Monday, November 30, 2009

Pemilihan semula ‘ubat mujarab’ atasi kemelut MCA

KRISIS kepimpinan MCA yang sudah lama berlarutan sudah menampakkan jalan penyelesaian apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak mula campur tangan dengan mengarahkan parti itu segera menyelesaikan masalah dalamannya.
-
Sebagai Pengerusi BN, memang wajar Najib memberi perhatian serius terhadap masalah MCA yang merupakan parti penting dalam komponen BN.
-
Krisis berlarutan dalam MCA yang memungkinkan perpecahan dalam akan memberi kesan terhadap kekuatan BN. Ini boleh menjejaskan usaha BN untuk mengembalikan semula sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
-
Usaha Najib juga selari dengan falsafah BN yang berpegang kepada permuafakatan, toleransi dan kerjasama. Permuafakatan dalam BN tidak seharusnya ditafsir secara sempit hanya kepada persoalan mengenai tolak ansur atas kepentingan kaum masing-masing sahaja.
-
Tafsiran itu perlu juga merangkumi kesediaan menerima cadangan, idea dan formula penyelesaian dari rakan komponen sekiranya mana-mana parti komponen BN menghadapi kemelut yang sukar di atasi sehingga menjejaskan kekuatan BN itu sendiri.
-
Ada pandangan, terutamanya di kalangan pembangkang yang suka “menyibuk” cuba mentafsirkan ia adalah campur tangan UMNO. Apa salahnya jika UMNO ingin membantu menyelesaikan kemelut dalam MCA. Bukankah MCA adalah di antara rakan politik awal UMNO yang memulakan pembentukan permuafakatan politik yang akhirnya merintis kewujudan parti Perikatan yang kemudiannya dikenali sebagai BN.
-
UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 dan MCA pula ditubuhkan pada pada tahun 1949. Sejarah kerjasama UMNO-MCA sudah bermula apabila British mahu mengadakan Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur pada Februari 1952. Ia melibatkan kerjasama UMNO Kuala Lumpur dengan MCA Selangor.
-
Dalam pakatan terbabit, UMNO-MCA berjaya menguasai sembilan daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Dalam pilihan raya perbandaran yang diadakan di beberapa bandar utama pula, pakatan terbabit memenangi 26 daripada 37 kerusi yang dipertandingkan. Ia kemudian diteruskan dalam Pilihan Raya Negeri 1954 yang turut melibatkan MIC dalam bentuk gabungan parti politik yang dikenali sebagai Parti Perikatan dengan lambang ‘Kapal Layar’.
-
Parti perikatan (UMNO-MCA-MIC) terus kukuh menyertai Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) pada 27 Julai 1955 dengan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Satu kerusi lagi dimenangi oleh Pas.
-
Permuafakatan politik ketiga-tiga parti itu akhirnya merintis ke arah kemerdekaan negara. Justeru, melihat kepada sejarah kerjasama politik yang erat antara UMNO dan MCA, adalah wajar UMNO turut membantu usaha ke arah penyelesaian krisis kepemimpinan MCA hari ini.
-
Memang dalam konflik yang sukar terlerai, kita kadang-kadang memerlukan campur tangan “orang tengah”. Kini, Najib sudah pun mengamahkan kepada Timbalannya, Tan Sri Muhiyiddin Yassin untuk membantu menyelesaikan kemelut parti itu.
-
Sebagai parti komponen BN memang wajar pemimpin MCA menghormati Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN yang mahu melihat parti itu segera menyelesaikan krisis yang dihadapi. Kita berharap ‘campur tangan’ itu akan menyegerakan penyelesaian kemelut kepemimpinan parti itu.
-
Kesannya telah mula nampak di mana pemimpin yang bertelagah sudah mula mengendurkan suara masing-masing. Kini, pemilihan semula untuk menentukan pucuk pimpinan baru MCA dilihat sebagai formula dan jalan penyelesaian terbaik.
-
Nampaknya, kesemua pemimpin utama parti MCA iaitu Datuk Seri Ong Tee Keat, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak menolak formula itu.
-
Justeru, mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua MCA yang dijadual pada 28 November ini tidak sepatutnya diadakan. Lagipun sudah terbukti bahawa EGM pertama tidak berhasil menyelesaikan masalah.
-
Yang nyata, pemilihan semula dilihat sebagai ‘ubat mujarab’ ke arah penyelesaian krisis MCA. Biarlah perwakilan MCA sekali lagi membuat keputusan secara demokratik dalam pemilihan baru parti itu. Apa pun, kita yakin bahawa ‘campur tangan’ Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN dilihat mampu membantu usaha ke arah penyelesaian kemelut MCA.
-
MOHD AYOP ABD RAZID
Utusan Malaysia 27/11/09

Thursday, November 12, 2009

Lawatan perkasa hubungan
Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

LAWATAN Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono ke negara kita selama dua hari mulai semalam adalah lawatan pertama Presiden itu sejak beliau dilantik sebagai Presiden Indonesia buat penggal kedua pada 20 Oktober lalu. Pastinya, lawatan Presiden yang memimpin umat Islam terbesar di rantau ini akan mencatat satu lagi sejarah bermakna hubungan akrab Malaysia-Indonesia.
-
Sudah termaktub dan tersurat dalam sejarah bahawa Indonesia dan Malaysia adalah dua bangsa serumpun yang mempunyai akar sejarah dan budaya yang sama dalam alam 'Nusantara' (alam Melayu). Akar umbi sejarah dan budaya dua bangsa merdeka dan berdaulat ini bagaikan "serai serimbun, sireh sejunjung" yang amat rapat susur galurnya. Sejak dulu lagi kedua-dua negara sudah menjadi bangsa yang membentuk tamadun dan peradaban Melayu-Islam Nusantara.
-
Mungkin ungkapan, "kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa hamba dirikan" dapat menggambarkan betapa eratnya hubungan peradaban Malaysia dan Indonesia. Dua bangsa inilah yang memberikan makna kepada bangsa Melayu serta identitinya melalui cakupan kebudayaan yang luas merangkumi aspek sosio-politik, psikologi, minda, emosi, budaya dan kesenian.
-
Ruang alam fikir bangsa serumpun ini berpaksi dan bertunjangkan kosmologi Melayu Nusantara yang bertunjang dan berteraskan doktrin tauhid. Kedua-dua bangsa inilah yang mendukung tunjang tamadun berasaskan Islam berabad lamanya.
-
Justeru, Indonesia dan Malaysia harus dilihat sebagai benteng kepada kelangsungan dan kekuatan umat Islam di Nusantara dan Asia Tenggara amnya.
-
Kita adalah benteng Ahli Sunnah wal Jamaah yang seharusnya padu dan kukuh. Jika lebur Islam di kedua-dua buah negara ini maka lebur dan hancurlah Islam di rantau ini.
-
Pastinya lawatan Susilo ke Malaysia memberikan banyak makna, khusus dalam konteks hubungan diplomatik dan perdagangan antara Indonesia dan Malaysia. Sememangnya hubungan mesra dan akrab dua beradik serumpun dan seketurunan ini sudah lama.
-
Cumanya, setelah Indonesia dan Malaysia merdeka dari kuasa penjajah Belanda (Indonesia) dan Inggeris (Malaysia) maka masing-masing mula menjadi negara bangsa (nation state) moden yang berasaskan kepada semangat nasionalisme kenegaraan masing-masing.
-
Di bawah konsep negara bangsa inilah maka hubungan kita mula dilihat dari perspektif hubungan diplomatik moden. Oleh kerana itu, dalam waktu-waktu tertentu kita sering terbawa-bawa sentimen negara-bangsa walaupun dalam perkara yang berkaitan dengan warisan budaya bersama.
-
Kata perumpamaan, "bumi mana yang tidak ditimpa hujan", maka demikianlah sejak kebelakangan ini Malaysia sentiasa dikritik oleh golongan tertentu di Indonesia dalam isu-isu remeh dan terpencil seperti isu tarian pendet, terang bulan dan isu-isu lain seperti penderaan pembantu rumah warga Indonesia sehingga menimbulkan keresahan hubungan kedua-dua negara.
-
Kita yakin bahawa kedua-dua kerajaan dan kepemimpinan terbabit arif tentang hal-hal remeh temeh dan kes-kes terpencil yang tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga memberi kesempatan kepada 'dalang' atau 'tangan ghaib' dari luar yang mahu melihat kita terus bersengketa sesama sendiri.
-
Justeru, kita berharap dengan lawatan Susilo ini akan dapat melunturkan segala sentimen yang tidak menguntungkan kita.
-
Lebih jauh dari itu, kita optimis bahawa lawatan mesra ini mampu memberi impak yang lebih besar, khusus dalam soal hubungan diplomatik, hubungan perdagangan dan perkara-perkara yang mempunyai kebaikan bersama seperti pendidikan, tenaga buruh, pembangunan dan beberapa bidang berkepentingan strategik yang harus tumbuh dalam lingkungan hubungan yang dinamik dan membina.
-
Memang kita pernah berkrisis tentang soal kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan yang terletak di perairan Sabah. Namun, kedua negara sentiasa berunding sehinggalah akhirnya sama-sama bersetuju menyelesaikannya di Mahkamah Antarabangsa (ICJ) di The Hague pada tahun 2002.
Walaupun keputusan memihak kepada Malaysia tetapi ia tidak sedikit pun menjejaskan keakraban dan keintiman hubungan kita.
-
Mungkin beberapa isu tertangguh seperti isu Ambalat yang berpotensi mengocakkan hubungan kedua negara mampu menjadi "duri dalam daging". Begitu pun, kita yakin ia mampu diselesaikan dengan kebijaksanaan kedua-dua pemerintah melalui saluran diplomatik yang berasaskan semangat serumpun dan setiakawan ASEAN.
-
Kita juga melihat bahawa dalam konteks membina hubungan yang dinamik dan membina, maka media atau kewartawanan memainkan peranan yang cukup besar dan berkesan.
Masalah utama ialah pengamal media kedua negara tidak mempunyai hubungan media dan saluran dua hala yang berkesan, terutama dalam konteks melaporkan berita secara benar, tepat dan menyeluruh mengenai sesuatu insiden atau peristiwa yang berlaku.
-
Oleh itu, usaha untuk merapatkan jurang hubungan media dan saluran dua hala antara pengamal media kedua-dua negara perlu dilakukan. Mekanismenya perlu ada. Justeru, atas keinginan inilah maka timbul kesungguhan di kalangan sekelompok wartawan Malaysia menubuhkan apa yang dipanggil Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWMI).
-
Datuk Ahmad Talib, Pengerusi ISWMI dalam kenyataan medianya pada 14 September lalu menyebut bahawa ISWMI adalah langkah positif oleh pihak media sendiri atas kesedaran peranan moral untuk bersama-sama mendukung aspirasi kepimpinan dua negara dalam. Ia adalah usaha untuk mengeratkan hubungan kerjasama bagi mengurangkan "ketegangan" antara Malaysia dengan Indonesia.
-
Untuk mengerakkan kerjasama dan menjaga hubungan media antara kedua negara maka ISWMI akan turut ditubuhkan di Indonesia. Ia masih dalam proses perbincangan ke arah itu.
Apa yang kita harapkan biarlah ISWMI benar-benar menjadi satu platform atau jambatan yang dapat membina persefahaman dalam menjelaskan pelbagai isu yang berbangkit di antara kedua buah negara serumpun ini. - Utusan Malaysia 12/11/09

Monday, November 9, 2009

1Malaysia iltizam model ekonomi baru

Oleh Mohd Ayop Abd Razid ayop_60@yahoo.com

Pentadbiran Najib utama pendekatan lebih inovatif, kreatif tingkat pertumbuhan graf negara

PERSEKITARAN ekonomi yang semakin mencabar menuntut kebijaksanaan kita mencorak pengurusan ekonomi agar lebih dinamik dan responsif. Trend pertumbuhan ekonomi global yang semakin mementingkan inovasi dan kreativiti menyebabkan kita tidak boleh lagi berpaut sepenuhnya kepada struktur ekonomi lama.
-
Aspek peraturan kewangan global yang semakin bergerak pantas ke arah perubahan agresif pula menuntut institusi kewangan kita mempunyai piawaian urus tadbir dan pengurusan risiko yang berkesan. Kita sebenarnya tiada pilihan melainkan berubah. Jika tidak, kita terpaksa berdepan risiko kehilangan momentum pertumbuhan ekonomi dan pasaran.
-
Inilah antara perkara ditegaskan Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada acara ‘Invest Malaysia 2009’ di Kuala Lumpur, Jun lalu. Beliau mengingatkan bahawa keupayaan dalam membuat keputusan dasar dalam semua pasaran kewangan perlu dipertingkat dan diberi perhatian serius. Ini penting untuk mengelak kesan lebih buruk kepada ekonomi negara.
-
Hakikatnya, sejak dinobatkan sebagai Perdana Menteri, April lalu, Najib sudah menunjukkan iltizam dan kesungguhan yang cukup tinggi dan serius bagi memulihkan kedudukan ekonomi negara yang terjejas akibat krisis kewangan global yang belum menampakkan pemulihan meyakinkan. Justeru, langkah dan pendekatan yang beliau ambil adalah ke arah menyediakan respons agresif untuk mengekang impak kemurungan ekonomi global.
-
Najib memulakannya dengan melaksana dua pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion. Hasrat ini selari aspirasi menjadi Malaysia negara maju menjelang 2020. Cabaran utama ialah bagaimana mengurus perubahan yang begitu besar, terutama dalam tekanan saingan global yang semakin meningkat.
-
Perancangan strategik perlu dilakukan. Untuk itu, Najib menggerakkan usaha menggaris formula sebuah model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tinggi. Model ekonomi baru yang bertunjangkan inovasi dan produktiviti itu diumumkan pada 2 Mei lalu.
-
Pelaksanaan model ekonomi baru memerlukan rombakan dasar secara besar-besaran dan komprehensif dalam pelbagai aspek. Di sinilah rasionalnya tindakan kerajaan mengumumkan liberalisasi dalam 27 sub-sektor perkhidmatan, disusuli langkah liberalisasi dalam sektor kewangan dan pelaburan. Langkah mengantarabangsakan sektor perkhidmatan kewangan dan pasaran modal dilihat dapat membantu negara muncul sebagai pangkalan operasi pelaburan peringkat serantau dan antarabangsa, sama ada pelaburan dalam sektor kewangan mahupun sektor perkhidmatan lain, di samping mengekalkan pelaburan dalam sektor sedia ada seperti sektor sumber dan perusahaan.
-
Dari segi modal insan, model ekonomi baru menuntut kita mengubah budaya pergantungan kepada asas pengeluaran menggunakan pekerja separuh mahir dan buruh murah kepada industri teknologi tinggi dan sektor perkhidmatan moden yang menggunakan pekerja mahir dan berpendapatan tinggi. Ia menuntut seluruh rakyat menerapkan nilai budaya kecemerlangan serta mengutamakan budaya kerja berpasukan.
-
Nilai itu terkandung di dalam konsep 1Malaysia. Budaya inovasi sebahagian penerapan nilai aspirasi di bawah konsep terbabit. Nilai ini menuntut rakyat untuk mencuba perkara baru berorientasikan inovasi dalam apa juga bidang diceburi.
-
Kesungguhan Najib untuk menjadikan inovasi sebagai agenda penting negara terbukti apabila pada 20 Oktober lalu beliau mengumumkan penubuhan Pusat Inovasi Negara (MyNIC) dan rangkaian Pusat Kecemerlangan Inovasi (i-CoE).
-
Bidang inovasi yang dimaksudkan Najib tidak terhad kepada bidang sains dan teknologi, malah merangkumi inovasi secara holistik dalam semua bidang termasuk dalam bidang kemasyarakatan dan tadbir urus. Justeru, mulai tahun depan, Hari Kualiti Negara peringkat sektor awam akan ditukar dengan Hari Inovasi Negara.
-
Kesimpulannya, model ekonomi baru akan menjadi fokus dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) nanti meliputi tempoh antara 2011 hingga 2015. Pastinya usaha meningkatkan inovasi, kreativiti dan nilai tinggi akan menjadi perkara utama yang akan diberi perhatian dalam RMK-10. - BH 4/11/09