Usaha banteras, lumpuhkan militan perlu kesungguhan
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
-
PENGEBOMAN hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta, Jumaat lalu yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 53 yang lain, sewajarnya membuka mata kita betapa gerakan pengganas tidak pernah menghentikan perjuangan dan operasi mereka.
-
Sejak beberapa tahun lalu kerajaan Indonesia dikatakan berjaya menangani ancaman keselamatan daripada kumpulan militan yang wujud di negara itu. Rupa-rupanya tragedi kali ini membuktikan gerakan militan yang tidak dilumpuhkan hingga ke akar umbi, mampu menjadi ancaman berterusan pada bila-bila masa saja.
-
Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan tragedi itu dilakukan dua pengebom berani mati. Kumpulan pengganas yang disyaki ada kaitan dengan tragedi itu ialah Jemaah Islamiah (JI). Orang yang dipercayai di sebalik serangan nekad itu ialah Noordin Mat Top yang berasal dari Malaysia. Ada penganalisis mengatakan Noordin kini adalah kumpulan serpihan JI.
-
Suspek utama itu dikatakan masih mempunyai jaringan kuat di Indonesia. Justeru, usaha pihak berkuasa Indonesia mengesan suspek bukan saja tertumpu di Jawa, malah ke Sumatera dan beberapa wilayah yang disyaki tempat persembunyiannya.
-
Pastinya peristiwa yang berlaku baru-baru ini mencabar kepemimpinan Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang baru dipilih semula dalam pilihan raya Presiden (Pilpres) baru-baru ini. Indonesia pasti merasai kesan buruk pengeboman itu.
-
Kedua-dua hotel bertaraf antarabangsa itu terletak di kawasan perniagaan elit yang menempatkan banyak pejabat dan kedutaan asing. Presiden Indonesia itu sendiri mengakui serangan tidak berperikemanusiaan itu yang boleh mengundang kesan buruk terhadap ekonomi, perdagangan, pelancongan dan imej negara yang mempunyai jumlah umat Islam terbanyak di dunia itu.
-
Di bawah pimpinan SBY, Indonesia giat melaksanakan dasar liberalisasi ekonomi. Walaupun beberapa penganalisis berpendapat tragedi itu tidak menggugat ekonomi Indonesia, kesan serangan itu boleh melunturkan keyakinan pelabur sekurang-kurangnya untuk beberapa bulan akan datang.
-
Selepas serangan terbabit, pasaran saham Indonesia merosot sekitar dua peratus sementara pasaran kewangan Indonesia jatuh dengan mata wang rupiah merosot 0.7 peratus pada kadar 10,200 rupiah sedolar.
-
Usaha membanteras dan melumpuhkan kumpulan militan memerlukan kesungguhan dan kegigihan pihak berkuasa negara berkenaan. Malah ia memerlukan kerjasama negara jiran itu. Bagi Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sudah pun menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Indonesia bagi tujuan itu.
-
Malaysia juga sudah memperketatkan pintu masuk sempadannya untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab tidak meloloskan dirinya ke negara ini. Serangan tidak berperikemanusiaan itu wajar dikutuk. Adalah tersasar dan tidak adil untuk mengaitkan peristiwa pengeboman itu dengan Islam.
-
Tindakan pengebom berani mati tidak boleh ditafsirkan sebagai satu jihad dan mati syahid. Mereka yang mentafsirkan demikian sebenarnya adalah golongan yang memanipulasi dan memalsukan terminologi jihad itu. Ia lahir daripada pemikiran songsang yang gagal membezakan antara kebenaran dengan kebatilan.
-
Tindakan itu bukanlah datang daripada keperibadian Muslim yang sebenar. Seperti kata pimpinan Wilayah Muhammadiyah (PWM) Jawa Timur, Syafik Mugni tindakan itu tidak Islamik, dan pada hakikatnya, Islam mengutuk keras setiap tindakan kekerasan hingga menyebabkan hilangnya nyawa orang lain.
-
Apa pun, kita perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Indonesia. Ancaman pengganas mesti sentiasa diawasi. Menurut Profesor Syed Hussein Al-Atas (2002), pengganas atau 'terroris' adalah mereka yang merancang ketakutan sebagai senjata persengketaan terhadap lawan dengan serangan kepada manusia yang tidak terbabit atau harta benda tanpa menimbang salah atau benar dari segi agama atau moral, berdasarkan perhitungan bahawa semuanya itu boleh dilakukan bagi mencapai tujuan matlamat persengketaan.
-
Justeru, penting untuk negara sentiasa berwaspada dan bersiap siaga daripada sebarang ancaman yang tidak berperikemanusiaan itu.
-
Ia sepatutnya menyedarkan kita betapa pentingnya negara memiliki satu undang-undang khusus bagi membendung sebarang gerakan pelampau dan pengganas yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara. Mungkin Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilihat masih relevan untuk dikekalkan.
-
Walaupun ISA kini sedang dikaji semula oleh kerajaan, saya melihat ia masih relevan untuk membendung ancaman pelampau dan pengganas di negara ini. Selama ini pelaksanaan ISA membuktikan betapa relevannya dalam membendung aktiviti terbabit.
-
Ini terbukti apabila beberapa tahun lalu negara diancam oleh Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan anggota JI. Negara juga pernah digemparkan dengan peristiwa Al-Ma'unnah yang melarikan 119 pelbagai jenis senjata dan 5000 peluru dari kem Betalion 304 Askar Wataniah di Pengkalan Hulu Gerik, Perak pada Julai 2000.
-
Mujurlah kita memiliki ISA yang walaupun dianggap zalim oleh sesetengah pihak, ia sekurang-kurangnya berjaya membendung gerakan pengganas sejak awal lagi. - BH 22/7/09 (Rabu)
No comments:
Post a Comment