Wednesday, April 8, 2009


Kepemimpinan Najib penuhi aspirasi rakyat


Oleh Mohd Ayop Abd Razid


Konsep 'Satu Malaysia' bina kembali hubungan kaum supaya perpaduan lebih konkrit dicapai
JIKA Allah menghendaki seseorang itu naik ke tampuk kekuasaan, maka tiada siapa mampu menghalangnya. Dalam konteks akidah, apa yang tercatat di Luh Mahfuz mengenai segala takdir makhluk adalah sebahagian perkara yang diyakini orang mukmin.
-
Maksud firman Allah SWT: "Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan disisi-Nya terdapat Luh Mahfuz" (Ar-Ra'd ayat 39). Demikianlah apa yang ditakdirkan kepada Datuk Seri Najib Razak di Luh Mahfuz sudah menjadi kenyataan.
-
Pada 3 April lalu, rasmilah Najib dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke-6 menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Majlis mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri disempurnakan di Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Peralihan kuasa kali ini tetap berjalan dengan teratur dan lancar walaupun pembangkang cuba menyebarkan pelbagai dakyah memburukkan Najib dengan niat untuk menghalang beliau menjadi Perdana Menteri.
-
Dalam ucapan sulungnya, Najib menegaskan bahawa beliau menerima amanah dan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Keazamannya untuk melaksanakan transformasi dapat difahami melalui slogan 'Satu Malaysia' dengan penekanan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
-
Berpaksikan keutamaan rakyat, Najib berazam untuk membasmi kemiskinan, memperkukuh struktur masyarakat, meningkat akses pendidikan serta meningkat semangat dan membangun potensi generasi muda sesuai dengan tuntutan zaman.
-
Najib turut menekankan bahawa kepemimpinannya akan berdiri teguh menghadapi cabaran ekonomi. Beliau menunjukkan sikap keterbukaan apabila mengumumkan pembebasan 13 orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menarik balik pergantungan penerbitan akhbar Suara Keadilan dan Harakah serta berjanji akan menyemak semula ISA.
-
Ia sekali gus menafikan persepsi buruk pembangkang bahawa Najib akan menjadi pemimpin yang keras dan tidak mesra rakyat. Apa yang dilakukan Najib itu adalah selari dengan aspirasi dan kehendak rakyat.
Beberapa hari sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri, Najib yang sebelum ini dipilih menjadi Presiden Umno sudah pun menjelaskan bahawa beliau insaf pelantikannya sebagai Perdana Menteri adalah satu tanggungjawab besar dan mandat yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin supaya keyakinan rakyat terhadap kerajaan tidak tergugat.
-
Sikap tawaduknya membuktikan beliau bukan seorang yang gila kuasa seperti didakwa pembangkang. Selama ini terbukti beliau tidak pernah menentang bosnya. Najib menunjukkan sifat sabar dalam setiap kali berlaku pergolakan kepemimpinan dalam partinya.
-
Ketika berlaku pergolakan pada 1998, yang menyaksikan Anwar disingkirkan daripada parti dan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Najib tetap setia dan menyokong bosnya ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Dr Mahathir keluar Umno dan mengkritik pentadbiran Pak Lah, Najib tetap setia kepada Pak Lah. Sikap Najib selari dengan slogan Umno iaitu 'Setia' dan 'Berkhidmat'.
-
Apa pun, sebagai orang yang mengemudi haluan negara, Najib harus menunjukkan ketegasan terhadap perkara yang menyentuh keselamatan dan kedaulatan negara. Seperti dihuraikan Al-Mawardi, ulama tersohor yang terkenal dengan kitab Al-Hakim As-Sulthaniyah menyatakan bahawa tanggungjawab sebagai pemimpin adalah memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan hidup rakyat terjamin sepanjang masa.
-
Cabaran memang menanti Najib. Daripada persoalan ekonomi hinggalah situasi politik negara yang tidak menentu boleh menjadi hambatan dan kekangan kepada pentadbirannya. Namun, kita yakin, berbekalkan pengalaman luas dalam politik, parti dan kerajaan serta disulami dengan kebijaksanaannya, Najib mampu menawarkan sebuah kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat.
-
Pastinya, Najib akan membentuk barisan Kabinet yang mantap, realistik dengan keadaan semasa dan dapat membantunya meneruskan agenda memacu negara ke arah kejayaan lebih bermakna.
-
Najib tidak mempunyai masalah dalam hal ini kerana timbalannya dalam Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah berikrar akan memberikan ketaatan dan kerjasama kepadanya.
-
Dua bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir dan Abdullah juga sedia memberikan sokongan kepada beliau. Najib sedar perpaduan kaum yang kukuh dapat menjamin kestabilan politik negara. Sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu, keharmonian kaum yang sudah terbina selama ini dicemari dengan banyaknya permainan politik berkisar kepada isu sensitif bersifat perkauman.
-
Mujurlah kerja kuat pasukan polis yang sentiasa memantau keadaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersikap ekstrem, berjaya membendung keadaan. Namun, yang lebih penting ialah psikologi rakyat mesti dipulih dan diperkasakan.
-
Justeru, beberapa hari sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri, Najib mengetengahkan konsep 'Satu Malaysia' untuk tujuan mempertaut dan membina kembali hubungan kaum supaya perpaduan yang lebih konkrit dapat dibina.
-
Konsep ini ditunjangi dua prinsip utama iaitu sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dan keyakinan antara satu sama lain. 'Satu Malaysia' wajar dijadikan slogan era kepemimpinan Najib dan dicadangkan ia dijadikan tema hari kemerdekaan negara tahun ini.
Apa pun, usaha ini bukannya mudah kerana ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk parti pembangkang. Najib sudah pun memberi jaminan bahawa beliau akan berusaha untuk menilai cita rasa semua komuniti di negara ini dan memahami keperluan mereka.
-
Beliau akan memberikan penekanan terhadap pelaksanaan dasar yang lebih adil dan saksama kepada semua kumpulan etnik dan komuniti, termasuk di Sabah dan Sarawak supaya tidak ada kaum di negara ini terpinggir daripada arus pembangunan negara.
-
Langkah mendampingi rakyat tanpa sambutan permaidani merah dan bunga manggar sudah pun dimulakan Najib. Sabtu lalu beliau membuat lawatan mengejut di sekitar ibu negara di tiga buah lokasi iaitu di Jalan Petaling, kawasan perumahan kos rendah dan sederhana Vista Angkasa di Kerinchi, Bangsar serta deretan kedai di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields.
-
Lawatan itu bertujuan untuk bertemu dan mengetahui masalah rakyat. Pada saya, di sebalik tindakan Najib itu tersirat mesej untuk bakal barisan Kabinetnya supaya bersedia mendekati rakyat tanpa mengharapkan sambutan permaidani merah dan bunga manggar.
Cara inilah yang dilakukan oleh ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu yang menyebabkan rakyat kasih, hormat dan setia kepada mereka.
- BH 8/4/09


No comments: