Monday, March 16, 2009

Pemuda dedah agenda besar 'musuh negara'



Warga asing, pihak tertentu diperalat runtuhkan kedaulatan

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno semalam mendedahkan mengenai agenda besar dan muslihat pihak tertentu yang cuba meruntuhkan negara menerusi siri rusuhan, gerakan kumpulan, fitnah dan tindakan menghasut untuk menghuru-harakan negara.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata musuh negara itu sentiasa mengintai peluang dan mengeksploitasi keadaan untuk menjayakan agenda besar mereka, termasuk menerusi usaha melemahkan kekuatan institusi yang menunjangi kemerdekaan Malaysia. -
"Mereka yang merancang agenda besar menghuru-harakan negara itu tidak mahu melihat institusi dan tunjang kekuatan negara terus kekal membenteng keutuhan Malaysia sebagai negara yang merdeka dan berdaulat.

-
"Agenda besar itu jelas dilakukan pihak tidak bertanggung jawab menerusi gerakan melemahkan perpaduan masyarakat Melayu, meruntuhkan Umno dan semua itu kini semakin jelas di depan kita hari ini.
-
"Tidak pernah sebelum ini ada anak Melayu tergamak baring dan terlentang di tengah jalan raya untuk menghalang kenderaan Raja atau membaling batu kepada rajanya sendiri. Tidak mungkin ada anak Kuala Kangsar atau rakyat Perak sanggup berlaku biadap demikian kepada Raja.
-
"Sebaliknya, jelas yang bertindak biadap dan menderhaka itu warga asing dan pihak yang tidak sedar dirinya diperalat untuk memenuhi muslihat besar musuh negara," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
-
Sehubungan dengan itu, Hishammuddin berkata, gelombang besar kebangkitan Pemuda kini bermula dengan suntikan dan pemulihan semangat Pemuda Perak menerusi latihan persiapan jentera pilihan raya Pemuda Umno sejak tiga hari lalu.
-
Beliau berkata, latihan yang sama bakal diperluaskan ke peringkat akar umbi di seluruh negara yang menjadi tunjang kepada kekuatan Umno bagi melahirkan anak Melayu yang sanggup berjuang habis-habisan mempertahan kedaulatan negara.
-
"Pemuda Umno Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor sudah pun berjanji untuk menyahut seruan itu dan bersama-sama menyemarakkan gelombang kebangkitan itu.
-
"Gelombang kebangkitan Pemuda Umno ini akan menghalang usaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan konconya mengambil kesempatan memecah-belah ahli, melaga-lagakan pemimpin dan melemahkan Umno menjelang pemilihan parti," katanya.

mfarid@bharian.com.my
-- Berita Harian 16/3/09

No comments: