Saturday, December 12, 2009

Moral politik kita dipersoalkan
Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

AKHLAK atau moral adalah teras kepada jatuh bangunnya sesuatu tamadun dan bangsa. Justeru, tidak hairanlah dunia Barat yang dikatakan menolak agama masih menetapkan beberapa nilai moral untuk menjamin kesejahteraan hidup masyarakat mereka.
Hari ini, kita yang dianggap berbudaya dan berpegang kuat kepada agama menghadapi masalah dalam budaya politik. Politik kita semakin terhakis daripada nilai-nilai akhlak dan moral.
Wajah politik kita menjadi hodoh kerana ramai politikus kita, tidak kira dari parti mana sekali pun yang memiliki 'jiwa mazmumah' kerana penyakit gila kuasa dan politik wang bersarang di hati mereka. Apakah ini warisan politik yang ingin diwariskan kepada generasi kita?
Penyalagunaan kuasa bukan sahaja dilakukan para pemimpin politik tetapi juga di kalangan pentadbir. Lihatlah "perang rasuah" yang giat dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyingkap persoalan mengenai moral dan politik dalam pentadbiran kita.
Adalah sangat tidak bermoral apabila wujud di kalangan ahli politik dan pentadbir yang menggunakan kuasa dan kedudukan untuk mengaut kekayaan negara dan menyelewengkan peruntukan yang sepatutnya disalurkan untuk kepentingan rakyat.
Paling jahat dan hina apabila agama turut dijadikan alat mengamalkan politik kotor. Paul Wildman, seorang pengamat media dan politik Amerika Syarikat (AS) dalam bukunya Fraud: The strategy behind Bush lies and why the media didn't tell you (2004) menyebut adalah paling malang apabila kekejian moral politik berselindung di sebalik jubah atau kealiman.
Apakah ahli politik kita mahu berperangai seperti itu? Sejak dahulu lagi politik AS memang penuh dengan pelbagai skandal sehingga membawa kepada kejadian tembak menembak dan pembunuhan ke atas ahli politik tertentu.
Apabila agama digunakan untuk membohongi atau menipu rakyat maka malapetaka pasti menghampiri masyarakat itu. Tidak kira mereka itu dari parti mana sekali pun, maka mereka harus menyedari bahawa memperalatkan agama demi agenda politik peribadi dan parti adalah perlakuan yang tidak berakhlak dan bermoral.
Justeru, adalah sangat tidak bermoral apabila ada ahli politik bukan Islam dari parti pembangkang yang sewenang-wenangnya menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk meraih sokongan orang Melayu.
Apa yang dilakukan mereka adalah semata-mata dorongan politik seperti yang pernah dilakukan parti komunis di negara kita, komunis di Indonesia dan juga beberapa parti komunis di negara Arab di zaman kebangkitan nasionalisme dahulu yang turut menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk menarik sokongan orang Islam.
Hari ini kita lihat bagaimana beberapa pemimpin muda DAP sanggup menggunakan ayat-ayat al-Quran dalam ceramah politik mereka sedangkan amat jelas bahawa parti itu berideologi sekular. Mana mungkin sebuah parti yang jelas menunjukkan sikap menentang tertegaknya negara dan undang-undang Islam seperti yang diperjuangkan oleh rakan politik mereka (Pas) akan beriman dan meyakini ayat-ayat al-Quran.
Apakah kita lupa betapa pentingnya membina masyarakat yang berakhlak. Masyarakat berakhlak dan bermoral perlu dibangunkan kerana ia adalah kunci kesejahteraan dan keharmonia hidup.
Persoalannya, bagaimana kita dapat mencapai masyarakat sedemikian rupa sekiranya politik kita tidak memiliki nilai-nilai akhlak yang baik, sedangkan politik memiliki pengaruh yang besar dalam membentuk tindakan dan sikap masyarakat. - Utusan Malaysia 12/12/09

No comments: