Tuesday, April 14, 2009

Kabinet Najib perlukan sokongan generasi muda

Oleh Mohd Ayob Abd Razid

KABINET baru yang digelar 'Kabinet Rakyat' pimpinan Datuk Seri Najib Razak sudah pun dibentuk minggu lalu. 'Kabinet Rakyat' akan mendukung falsafah pentadbiran Najib 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Ia akan memberi fokus sepenuhnya kepada rakyat.
-
Untuk memastikan ia dapat diterjemahkan dengan berkesan oleh barisan Kabinet, Najib menyediakan kayu ukur melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Najib serius dalam hal ini dengan beliau sendiri akan menilainya setiap enam bulan sekali.
-
Selain itu, seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut dipertanggungjawabkan memantau prestasi mereka. Perlu diingat bahawa rakyat pasti akan mengukur prestasi barisan Kabinet Najib dan ia akan menjadi penentu sokongan serta prestasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
-
Justeru, barisan Kabinet Najib mempunyai misi dan tanggungjawab penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN. Ia akan menjadi penentu hidup matinya kerajaan BN nanti. Inilah cabaran dihadapi menteri dan timbalan menteri, terbabit.
-
Najib mahukan corak dan tindakan kerja mereka mestilah berorientasikan pencapaian dan program untuk rakyat, bukannya bernafsu dan ghairah menonjolkan diri. Najib sudah memberikan isyarat bahawa mereka yang dilantik harus menjadi aset, bukannya liabiliti (beban) kepada kerajaan.
-
Apa yang jelas, Kabinet yang menggabungkan muka lama dan baru itu dilihat lebih responsif dan memiliki iltizam tinggi terhadap aspirasi dan kehendak rakyat. Muka baru yang dibawa masuk ke dalam Kabinet diharap dapat menyegar dan meremajakan kerajaan BN yang dilihat sudah berada di ambang senja.
-
Hendaknya jangan ada yang membawa masalah kepada BN dengan tindakan bercanggah dengan kehendak dan aspirasi rakyat kerana amarah serta hukuman rakyat menanti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Justeru, persoalan mengenai integriti perlu diambil berat oleh barisan Kabinet Najib. Begitu juga dengan seluruh pegawai kanan kerajaan turut dipantau KPI mereka.
-
Seluruh anggota perkhidmatan awam hendaklah bersama kerajaan dengan penuh taat setia dan patuh menjayakan aspirasi 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Dalam satu wawancara di TV1 sempena sambutan 73 tahun perkhidmatan awam negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam menyatakan sejarah perkhidmatan awam di negara ini membuktikan anggotanya sentiasa dapat menyesuaikan diri pada setiap perubahan dibawa oleh pucuk kepemimpinan baru yang naik memerintah negara ini.
-
Selama ini perkhidmatan awam menjadi mekanisme penting dalam melaksanakan dan menterjemah segala program serta dasar awam yang digubal kerajaan. Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan kemerosotan prestasi BN yang gagal mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat di samping kehilangan beberapa negeri.
-
Selain itu, integrasi nasional turut terjejas kesan daripada wujudnya pihak yang mempertikai kontrak sosial, ketuanan Melayu serta Perlembagaan dan undang-undang negara. Perlu diingat bahawa Umno terus ditolak oleh rakyat dalam tiga pilihan raya kecil berturut-turut membabitkan empat kawasan iaitu Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang serta Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau.
-
Inilah cabaran Najib selain mengendali ekonomi negara kesan krisis ekonomi global. Kedudukan ekonomi yang sukar diramal boleh menjadi hambatan kepada pentadbirannya. Justeru, usaha mengembalikan keyakinan dan penerimaan rakyat menjadi cabaran utama. Seperti diungkap Najib, 'ia adalah perjalanan yang jauh, tetapi kami perlu memulakannya.'
-
Kita yakin Najib dan barisan Kabinetnya memiliki keazaman, keyakinan dan kekentalan semangat juang untuk mencapai apa yang dirancang dan dihasratkan. Ini jelas dapat difahami apabila beliau berkata, 'perjalanan 1,000 batu bermula dengan langkah pertama, kami akan sampai juga ke sana akhirnya.'
-
Jika selepas peristiwa 13 Mei 1969, bapanya Tun Abd Razak Hussein (1970-1976) berjaya membawa transformasi kepada Umno dan BN serta membentuk keyakinan rakyat terhadap kerajaan, kita juga yakin Najib mampu melakukan perkara yang sama.
-
Ketika era bapanya, ramai tokoh ekonomi dan korporat bersamanya membangun ekonomi negara, terutama dalam konteks menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
-
Barisan Kabinet juga dipertanggungjawab membina masyarakat bersatu padu yang diperkukuh atas dasar kepercayaan dan saling menghormati. Justeru, mereka harus terlebih dulu mempamerkan sikap yakin meyakini dan hormat menghormati di kalangan anggota Kabinet dan komponen BN.
-
Bagaimana mungkin kita meyakinkan rakyat sekiranya di kalangan barisan Kabinet saling bercakaran, tuduh menuduh, tiada ketaatsetiaan dan kepatuhan dalam mendokong aspirasi kepemimpinan seperti yang ditetapkan.
-
Jika demikianlah halnya, bagaimana kerajaan dapat meyakinkan slogan 'Satu Malaysia, Rakyat Diutamakan, Pencapaian Diutamakan?'. Najib menggalakkan barisan Kabinetnya mengadakan lawatan tidak formal menemui rakyat, mengadakan dialog dan perbincangan terbuka dengan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mengutamakan dasar yang adil dan saksama kepada semua tanpa mengira kaum.
-
Selain itu, beliau mahu kerajaan dan rakyat bersama berkongsi empat prinsip, iaitu nilai integriti dan piawaian tinggi bagi mengekalkan keyakinan rakyat, mengutamakan bakat dan kebolehan bagi menempuh saat-saat mencabar, kesetiaan dan kepatuhan kepada tanah air serta kesungguhan dan bersemangat tinggi bagi membina sebuah negara yang berdaya saing.
-
Najib turut mengingatkan barisan Kabinetnya bahawa 'era kerajaan mengenakan rejim kawalan keterlaluan dan mengamalkan sikap seolah-olah kerajaan lebih mengetahui segala-galanya sudah berlalu.'
-
Sayugia diingat, ia bukan bermakna kerajaan harus menghapuskan kawalan terhadap segala-galanya kerana ia boleh menyebabkan negara berada dalam keadaan kucar kacir atau anarkisme.
-
Pada saya, apa dimaksudkan ialah kerajaan harus mendengar pandangan dan teguran rakyat. Dalam erti kata lain, kerajaan tidak boleh bersikap bongkak dan sombong daripada mendengar hasrat dan kehendak rakyat.
-
Akhirnya, sokongan generasi muda amat penting kerana merekalah tenaga utama dalam usaha membawa dan memacu pembaharuan dan transformasi sesuai dengan cabaran kontemporari. Ayuh anak muda, Najib sudah mempelawa dan mencabar anda untuk bersama-sama memadu tenaga membangun serta memajukan negara ke tahap lebih cemerlang melalui pembabitan lebih meluas dalam politik dan wacana nasional. - BH 16/4/09

No comments: