Masyarakat berakhlak mampu nobat 1Malaysia
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
SAYA kira semua orang yang waras akal budinya bersetuju bahawa akhlak atau moral adalah teras dan tonggak bagi sesuatu tamadun. Cuma, yang sering menjadi perdebatan ialah adakah nilai akhlak atau moral bersifat beku (statik) atau tidak berubah.
Perdebatan ini muncul kerana pelbagai fahaman dan pemikiran mengenai moral sentiasa berkembang di kalangan pemikir masyarakat, terutama dalam masyarakat yang semakin mengagungkan kebebasan.
Masyarakat kita yang kuat berpegang kepada nilai dan budaya ketimuran juga tidak terkecuali dalam membicarakan isu moral. Isu ini sentiasa tenggelam timbul berdasarkan kepada sesuatu isu moral yang berbangkit dalam masyarakat kita. Pernah beberapa tahun lalu isu mengenai 'kawalan moral' (moral policing) hangat diperdebatkan di negara kita.
Mereka yang menolak kewajaran penguatkuasaan undang-undang moral, khususnya undang-undang syariah ke atas pesalah moral berhujah di atas premis 'hak asasi manusia' dan kebebasan. Sebaliknya, golongan yang mempertahankannya pula berhujah di atas premis agama.
Bukan tujuan rencana ini menimbulkan perdebatan baru mengenai 'kawalan moral' tetapi rencana ini cuba memberi fokus kepada fahaman 'pragmatisme moral' dan kesannya terhadap kehidupan kita.
Apa itu fahaman pragmatisme? Pragmatisme adalah satu doktrin yang berpegang kepada 'apa yang ada itulah yang sepatutnya'.
Pragmatisme sebagai satu bentuk ideologi diasaskan oleh seorang ahli falsafah Amerika Syarikat (AS) bernama John Dewey. Tokoh lain yang segandingan dengannya ialah Charles Sanders Peirce dan William James. Kedua-duanya juga dari AS
Dewey beranggapan tidak wujud nilai-nilai mutlak dalam kehidupan ini.
Dalam pendidikan formal juga ia menjalar masuk melalui mazhab falsafah pendidikan aliran progresivisme berteraskan pragmatisme. Demikian juga dalam hal politik, ia turut menjalar masuk mempengaruhi sikap kebanyakan ahli politik. Banyak pergolakan politik dunia adalah hasil amalan politik tidak bermoral.
Hari ini kelihatan wajah politik kita menjadi semakin hodoh kesan daripada terhakisnya nilai akhlak dan moral. 'Politik Machiavelli' yang mengutamakan 'matlamat menghalalkan cara' menyebabkan ahli politik kita sering terbabas landasan akhlak dan moral.
Politik fitnah, penyalahgunaan kuasa, pembohongan dan rasuah politik yang semakin berleluasa mungkin dapat menggambarkan hal ini. Peliknya, ia seolah-olah sesuatu yang wajar. Tidak semua, tetapi ramai 'pemain kuasa' yang memiliki jiwa kotor sehingga lupa nilai akhlak, apatah lagi 'mahkamah Ilahi'.
Begitu juga fitnah dalam penulisan politik siber begitu berleluasa sehingga ramai mereka yang melayarinya termakan umpan fitnah lalu menyebarluaskan dalam masyarakat sehingga masyarakat menjadi kalut dengan bermacam persepsi politik yang karut marut.
Pragmatisme moral juga melihat bahawa kehidupan sosial tidak seharusnya terikat kepada nilai-nilai tetap ajaran agama. Dari aspek psikologinya, pragmatisme moral berpandukan kepada pemikiran Sigmund Freud yang terkenal dengan psikoanalisisnya yang merumuskan bahawa 'nalusi seks' adalah penggerak kepada segala aktiviti sosial manusia.
Sememangnya sifat hawa nafsu yang tidak dididik sangat cenderung kepada hedonisme (keseronokan). Justeru, tidak hairanlah ia menjadikan seks sebagai hak individu.
Misalnya, mereka beranggapan bahawa tidak ada salahnya hubungan seks secara sukarela, selain budaya 'gay' dan lesbian.
Lebih jauh lagi, tidak salah melakukan pertukaran jantina kerana kecanggihan teknologi moden berupaya melakukannya. Bagi mereka melahirkan nilai-nilai erotik melalui kesenian, lakonan (filem) dan pelbagai lagi bentuk kebebasan adalah hak individu.
Justeru, dalam masyarakat yang kuat berpegang kepada pragmatisme moral seperti di kebanyakan negara Eropah, maka undang-undang dibentuk hanya untuk mengawal apa yang ditakrifkan sebagai jenayah yang sempit dan terhad skopnya. Sebaliknya Islam melihat pengertian jenayah dalam skop yang luas.
Dalam Islam, definisi jenayah atau 'jarimah' membawa maksud larangan syara yang dapat dibendung dengan hukum-hukum hudud, qisas dan ta'zir. Saya yakin masyarakat kita mengutamakan keperibadian luhur. Oleh itu, sebarang gerakan untuk merungkai dan mereput nilai akhlak dan moral sewajarnya ditolak kerana ia boleh menjadi penghalang kepada menjayakan konsep 1Malaysia.
Maksud 'pencapaian diutamakan' seperti yang dinyatakan dalam konsep itu harus merangkumi pencapaian dalam bidang akhlak dan moral. Melalui kekuatan akhlak dan moral juga kita berupaya membina masyarakat yang bersatu padu seperti yang dihasratkan konsep 1Malaysia. - BH 5/8/09
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment