Tuesday, March 17, 2009

Nik Aziz ke dunia blogger politik tanah air
-
KOTA BHARU 17 Mac - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyertai senarai komuniti blogger politik tanah air apabila melancarkan blognya sendiri pada 26 Mac ini.
-
Setiausaha Politik beliau, Anual Bakhri Haron memberitahu, medium Internet yang semakin besar pengaruhnya dalam masyarakat dapat dimanfaatkan seluas mungkin untuk menyebarkan wadah pemikiran pemimpin itu.
-

Katanya, sudah terdapat ramai ahli politik menggunakan kemudahan itu dan kini sampai masanya Menteri Besar itu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan tuntutan keadaan semasa.
-
"Beliau (Nik Abdul Aziz) akan cuba menyampaikan pandangannya berhubung isu-isu semasa kepada masyarakat dan penyokong parti dengan lebih pantas dan jelas," ujarnya.
-
Anual Bakhri memberitahu Utusan Malaysia, ia juga akan memberi ruang kepada Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas selaku pemilik blog untuk menyeimbangkan informasi daripada segenap pihak terutama media.
-
"Kegiatan-kegiatannya dalam kerajaan dan parti serta ceramah-ceramahnya akan turut dipaparkan untuk rujukan masyarakat, para pengkaji atau mereka yang ingin membuat analisis," katanya.
-
Beliau memberitahu, melalui blog berkenaan, ia akan turut memudahkan pihak media mendapatkan ulasan Nik Abdul Aziz dalam pelbagai isu semasa yang berbangkit.
-
"Ia akan menjadi satu alternatif kepada pihak media sendiri bagi mendapatkan maklumat dengan lebih jelas dan mengelak daripada berlakunya kekeliruan, salah faham dan juga pentafsiran," ujarnya.
-
Katanya, blog itu buat permulaan tidak dibuka kepada pihak yang menjenguk laman untuk membuat sebarangan ulasan atau mengemukakan pandangan.
-
"Ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dan pada masa depan, pandangan Nik Abdul Aziz juga akan turut diterjemahkan dalam bahasa Inggeris di samping penggunaan tulisan jawi.
-
"Ia selaras dengan dasar langit terbuka kini apabila masyarakat dunia boleh turut memahami dan mengetahui apa yang berlaku," ujarnya.
-
Katanya, blog ini akan dilancarkan oleh Nik Abdul Aziz serentak dengan pelancaran WiFi Aptus Net yang dikendalikan oleh syarikat Aptus Net Comunity.
-
Aptus Net Comunity merupakan sebuah anak syarikat Infra Quest milik penuh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
- Utusan Malaysia 18/3/09

No comments: