Wednesday, February 24, 2010

Produktiviti landasan MEB

Oleh Mohd. Ayop Abd. Razid

Memulih ekonomi negara di saat ekonomi global berhadapan dengan kegawatan adalah cabaran yang cukup getir. Namun, beberapa pengalaman masa lalu dalam mengharungi krisis ekonomi dan ditambah dengan kepakaran yang kita miliki membuatkan negara bersedia untuk mengharung cabaran dengan strategi yang baru.
Langkah penting yang sedang diatur kerajaan adalah mewujudkan Model Ekonomi Baharu (MEB) yang akan diumumkan pada bulan Mac ini.
Asas MEB adalah berteraskan peningkatan produktiviti pekerja melalui penguasaan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi. Ekonomi berasaskan kreativiti dan inovasi akan dijadikan pemangkin baru dalam MEB. Semua itu adalah untuk meningkatkan pendapatan rakyat.
Saingan yang semakin sengit, kemajuan pantas dalam bidang reka cipta, inovasi dan kreativiti serta kos sara hidup yang semakin meningkat memerlukan kita segera beralih kepada negara berpendapatan tinggi.
Seperti yang pernah disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, MEB akan menekankan tiga komponen utama iaitu modal insan, modal swasta dan modal sosial. Yang dimaksudkan modal sosial adalah semua rakyat negara ini mempunyai peluang yang sama dalam bidang ekonomi negara.
Dalam belanjawan 2010, sebanyak RM30 bilion daripada keseluruhan belanjawan RM191.5 bilion diagihkan untuk membangun modal insan. Ia membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membawa negara kepada berpendapatan tinggi.
MEB adalah langkah untuk menjayakan strategi Belanjawan 2010 dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). RMK-10 merupakan satu lagi blue print penting kerajaan dalam mencorakkan haluan dan sasaran ekonomi negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Ia dijangka dibentangkan pada pertengahan tahun ini.
Belanjawan 2010 bertemakan '1Malaysia, Kemakmuran Bersama' menggariskan tiga strategi utama iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan menyeluruh dan mapan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat. Bagaimana negara dapat memacu ekonomi berpendapatan tinggi?
Sayugia diingat, berpandukan piawai Bank Dunia, negara perlu memacu Per Kapita Negara Kasar sekurang-kurangnya RM41,000 untuk membolehkannya berada di dalam kelompok negara ekonomi berpendapatan tinggi. Pastinya modal insan menjadi komponen utama dalam menjayakan aspirasi negara kerana ia adalah aset penting bagi membangunkan ekonomi negara.
Walaupun teknologi canggih sudah banyak mengurangkan pergantungan terhadap tenaga manusia, namun ia perlu dikendalikan oleh tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi. Pengukuhan dan pemerkasaan aset itu penting dan perlu diberi fokus utama tanpa halangan.
Justeru, usaha melahirkan modal insan berpendidikan tinggi terutama dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, sains gunaan, reka cipta dan inovasi perlu dipertingkatkan. Oleh sebab itu, pada akhir tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang III (RRJP3), kerajaan mensasarkan 35 peratus tenaga pekerja memiliki ijazah supaya matlamat melahirkan modal insan yang berkualiti dapat dicapai. - Utusan Malaysia 25 Feb 2010

No comments: