Sunday, March 7, 2010


Masyarakat alpa punca kanak-kanak masih jadi mangsa dera


Mohd Ayop Abd Razid


PADA 20 November 1989, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai proklamasi 'Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak'.


Takrif kanak-kanak mengikut konvensyen terbabit ialah setiap manusia di bawah umur 18 tahun. Konvensyen terbabit mengesahkan hakikat bahawa kanak-kanak memerlukan jagaan dan perlindungan khas dengan penekanan khas ke atas penjagaan utama dan tanggungjawab perlindungan oleh keluarga.


Dalam soal hak kehidupan adalah menjadi tanggungjawab kita selaku orang dewasa memelihara kanak-kanak membesar dengan sempurna dan sihat. Aspek ini perlulah merangkumi pertumbuhan dan perkembangan fizikal, mental, kerohanian, moral atau sosial kanak-kanak itu.


Hak perlindungan kanak-kanak menghendaki kita memberikan perlindungan dari segala bentuk kejahatan seperti dadah, penderaan, eksploitasi seks, eksploitasi ekonomi (buruh kanak-kanak), penjualan atau pemerdagangan kanak-kanak dan segala bentuk eksploitasi lain.


Hak perkembangkan pula menentukan bahawa kanak-kanak berhak untuk ke sekolah atau mendapat pelajaran dan pendidikan yang sempurna. Hak penyertaan pula membawa pengertian bahawa kanak-kanak harus bebas bertemu dan bergaul dengan kawan-kawannya, menyertai kelab atau persatuan serta berbincang sesama rakan dengan bebas.


Namun, dalam menyempurnakan hak-hak ini kanak-kanak harus terus mendapat bimbingan daripada keluarga atau orang dewasa. Yang penting ialah setiap ahli keluarga, terutama orang dewasa memainkan peranan masing-masing untuk membantu pertumbuhan sihat kanak-kanak serta memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka.


Malangnya, di negara kita masih ramai yang tidak memahami atau menyedari hak kanak-kanak seperti diputuskan oleh Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak itu.


Kes penderaan adik Syafia Humairah Sahari, 3, yang didera secara sadis, baru-baru ini, menggambarkan hakikat kejahilan dan ketidakprihatinan masyarakat terhadap hak kanak-kanak terbabit. Daripada laporan media massa mengenai kes Syafia itu jelas menggambarkan bahawa penderaan ke atas kanak-kanak malang itu sudah lama berlaku.


Penderaan itu pula bukan saja disedari jiran, malah keluarga terdekat Syafia sendiri. Namun, kerana kurang peka dan prihatin serta memandang ringan tanda-tanda awal penderaan itu membuatkan kita alpa sehingga memberi ruang kepada suspek meneruskan kejahatannya yang tidak berperikemanusiaan.


Sepatutnya masyarakat kita sudah tahu ke mana harus dilaporkan kes penderaan kanak-kanak. Bukankah sudah banyak iklan dan pelbagai bentuk penerangan dibuat melalui media massa yang sepatutnya sudah cukup untuk mendidik masyarakat bertanggungjawab membantu kanak-kanak yang disyaki didera.


Masalahnya ialah sikap orang kita masih memandang ringan tanda awal penderaan yang berlaku. Kita hanya bertindak apabila sesuatu kes penderaan itu sudah sampai ke kemuncak atau ketika 'nasi sudah menjadi bubur.' Kita hanya sedar, menyesal dan sedih yang teramat sangat apabila kanak-kanak yang didera itu terkujur kaku menjadi mayat.


Ada tiga agensi utama yang terbabit dalam prosedur perlindungan kanak-kanak, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hospital kerajaan. Saya kira, selain polis, JKM memainkan peranan yang cukup besar dalam kes perlindungan kanak-kanak.


Peranan utama JKM adalah untuk menyelamat, melindung, menjaga dan membantu di dalam semua kes penderaan kanak-kanak, termasuk dalam membantu pemulihan kesan psikologi kanak-kanak dan keluarganya.


Seksyen 8 Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jelas menyatakan pelantikan dan kuasa 'pelindung'. 'Pelindung' adalah Pegawai Kebajikan Masyarakat yang dilantik oleh menteri melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan untuk menjalankan kuasa dan melaksanakan kewajipan sebagai pelindung ke atas kes kanak-kanak yang disyaki didera.


Adalah menjadi kewajipan setiap 'pelindung' melaksanakan tugas dengan dedikasi serta mematuhi dengan tepat garis panduan berkaitan prosedur perlindungan kanak-kanak. Sesiapa saja boleh membuat aduan atau melaporkan kes yang dicurigai kepada mana-mana agensi terbabit.


Dari segi kerahsiaan, pengadu tidak perlu bimbang kerana semua laporan berkaitan kanak-kanak yang didera dan diabaikan akan dirahsiakan. Mengikut Seksyen 116 Akta Kanak-Kanak 2001, seseorang yang memberikan sebarang maklumat mengenai kanak-kanak yang memerlukan perlindungan tidak akan dipersalahkan sebagai memfitnah atau selainnya.


Kesimpulannya, kanak-kanak adalah golongan yang belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi. Oleh itu, mereka sangat memerlukan perlindungan dan jagaan sempurna, termasuk perlindungan undang-undang yang sewajarnya.


Mana-mana kanak-kanak yang disyaki didera, diabai, dieksploitasi atau yang tinggal dalam keadaan tidak sempurna kerana pengabaian, maka kanak-kanak itu harus dibantu atau diselamatkan dengan segera. - BH 2 March 2010

No comments: