Thursday, November 12, 2009

Lawatan perkasa hubungan
Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

LAWATAN Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono ke negara kita selama dua hari mulai semalam adalah lawatan pertama Presiden itu sejak beliau dilantik sebagai Presiden Indonesia buat penggal kedua pada 20 Oktober lalu. Pastinya, lawatan Presiden yang memimpin umat Islam terbesar di rantau ini akan mencatat satu lagi sejarah bermakna hubungan akrab Malaysia-Indonesia.
-
Sudah termaktub dan tersurat dalam sejarah bahawa Indonesia dan Malaysia adalah dua bangsa serumpun yang mempunyai akar sejarah dan budaya yang sama dalam alam 'Nusantara' (alam Melayu). Akar umbi sejarah dan budaya dua bangsa merdeka dan berdaulat ini bagaikan "serai serimbun, sireh sejunjung" yang amat rapat susur galurnya. Sejak dulu lagi kedua-dua negara sudah menjadi bangsa yang membentuk tamadun dan peradaban Melayu-Islam Nusantara.
-
Mungkin ungkapan, "kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa hamba dirikan" dapat menggambarkan betapa eratnya hubungan peradaban Malaysia dan Indonesia. Dua bangsa inilah yang memberikan makna kepada bangsa Melayu serta identitinya melalui cakupan kebudayaan yang luas merangkumi aspek sosio-politik, psikologi, minda, emosi, budaya dan kesenian.
-
Ruang alam fikir bangsa serumpun ini berpaksi dan bertunjangkan kosmologi Melayu Nusantara yang bertunjang dan berteraskan doktrin tauhid. Kedua-dua bangsa inilah yang mendukung tunjang tamadun berasaskan Islam berabad lamanya.
-
Justeru, Indonesia dan Malaysia harus dilihat sebagai benteng kepada kelangsungan dan kekuatan umat Islam di Nusantara dan Asia Tenggara amnya.
-
Kita adalah benteng Ahli Sunnah wal Jamaah yang seharusnya padu dan kukuh. Jika lebur Islam di kedua-dua buah negara ini maka lebur dan hancurlah Islam di rantau ini.
-
Pastinya lawatan Susilo ke Malaysia memberikan banyak makna, khusus dalam konteks hubungan diplomatik dan perdagangan antara Indonesia dan Malaysia. Sememangnya hubungan mesra dan akrab dua beradik serumpun dan seketurunan ini sudah lama.
-
Cumanya, setelah Indonesia dan Malaysia merdeka dari kuasa penjajah Belanda (Indonesia) dan Inggeris (Malaysia) maka masing-masing mula menjadi negara bangsa (nation state) moden yang berasaskan kepada semangat nasionalisme kenegaraan masing-masing.
-
Di bawah konsep negara bangsa inilah maka hubungan kita mula dilihat dari perspektif hubungan diplomatik moden. Oleh kerana itu, dalam waktu-waktu tertentu kita sering terbawa-bawa sentimen negara-bangsa walaupun dalam perkara yang berkaitan dengan warisan budaya bersama.
-
Kata perumpamaan, "bumi mana yang tidak ditimpa hujan", maka demikianlah sejak kebelakangan ini Malaysia sentiasa dikritik oleh golongan tertentu di Indonesia dalam isu-isu remeh dan terpencil seperti isu tarian pendet, terang bulan dan isu-isu lain seperti penderaan pembantu rumah warga Indonesia sehingga menimbulkan keresahan hubungan kedua-dua negara.
-
Kita yakin bahawa kedua-dua kerajaan dan kepemimpinan terbabit arif tentang hal-hal remeh temeh dan kes-kes terpencil yang tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga memberi kesempatan kepada 'dalang' atau 'tangan ghaib' dari luar yang mahu melihat kita terus bersengketa sesama sendiri.
-
Justeru, kita berharap dengan lawatan Susilo ini akan dapat melunturkan segala sentimen yang tidak menguntungkan kita.
-
Lebih jauh dari itu, kita optimis bahawa lawatan mesra ini mampu memberi impak yang lebih besar, khusus dalam soal hubungan diplomatik, hubungan perdagangan dan perkara-perkara yang mempunyai kebaikan bersama seperti pendidikan, tenaga buruh, pembangunan dan beberapa bidang berkepentingan strategik yang harus tumbuh dalam lingkungan hubungan yang dinamik dan membina.
-
Memang kita pernah berkrisis tentang soal kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan yang terletak di perairan Sabah. Namun, kedua negara sentiasa berunding sehinggalah akhirnya sama-sama bersetuju menyelesaikannya di Mahkamah Antarabangsa (ICJ) di The Hague pada tahun 2002.
Walaupun keputusan memihak kepada Malaysia tetapi ia tidak sedikit pun menjejaskan keakraban dan keintiman hubungan kita.
-
Mungkin beberapa isu tertangguh seperti isu Ambalat yang berpotensi mengocakkan hubungan kedua negara mampu menjadi "duri dalam daging". Begitu pun, kita yakin ia mampu diselesaikan dengan kebijaksanaan kedua-dua pemerintah melalui saluran diplomatik yang berasaskan semangat serumpun dan setiakawan ASEAN.
-
Kita juga melihat bahawa dalam konteks membina hubungan yang dinamik dan membina, maka media atau kewartawanan memainkan peranan yang cukup besar dan berkesan.
Masalah utama ialah pengamal media kedua negara tidak mempunyai hubungan media dan saluran dua hala yang berkesan, terutama dalam konteks melaporkan berita secara benar, tepat dan menyeluruh mengenai sesuatu insiden atau peristiwa yang berlaku.
-
Oleh itu, usaha untuk merapatkan jurang hubungan media dan saluran dua hala antara pengamal media kedua-dua negara perlu dilakukan. Mekanismenya perlu ada. Justeru, atas keinginan inilah maka timbul kesungguhan di kalangan sekelompok wartawan Malaysia menubuhkan apa yang dipanggil Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWMI).
-
Datuk Ahmad Talib, Pengerusi ISWMI dalam kenyataan medianya pada 14 September lalu menyebut bahawa ISWMI adalah langkah positif oleh pihak media sendiri atas kesedaran peranan moral untuk bersama-sama mendukung aspirasi kepimpinan dua negara dalam. Ia adalah usaha untuk mengeratkan hubungan kerjasama bagi mengurangkan "ketegangan" antara Malaysia dengan Indonesia.
-
Untuk mengerakkan kerjasama dan menjaga hubungan media antara kedua negara maka ISWMI akan turut ditubuhkan di Indonesia. Ia masih dalam proses perbincangan ke arah itu.
Apa yang kita harapkan biarlah ISWMI benar-benar menjadi satu platform atau jambatan yang dapat membina persefahaman dalam menjelaskan pelbagai isu yang berbangkit di antara kedua buah negara serumpun ini. - Utusan Malaysia 12/11/09

No comments: