Wednesday, July 29, 2009

Usaha damai Umno, Pas tiada titik noktah

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

POLEMIK isu perpaduan Umno-Pas masih berlanjutan. Ada di kalangan pemimpin dan penyokong Pas mahu isu itu ditutup rapat-rapat, seolah-olah 'berpatah arang' lagaknya. Apa salahnya kita berbincang dan berpolemik mengenainya asalkan perbincangan itu akhirnya dapat memberi impak baik kepada perpaduan kita.

Bukankah itu kehendak dan tuntutan agama kita? Perpaduan tidak wajar dilihat sebagai modal politik atau talian hayat sesuatu parti itu. Perpaduan adalah isu serius yang menentukan kelangsungan hidup sesuatu bangsa itu. Kita tidak begitu runsing sekiranya parti politik Melayu senada dan sekata dalam hal yang berkepentingan bangsa.

Namun, pada saat kita berpecah dalam beberapa kelompok parti politik, orang lain pula senada dan seirama dalam perkara yang mempunyai kepentingan mereka. Kita pula terus menerus bercakaran sesama sendiri. Usaha menyatukan Melayu pula 'umpama dipandang dekat, dicapai tidak dapat'.

Saya bimbang akhirnya kita umpama kisah Pak Pandir 'menang sorak kampung tergadai'. Kita berasa pelik apabila Karpal Singh meminta Pas yang mahu berbincang isu perpaduan dengan Umno sebelum ini meminta maaf dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Nampaknya, isu berkaitan perpaduan Melayu cuba dihalang oleh mereka yang tidak berkaitan sedangkan perpaduan Melayu adalah asas kepada perpaduan nasional. Jelas sekali bahawa DAP dan PKR memang tidak suka melihat politik Melayu menjadi kuat kerana ini akan merugikan agenda politik mereka.

Mereka bimbang sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya dalam usaha mulianya itu, kedua-kedua parti terbabit akan kehilangan sebahagian besar kekuatannya. Ikatan atau sekurang-kurangnya kerjasama erat antara Pas dan Umno bermakna perpaduan Melayu akan kembali kukuh.

Kita tahu Abdul Hadi dan beberapa pemimpin kanan Pas mahukan perpaduan Pas-Umno menjadi kenyataan. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang sebelum ini memberikan tentangan kuat usaha Hadi itu, tetapi beberapa hari lalu sudah menghulurkan salam perpaduan.

Kata perumpamaan, 'Cupak sudah tertegak, suri sudah terkembang', jadi apa lagi yang dinanti. Namun, 'angin' Nik Aziz tiba-tiba berubah lagi. Menurut Menteri Besar Kelantan itu, 'salam ini bukan antara Umno dengan Pas, tetapi antara kerajaan Kelantan dan Pusat, tak timbul masalah Umno ini, pergi jahanamlah Umno".

Mengapa 'roh sekular' tulen yang ada pada DAP sanggup diterima Nik Aziz sedangkan Umno yang memiliki 'kalimah tauhid' dibencinya? Kelihatannya, Pas umpama 'rusa kena tambat' sangat gelisah untuk melepaskan diri daripada tambatan yang dikenakan Pakatan Rakyat.

Kita tidak mahu disebabkan isu perpaduan yang sepatutnya membawa Umno dan Pas bersatu semakin menjadi konflik yang kritikal antara kedua-duanya umpama 'genting menanti putus, biang menanti tembuk'.

Apa ruginya jika Umno dan Pas duduk bermusyawarah. Bukankah bermusyawarah itu dituntut oleh agama kita supaya dapat diambil yang baik 'umpama memerah nyiur; santan diambil, hampas dibuang'. Penghujungnya adalah untuk kepentingan bangsa, agama dan tanah air juga.

Harapan semua pihak biarlah usaha mulia itu berdasarkan kepentingan negara demi menjamin kestabilan politik, perpaduan dan pembangunan. Idea perpaduan Melayu juga dilihat selari dengan semangat '1Malaysia' yang mengutamakan rakyat, bukannya kepentingan politik kepartian. Lagipun, seperti yang disebutkan bahawa perpaduan Melayu adalah asas kepada perpaduan nasional. - BH 29/7/09

Sunday, July 26, 2009

"Inkuiri Kematian Mengikut CPC berhubung kematian Teoh Beng Hock"

Berikut ialah terjemahan penuh kenyataan media Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkenaan inkuiri berhubung kematian Teoh Beng Hock mengikut Kanun Acara Jenayah (CPC) bertajuk "Inkuiri Kematian Mengikut CPC berhubung kematian Teoh Beng Hock":

Tujuan inkuiri diadakan mengikut Kanun Acara Jenayah ialah untuk menyiasat bila, di mana, dan cara si mati menemui kematiannya dan juga sama ada mana-mana orang terlibat secara jenayah yang menyebabkan kematian itu. Ini telah dijelaskan dalam keputusan kes Re Loh Kah Kheng (1990) 2 MLJ 126 Dzaiddin J (bekas Ketua Hakim Negara pada ketika itu),

"Adalah mesti diingat bahawa fungsi seorang majistret mengendalikan satu inkuiri mengikut Bab XXXII CPC ialah untuk menyiasat, bila, di mana, bagaimana dan selepas dalam cara si mati menemui kematiannya dan juga sama ada mana-mana orang secara jenayah terlibat dalam menyebabkan kematian itu (s 337).

Definisi "Punca kematian" di bawah s 328 ialah untuk memasukkan dengan jelas bukan sahaja punca kematian seperti ditentukan oleh pemeriksaan atau pemeriksaan bedah siasat tubuh di mati, tetapi juga semua perkara yang perlu untuk membolehkan pendapat dibentuk mengenai cara si mati menemui kematiannya dan juga sama ada kematiannya berpunca akibat daripada mana-mana cara, atau telah dipercepatkan oleh sebarang tindakan tidak mengikut undang-undang atau berlaku akibat perbuatan orang lain.

Oleh yang demikian, majistret akan mengadakan inkuiri dengan memeriksa saksi-saksi yang telah bersumpah dan pada masa yang sama lazimnya mematuhi peraturan biasa mengenai keterangan, beliau mungkin menerima mana-mana keterangan yang beliau fikir sesuai, terutamanya keterangan dengar cakap. Tugasnya ialah untuk menentukan punca kematian dan beliau tidak terikat untuk mematuhi prosedur undang-undang mahkamah yang biasa."

Di bawah Seksyen 333 Kanun Acara Jenayah, seorang Majistret boleh mengenepikan inkuiri jika beliau berpuas hati dengan punca kematian tetapi dalam semua kes lain adalah mandatori bagi Majistret untuk mengadakan inkuiri; lebih-lebih lagi dalam kes-kes sebegini yang melibatkan kematian mengejut. Mengadakan inkuiri serupa oleh Suruhanjaya Diraja akan mewujudkan pertindihan.

Dalam kes Teoh Beng Hock, saya telah mengambil tindakan di bawah seksyen 339 (1) Kanun Acara Jenayah untuk mengarahkan Majistret mengadakan inkuiri bagi mengetahui punca dan keadaan yang ada kaitan dengan kematian Teoh Beng Hock dan Majistret wajib mengadakan inkuiri itu. Oleh itu, adalah jelas bahawa ia cara yang memadai dan venue yang sesuai yang disediakan oleh undang-undang bagi kes-kes sebegini.

Selain itu, Kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja. Fungsi Suruhanjaya Diraja ini tidak harus dikelirukan dengan inkuiri di bawah Kanun Acara Jenayah. Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, jelas merujuk kepada siasatan terhadap tatalaku dan pengurusan pegawai-pegawai dan jabatan-jabatan kerajaan atau bagi kebajikan awam.

Definisi kebajikan dalam The New Shorter Oxford English Dictionary ialah "kegembiraan, kesejahteraan, kesihatan baik atau kekayaan seseorang, masyarakat dll; kejayaan kemajuan, kemakmuran.". Oleh itu, ia tidak boleh diperluaskan untuk meliputi inkuiri bagi kematian sebegini, di mana inkuiri oleh Majistret di bawah Kanun Acara Jenayah adalah lebih sesuai dan disokong oleh undang-undang.

Setakat ini, misalnya Suruhanjaya Siasatan Diraja telah ditubuhkan, antara lain, berhubung tragedi-tragedi di Terminal Feri Pulau Pinang dan Bright Sparklers Fireworks. Rekod menunjukkan terma rujukan bagi kedua-dua tragedi meliputi perkara-perkara berkaitan dengan pentadbiran, pengurusan dan pematuhan terhadap prosedur dan standard keselamatan. Tragedi dan bencana itu telah menyebabkan banyak nyawa terkorban akibat kecuaian dan tidak mematuhi prosedur operasi oleh pihak berkuasa relevan. Tiada yang menyentuh mengenai punca kematian bagi satu orang.

Oleh yang demikian, dengan Kanun Acara Jenayah sebagai undang-undang yang spesifik yang mempunyai peruntukan bagi diadakan inkuiri kematian, dengan itu adalah sewajarnya bagi Mahkamah menentukan punca kematian dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Penubuhan Suruhanjaya Diraja adalah cara yang betul dan mengikut undang-undang bagi tujuan menyiasat aspek prosedur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam menjalankan penyiasatan.

Apa yang penting ialah kita mesti mematuhi Undang-undang negara. Demi keadilan, perlu diselesaikan bagi kepentingan bersama di pihak kerajaan dan awam. Inkuiri di bawah Kanun Acara Jenayah dibenarkan oleh undang-undang dan siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 adalah mekanisme untuk mengetahui kebenaran secara adil dan saksama. Ia juga akan menyelesaikan sepenuhnya semua kebimbangan di pihak kerajaan dan orang ramai. - Bernama 24 Jul 09

Tuesday, July 21, 2009


Usaha banteras, lumpuhkan militan perlu kesungguhan
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
-
PENGEBOMAN hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta, Jumaat lalu yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 53 yang lain, sewajarnya membuka mata kita betapa gerakan pengganas tidak pernah menghentikan perjuangan dan operasi mereka.
-
Sejak beberapa tahun lalu kerajaan Indonesia dikatakan berjaya menangani ancaman keselamatan daripada kumpulan militan yang wujud di negara itu. Rupa-rupanya tragedi kali ini membuktikan gerakan militan yang tidak dilumpuhkan hingga ke akar umbi, mampu menjadi ancaman berterusan pada bila-bila masa saja.
-
Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan tragedi itu dilakukan dua pengebom berani mati. Kumpulan pengganas yang disyaki ada kaitan dengan tragedi itu ialah Jemaah Islamiah (JI). Orang yang dipercayai di sebalik serangan nekad itu ialah Noordin Mat Top yang berasal dari Malaysia. Ada penganalisis mengatakan Noordin kini adalah kumpulan serpihan JI.
-
Suspek utama itu dikatakan masih mempunyai jaringan kuat di Indonesia. Justeru, usaha pihak berkuasa Indonesia mengesan suspek bukan saja tertumpu di Jawa, malah ke Sumatera dan beberapa wilayah yang disyaki tempat persembunyiannya.
-
Pastinya peristiwa yang berlaku baru-baru ini mencabar kepemimpinan Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang baru dipilih semula dalam pilihan raya Presiden (Pilpres) baru-baru ini. Indonesia pasti merasai kesan buruk pengeboman itu.
-
Kedua-dua hotel bertaraf antarabangsa itu terletak di kawasan perniagaan elit yang menempatkan banyak pejabat dan kedutaan asing. Presiden Indonesia itu sendiri mengakui serangan tidak berperikemanusiaan itu yang boleh mengundang kesan buruk terhadap ekonomi, perdagangan, pelancongan dan imej negara yang mempunyai jumlah umat Islam terbanyak di dunia itu.
-
Di bawah pimpinan SBY, Indonesia giat melaksanakan dasar liberalisasi ekonomi. Walaupun beberapa penganalisis berpendapat tragedi itu tidak menggugat ekonomi Indonesia, kesan serangan itu boleh melunturkan keyakinan pelabur sekurang-kurangnya untuk beberapa bulan akan datang.
-
Selepas serangan terbabit, pasaran saham Indonesia merosot sekitar dua peratus sementara pasaran kewangan Indonesia jatuh dengan mata wang rupiah merosot 0.7 peratus pada kadar 10,200 rupiah sedolar.
-
Usaha membanteras dan melumpuhkan kumpulan militan memerlukan kesungguhan dan kegigihan pihak berkuasa negara berkenaan. Malah ia memerlukan kerjasama negara jiran itu. Bagi Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sudah pun menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Indonesia bagi tujuan itu.
-
Malaysia juga sudah memperketatkan pintu masuk sempadannya untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab tidak meloloskan dirinya ke negara ini. Serangan tidak berperikemanusiaan itu wajar dikutuk. Adalah tersasar dan tidak adil untuk mengaitkan peristiwa pengeboman itu dengan Islam.
-
Tindakan pengebom berani mati tidak boleh ditafsirkan sebagai satu jihad dan mati syahid. Mereka yang mentafsirkan demikian sebenarnya adalah golongan yang memanipulasi dan memalsukan terminologi jihad itu. Ia lahir daripada pemikiran songsang yang gagal membezakan antara kebenaran dengan kebatilan.
-
Tindakan itu bukanlah datang daripada keperibadian Muslim yang sebenar. Seperti kata pimpinan Wilayah Muhammadiyah (PWM) Jawa Timur, Syafik Mugni tindakan itu tidak Islamik, dan pada hakikatnya, Islam mengutuk keras setiap tindakan kekerasan hingga menyebabkan hilangnya nyawa orang lain.
-
Apa pun, kita perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Indonesia. Ancaman pengganas mesti sentiasa diawasi. Menurut Profesor Syed Hussein Al-Atas (2002), pengganas atau 'terroris' adalah mereka yang merancang ketakutan sebagai senjata persengketaan terhadap lawan dengan serangan kepada manusia yang tidak terbabit atau harta benda tanpa menimbang salah atau benar dari segi agama atau moral, berdasarkan perhitungan bahawa semuanya itu boleh dilakukan bagi mencapai tujuan matlamat persengketaan.
-
Justeru, penting untuk negara sentiasa berwaspada dan bersiap siaga daripada sebarang ancaman yang tidak berperikemanusiaan itu.
-
Ia sepatutnya menyedarkan kita betapa pentingnya negara memiliki satu undang-undang khusus bagi membendung sebarang gerakan pelampau dan pengganas yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara. Mungkin Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilihat masih relevan untuk dikekalkan.
-
Walaupun ISA kini sedang dikaji semula oleh kerajaan, saya melihat ia masih relevan untuk membendung ancaman pelampau dan pengganas di negara ini. Selama ini pelaksanaan ISA membuktikan betapa relevannya dalam membendung aktiviti terbabit.
-
Ini terbukti apabila beberapa tahun lalu negara diancam oleh Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan anggota JI. Negara juga pernah digemparkan dengan peristiwa Al-Ma'unnah yang melarikan 119 pelbagai jenis senjata dan 5000 peluru dari kem Betalion 304 Askar Wataniah di Pengkalan Hulu Gerik, Perak pada Julai 2000.
-
Mujurlah kita memiliki ISA yang walaupun dianggap zalim oleh sesetengah pihak, ia sekurang-kurangnya berjaya membendung gerakan pengganas sejak awal lagi. - BH 22/7/09 (Rabu)

Saturday, July 11, 2009

11 HADIAH UNTUK RAKYAT

Pada majlis 'Seratus Hari Najib Bersama Rakyat 11 Julai 2009' di Dewan Pameran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sabtu lalu beliau mengumumkan 11 hadiah kepada rakyat.
Berikut adalah 11 hadiah ynag diumumkan itu:

1- Diskaun tol Pengguna Smart Tag dan Touch n' Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, dapat diskaun 20 peratus.

2- Rumah rakyat 44,000 rumah rakyat untuk dijual kepada penyewa di Wilayah Persekutuan.

3- Lesen penjaja Peniaga kecil di Wilayah Persekutuan diberi potongan 50 peratus untuk perbaharui lesen.

4- Permit teksi 3,000 lagi permit teksi untuk individu ditambah dalam masa tiga bulan akan datang.

5- Cegah jenayah Langkah drastik bagi kurangkan jenayah dan rasuah diumumkan penghujung bulan ini.

6- Daftar kelahiran Permohonan di Sabah dan Sarawak dipermudahkan. Baki permohonan akan diselesaikan sedikit masa lagi.

7- Jalan luar bandar Pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak ditambah dalam tempoh RMK-10.

8- Bekalan air dan elektrik Bekalan air dan elektrik ditingkatkan di Sabah Dan Sarawak. Perincian diumumkan akhir bulan ini.

9- Latihan motosikal Kadar bayaran latihan tunggang motosikal 250cc ke bawah dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September.

10- Tambah peruntukan Peruntukan Tekun Nasional ditambah RM150 juta dan RM15 juta untuk usahawan muda India.

11- Unit amanah Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz 10 bilion unit akan diperkenalkan

Thursday, July 9, 2009

Debaran di Manek Urai, mampukah Umno lakar kejayaan

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Pada 14 Julai ini Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai akan berlangsung. Pilihanraya itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Ismail Yaacob (Pas) yang meninggal dunia pada 22 Mei lalu. Allahyarham Ismail Yaacob memenangi kawasan terbabit dengan mengalahkan calon Umno dari Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (2008) lalu. Pilihan raya kecil kali ini akan menyaksikan pertembungan dua musuh tradisi itu bagi merebut kawasan terbabit. Umno (BN) di wakili oleh Tuan Aziz Tuan Mat dan Pas pula di wakili Fauzi Abdullah. Keputusan pilihan raya itu nanti akan menjadi petunjuk kecenderungan pengundi, khususnya pengundi Melayu terhadap dua parti Melayu terbabit.

Pas pastinya berharap akan dapat mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu. Kemampuaannya menggekalkan kemenangan akan menjadi ‘Key Perfomance Index’ (KPI) atau petunujuk prestasi parti itu bahawa orang Melayu, khususnya rakyat Kelantan di Manek Urai masih meyakini perjuangannya walaupun parti itu sejak kebelakangan ini berhadapan dengan masalah kepimpinan dalaman dan masalah keretakan hubungan Pas dan Dap kesan dari tindakan Dap Kedah keluar dari kerajaan negeri terbabit yang diterajui Pas.Di pihak Umno pula, kemenangan di Manek Urai akan menjadi petanda dan bukti bahawa parti “keramat” Melayu itu masih diterima, dipercayai dan diperlukan orang Melayu untuk memperjuang nasib mereka.

Kemenangan itu juga akan membolehkan Umno menarik nafas lega bahawa kepemimpinan yang ada pada hari ini mula diyakini rakyat, khususnya di kalangan orang melayu yang dikatakan sudah beralih arah sejak PRU-12 lalu. Saingan pasti sengit. Semangat dan keinginan untuk memenangi kerusi Dun terbabit begitu tinggi di kedua-dua belah pihak. Peluang kemenangan memihak kepada kedua-dua calon terbabit. Masing-masing tidak boleh terlalu yakin bahawa kerusi tersebut bakal dimenanginya. Pastinya, perang psikologi untuk mempengaruhi pengundi akan meningkat setiap hari hampirnya hari mengundi.

Pengundi Kelantan agak unik. Mereka boleh membuat kejutan dalam mana-mana pilihan raya. Walaupun Manek Urai dianggap kubu Pas tetapi sejarah pilihan raya di Dun itu menunjukkan kedua-dua parti itu saling menguasai kawasan terbabit. Umno pernah menguasainya sebanyak enam kali iaitu pada tahun 1959, 1963, 1967, 1974, 1982 dan 2004. Pas juga sudah menguasainya sebanyak enam kali iaitu pada tahun 1978, 1986, 1990, 1995, 1999 dan 2008. Melihat kepada silih bergantinya penguasaan kedua-dua parti terbabit, ia membayangkan bahawa dalam pilihan raya kecil Dun Manek Urai kali ini tidak mustahil Umno akan menguasai semula kawasan terbabit.

Umno mampu cipta kemenangan jika jenteranya bertindak dan bergerak secara padu, mantap, lancar dan berstrategi dengan menggunakan pendekatan tidak merendah-rendahkan penggundi di Manek Urai.Umno harus faham bahawa walaupun sokongan dari rakan komponen yang lain diperlukan tetapi dalam pilihan raya di Dun terbabit parti itu adalah teras utama yang akan menjamin kejayaan kerana daripada 12,293 pengundi di Dun berkenaan, pengundi Melayu adalah sebanyak 99.25 peratus. Selebihnya Cina 0.44 peratus dan India 0.2 peratus. Oleh itu, Umno dan Pas yang dilihat lebih dekat dengan hati nurani pengundi Melayu di Menek Urai masing-masing akan bekerja keras untuk memenangi dan menawan hati mereka.

Pengundi berumur antara 40 hingga 59 tahun pula seramai 4,511 orang. Pastinya kelompok pengundi muda yang mewakili 45.5 (5,598 orang) menjadi sasaran uatama kedua-dua parti. Dalam PRU 2004 Umno mendapat 4,362 undi dan Pas pula 4,309 undi. Umno menang tipis dengan 53 undi. Dalam PRU 2008, kedua-dua parti terbabit meningkatkan undi masing-masing tetapi peningkatan undi Pas adalah lebih besar iaitu 1,384 undi dari tahun 2004. Sebaliknya Umno hanya bertambah sebanyak 32 undi sahaja. Dalam pilihan raya itu Pas memperolehi 5,746 dan Umno pula memperolehi 4,394 undi. Justeru, Umno perlu bekerja kuat untuk menawan lebih ramai hati pengundi.

Petugas-pertugas Umno-BN dari luar perlu bijak dalam memahami pemikiran dan sikap orang Kelantan, khususnya pengundi di Manek Urai supaya tidak terlanjur dalam tindakan dan tutur kata ketika berkempen. Risalah-risalah bersifat visual (gambar) yang mengkritik pemimpin yang menjadi idola (pujaan) dan ketaatan parti itu harus diteliti kerana mereka sangat sensitif tentangnya. Risalah yang terlalu menghina tokoh-tokoh tertinggi Pas pasti tidak disenangi mereka. Yang jelas, setakat ini pendekatan berkempen dalam kelompok kecil menjadi keutamaan kedua-dua parti untuk bertemu pengundi. Masa yang digunakan mereka untuk tujuan tersebut agak anjal kerana kebanyakan penduduk di Dun itu adalah pekebun dan bekerja sendiri.

Apa pun, Manek Urai, kawasan yang dibuka hampir 80 tahun lalu sudah berkembang menjadi sebuah penempatan Melayu yang perlu dibagunkan taraf sosioekonominya. Penduduk di Manenk Urai mendambakan pembaharuan dan kemajuan bagi menjamin masa depan mereka yang lebih baik. Kawasan terbabit terletak di lembah Sungai Lebir dengan ciri permukaan buminya yang rendah menyebabkan ia sering ditenggelami air, terutamanya di musim banjir. Keadaan berubah apabila kerajaan membangunkan kawasan seluas 156.4 hektar Ladang Tangjung Batu yang permukaan buminya agak tinggi untuk pembagunan lot perumahan dikenali Manek Urai Baru.

Kewujudan beberapa agensi penting seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil (Risda) turut menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jambatan merentasi Sungai Lebir menghubungkan Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru, jalan raya berturap, setesyen keretapi, bekalan api dan elektrik, bekalan air bersih, masjid, madrasah, klinik kesihatan dan perpustakaan desa. Bidang pendidikan rendah dan menengah tidak diabaikan sama sekali. Di setiap peti undi Dun Manek Urai terdapat sekolah rendah.

Lonjakan pembangunan di Manek Urai amat diperlukan. Oleh itu, menjadi wakil rakyat di kawasan terbabit bukan setakat boleh membaca doa, membaca khutbah, jadi imam solat jenazah, solat waktu dan hadir kenduri kendara tetapi lebih dari itu, wakil rakyat ynag dipilih itu mestilah berkemampuan merancang dan melaksanakan program pembangunan kawasan yang diwakilinya. Sudah tentu ia memerlukan seorang wakil rakyat yang berpendidikan tinggi. Perubahan dan kemajuan dalam kawasan terbabit akan memberi faedah dan manfaat dalam kehidupan penduduk Manek Urai.

Itulah yang sepatutnya diyakinkan pengundi di Manek Urai. Mereka wajar mengambil kesempatan dari kesungguhan BN untuk memajukan kawasan itu sekiranya calon Umno diberi kepercayaan mewakilinya. Tidak ada ruginya sekiranya pengundi Manek Urai menggunakan peluang ini untuk menguji ’keikhlasan’ Umno dengan memberi kemenangan kepada calon Umno. Jika pun Manek Urai di wakili calon Umno, ia masih tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas.

Friday, July 3, 2009

Pemansuhan Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) ( *Artikel ini disunting dari sebahagian Ucaptama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Persidangan Invest Malaysia 2009 di KL pada 30 Jnn 2009)
-
Pertumbuhan ekonomi Malaysia

Suatu masa dulu, Malaysia adalah sebuah negara miskin yang bergantung kepada pengeluaran getah dan bijih timah. Dengan memilih jalan untuk kepelbagaian dan perindustrian, ekonomi Malaysia telah mengalami perubahan, mencatat pertumbuhan tinggi dengan purata tahunan 6.4 peratus.
-
Pertumbuhan ekonomi pantas ini memberi faedah besar kepada semua segmen penduduk Malaysia. Tahap kemiskinan hari ini berada di bawah empat peratus, berbanding 49 peratus pada 1970. Ini adalah pendekatan kami berkembang bersama ekuiti - cara Malaysia. Tidak ada isu pembahagian tidak adil. Ekuiti dicapai melalui agihan adil.
-
Pengenalan pertumbuhan melalui ekuiti pada 1971 juga mencerminkan kemampuan Malaysia untuk membuat keputusan pragmatik dan berani, terutama untuk mendahulukan kepentingan nasional pada masa krisis.
-
Hadapi krisis dan keperluan transformasi

Di satu sudut, apabila berdepan dengan krisis sebelum ini, kami mempunyai matlamat yang jelas untuk mencapai pertumbuhan dengan ekuiti dalam usaha kami mencapai wawasan sebagai negara maju. Bagi meneruskan kejayaan itu, kami sekali lagi perlu menstranformasi ekonomi ke tahap pertumbuhan lebih tinggi. Tetapi di sudut lain, kami menghadapi cabaran besar untuk merealisasikan semua wawasan ini disebabkan faktor luaran dan domestik, yang boleh mengekang kepada pertumbuhan ekonomi yang kukuh.
-
Dalam mencapai wawasan untuk mencatat pertumbuhan dan ekuiti lebih kukuh, kami menghadapi empat cabaran besar, iaitu:-
1. Apa yang pernah berfungsi untuk kami, dalam menggerakkan Malaysia ke hadapan sehingga menjadi negara berpendapatan sederhana, kelihatan tidak lagi berkesan untuk menggerakkan kami ke arah status negara maju.
-
2. Lanskap persaingan sudah berubah. Tidak seperti sebelum ini, kami berdepan dengan persaingan sengit, terutama dalam aspek modal, bakat, pengetahuan dan sumber secara global.
-
3. Krisis ekonomi global mengukuhkan keperluan untuk menjadi destinasi pelaburan, berikutan syarikat kini bergabung tenaga dan memindahkan operasi mereka ke destinasi yang paling kompetitif; dan
-
4. Tahap persaingan untuk kumpulan pelaburan lebih kecil, memerlukan usaha menghapuskan kekangan ke atas pelaburan, sama ada yang nampak atau diandaikan, serta menguruskan dasar agihan dengan lebih berkesan serta dalam suasana yang lebih mesra pasaran.
-
Garis Panduan J/Kuasa Pelaburan Asing (FIC)
Garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dilihat semakin kurang keberkesanannya. Bila FIC ditubuhkan pada 1974, ia merangkumi komponen utama strategi bagi pertumbuhan dengan ekuiti. Kini ia tidak lagi menjadi alat yang berkesan bagi membantu pertumbuhan dengan ekuiti. Pada 1970, ekuiti Bumiputera hanya 2.4 peratus. Ketika itu, adalah praktikal dilaksanakan susulan kekurangan persaingan bagi mendapatkan pelaburan.
-
Bagaimanapun, kini dasar pelaburan itu telah mewujudkan ketidaktentuan dalam pembentukan peraturan dan tidak sejajar dengan amalan antarabangsa. Justeru, ia menjejaskan potensi pertumbuhan. Hari ini kita berdepan dengan senario yang berbeza. Polisi pelaburan menghasilkan peraturan yang tidak menentu dan tidak selari dengan amalan antarabangsa boleh menyekat pertumbuhan ekonomi kita. Ekonomi yang rencam dan kompleks kini tidak selari dengan pendekatan FIC.
-
Bagi mencapai dan membantu Bumiputera, ia memerlukan fokus kepada penyertaan yang berkesan dan bermakna bukan setakat pemilikan saja. Penguasaan minoriti 30 peratus tidak memberi ruang yang cukup bagi penyertaan berkesan. Malah kekangan modal dihadapi Bumiputera menyebabkan hak milik 30 peratus tidak mampu bertahan. Dengan itu, penilaian objektif memutuskan bahawa FIC dalam keadaan sekarang, tidak membantu pertumbuhan atau mengekalkan ekuiti milik Bumiputera.
-
Pragmatik memerlukan fokus terhadap inti pati bukan pada bentuk. Kerajaan cukup komited bagi meningkatkan usaha untuk membangunkan negara ini. Bagi menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia, kerajaan mengumumkan untuk mengurangkan peraturan termasuk garis panduan pelaburan yang diguna pakai FIC sekarang. Skop dan fungsi FIC akan dipermudahkan termasuk pengurangan transaksi dan peraturan. Ia selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan suasana yang lebih kondusif bagi sektor swasta untuk maju dengan kemudahan kegiatan pelaburan dan pasaran modal yang menarik.
-
Kajian semula garis panduan FIC membabitkan:
1. pembelian kepentingan, penggabungan dan pengambilalihan;
2. kegiatan meraih dana oleh syarikat senarai awam, dan
3. pembelian hartanah. Berkuat kuasa serta merta, garis panduan FIC meliputi pembelian hak ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan akan dilaksanakan.
-
FIC tidak lagi memproses urus niaga saham atau mengenakan sebarang syarat ekuiti ke atas urus niaga. Mulai hari ini, fungsi FIC ini berakhir. Bagi memastikan kepentingan negara dalam sektor strategik terus terpelihara, syarikat dalam sektor berkenaan masih lagi tertakluk kepada syarat ekuiti oleh badan kawal selia sektor masing-masing seperti Suruhanjaya Tenaga, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
-
Kemudahan bagi pengumpulan dana oleh syarikat tersenarai adalah langkah terbaik bagi menjadi Malaysia sebagai destinasi menarik bagi penyenaraian. Sekarang, syarikat yang ingin diapungkan dikehendaki memenuhi syarat 25 peratus saham tebaran awam ditetapkan Peraturan Penyenaraian Bursa Malaysia selain kedudukan ekuiti Bumiputera berdasarkan garis panduan FIC. Suruhanjaya Sekuriti akan mengeluarkan garis panduan baru bagi syarikat senaraian awam, untuk menawar 50 peratus saham tebaran awam kepada pelabur Bumiputera. Dengan itu, syarikat senaraian awam tidak lagi tertakluk kepada syarat pegangan ekuiti Bumiputera seperti yang ditetapkan FIC sebelum ini.
-
Dengan kelonggaran peraturan ini, akan memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama bagi tujuan pelaburan dan menjalankan perniagaan. Sebagai tambahan, untuk meringankan pengumpulan dana daripada pasaran ekuiti, kegiatan mengumpul dana selepas penyenaraian tidak lagi tertakluk kepada sebarang syarat ekuiti. Kelonggaran ini akan dengan segera menyokong syarikat senarai awam sedia ada untuk mengumpul dana bagi mengendalikan perniagaan dan mengurangkan kos pematuhan.
-
Peraturan baru untuk menawarkan 50 peratus saham tebaran awam kepada Bumiputera hanya untuk syarikat Malaysia yang ingin disenaraikan Bursa Malaysia. Garis panduan sedia ada untuk syarikat asing yang mahu disenaraikan tanpa sebarang keperluan untuk pematuhan dengan mana-mana syarikat ekuiti, kekal dan hasilnya kita melihat beberapa syarikat asing berjaya disenaraikan di Malaysia.
-
Skop FIC berkaitan urus niaga hartanah akan juga dipermudahkan dengan segera. Kelulusan FIC bagi urus niaga hartanah kini hanya diperlukan sekiranya ia membabitkan penghapusan kepentingan Bumiputera atau kerajaan bagi hartanah bernilai RM20 juta dan ke atas. Bagi lain-lain transaksi hartanah termasuk antara orang asing dan bukan Bumiputera tidak memerlukan kelulusan FIC lagi. Pemansuhan peraturan ini dijangka memudahkan transaksi hartanah dan pelaburan termasuk pemilikan hartanah komersial oleh kepentingan asing.
-
Unit Perancang Ekonomi akan memfokus semula langkah menyelaras dan pemantauan polisi pengagihan pada peringkat makro. Dalam hal ini, kerajaan masih komited dalam meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi. Pendekatan baru akan diambil dengan memfokuskan penyertaan mapan melalui perkongsian bijak dan meritokrasi.
-
Ukuinas
Selaras dengan pendekatan baru ini, institusi pelaburan baru, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) akan ditubuhkan. Ekuinas adalah dana ekuiti swasta dengan modal awal sebanyak RM500 juta yang akan boleh dikembangkan menjadi RM10 bilion. Ekuinas akan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi bagi menyokong model ekonomi baru. Pada masa sama, Ekuinas akan membuat perkongsian pelaburan dengan dana sektor swasta, dalam usaha untuk mempromosikan perkongsian tulen dan pendekatan komersial sepenuhnya. Dengan cara ini, penyertaan Bumiputera melalui Ekuinas adalah berdasarkan premis merit.
-
Profesional Bumiputera
Sejak 1970-an, keupayaan profesional Bumiputera meningkat. Mereka banyak menyumbang dan bersaing dengan aktif dalam pengurusan dan pekerjaan selain sebagai vendor. Adalah diharapkan melalui dana pelaburan seperti Ekuinas, Bumiputera yang cemerlang akan dibantu untuk mencapai cita-cita mereka. Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Koridor Pembangunan: Perubahan dan Kelangsungan berteraskan Persaingan. Bagi membolehkan Malaysia merealisasikan impian status negara maju, perubahan besar perlu dilakukan dan pada masa sama usaha pengukuhan perlu dilakukan bagi bidang yang kini kita berada pada landasan betul. Polisi kerajaan dalam GLC dan koridor pembangunan akan diteruskan dengan gabungan perubahan dan kelangsungan yang mantap.
-
GLC
GLC akan terus menjadi tulang belakang struktur ekonomi negara.
Bagi memastikan kepentingan kerajaan di dalam GLC terpelihara dan berjaya sebagai Perbadanan Malaysia, kerajaan akan memastikan program transformasi GLC akan diperkenalkan. Ia dapat memastikan potensi pertumbuhan negara terus dijana. Kejayaan GLC perlu ditingkatkan dalam kelas tersendiri atau muncul terbaik di kalangan negara serantau seperti yang dipamerkan Petronas, MISC, Sime Darby, Mas, Axiata, CIMB, Maybank, sekadar beberapa contoh. Syarikat ini perlu meningkatkan kehadirannya di peringkat antarabangsa bagi menembusi persaingan pasaran antarabangsa.
-
GLC cukup signifikan dalam konteks Malaysia, bukan saja saiz tetapi tanggungjawab kritikal kepada sektor perniagaan dan perdagangan di Malaysia terutama penyediaan perkhidmatan elektrik, komunikasi, penerbangan dan lapangan terbang, air dan perkhidmatan kewangan. Pencapaian tinggi yang diperoleh CLC akan membantu daya saing Perbadanan Malaysia.
-
Tiga kunci utama perlu dilaksanakan bagi membolehkan GLC maju ke depan iaitu:-
1. GLC perlu memberi fokus kepada aktiviti teras dan mengurangkan atau menghapuskan aktiviti bukan teras.
2. GLC perlu beroperasi dalam sektor yang mereka boleh bersaing, memangkin dan membangun ekosistem domestik termasuk vendornya. GLC juga perlu melupuskan anak syarikat yang beroperasi atau mengurangkan kegiatan yang boleh dilakukan syarikat usahawan.
· 3. Dalam sektor teras, GLC juga perlu bersaing secara sihat dengan sektor swasta lain.
-
Tiada lagi isu kerajaan memberi bantuan kepada GLC atas dasar pegangan saham yang boleh menjejaskan saingan sektor swasta. Kerajaan yakin GLC akan memainkan peranan saling melengkap dengan sektor swasta bagi menjayakan dinamisme Perbadanan Malaysia dan meningkatkan daya saing dalam negara.
-
Koridor pembangunan
Kerajaan akan terus membantu dan menggerakkan koridor pembangunan supaya mencapai matlamat yang ditetapkan bagi setiap koridor pembangunan yang dirancang. Sebagai contoh pembangunan Iskandar Malaysia akan terus menjadi peneraju untuk meningkatkan integrasi serantau yang lebih besar dalam rangkaian ekonomi. Ini termasuk membangunkan kawasan baru dengan sektor perkhidmatan nilai tambah termasuk perkhidmatan pelancongan dan riadah, logistik, pendidikan, penjagaan kesihatan.
-
Kesimpulan
Komuniti pelabur tidak perlu ragu dengan hasrat Malaysia menjemput pelabur tempatan dan asing ke negara ini. Kita hanya mampu mencapai pendapatan yang tinggi dengan mencipta lebih banyak peluang pertumbuhan berbanding melindungi ruang yang sempit. Kita hanya boleh mencapai matlamat ekuiti sosial dengan mengembangkan kek kekayaan negara dan . saya berharap pelabur dapat memainkan peranan mereka dan bergerak bersama bagi perjalanan Malaysia yang gemilang.
-
(Transkrip ucapan penuh disiarkan BH 1/7/09)