Wednesday, September 26, 2007

PERPADUAN ASAS KEKUATAN

Komposisi masyarakat Malaysia teradun dan terbina daripada pelbagai kaum, etnik, keturunan, budaya dan agama. Sifat ‘pluralisme’ ini telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian pola budaya (social diversities) yang bukan sahaja menjadi aset kepada tarikan dan destinasi pelancongan tetapi juga menjadi contoh kepada kemakmuran dan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.

Keupayaan dan kejayaan negara dalam mengurus dan mentadbir masyarakat yang unik ini telah menjadikan negara mendapat perhatian masyarakat dunia. Banyak di kalangan negara di dunia berminat untuk mempelajari pengalaman dan keupayaan Malaysia mewujudkan perpaduan dan keharmonian hidup. Di kebanyakan negara-negara yang bersifat majmuk, termasuk di negara-negara maju, ketegangan dan konflik kaum dan agama sering menghantui kehidupan mereka.

Di negara-negara seperti Amerika, Britain dan beberapa negara Eropah yang lain pergeseran agama dan kaum semakin berkembang dalam abad apa yang dinamakan Samuel Hungtington sebagai “clash of civilization”. Tesisnya menyebut akan berlakunya senario pergesaran budaya dan agama di antara tamadun-tamadun utama dunia, khususnya di antara tamadun Islam dan Barat (Kristian). “Perang terhadap keganasan” diketuai Amerika Syarikat telah menjadikan masyarakat Islam sebagai sasaran “amukan” di negara-negara Eropah yang kononnya mengaku bersifat demokratik dan bertoleransi.

Rakyat Malaysia terus bersikap matang dan rasional dalam soal-soal hubungan kaum walaupun dalam masa-masa tertentu terdapat individu-individu atau kumpulan-kumpulan yang cuba mengeruhkan suasana demi kepentingan dan agenda sempit mereka. Malaysia dari segi rekodnya telah benar-benar berjaya membina dan mewujudkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan serta mengekalkan kestabilan politik di bawah pendekatan pemerintahan dan pentadbiran kerajaan yang bersifat pragmatik, progresif dan adil serta demokratik terhadap semua kaum. Justeru kita harus bersyukur di atas nikmat perpaduan dan keharmonian yang masih terjalin dalam masyarakat kita.
Suasana harmoni ini membuktikan betapa kepelbagaian budaya dan kaum bukan menjadi batu penghalang kepada membina negara yang aman dan bersatupadu. Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara (1992) mendefinisikan perpaduan negara sebagai, ‘satu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara

Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi sendiri pernah menegaskan bahawa kekuatan beragama di kalangan rakyat Malaysia telah berjaya mengarah sikap dan orientasi mereka ke arah kebaikan, kemajuan dan pembangunan. Datuk Seri Najib Tun Razak pula ketika berucap di dalam di Majlis Penutup Perayaan Bulan Kemerdekaan ke-49 di Kota Kinabalu tahun lalu telah menegaskan bahawa kejayaan dan kecemerlangan negara selama ini adalah terbina di atas empat dimensi iaitu kestabilan negara, perpaduan kaum, kemajuan pembangunan dan keselamatan yang terjamin.

Dalam soal membina perpaduan, kerajaan bersikap realistik dan praktikal dengan mengambil kira kompleksiti kebudayaan dan demografik negara ini. Penyerapan kebudayaan dan assimilasi harus berkembang dengan sendirinya tanpa sebarang paksaan. Dalam sesetengah kes masyarakat Cina di Malaysia telah mengamalkan kepelbagaian kebudayaan yang umum di mana pemikiran dan sentimen mereka walaupun bersifat kecinaan dari segi etnik namun mereka dikatakan berkongsi sentimen bersama dan beberapa cara hidup orang Melayu, India dan penduduk-penduduk Malaysia yang lain” (Tan Cheng Beng, Cabaran-Cabaran Semasa, Aliran,1986).

Dr Zainal Kling (1996) menegaskan bahawa salah satu sendi asas dalam mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional ialah ‘disiplin nasional’. ‘Disisplin Nasional’ boleh didifenisikan sebagai satu cara bertindak anggota masyarakat melalui sifat-sifat yang membangun dan ditujukan pada obejektif-objektif tertentu yang dianggap baik (positif) dan berdasarkan nilai-nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat. Matlamatnya ialah untuk mencapai kesejahteraan dan keharmonian hidup bernegara dan bermasyarakat, mewujudkan keamanan dan keadilan sesama kaum dan di antara manusia. Sifat kemanusian menjadi elemen penting kepada ‘disiplin nasional’ supaya tidak wujud sikap prejudis, diskriminasi atau hina-menghinasa serta benci membenci antara kaum.

Perpaduan yang terarah memiliki nilai-nilai asas atau nilai-nilai standard. Justeru, bagi anggota masyarakat yang tahu menghargai betapa pentingnya nikmat perpaduan maka komitmen mereka terhadap nilai-nilai tertentu dalam konteks membina perpaduan dan integrasi nasional amat diperlukan. Di antara beberapa nilai utama yang perlu dihayati oleh anggota masyarakat termasuklah:

· memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan-Sultan yang memerintah;
· menerima dan menghormati hakikat ketuanan melayu sebagai teras perkongsian kuasa;
· mematuhi dan mendaulatkan perlembagaan negara;
· menghidupkan nilai dan semangat patriotisme terhadap negara;
· menghormati lambang-lambang negara seperti Lagu Kebangsaan, Bendera Malaysia dan sebagainya;
· mendaulat dan menghormati Bahasa Kebangsaan;
· menghormati nilai dan tradisi kepelbagaia kaum; dan,
· mengamalkan sikap toleransi, persefahaman dan semangat setiakawan di kalangan anggota masyarakat berbilang kaum..

Untuk menghapus dan membendung perpecahan (segmentasi) kerajaan telah mengabungkan pelbagai pendekatan-pendekatan termasuk perlembagaan, politik, ekonomi dan sosial. Pendekatan pragmatik sentiasa ditekankan demi kepentingan rakyat. Dipahak rakyat pula tanggungjawab memelihara perpaduan harus ditingkatkan. Di antara tanggungjawab dan peranan rakyat dalam memastikan perpaduan terus menjadi asas kukuh ialah:

Ø Memahami Sejarah: Sejarah adalah ”guru” dan warisan sesebuah negara. Rakyat yang tidak mengenali sejarah tanah airnya menyebabkan mereka tidak mengenali asal usul dan jati dirinya. Melalui sejarah semangat patriotisme dapat disubur dan dibangunkan di kalangan generasi muda. Sejarah perlu difahami dan dihayati pengajaran, perjuangan, pengorbanan, idea, pemikiran dan falsafah sesuatu peristiwa itu.

Ø Mengorbankan kepentingan diri: Setiap warga Malaysia mestilah memahami bahawa pembentukan ‘Bangsa Malaysia’ tidak boleh diasas dan dibangunkan kepada kehendak kelompok atau kaum tertentu. Cita-cita perkauman dan kehendak sendiri mestilah dikorbankan kerana ianya tidak selari dengan falsafah dan matlamat Perpaduan Nasional. Asas utama acuan kita ialah Rukun Negara sebagai ideologi dan falsafah utama masyarakat Malaysia.

Ø Mengamalkan keharmonian beragama: Prinsip kebebasan beragama warga Malaysia telah termaktub dengan jelas di dalam Perlembagaan Negara. Justeru, setiap penganut pelbagai agama di negara ini sepatutnya mengamalkan tradisi, amalan dan upacara serta penggunaan simbol agama dengan penuh tanggungjawab selari dengan falsafah semua agama mengajarkan manusia menghormati satu sama lain. Sentimen agama dan ‘ektremism’ agama boleh merosakkan kesepaduan negara.

Ø Amalkan perasaan muhibbah: Semangat perpaduan di kalangan rakyat boleh dipupuk dan terus dipertingkatkan melalui amalan semangat muhibbah sepanjang masa. Perasaan saling menghormati serta memahami adat dan budaya orang lain mesti dikekalkan. Amalan menziarahi rakan berlainan kaum perlu sentiasa diamalkan. Amalan “rumah terbuka” semasa musim-musim perayaan kaum boleh meningkatkan lagi perpaduan dan perasaan muhibbah di kalangan masyarakat.

Ø Memupuk Semangat Kekitaan: Semangat kekitaan harus dilihat sebagai prasyarat membina perpaduan dan integrasi nasional yang kukuh. Ibn Khaldun (1332-1406) dalam kitab tersohornya Mukadimah membahas pentingnya semangat kekitaan bagi memastikan tertegakknya sebuah negara. Semangat kekitaan juga dapat disemai dan disemarakkan melalui sifat saling bekerjasama, bantu-membantu, tolong menolong, rundingan dan semangat toleransi serta semangat setiakawan yang tiggi dalam apa jua aktiviti hidup bermasyarakat dan bernegara.

Ø Amalkan aktiviti sosial yang positif: Masyarakat Malaysia sewajarnya melibatkan diri di dalam persatuan-persatuan sukarela yang bersifat kebajikan tanpa mengira kaum. Kerja-kerja bergotong-royong serta aktiviti-aktiviti sukan setempat, rukun tetangga dan aktiviti-aktiviti sosial yang terdiri daripada pelbagai kaum akan berupaya membina kerukunan hidup yang sejahtera.

Ø Membuat transformasi sikap dan minda: Minda rakyat harus sentiasa positif dan sentiasa respon terhadap usaha dan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan memberikan keadilan kepada semua kaum. Partisipasi rakyat secara sihat terhadap program-program kerajaan mampu membentuk masyarakat yang dinamis dan progresif serta mengurangkan “politiking” yang boleh menjejaskan perpaduan dan solidariti masyarakat.

Ø Peranan ibu-bapa: Ibu-bapa haruslah memupuk semangat perpaduan di kalangan anak-anak dengan menggalakkan anak-anak bergaul, bertemu, berinteraksi dan bermain dengan anak-anak dari kaum lain. Ibu-bapa mestilah membina perasaan dan minda anak-anak agar mempunyai perasaan dan persepsi yang betul terhadap kaum-kaum lain di negara ini.

Ø Konsep kebajikan merentasi sempadan kaum: Sikap bantu membantu dalam aktiviti sosial dan ekonomi tanpa mengira kaum mesti disemarakkan lagi agar perpaduan bertambah kukuh. Persatuan-persatuan kebajikan dan sosial mestilah menghindarkan diri dari terjebak dalam perangkap sentimen perkauman.

Ø Menyemarakkan semangat patriotisma: Patriotisma merupakan aspek penting dalam mempertahankan negara. Walupun negara terdedah kepada berbagai bentuk nilai-nilai baru globalisasi namun ketahanan dan perpaduan negara boleh dikekalkan melalui semangat patriotisma yang tinggi melalui nilai-nilai seperti kesetiaan, keberanian, cintakan negara dan sedia berkorban, Semua nilai-nilia tersebut harus dijiwai bagi menjamin kelangsungan ‘Bangsa Malaysia’ agar terus berjaya dan disegani di arena antarabangsa.

Kesimpulannya, keseluruhan struktur masyarakat Malaysia yang wujud pada hari ini telah dibangun dan dibentuk melalui falsafah Rukun Negara dan dasar-dasar negara di mana ia telah benar-benar menyumbang kepada peningkatan toleransi, keamanan dan keharmonian negara. Alhamdulillah, usaha-usaha ini, khususnya selepas tragedi 13 Mei 1969 ternyata berjaya mencapai objektif dan matlamat perpaduan dan integrasi nasional.

Friday, September 21, 2007

LESTARIKAN VISI PELOPOR KEMERDEKAAN


Baru-baru ini rakyat Malaysia telah menyambut Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Yang ke 50 dengan penuh gemilang . Apakah generasi muda secara amnya dan golongan rakyat yang lahir pasca merdeka sedar akan perjuangan dan pengkorbanan rakyat dan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara yang tercinta dan makmur ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi berulangkali memperingatkan kepentingan perpaduan rakyat dalam membina Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya dalam semua bidang ,malah menjadi model kepada negara- negara lain yang mempunyai masyarakat majmuk.


Pada jam 12 tengah malam , 30 Ogos tersebut , laungan Merdeka bergema di Dataran Merdeka Kuala Lumpur . Laungan Merdeka yang penuh bererti itu datangnya daripada rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan, kaum,etnik dan agama menandakan betapa kuatnya semangat rakyat Malaysia yang bersatupadu dalam mengungkap semangat patriotisme mempertahankan kemerdekaan tanaha air yang telah di capai sejak 50 tahun lalu. Moga semangat ini kekal buat selamanya.

Peristiwayang bersifat beranika warna pada malam itu bukan sahaja mewrnakan lanskap persekitaran Bandar Kuala Lumpur , bahkan menghidupkan semula cita-cita dan semangat setiap insan yang bermastatutin di bumi yang bertuah ini.

Laungan Merdeka sebanyak tujuh kali oleh Perdana Menteri bersama-sama ribuan rakyat yang membanjiri Dataran Merdeka dan beberapa Bandar di seluruh Malaysia adalah tanda mercu kerjasama dan bermuafakatan diantara kaum yang berbilang eturunan,agama,bahasa dan kepercayaan dalam meneruskan budaya hidup yang tersendiri ala Malaysia.

Dalam hubungan lahirnya semangat dan amalan bersemufakatan antara kaum di Malaysia, kita harus merenung sejenak kata-kata bistari Allayarhum Tuan Guru Haji Abdullah bin Ibrahim yang lebih dikenali di kalangan orang Melayu sebagai Sheik Abdullah Fahim, datuk kepada YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Tuan Guru Abdullah Fahim adalah bukan sahaja seorang ulama terunggul dan pendidik agama di tanah air malah di nusantarayang banyak menabur bakti dan jasa kepada agama Islam dan kemajuan politik TanahMelayu dalam zaman perjuangan kemerdekaan bahkan tokoh yang bertanggungjawap dalam menentukan tarikh pengistyharaan kemerdekaan Negara 31 Ogos tahun 1957.


Tuan Guru Abdullah Fahim yang mempunyai kemahiran dalam ilmu syariah, usuludin, tasawuf, tarikat, tafsir Al-Quran, Al-Hadis dan Al-Falak pernah menyarankan upaya “Orang Islam perlu membaiki perselisihan sesama mereka dan setelah berdamai perpaduan itu diharapkan dapat berkekalan. Ini lah satu-satunya senjata yang boleh menguatkan kedudukan orang Islam dan orang Melayu.”

Kata-kata bistari Tuan Guru Abdullah Fahim harus menjadi panduan dan sumber inspirasi kepada bukan sahaja kaum Melayu bahkan kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya kepada generasi muda di masa-masa akan datang.


Apakah kita sedar bahawa dalam medan perjuangan kemerdekaan, Y.T.M.Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri Yang Pertama, menghadapi pelbagai cabaran, halangan dan penentangan dalam mendapat persetujuan dikalangan berbilang kaum dalam mencapai kemerdekaan bagi Tanah Melayu.

Pihak penjajah British menawarkan gagasan kearah berkerajaan sendiri atau kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu sekiranya perpaduan antara pelbagai kaum dijalinkan terlebih dahulu. Usaha menyatupadukan pelbagai kaum tersebut menjadi lebih genting dan mustahil kerana Kominis Malaya pada ketika itu telah melancarkan pemberontakan dan serangan hendap dengan senjata untuk menggagalkan usaha bermufakatan ke arah kemerdekaan. Sedangkan kebanyakan orang Melayu dalam parti UMNO, parti yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 untuk mempertahankan kepentingan politik kaum Melayu mendesak kemerdekaan diperjuangkan bagi orang Melayu sahaja.


Persekitaran politik sedemikian telah menimbulkan bukan sahaja huru-hara , perselisihan kaum, konflik politik yang turut menjejaskan usaha-usaha ke arah persetujuaan pencapaian kemerdekaan. Kerajaan penjajah ketika itu terpaksa mengistiharkan dharurat pada tahun 1948 untuk menawan perkembangan ideologi kominisme dan anarki dalam negeri.

Tetapi, Tunku dengan nasihat para pemimpin –pemimpin UMNO yang berwawasn ketika itu , bertemu Tuan Guru Abdullah Fahim dirumahnya untuk mendapat pandangan dan nasihat dalam mengatasi kekusutan dalam soal hubungan dan penglibatan kaum-kaum lain dalam perjuangan kemerdekaan.

Dalam pertemuan terpenting dan signifikan antara Tuan Guru Abdullah Fahim dan rombongan parti UMNO yang diketuai oleh Tunku , Tuan Guru Abdullah Fahim telah dilaporkan menasihati YTM Tunku supaya menjalinkan pakatan diantara semua kaum di Tanh Melayu pada ketika itu dalam memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah British.


Sekiranya kita teliti cadangan dan wawasan Tuan Guru itu, maka dapat membuat kesimpulan bahawa cadangan itu adalah selaras dengan ajaran pelbagai agama rakyat Malaysia secara amnya dan agama Islam secara khususnya. Agama Islam menegaskan permesyuaratan dalam mencari penyelesaian sesuatu perkara yang berkaitan dengan hal- ehwal duniawi ( Surah Al-Imran: 159).

Pertemuan tersebut dilaporkan telah mengorak langkah Tunku menghulur tangan dengan hati yang terbuka kepada kaum Cina dan India untuk bersama-sama menyertai dalam perbincangan dan perjuangan kemerdekaan dan berkongsi bersama kuasa dalam pentadbiran negara yang bakal merdeka.

Peristiwa tersebut membayangkan visi ulama terunggul terhadap masa depan negara ini. Visi Tuan Guru Abdullah Fahim serta pemimpin-pemimpin terdahulu telah merintis jalan dalam meneroka prinsip consensus sebagai formula terunggul pemerintahan negara ini. Prinsip konsensus yang dijunjung oleh YTM Tunku dan UMNO pada ketika itu dapat disifatkan sebagai menggunapakai bukan sahaja kaedah Fiqh Islam yang menyatakan ‘jika tidak boleh semua jangan tinggalkan semua’ bahkan nilai-nilai universal yang terdapat dalam pelbagai agama. Keyakinan para pemimpin politik terhadap kaedah tersebut telah berjaya melahirkan sebuah negara merdeka berasaskan Perlembagaan Persekutuan 1957 dalam bentuk tersendiri yang menjadi asas kepada pemerintahan dan undang-undang negara yang aman damai ini.


Perlembagaan Persekutuan (Malaysia) itu adalah satu perjanjian politik atau ‘kontrak sosial’ antara semua kaum yang menjadi warga Malaysia . Perkara-perkara yang menjadi kepentingan kaum masing-masing dibicara sehebat-hebatnya secara terbuka dan keputusannya telah dibuat secara sebulat suara demi perpaduan ,keselamatan dan sesejahteraan semua kaum yang menjadi warga Malaysia.

Antara perkara-perkara yang terpenting yang telah mendapat persetujuaan dan menjadi
teras kemerdekaan adalah seperti Perkara 3- Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai , Perkara 11- tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agama nya, Perkara 152- Bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu dan tiada siapapun boleh dilarang daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa dan Perkara 153- Adalah menjadi tanggungjawap Yang di Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra lain dalam hal-hal perezapan quota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya serta memelihara kepentingan-kepentingan sah lain- lain kaum.

Namun, dengan peredaran masa, Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan halangan dalam merealisasikan hasrat dan matlamat perjanjian politik tersebut kerana tuntutan daripada pelbagai kaum kian meningkat mengikut keperluan politik semasa berdasarkan pada terjemahan mengikut kepentingan sesuatu kaum tertentu.


Perlembagaan Persekutuan atau Malaysia tidak harus diterjemahkan perkataan demi perkataan (literally) dalam konteks berasingan tetapi hendaklah diterjemahkan berdasarkan semangat (spirit) yang ditonjolkan oleh Perlembagaan dan hala tuju atau wawasan yang dikenalpasti oleh pelopor kemerdekaan.

Rakyat Malaysia haruslah mengelakkan perbincangan secara terbuka mengenai butir-butir Perlembagaan yang bersifat sensitif kaum kerana tindakan sedemikian dijangka akan menjejaskan perpaduan yang telah terjalin sekian lama. Malah harus berusaha melestarikan Perlembagaan dengan mengkotakan kontrak sosial yang menjadi warisan dan legacy rakyat Malaysia.

Seperkara lagi, negara yang mempunyai masyarakat majmuk tidak mudah membina satu bangsa dan negara dalam masa yang singkat. Dalam persada dunia, negara-negara yang mempunyai berbilang kaum dan beranika suku kaum didapati sering menghadapi perpecahan antara kaum atau kekacauan yang tidak dapat mempertahankan kedaulatannya negara seperti kita saksikan di Iran, Iraq dan Afghanistan. Malah, dinegara-yang penduduknya terdiri daripada satu rumpun bangsa dan agama pun juga tidak dapat hidup dalam aman damai dalam era globalisasi ini.. Malangnya ,masing-masing kaum mencuba menjatuhkan kuasa politik atau menyingkirkan sesuatu kaum tertentu daripada arus pembangunan diatas dasar kaum atau agama sehingga prasangka menjadi budaya dikalangan masyarakat sedemikian.


Namun, Malaysia, sebagai sebuah negara yang baru merentasi 50 tahun mencapai kemerdekaan yang berjaya menjadi tuan rumah bagi agama-agama terbesar di dunia seperti agama Islam, Buddha, Kristian, Hindu, fahaman Konfucius/ Taoisme malah mempunyai kira-kira 60 kumpulan etnik besar dan kecil dengan identiti, budaya dan kepercayaan masing-masing, masih kukuh , gagah dan stabil, membangun dan berjaya merealisasikan matlamat Perlembagaan atau ‘kontrak sosial’ yang dimeterikan 50 tahun dahulu. Syabas Malaysia!

Sehubungan ini, rakyat Malaysia yang terdiri daripada generasi muda bukan sahaja harus menghayati, menghargai dan mengagungkan sumbangan dan jasa-jasa pemimpin dan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Dato’ Onn bin Jaafar, Pengasas UMNO, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, perintis kemerdekaan, Tun Abdul Razak, bapa pembangunan luar Bandar, Tun Hussein Onn, Bapa perpaduan antara kaum, Tun Dr.Mahathir Mohamad, Bapa kemodenan Malaysia dan pemimpin-pemimpin dari kaum bukan Melayu seperti Tun Tan Cheng Lock (MCA) dan Tun V.T.Sambantahan (MIC) dari kaum Melayu bahkan juga Pemimpin-pemimpin lain daripada pelbagai kaum yang berkorban jiwa,tenaga buah fikiran dan keselesaan hidup demi kebebasan negara pertiwi ini dari belunggu penjajah.

Tradisi membangun dan memakmurkan negara ini kini diwarisi oleh YAB Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Pak Lah, Perdana Menteri yang Kelima .Pak Lah sedang berusaha, mulai Rancangan Malaysia Kesembilan, untuk membina tamadun dan menjulang martabat negara melalui melahirkan pembangunan modal insan kelas pertama .


Masyarakat berminda kelas pertama adalah masyarakat yang berpengetahuan ,mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral.Masyarakat tersebut juga tahu menghayati dan menghargai budaya,kesenian dan warisan serta sejarah negara,bangsa dan agamanya.Disamping itu, Pak Lah juga merupakan pelopor pendekatan Islam Hadhari yang menekankan kepada pegangan prinsip-prinsip berasaskan nilai-nilai universal yang luhur.

Sumbangan dan jasa-jasa pemimpin terdahulu yang memakmurkan bumi Malaysia ini harus terpahat selama-lamanya dalam jiwa dan ingatan rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama . Matlamat dan hala tuju perjuangan rakyat Malaysia terdahulu, kini dan masa akan datang hendaklah bertumpukan kepada melahirkan sebauah bangsa Malaysia dalam perspektif yang lebih luas dan tidak terkongkong dengan sentimen kauman yang sempit yang berpotensi menjahanamkan harapan dan masa depan generasi muda yang bakal tunjang negara yang tercinta r ini.

Dalam konteks ini, marilah kita bersama-sama bertekad mengurangkan polemik terhadap berbezaan yang wujud dikalangan pelbagai keturunan masyarakat ,malah berusaha mencari bersetujuan untuk melestarikan kembali semangat perjuangan perintis dan pelopor kemerdekaan dalam menyediakan Perlembagaan 1957 yang menjadi kerangka asas kelahiran bangsa Malaysia.

Sehubungan ini, kita harus imbaskembali kata-kata Pak Lah dalam satu seminar baru- baru ini iaitu “Sesungguhnya harus menyemai satu kesedaran kebangsaan yang sama sebagai rakyat Malaysia yang mengjangkaui identi etnik,agama dan wilayah tanpa menjejejaskan kedudukan komponen-komponeb itu”. Melahirkan rakyat Malaysia yang mentaliti kelas pertama berteraskan nilai-nilai agama masing-masing, beradab,progresif, mampu daya saing menghadapi cabaran globalisasi merupakan matlamat nasional menjelang 50 tahun akan datang.



M.Periasamy,M.A.

Sunday, September 16, 2007

HANYA MUSUH NEGARA YANG MEMBAKAR BENDERA

Bendera adalah simbol kedaulatan sesebuah negara. Ia adalah maruah negara yang perlu dijaga dan dipertahankan. Justeru, apa yang dapat kita katakan seandainya ada dikalangan rakyat kita sendiri yang sanggup membakar Jalur Gemilang, bendera rasmi negara.

Inilah tindakan keji yang berlaku ketika berlakunya insiden rusuhan di Batu Buruk Terengganu baru-baru ini. Hanya kerana kehendak sebuah parti politik pembangkang untuk berceramah tidak dibenarkan oleh polis maka mereka sanggup merusuh sehingga membakar bendera negara.

Mengapa sanggup bakar Jalur Gemilang? Lupakah mereka bahawa bendera negara akan dipertahankan sepenuhnya oleh tentera kita dalam peperangan dengan musuh.

Sesiapa sahaja tidak kira dari parti mana sekalipun atau sesiapa saja yang menjadi warganagera atau mendiami negara ini tidak seharusnya bertindak membakar bendera kebanggaan negara.

Apakah tindakan mereka itu merupakan akhlak mulia di sisi agama? Apakah patut dek kerana permusuhan politik mereka dengan parti pemerintah maka mereka sanggup membakar simbol kedaulatan negara. I

slamikkah mereka dengan perbuatan sedemikian rupa? Patriotikkah mereka apabila dengan bangganya membakar bendera negara? Rasionalkah akal mereka dalam permainan politik keji mereka?

Selaku warganegara adalah tidak wajar bertindak sedemikian. Tabiat dan karakter mereka tidak melambangkan sikap warganegara yang berkeupayaan membezakan simbol negara dengan perjuangan politik kepartian?

Simbol negara adalah maruah kedaulatan negara yang mesti dihormati dan dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latarbelakang politik.

Rakyat yang membakar bendera negaranya sendiri boleh dianggap sebagai menetang negara sendiri. Menentang negara sendiri adalah penderhaka yang mesti di kenakan tindakan. Jika orang UMNO atau sesiapa sahaja yang terlibat ia tetap satu perbuatan keji yang tidak perlu dikompromi.

Biasanya yang membakar bendera sesebuah negara adalah musuh atau penentang dari negara lain yang sedang bermusuh atau berkonflik.

Rakyat Iraq membangkar bendera Amerika Syarikat adalah wajar kerana mereka bermusuh dan berperang. Itu adalah protes dari sebuah negara yang sedang bermusuhan dan berperang dengan sesebuah negara lain.

Jadi apa pula halnya jika rakyat sendiri yang membakar bendera negaranya? Bermusuhkah mereka dengan negara dimana mereka tinggal dan mencari rezeki? Bermusuh dan memberontak terhadap negara bermakna menentang dan menderhaka terhadap Yang Dipertuan Agong yang merupakan Ketua Negara.

Insiden membakar bendera oleh rakyat sendiri tidak boleh dibiarkan begitu saja. Telah banyak tindakan yang menghina negara dilakukan oleh rakyat sendiri tetapi apabila ia dilakukan oleh penyokong sebuah parti politik yang mengamalkan budaya samseng secara terang-terangan ia seolah-olah mencabar kedaulatan negara. Justeru, tindakan tegas perlu diambil ke atas`mereka yang bertanggungjawab.

Sunday, September 9, 2007

ERTI KEMERDEKAAN

Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-50 disambut meriah di seluruh pelusuk tanahair. Rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa dan warna kulit bersama-sama meraikan hari yang penuh bersejarah ini. Dataran Merdeka di banjiri lautan manusia pelbagai kaum tidak kira tua atau muda, yang berkeluarga atau pun yang masih bujang… menantikan saat penuh bersejarah iaitu detik jam 12.00 malam bagi melaungkan kalimah keramat… MERDEKA!!!. Pada malam itu juga di adakan konsert Merdeka dan orang ramai dihiburkan oleh artis-artis terkenal tanahair.

Tiba saat laungan Merdeka bergema, semua rakyat bergembira. Bersyukur kepada Allah di atas nikmat kemerdekaan. Namun bagi segelintir pasangan anak muda, mereka telah tersasar dari erti kemerdekaan yang sebenar. Majoritinya anak melayu yang beragama Islam tanpa segan silu berpeluk dan bercium di khalayak ramai. Si gadis dengan berbaju ketat dan singkat sehingga menampakkan pusat dan berseluar longgar sehingga menampakkan seluar dalam… bangga dirangkul si lelaki di hadapan umum tanpa ada perasaan malu atau hormat kepada orang lain. Tiada lagi ‘kesopanan dan kesusilaan’ dalam jiwa sanubari anak-anak muda pewaris bangsa ini. Hakikatnya, yang mereka nantikan hanyalah letupan bunga api, konsert dan cuti umum keesokan harinya. Mereka akan bergembira sepuas-puasnya dengan cara Merdeka mereka sendiri. Bagi yang bermotosikal… mereka akan merempit di jalan raya. Bagi yang berkereta pula akan berlumba dan memandu laju di jalanraya menunjuk-nunjuk kebolehan mereka kepada orang lain. Bagi yang mempunyai wang lebih… akan melanjutkan kegembiraan mereka ke disko-disko atau pusat-pusat hiburan.

Selepas tamatnya konsert di Dataran Merdeka, terjadi satu perkara yang amat memalukan negara terutamanya kepada pelancong asing. Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya di penuhi sampah sarap. Ternyata masyarakat Malaysia masih kurang sivik. Tidak tahu menjaga kebersihan. Berbagai kempen telah dijalankan oleh pihak kerajaan.. namun tidak mendatangkan hasil. Maka terpaksalah pihak yang berwajib berhempas-pulas membersihkan kawasan sekitar hasil dari sikap rakyat Malaysia yang telah setengah abad mendabik dada mengatakan mereka telah Merdeka.

Beginikah sikap rakyat Malaysia yang kita harapkan untuk memajukan dan memakmurkan negara bagi mencapai Wawasan 2020? Apakah erti kemerdekaan yang sebenar bagi mereka? Ternyata Malaysia sudah merdeka selama 50 tahun, namun masih ramai di kalangan rakyat Malaysia belum pernah merdeka. Tidak pernah kenal erti kemerdekaan dan hidup mereka masih di jajah. Sia-sia kerajaan berbelanja jutaan ringgit bagi memberikan kesedaran kepada rakyat namun pulangan yang didapati masih menghampakan. Malaysia menuju ke arah negara maju namun mentaliti rakyat masih jauh kebelakang. Jika hari ini anak-anak muda sudah tidak kenal erti kemerdekaan yang sebenar, apalah yang dapat kita harapkan bagi generasi akan datang. Jangan suatu hari nanti tarikh keramat 31 Ogos setiap tahun akan hanya tinggal sebagai lipatan sejarah. Sudah tiba masanya ibubapa, duru dan pemimpin memberi penekanan yang kuat kepada anak-anak supaya mereka tahu erti kemerdekaan yang sebenar dan menghahayatinnya.


oleh Mohd Nazri Zakaria

Friday, September 7, 2007

5 TANGGUNGJAWAB PENULIS INTERNET (BLOGGER)

Bidang blogging merupakan salah satu bentuk ‘media baru’ yang semakin berkembang selari dengan kepesatan kemajuan ICT. Kemudahan internet telah membuka ruang yang cukup luas kepada sesiapa sahaja untuk berpartisipasi dalam ‘media baru’ ini. Perkembangan ini adalah satu hakikat yang perlu diterima sebagai fenonema baru dunia tanpa sempadan.

Kewujudan ‘media baru’ telah menjadikan lebuh raya maklumat dipenuhi dengan berjuta-juta informasi yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja. Negara kita tidak terkecuali dalam hal ini. Kewujudan ribuan laman blog setiap hari di negara kita tanpa sebarang kawalan dan pemantauan boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara. Kebanyakan penulisan ‘bloggers’ tidak dapat dipertahankan kebenarannya kerana ia tidak mengandungi nilai integriti intelektual dan rohani (moral). Inilah pandangan yang pernah dilontarkan oleh Dr. Muhamamad Uthman el-Muhammady (Konspirasi intelektual serang institusi mufti ,Berita Minggu, 15 Julai 2007) sehingga istilah yang terpaksa digunakan beliau untuk mengambarkan golongan yang tidak bertanggungjawab ini ialah golongan “intelektual pariah”.

Perkembangan ini patut dipantau dan dikawal oleh kerajaan supaya “gelembong gergasi” (istilah Dr. Muhammad Uthman) yang tidak sihat ini tidak berterusan menjatuhkan martabat jiwa bangsa. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyekat dan menghapuskan segala bentuk keburukan yang ditimbulkan oleh penulis internet (‘blogger’) yang bersikap biadap dalam penulisan mereka. Memang diakui tidak semua ‘bloggers’ bersikap sedemikian rupa tetapi jumlah blogger yang memiliki nilai integriti adalah terlalu kecil.

Hakikatnya, trend yang masih mewarnai dunia blogger di negara ini ialah kurangnya nilai dan sifat profesionalisme kewartawanan yang menulis secara beretika dan berintegriti. Justeru, berbagai bentuk penulisan berita, dan rencana adalah kebanyakannya berbentuk fitnah, provokasi, hasutan, prejudis, emosional, suka mengaib dan menghina dengan menggunakan bahasa yang tidak berakhlak, serangan-serangan berunsur perkauman secara keterlaluan dan tidak berasas yang bersalut kebenciaan terhadap pihak yang dikrikit mengambarkan betapa parahnya jiwa penulis sedemikian rupa.

Mauduk penulisan yang paling banyak bersifat demikian ialah penulisan yang berkaitan dengan isu sosio-politik tanah air. Ini adalah gejala yang tidak sihat yang sedang berkembang dalam penyalahgunaan kemudahan komunikasai maya (siber) yang wujud pada hari ini. Sifat “keegoaan” atau “keakuan” yang berlandaskan nafsu menjadi sifat kebanyakan ‘bloggers’ yang tidak bertanggungjawab ini.

Apa yang dapat saya sarankan di sini ialah penulis-penulis internet (blogger) seharusnya memiliki lima tanggungjawab utama apabila mahu meletakkan diri sebagai penulis yang bertanggungjawab. Kelima-lima tanggungjawab itu ialah tanggungjawab etik (moral), tanggungjawab intelektual, tanggungjawab spiritual, tanggungjawab politik dan tanggungjawab agama. Dalam tanggungjawab etik penulis internet mestilah dapat meletakkan dirinya sebagai penyebar maklumat secara professional, berintegriti dan bertanggungjawab dalam keadaan dirinya menguasai sifat-sifat terpuji dengan hati yang jernih, fikiran yang rasional, tenang dan tenteram ketika menulis. Penulis yang beretika(berakhlak) selalunya akan berusaha memastikan jiwa dan mindanya jauh daripada sifat-sifat al-hasud, riya dan sifat-sifat buruk (mazmumah) yang lain.Anggapalah penulisan yang ingin disumbangkan adalah satu ibadah yang memerlukan nilai dan adab yang sopan. Setelah menulis rajin-rajinlah menyemak dan merenung kembali dalam bentuk melakukan intropeksi (muhasabah) diri yang kerdil di sisi tuhan. Sesungguhnya seorang penulis yang bersih dan jernih jiwanya akan merefleksikan kebenaran yang jauh dari gejala keji yang dicela oleh manusia dan Tuhan.

Dalam konteks tanggungjawab intelektual pula penulis internet perlulah menulis dengan kualiti yang dapat diterima dan rasional yang dapat diukur/diyakini kebenarannya. Dari sudut nilai intuitifnya pula ia seharusnya mengandungi tiga elemen utama iaitu nilai akhlak (moral), akal yang sihat agar fakta penulisan dapat dinalarkan (reasonable) dan memiliki kepakaran secara tepat dalam perkara yang dibincang. Apa yang kita harapkan ialah dalam era siber ini akan wujud penulis internet yang membawa budaya Ikhwan al-Shafa iaitu satu kelompok pencinta ilmu yang wujud di Baghdad pada satu masa dahulu yang berbahas berbagai bidang ilmu dan masalah umat serta membicarakan masalah fenomena alam melalui pandangan rasional dan saintifik dalam paradigma tauhid dan akhlak. Misi mereka jelas iaitu berusaha memperbaiki umat Islam secara moral dan spiritual. Justeru, alangkah baiknya jika ramai di kalangan penulis internet kita dapat memanfaat internet untuk tujuan memajukan umat.

Penulis internet juga perlu memiliki tanggungjawab spiritual tidak kira sama ada di kalangan penulis beragama Islam atau pun penulis di kalangan agama lain. Bagi penulis muslim ia sewajarnya memilki visi Keilahian (Ketuhana) supaya dapat memenuhi keinginan asas manusia dalam aspek nilai-nilai transenden. Penulis internet tidak harus hilang visi ini kerana jika ia menulis dalam keadaan ia sendiri tidak mempunyai peganggan hidup beragama dan tanpa haluan maka ia tidak akan membawa pembacanya kepada nilai-nilai transenden sebaliknya membawa mereka kepada wilayah pinggiran dengan meninggalkan jiwa pembacanya berada dalam keadaan kehampaan rohani (spiritual).

Dalam konteks tanggungjawab politik pula penulis perlu memiliki tanggungjawab politik dengan menanamkan disiplin yang tinggi ketika membicarakan isu-isu sosio-politik tanah air dengan cara yang sihat dan konstruktif. Perbincangan tentang isu-isu politik perlu berada dalam batasan positivisme moral dengan menjauhi elemen-elemen fitnah, kebenciaan dan hasutan politik yang merbahaya kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini. Keharmonian kaum dan kestabilan politik negara harus dipelihara bersama. Ruang demokrasi yang diberikan harus digunakan dengan sihat dan penuh tanggungjawab.

Tanggungjawab yang kelima pula ialah tanggungjawab memelihara keharmonian beragama. ‘Bloggers’ di negara ini harus sedar dan sentiasa peka bahawa masyarakat kita adalah masyarakat majmuk yang menganut pelbagai agama. Penulis sepatutnya menyebar dan mendorong kepada sikap kebersamaan (universalisme) yang sihat, bertoleransi dan bekerjasama tanpa membangkitkan isu-isu keagamaan yang bersifat ektrimis yang tidak melambangkan watak yang toleran dan terbuka. Penulis yang sihat mestilah mengembang dan menyuburkan konsep dan nilai-nilai universal yang dapat diterima oleh masyarakat majmuk di negara ini.

Kesimpulannya, penulis internet harus memahami bahawa di pundak mereka terbeban tanggungjawab agama, sosial dan politik dalam membina dan membentuk masyarakat yang harmonis, bersatupadu, berjati diri dan berilmu. Bloggers perlu memilki nilai etika, moral dan integriti yang positif supaya ia dapat menyumbang kepada pembinaan negara bukannya meracuni pemikiran pembaca, khususnya di kalangan generasi muda dengan fitanah dan hasutan. Jika mereka menulis dengan fakta yang benar maka pandangan mereka harus diterima tetapi jika ia berunsur tuduhan palsu, fitnah, hasutan yang berasaskan hearsay dan fakta yang direka-reka maka ia harus ditolak dan "diperangi". Akhirnya sama-samalah kita renung dan hayati firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Ada pun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya surgalah tempat tinggalnya” (al-Nazia’at: 39-40).

Thursday, September 6, 2007

KEBEBASAN BERSUARA : 'BIAR SALAH KAIN ,JANGAN SALAH MULUT'

Malaysia terkenal sebagai salah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi secara meluas. Amalan dan penghayatan demokrasi di Malaysia boleh dilihat dengan jelas dalam sistem politik, sistem pemerintahan dan pentadbiran negara.

Sebagai sebuah negara demokrasi maka sudah semestinya kebebasan bersuara menjadi ciri utama yang menunjangi proses demokrasi itu sendiri. Malah kebebasan bersuara ini sering menjadi isu dan perbahasan berbagai pihak di negara ini

Sistem perwakilan (Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri) yang dibentuk melalui pilihanraya menjadi asas kepada suara rakyat yang melambangkan sistem pemerintahan demokrasi menjadi amalan kita. amalan demokrasi telah memberikan ruang yang luas kepada rakayat untuk bersuara.

Aktiviti berkempen semasa proses piliharaya di mana rakyat Malaysia bebas bersuara dalam memberi pendapat, pandangan malah mengkritik dasar-dasar kerajaan selagi mana ianya tidak melanggar undang-undang juga merupakan fakta betapa kebebasan bersuara diizinkan di negara kita.

Rakyat Malaysia juga tidak pernah disekat daripada mengeluarkan pendapat, pandangan dan kritikan sama ada melalui media-media elektronik mahu pun media-media cetak selagi ianya tidak bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang di negara ini.

Perlembagaa Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara ini. Di Malaysia, hak mengenai ‘Kebebasan Hak Asasi’ (Fundamental Liberties) dengan jelasnya terkandung dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan merupakan kebebasan asasi yang diberikan kepada warganegara. Hak-hak tersebut adalah tonggak kepada demokrasi yang diamalkan di Malaysia dan ia juga merupakan perkara-perkara yang terkandung dalam ‘Hak Asasi Manusia Sejagat’ (Universal Human Rights Fundamental Liberties).

Mengenai ‘Kebebasan Bersuara’ (freedom of speech) ianya dinyatakan dengan jelas di dalam Perkara 10 (1) (a) yang menyatakan tiap-tiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran.
Namun begitu, setiap sesuatu ada had dan batasannya. Demikianlah juga dengan kebebasan manusia (baca rakyat) Di bawah Perkara 10(2), diperuntukkan bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang menggunakan ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1) apa-apa sekatan yang didapatinya perlu dan mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan.
Inilah hakikat yang harus diterima dan difahami bahawa tiada satu pun di dunia ini yang bersifat mutlak (absolute). Demikianlah halnya dengan kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan negara kita di mana ianya mempunyai had-had, kawalan dan sempadan yang tertentu. Ianya boleh diumpamakan suatu ‘kontrek sosial’ bagi menjamin kerukunan, keharmonian dan solidarity serta keselamatan dan kedaulatan negara daripada diganggu-gugat.
Undang-undang memang diperlukan dalam masyarakat yang bertamadun di mana tanpa tertegaknya undang-undang negara akan menuju anarkisme. Pada umunnya undang-undang diperlukan dalam masyarakat/negara bagi tiga tujuan utama :

· bagi memberi dan mengiktiraf hak-hak individu dan masyarakat;
· bagi melindungi hak-hak tersebut; dan,
· bagi menjamin keselamatan, ketenteraman dan keharmonian masyarakat.

Undang-undang jugalah yang akan menghukum seseorang yang merampas dan mengancam hak-hak individu dan kesejahteranan masyarakat.
Justeru, walaupun hak kebebasn bersuara dan kebebasan hak asasi yang lain dijamin oleh perlembagaan namun kebebasan bersuara di Malaysia berada di bawah lingkungan kawalan dan sekatan beberapa undang-undang termasuk statutes. Di antara undang-undang yang ada kaitannya dengan kawalan terhadap kebebasan bersuara di Malaysia termasukklah:

· Akta Asutan 1948
· Akta Kefitnahan 1957 (Akta 286)
· Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960
· Akta Rahsia Rasmi 1972
· Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301)
· Akta PolisLain-lain akta berkaitan (termasuk Kanun Kesiksaan)
Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagan wajar digunakan sebaik mungkin mengikut lunas-lunas dan had-had yang telah ditentukan. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia , kebebasan bersuara sama ada melalui pengucapan/percakapan dan melahirkan buah fikiran melalui media cetak atau elektronik haruslah mengelakkan daripada menyentuh isu-isu sensitif atau perkara-perkara yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan dalam negara. Kebebasan bersuara juga mempunyai tanggungjawab akhlak dan moral di mana ianya mestilah tidak merosakkan akhlak/moral rakyat, misalnya menulis dan menerbitkan buku-buku, majalah-majalah atau apa-apa kaedah penerbitan yang berunsur lucah.

Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan sewajarnya digunakan dengan baik. Menyalah gunakan kebebasan bersuara atau mana-mana hak asasi sehingga menimbulkan kegelisahan dan ketengangan dalam masyarakat boleh membawa kepada kehancuran negara-bangsa adalah ditegah sama sekali. Kebebasan menyuarakan pendapat sama ada melalui pengucapan, penulisan dan apa-apa bentuk kaedah komunikasi mestilah berhati-hati dan bertanggungjawab. Kepentingan negara harus diutamakan agar perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian yang sudah lama wujud tidak diroboh dan dihancurkan. Semangat mengekalkan perpaduan antara kaum harus disemai dan diperkukuhkan lagi.

Ruang kebebasan bersuara yang diberikan bukalah “lesen” untuk memperkatakan sesuatu tanpa tanggunjawab di sisi undang-undang. Negara sentiasa melihat dan memastikan hak asasi dilaksanakan dengan berpegang kepada konsep ‘hak berserta tanggungjawab’ (rights with responsibility). Jadi apabila kita bercakap tentang hak maka tanggungjawab itu sendiri adalah hak yang perlu dilaksanakan.

Dalam memelihara kedamaian dan keamanan serta kedaulatan negara maka rakyat berbagai kaum dan amalan agama di negara ini mestilah lebih berhati-hati dalam membincangkan isu-isu yang boleh memarakkan api perkauman seperti soal-soal agama, bahasa, pendidikan, budaya, ekonomi dan elakkan perkara-perkara yang berunsur subversif, menghasut dan menfitnah yang boleh mencetuskan kekacauan dalam masyarakat dan negara.

Perasaan cauvinis mesti dielek dan ditentang. Soal Keselamatan negara tidak boleh dipandang remeh semata-mata kerana ‘kebebasan bersuara’ hingga mengizinkan golongan yang bersifat cauvinis dan pelampau mengambil kesempatan meniupkan api perkauman, fitnah dan hasutan. Rakyat patut menjadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai ikhtibar dan pengajaran buat selama-lamanya.

Elakan ‘bermain api’ dengan isu-isu sensitif seperti yang telah digariskan oleh Perlembagaan dan Undang-undang yang terdapat di negara kita. Ingatlah ‘kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa’. Disebabkan kebebasan bersuara yang tiada kawalan, maka negara boleh menuju ke arah kehancuran (anarkisme). Oleh itu berhati-hatilah dalam menggunakan kebebasan bersuara. ‘Biar salah kain, jangan salah mulut’ .