Monday, December 28, 2009

Pertahan nikmat perpaduan

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID

MASYARAKAT kita adalah masyarakat yang 'plural' atau majmuk. Dalam masyarakat seperti ini, wujud apa yang dipanggil 'social diversities' atau kepelbagaian sosial yang merangkumi etnik, ras, agama, budaya, adat resam dan sosio-ekonomi yang berbeza.

Oleh itu, usaha membina perpaduan dan integrasi nasional dalam masyarakat bersifat pluralisme ini bukanlah satu usaha yang mudah.

Begitu pun, kita harus berbangga kerana dari segi rekod, kita sudah membuktikan kepada dunia bahawa kita berjaya membina dan mewujudkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. Kesan dari wujudnya perpaduan yang utuh maka kita dapat mengecapi dan mengekalkan kestabilan politik.

Sebenarnya, apa yang dicapai itu adalah hasil dari pendekatan pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bersifat demokratik, pragmatik, progresif dan adil terhadap semua kaum.

Keupayaan dan kejayaan negara mengurus dan mentadbir masyarakat yang majmuk ini telah menarik perhatian masyarakat dunia, terutama di kalangan negara sedang membangun untuk menjadikan negara sebagai model atau contoh ikutan. Malah, beberapa negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat (AS) juga tertarik dan mengiktiraf kejayaan kita itu.

Di kebanyakan negara yang komposisi penduduknya bersifat majmuk, termasuk di negara maju, ketegangan dan konflik kaum dan agama sering berlaku dan menghantui kehidupan masyarakat mereka.

Di AS, Britain dan beberapa negara Eropah lain, pergeseran agama dan kaum menjadi semakin berkembang, terutamanya selepas berlakunya peristiwa 11 September 2001.

"Perang terhadap keganasan" yang diketuai AS, terutama semasa pentadbiran George W. Bush telah menjadikan masyarakat Islam daripada berbagai keturunan dan kaum sering menjadi sasaran "amukan" di negara-negara Eropah yang kononnya mengaku bersifat demokratik dan bertoleransi.

Keadaan yang dicetuskan itu lebih kepada sifat prejudis masyarakat Eropah dan ia masih berlaku hingga kini, terutama ketika berlakunya sebarang peristiwa pengeboman atau keganasan yang dikaitkan dengan "teroris" Islam.

Dalam masyarakat majmuk, kebebasan dan hak untuk hidup sepatutnya tidak dimonopoli oleh sesuatu kaum. Segenap kaum sepatutnya berkongsi hidup sebagai warganegara dengan penuh harmoni, saling bertoleransi, bantu membantu dan bertanggungjawab antara satu sama lain. Setiap rakyat sepatutnya menjaga batas perhubungan dengan menjauhi isu-isu yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Kita seharusnya memahami bahawa selama ini sikap bersedia menerima kepelbagaian sebagai satu kekuatan dan keindahan dalam kehidupan masyarakat di negara kita telah menjadikan masyarakat lebih terbuka dan bertoleransi.

Sekali lagi kita harus berasa bangga dan bersyukur kerana kepelbagaian kaum, budaya dan agama di negara ini berjaya membentuk sikap dan orientasi rakyat ke arah kebaikan, kemajuan dan pembangunan.

Kerajaan tidak pernah melaksanakan dasar 'keras' atau 'paksaan' dalam mewujudkan perpaduan di negara ini. Dasar kerajaan adalah tidak bersifat asimilatif dalam membina perpaduan kaum.

Kerajaan melihat asimilasi tidak realistik dan praktikal memandangkan kompleksiti kaum dan demografi di negara ini tidak sesuai untuk proses sedemikian berlaku. Penyerapan kebudayaan dan asimilasi dibiar menyerap dan berkembang dengan sendirinya tanpa sebarang paksaan.

Apa yang jelas ialah perpaduan yang terbina di negara ini adalah diasaskan melalui sikap toleransi dan sikap bertanggungjawab serta dibina di atas semangat 'kontrak sosial' yang telah pun diterima oleh semua kaum sejak merdeka lagi.

Sejak merdeka kita telah berusaha gigih mencipta 'Bangsa Malaysia' di bawah konsep negara bangsa (nation state) yang memiliki identiti tersendiri.

Konsep Bangsa Malaysia adalah satu konsep yang lahir melalui proses sejarah dan berkembang dengan sifat-sifat atau ciri-cirinya yang tersendiri.

Proses pembentukan negara bangsa Malaysia ini diperkukuhkan lagi melalui visi, misi dan wawasan yang dirangka dan dibentuk oleh kepimpinan negara (parti pemerintah) di mana segala dasar dan wawasan itu memberikan perhatian dan keadilan kepada semua kaum.

Satu perkara yang perlu difahami ialah perpaduan dan keselamatan mempunyai hubungan yang cukup erat dalam memelihara keharmonian, kesejahteraan dan kedaulatan negara. Isu-isu perkauman yang boleh bertukar kepada bentuk konflik yang tajam mampu membawa ancaman terhadap keselamatan negara.

Jika konflik perkauman seperti itu berlaku dan keadaan konflik itu pula sukar diuruskan maka ia boleh menjadi satu "dilema keselamatan" (Collin, 1998).

Collin melihat bahawa ancaman bukannya datang semata-mata dari luar tetapi ancaman keselamatan juga boleh muncul di peringkat domestik (dalaman) seperti konflik etnik.

Justeru, tidak harus membiarkan golongan atau puak pelampau yang bertopengkan agama dan perkauman mempengaruhi psikologi, emosi dan minda rakyat kerana kesannya cukup mendalam yang boleh membawa kepada anarkisme dan kehancuran negara.

Golongan ini, walau pun tidak dominan tetapi kesan sebaran dakyah mereka yang liar dan bermaksud jahat itu mampu menyemarakkan isu kommunal sebagaimana pengalaman kita dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Ini adalah kerana mereka bermain dengan emosi dan persepsi dalam membangkitkan semangat perkauman yang melampau.

Di dalam dunia moden hari ini konflik etnik yang melibatkan pertikaian mengenai isu-isu agama dan hak asasi manusia boleh mengundang campur tangan luar.

Biasanya campur tangan luar itu datang dari pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dan agenda tertentu untuk melihat negara ini menjadi huru hara, lemah dan hancur. Untuk mengatasi persoalan ini maka kita hendaklah kembali kepada asas-asas yang telah dibina selama ini seperti:

1. Rakyat hendaklah terus mempertahankan dasar kerjasama politik seperti yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN). Permuafakatan BN adalah contoh terbaik yang ada. Kita harus faham bahawa Malaysia dari segi dimensi politiknya memerlukan "politik permuafakatan" yang dapat menyatukan elit-elit politik pelbagai kaum secara kukuh, mantap dan berkesan supaya dasar-dasar pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Oleh itu, gabungan parti-parti politik yang tidak selari perjuangan dan ideologinya sukar untuk diterjemahkan dalam senario politik tanah air kita. Gabungan seperti ini akan sentiasa berkonflik sesama sendiri sehingga meninggalkan kesan tidak baik terhadap kestabilan politik negara.

2. Semangat Perlembagaan yang mengandungi 'kontrak sosial' yang telah dirangka dan diterima pakai oleh pelbagai kaum sejak merdeka lagi hendaklah terus dipertahankan dan dihormati oleh semua pihak.

3. Menutup suara-suara ekstremis yang mampu mejejaskan perpaduan dan keselamatan negara melalui dasar keselamatan yang tegas seperti menggunakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas mereka yang benar-benar mengancam keselamatan negara.

4. Tidak seharusnya ada tolak ansur dan ruang kepada anasir-anasir subversif yang pandai memainkan isu-isu kebebasan bersuara dan hak-hak asasi manusia yang tidak secocok dengan iklim demografi (kependudukan) dan budaya negara kita.

5. Program pembangunan perlu seimbang dan dinikmati oleh semua kaum secara adil dan saksama. Jika 'keadilan sosial' ini dapat terus dilaksanakan, terutama di bawah pentadbiran kerajaan yang mendukung gagasan 1Malaysia, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" maka kestabilan politik dan keamanan negara akan terus dapat dipelihara.

6. Melaksanakan amalan demokrasi secara sihat dengan memberi ruang yang secukupnya untuk rakyat melaksanakan hak-hak mereka. Namun, tuntutan demokrasi yang melampau sehingga mengetepikan soal-soal sensitif yang boleh menimbulkan huru-hara dan ancaman keselamatan harus dibendung dan dikawal. Suara-suara liar dalam tuntutan kebebasan bersuara tidak seharusnya dibiarkan berkembang dan dilayan.

- Utusan Malaysia 28/12/09 (Isnin)

No comments: