima realiti demokrasi dan proses perundangan negara. Apalah yang boleh Pas lakukan dalam memperjuangkan Islam sekiranya hanya beberapa kerat saja pemimpin Pas (enam kerusi) sementara sebilangan besarnya adalah dikuasai DAP (17 kerusi) dan PKR lima kerusi selepas dua ahlinya menjadi bebas.
Ambillah iktibar apa yang dilakukan kerajaan DAP di Pulau Pinang dan juga jangan lupa pemerintahan PAP di Singapura. Sikap kedua-duanya lebih ‘perkauman’ daripada Umno. Nizar yang dikelilingi majoriti wakil DAP nampaknya menjadi tidak rasional akibat pengaruh dan desakan wakil rakyat DAP. Sejak mula menjadi Menteri Besar Perak, polisi pentadbiran Nizar adalah sebenarnya polisi DAP.
Nizar tidak ada kemerdekaan dalam membuat sesuatu keputusan penting. Ini dapat dilihat dalam kes pemberian tanah sehingga Nizar terpaksa mengetepikan Kanun Tanah Negara semata-mata untuk memenuhi kehendak dan desakan DAP.
Pentadbiran Nizar memberikan status hak milik kekal 999 tahun kepada penduduk yang mendiami lot tanah di kampung baru di seluruh negeri itu dengan kira-kira 80 peratus kaum Cina. Tanah itu asalnya adalah milik Melayu yang diambil oleh British di bawah Rancangan Briggs bagi menempatkan setinggan Cina untuk mengatasi masalah komunis.
Rancangan itu tidak dipersetujui Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950. Sepatutnya Nizar mencari jalan mengembalikan tanah terbabit kepada orang Melayu, tetapi lain pula tindakannya. Nizar harus berfikiran jauh dalam hal ini.
Jangan hanya kerana hendak meraih populariti supaya dipilih sebagai Naib Presiden dalam pemilihan partinya bulan depan, maka Nizar terus mencipta isu demi isu dalam soal kedudukan Menteri Besar Perak. Ini agenda peribadi yang tidak selari dengan prinsip perjuangan Islam. Ahli-ahli Pas harus cerdik melihat agenda halus Nizar untuk mara dalam pucuk kepemimpinan tertinggi parti itu. - BH 20/5/09
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
1 comment:
Orang buta kenyataan hakiki bisa berbicara sebegini rupa. Dasar UMNO totok! Kenapa tidak mengambil kira kenapa perkara ini terjadi, bukan sekedar membuka bicara mulai dari setelah perkara di Perak terjadi. Yang perlu diperkatakan adalah akibat dari perbuatan BN. Lihat aja keputusan mahkamah yang menyatakan Nizar adalah MB yang sebenar-benarnya halal! Dasar UMNO totok!
Post a Comment