Sunday, May 31, 2009

Sekelumit tentang kepalsuan dan kesongsangan ideologi Komunis

Mohd Ayop Abd Razid

Adunan pemikiran Marxism-Lenisnism menghasilkan apa yang dinamakan komunisme. Ia adalah satu fahaman yang bercanggah dengan fitrah manusia. Ideologinya bersifat atheist iaitu tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Bagi Komunisme materi (benda) adalah hakikat segala kepercayaan. Ia menjadi asas pemikiran komunis. Ideologi komunis pada hakikatnya membawa ”kesedaran palsu” kepada manusia kononnya keadilan dan kesamarataan hanya mampu diberikan oleh komunisme.

Komunisme dikepali oleh W.I.Lenin, sejak tahun 1917 telah menjadi kekuatan politik dan ideologi international. Apabila revolusinya di Jerman gagal dan tidak diterima oleh Eropah maka ia menjadikan Asia sebagai kawasan untuk menyuburkan fahama komunis. Ideologi komunis mula menyerap masuk dibeberapa negara Asia Tenggra termasuk Tanah Melayu pada sekitar 1920-an.

Perjuanganya bersifat keras @pendekatan revolusi bersenjata. Padanya, kekerasan atau revolusi adalah satu-satunya jalan untuk membentuk satu masyarakat komunisme yang kononnya dapat menebarkan kemakmuran negara secara adil. Segalanya milki negara dan tidak ada pemilikan individu. Jelas bahawa asas pemikiran dalam persoalan milik harta bercanggah dengan ajaran Islam dan demokrasi.

Di Indonesia, Tanah Melayu dan kebanyakan negara di mana ideologi ini ditegakkan maka banyaklah darah ynag ditumpahkan. Di Indonesia, sejak peristiwa berdarah 1965 akibat angkara komunis tidak sedikit menumpahkan darah, air mata, kesengsaraan, penderitaan dan trauma kepada rakyat. Demikian juga apa yang berlaku di negara kita semasa zaman Darurat (1948-1960).

Siapa yang tidak pernah mendengar tentang Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) satu pertubuhan komunis Malaya, terkenal dengan gelaran Bintang Tiga menguasai Tanah Melayu selam 14 hari selepas Jepun menyerah kalah pada 16 Ogos 1946. Dalam masa tempoh sesingkat itu pelbagai bentuk penyiksaan, kezaliman dan keganasan bermaharajalela di negara kita dek kerana angkara dan kejahatan komunis.

Ketika Jepun menjajah TM, kebanyakan orang Cina menyertainya kerana benci akan Jepun ekoran permusuhan China-Jepun ketika itu. Di TM Jepun menjadikan mereka sebagai sasaran kekejaman. Memang ada orang melayu yang menyertainya tetapi sedikit. Tokoh-tokoh melayu kiri yang menyertainya adalah disebakan tertipu dengan janji dan permainan licik PKM.

Selepas tamatnya perang dan Jpn menyerah kalah perjuangan Komunis bertukar haluan untuk mewujudkan negara Komunis Tanah Melayu. Memang itupun agenda komunis yang menerima arahan dari Komunis antarabangsa (Comintern). Mereka berselindung di sebalik slogan pembebasan nasional.

Adakah benar ideologi komunis sudah berkubur di negara ini sebaik sahaja Perjanjian Damai antara PKM dan kerajaan Malaysia yang diadakan di Haadyai pada 1 Disember 1989? Semasa sidang media selepas majlis perjanjian tersebut, Chin Peng yang ditanya wartawan berkata bahawa PKM hanya meletakkan senjata bukannya membubar PKM. Chin Peng mengaku bahawa fahaman komunis adalah ideologi anutannya. Beliau tidak mengisytiharkan bahawa dia telah membuang secara total ideologinya.

Malah, dalam buku Chin Peng My Side Story mempamerkan kebanggaannya terhadaop ideologi tersebut. JUSTERU BERHATI-HATILAH dengan tipu muslihat mereka. Tidak mustahil Komunis antarabangsa mula menyemarakkan semula ideologi ini.

Wednesday, May 20, 2009

Terdidikkah ‘nafsu politik’ Nizar melalui tarbiyyah Pas

Mohd Ayop Abd Razid

KEMELUT politik Perak masih di persimpangan. Ia sudah mengambil masa agak lama untuk diselesaikan sehingga menjejaskan pentadbiran negeri Perak serta merugikan rakyat negeri itu. Terkini kemelut politik Perak lebih fokus kepada menentukan siapakah Menteri Besar yang sah melalui proses mahkamah.

Esok, Mahkamah Rayuan akan mendengar Rayuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Mahkamah sama juga akan mendengar permohonan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan mengadakan pilihan raya perlu dilihat sebagai pilihan terakhir. Pada hakikatnya, jika Pakatan Rakyat memahami dan menerima realiti demokrasi, maka sejak awal lagi kemelut politik Perak sudah dapat diselesaikan.

Namun, mereka gagal menerima hakikat bahawa mereka sudah hilang sokongan majoriti di DUN Perak. Ia berlaku apabila tiga Adun mereka, iaitu dua daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang daripada DAP bertindak keluar parti dan mengisytiharkan sebagai wakil rakyat Bebas. Mereka kemudian menyokong Barisan Nasional (BN) dan sokongan itu membentuk ’sifar matematik’ 28 lawan 28+3 (BN).

Jelas di sini BN mempunyai sokongan majoriti dengan kelebihan tiga kerusi. Asas dan prinsip demokrasi meletakkan parti yang mempunyai sokongan majoriti, walaupun dengan satu kerusi layak membentuk kerajaan. Ini pernah berlaku di Kelantan apabila Pas Kelantan mempunyai majoriti hanya dua kerusi dalam Pilihan Raya Umum 2004.

Namun, apabila BN menang pada pilihan raya kecil 2005, Pas hanya mempunyai kelebihan satu kerusi. Hanya dengan kelebihan satu kerusi saja Pas berhak membentuk kerajaan negeri tanpa gangguan BN (Umno) sebagai pembangkang di negeri itu.

Lain pula ceritanya apabila BN memperoleh majoriti dengan kelebihan tiga kerusi. Pakatan pembangkang terus menimbulkan pelbagai onar semata-mata kerana kemaruk kuasa serta tidak mahu menerima realiti dan prinsip demokrasi.

Apabila Nizar kehilangan sokongan majoriti di DUN Perak dan cubaannya untuk mendapatkan perkenan Sultan bagi membubar DUN pada 5 Februari lalu gagal, sebaliknya BN mendapat perkenan Sultan untuk membentuk kerajaan baru negeri Perak yang membawa kepada pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Februari.

Sultan Azlan Shah sudah mengamalkan prinsip dan semangat demokrasi sama ketika melantik Menteri Besar daripada pembangkang dan juga BN.

Prinsip demokrasi berperwakilan inilah yang harus difahami Pakatan Rakyat. Apabila sesuatu parti memiliki sokongan majoriti, maka parti itulah yang memerintah. Apakah pakatan pembangkang lupa bahawa ketika mahu membentuk kerajaan negeri Perak sebelum ini mereka juga mempunyai majoriti tiga kerusi.

Keabsahan melalui kaedah ‘formula demokrasi’ enggan diterima dan diakui Nizar sehingga merumitkan dan mengusutkan keadaan. Nyata sekali Pakatan Rakyat tidak mahu menghormati keputusan dan kuasa yang dibuat Sultan Perak yang bertindak secara adil menerusi kuasa yang termaktub di dalam Perlembagaan negeri.

Jika Nizar dan Pakatan Rakyat mengutamakan kepentingan rakyat, pastinya mereka akan akur dengan tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Sepatutnya mereka menerima hakikat itu dan bersedia menjadi pembangkang yang berkesan. Nizar sebagai pemimpin Pas yang dikatakan sentiasa dididik dengan program tarbiyyah yang dibanggakan Pas selama ini, sepatutnya tidak melihat kuasa sebagai segala-galanya.

Nizar tidak seharusnya terus memburu kedudukan Menteri Besar padahal ia bukan lagi miliknya mengikut formula dan prinsip demokrasi. Apa cacatnya Nizar menjadi pembangkang di DUN Perak jika itulah kedudukannya. Lihat bagaimana Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang dulunya berkedudukan Menteri Besar sanggup menjadi ketua pembangkang di DUN Selangor. Apa yang penting negara memerlukan peranan pembangkang yang berkesan sama ada di Dewan Rakyat mahu pun di DUN.

Sebagai pemimpin parti yang kuat tarbiyyah Islamiahnya, Nizar sepatutnya faham bahawa di antara tanda seseorang itu cintakan dunia ialah apabila ia terlalu kuat merindui untuk menjadi pemimpin atau penguasa. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya memberi tazkirah kepada Nizar mengenai perkara ini.

Biarlah Mahkamah Rayuan membuat keputusannya nanti. Nizar dan Zambry harus bersedia menerima sebarang keputusan itu dengan hati dan minda yang terbuka. Bukankah bersikap tasamuh atau berlapang dada dalam menerima sesuatu hakikat itu satu akhlak mahmudah (terpuji)?

Amat jeliknya nafsu kita apabila sesuatu yang menguntungkan menyebelahi kita, maka kita puji dan sanjung, tetapi apabila sesuatu itu tidak memihak kepada kita maka kita keji dan bersangka buruk terhadapnya.

Jika Nizar boleh menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebelahinya, mengapa pula beliau perlu berburuk sangka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tempoh hari. Ia adalah persoalan mengenai proses perundangan yang sepatutnya dihormati dan dihargai semua pihak.

Nizar nampaknya lebih memperlihatkan keengganannya menerima realiti demokrasi dan proses perundangan negara. Apalah yang boleh Pas lakukan dalam memperjuangkan Islam sekiranya hanya beberapa kerat saja pemimpin Pas (enam kerusi) sementara sebilangan besarnya adalah dikuasai DAP (17 kerusi) dan PKR lima kerusi selepas dua ahlinya menjadi bebas.

Ambillah iktibar apa yang dilakukan kerajaan DAP di Pulau Pinang dan juga jangan lupa pemerintahan PAP di Singapura. Sikap kedua-duanya lebih ‘perkauman’ daripada Umno. Nizar yang dikelilingi majoriti wakil DAP nampaknya menjadi tidak rasional akibat pengaruh dan desakan wakil rakyat DAP. Sejak mula menjadi Menteri Besar Perak, polisi pentadbiran Nizar adalah sebenarnya polisi DAP.

Nizar tidak ada kemerdekaan dalam membuat sesuatu keputusan penting. Ini dapat dilihat dalam kes pemberian tanah sehingga Nizar terpaksa mengetepikan Kanun Tanah Negara semata-mata untuk memenuhi kehendak dan desakan DAP.

Pentadbiran Nizar memberikan status hak milik kekal 999 tahun kepada penduduk yang mendiami lot tanah di kampung baru di seluruh negeri itu dengan kira-kira 80 peratus kaum Cina. Tanah itu asalnya adalah milik Melayu yang diambil oleh British di bawah Rancangan Briggs bagi menempatkan setinggan Cina untuk mengatasi masalah komunis.

Rancangan itu tidak dipersetujui Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950. Sepatutnya Nizar mencari jalan mengembalikan tanah terbabit kepada orang Melayu, tetapi lain pula tindakannya. Nizar harus berfikiran jauh dalam hal ini.

Jangan hanya kerana hendak meraih populariti supaya dipilih sebagai Naib Presiden dalam pemilihan partinya bulan depan, maka Nizar terus mencipta isu demi isu dalam soal kedudukan Menteri Besar Perak. Ini agenda peribadi yang tidak selari dengan prinsip perjuangan Islam. Ahli-ahli Pas harus cerdik melihat agenda halus Nizar untuk mara dalam pucuk kepemimpinan tertinggi parti itu. - BH 20/5/09

Saturday, May 16, 2009

Pakatan pembangkang tidak memahami prinsip demokrasi berperwakilan. Kalau ada majoriti parti itulah yang memerintah, sama seperti pakatan pembangkang sebelum ini mereka juga mempunyai majoriti tiga kerusi. Walaupun mereka lebih tiga kerusi mereka boleh memerintah. Barisan Nasional (BN) tidak ganggu mereka. Seperti di Kelantan pada 2004, kerajaan Pas Kelantan mempunyai majoriti hanya dua kerusi. BN tidak menjadikannya masalah. Pada pilihan raya kecil 2005, Pas hanya mempunyai satu kerusi tidak ada juga masalah kerana mereka masih menang. Kalau kita memahami prinsip demokrasi berperwakilan, masalah seperti di Perak tidak akan timbul. - baca lanjut dlm Berita Minggu 17/5/09 www.beritaharianonline.com

Tuesday, May 12, 2009

Zambry kekal MB Perak

PUTRAJAYA 12 Mei - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dengan keputusan itu, status quo Zambry sebagai Menteri Besar Perak kekal buat masa ini sehingga rayuannya terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) semalam diputuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak.

Hakim Datuk Ramly Ali ketika memutuskan demikian turut memerintahkan agar tarikh awal ditetapkan bagi mendengar rayuan tersebut.

Hakim Ramly ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, mahkamah menggunakan bidang kuasanya mengeluarkan perintah penggantungan tersebut berdasarkan kepada keunikan dan kepentingan situasi politik di Perak.

Beliau menyatakan, perkembangan di Perak bukan hanya melibatkan Zambry selaku Menteri Besar malah ia turut membabitkan keseluruhan perjalanan politik di negeri tersebut.

''Mahkamah menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi itu setelah berpuas hati bahawa perkembangan kes ini amat penting dan unik. Rayuannya akan didengar pada tarikh awal,'' ujar Hakim Ramly.

Semalam, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membenarkan permohonan semakan kehakiman Mohammad Nizar, 52, agar mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati sultan untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, setelah hampir 18 jam keputusan Mahkamah Tinggi dikeluarkan, Zambry memfailkan permohonan rasmi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan kira-kira pukul 9.30 pagi ini agar perintah itu digantung sementara menunggu rayuan selesai.

Tindakan itu dibuat berikutan keputusan Hakim Abdul Aziz semalam yang menolak permohonan lisan peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakilinya untuk menangguhkan perintah keputusan tersebut.

Permohonan itu ditolak setelah Abraham gagal mengemukakan nas undang-undang berkaitan penangguhan itu.

Selain permohonan penangguhan, Zambry hari ini turut memfailkan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Notis rayuan itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Zul Rafique & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di ibu negara kira-kira pukul 9 pagi ini.

Dalam prosiding hari ini, peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar berhujah agar penangguhan perintah itu ditolak dan memohon mahkamah mengembalikan isu berbangkit ke Mahkamah Tinggi.

Beliau menyatakan, Hakim Mahkamah Tinggi sudah memberi laluan bahawa penangguhan boleh dibuat asalkan Zambry memfailkan permohonan secara bertulis di samping mengemukakan nas undang-undang yang berkaitan.

Sulaiman dalam hujahnya turut memohon agar satu tarikh awal ditetapkan untuk mendengar rayuan terhadap perintah tersebut bagi membolehkan ia diselesaikan segera.

''Jalan penyelesaian yang ada ialah menolak permohonan penangguhan atau mengembalikan ke Mahkamah Tinggi melainkan mahkamah berpendapat isu berbangkit sudah akademik kerana Zambry bukan lagi Menteri Besar Perak,'' ujar Sulaiman.

Menurut beliau lagi, Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) melainkan setelah mendapat perkenan Sultan Perak yang mana ia pernah ditolak pada kali pertama permohonan dibuat.

Kata Sulaiman, jika mahkamah menetapkan tarikh awal, kemungkinan Sultan Perak akan menangguhkan perkenan baginda (agar Dewan dibubarkan) dan menunggu sehingga keputusan dikeluarkan.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry pula berhujah, perintah Mahkamah Tinggi itu perlu ditangguhkan segera bagi menyekat Mohammad Nizar memperoleh perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN.

Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang bertindak sebagai pencelah bagi kerajaan Malaysia berhujah agar isu itu diselesaikan ke peringkat Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Beliau menyatakan, perkembangan politik di Perak memberi kesan kepada seluruh negara dan jika dilengah-lengahkan akan menimbulkan krisis yang berpanjangan.

Sementara itu di luar mahkamah, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun bersama-sama Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Barisan Nasional (BN) memberitahu, keputusan itu menandakan kejayaan awal BN yang diperoleh berlandaskan kepada lunas undang-undang.

Menurut Mohd. Hafarizam, penangguhan itu dengan sendirinya menjadikan perintah semalam digantung manakala status quo Zambry serta barisan Exconya kekal. - Utusan Malaysia 13/5/09

Monday, May 11, 2009


Nizar Menteri Besar Yang Sah
Date: Monday, May 11 @ 15:53:40 MYT
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut awal bulan lalu.Mahkamah juga memutuskan menteri besar BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan enam exconya mengosongkan dengan kadar segera pejabat mereka - di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.
-
Dalam penghakimannya, hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.
-
Dalam penghakimannya, Abdul Aziz berkata jika Sultan Perak mahu meletakkan Mohamad Nizar meletakkan jawatan, maka baginda sepatutnya mengambil sidang DUN untuk mengemukakan usul tersebut.Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.
-
Mengulas kemenangannya, menteri besar Pakatan Rakyat itu berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut.
-
Pada 13 Februari lalu, Mohamad Nizar memfailkan saman mencabar pelantikan Zambry di kompleks mahkamah Jalan Duta, kira-kira seminggu selepas rampasan kuasa BN dan sekali gus pelantikan wakil rakyat BN itu.Mohamad Nizar, ADUN Pasir Panjang, juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah perisytiharan bahawa Zambry yang dilanti 6 Februari lalu tidak berhak memegang jawatan menteri besar.
-
Dalam permohonan itu, wakil rakyat PAS itu mendakwa beliau masih menteri besar yang sah atas tiga alasan berikut:(i) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak; (ii) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai menteri besar Perak; dan(iii) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak."
-
Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli majlis mesyuarat negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong. "Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan menteri besar Perak, saya masih menteri besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit, menyokong permohonan itu.
-
Mohamad Nizar juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa Zambry, sebagai responden, berhak memegang jawatannya sekarang.
-
Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan menteri besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai menteri besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri itu.
-
SUMBER :malaysiakini

Saturday, May 9, 2009

Demokrat menang 148 kerusi Parlimen, Golkar 108, PDIP 93

JAKARTA: Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang meraih 148 kerusi, muncul sebagai pemenang terbanyak kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR/Parlimen) Indonesia, mengalahkan parti Golkar di tempat kedua dan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) di tempat ketiga.

Keputusan akhir hasil pilihan raya umum 9 April yang diumumkan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU), organisasi yang bertanggungjawab mengendalikan pilihan raya di sini, malam tadi menunjukkan parti Demokrat yang menang 148 kerusi itu menguasai 26.43 peratus jumlah kerusi di Parlimen manakala Golkar (108 kerusi/ 19.29 peratus) dan PDIP (93 kerusi/16.61 peratus).

Hasil akhir pengiraan undi 171 juta pemilih itu yang berlangsung selama sebulan, menunjukkan hanya sembilan daripada sejumlah 38 parti politik peringkat nasional yang bertanding yang layak masuk ke Parlimen bagi sesi 2009-2014 ini.

Selain Demokrat, Golkar dan PDIP, parti lain yang layak ialah Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di tempat keempat dengan perolehan 59 kerusi (10.54 peratus), Parti Amanat Nasional (PAN) 42 kerusi (7.50 peratus), Parti Persatuan Pembangunan (PPP) 39 kerusi (6.96 peratus).

Parti lain ialah Parti Gerakan Indonesia Raya (30 kerusi/5.36 peratus), Parti Kebangkitan Bangsa (26 kerusi/4.64 peratus) dan Parti Hati Nurani Rakyat (15 kerusi/2.68 peratus).

Keputusan itu yang dibacakan oleh Ketua KPU Abdul Hafiz Anshary di ibu pejabat KPU di sini menunjukkan daripada keseluruhan jumlah pengundi Indonesia sebanyak 49.6 juta orang tidak keluar mengundi atau sebanyak 29.01 peratus daripada 171 juta pengundi berdaftar.

Jumlah undi yang sah dan diterima ialah hampir 104.1 juta atau 60.78 peratus manakala undi rosak dan ditolak ialah 17.48 juta atau 10.21 peratus.

Keputusan akhir itu diumumkan menepati jadual sasaran yang ditetapkan oleh KPU sendiri meskipun pengiraan semula bagi daerah pengundian Nias Selatan di Sumatera Utara belum selesai dijalankan.

Keputusan akhir itu diumumkan menepati jadual sasaran yang ditetapkan oleh KPU sendiri meskipun pengiraan semula bagi daerah pengundian Nias Selatan di Sumatera Utara belum selesai dijalankan.

Pengumuman keputusan akhir itu akan membolehkan proses penamaan dan pendaftaran pasangan calon-calon presiden dan naib presiden berjalan seperti dirancang oleh KPU sehingga 16 Mei dan pilihan raya presiden dijalankan pada 8 Julai. - Bernama

_____________________________________________
13 lagi bebas ISA - http://www.beritaharian.com/


KDN dapati tahanan tidak mengancam keselamatan PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan pembebasan 13 lagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk tiga pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) iaitu P Uthayakumar, M Manoharan dan K Vasantha Kumar. Turut dibebaskan ialah Zulkepli Marzuki, Jeknal Adil dan Adzmi Pindatun; dua rakyat Indonesia, Zainun Rasyhid dan Aboud Ghafar Shahril; serta lima warga Filipina, Sufian Salih, Hasim Talib, Abdul Jamal Azahari, Yusof Mohd Salam dan Husin Alih. Uthayakumar adalah Penasihat Undang-Undang Hindraf manakala Manoharan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, Selangor yang menang bertanding atas tiket DAP pada pilihan raya umum lalu.
-
Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan kerajaan membebaskan 13 lagi tahanan ISA termasuk tiga pemimpin Hindraf itu dibuat selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati mereka tidak lagi mengancam keselamatan negara.
-
Perdana Menteri berkata, pembebasan mereka itu sekali gus menafikan tohmahan pihak tertentu, khususnya pembangkang yang mendakwa kerajaan sebagai zalim dan mengamalkan sikap menyekat kebebasan seseorang. "Mereka dibebaskan selepas kita mendapati sudah tiba masanya pembebasan mereka dipertimbangkan.
-
Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) telah mengambil keputusan itu serta memaklumkannya kepada saya.
"Jika mereka tidak lagi membahayakan keselamatan, kita tidak akan menahan mereka walaupun sehari lagi," katanya selepas merasmikan Pencapaian 10 Tahun Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini, semalam. Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Hishammuddin mengumumkan pembebasan 13 individu itu dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya. Mereka adalah kumpulan kedua selepas 13 tahanan ISA yang turut membabitkan dua pemimpin Hindraf dibebaskan sejurus selepas Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri 3 April lalu. Najib berkata, pembebasan kelompok pertama 13 tahanan ISA yang diumumkannya selepas mengambil alih kerajaan pada 3 April lalu, dibuat kerana mahu membuktikan pentadbirannya mengamalkan prinsip adil dan saksama serta menghormati undang-undang. Perdana Menteri juga menafikan tuduhan pembangkang kononnya pembebasan 13 lagi tahanan ISA semalam dibuat untuk mengalihkan tumpuan rakyat terhadap krisis politik Perak. "
-
Mereka (pembangkang) ini serba tidak kena. Kalau kita bebaskan mereka kata begitu, kalau kita tahan pula mereka kata zalim," katanya. Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan membebaskan 13 lagi tahanan ISA itu menunjukkan kerajaan menjalankan tanggungjawab dengan bijaksana bagi menjamin keselamatan awam dan negara. "Ini menunjukkan kerajaan ambil kira semua perkara, kalau mereka tidak lagi mengancam keselamatan awam dan negara serta mematuhi undang-undang, kita bebaskan mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Koko Antarabangsa Malaysia 2009 di sini.
-
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan berharap semua tahanan yang dibebaskan itu akan kembali secara positif ke pangkuan masyarakat serta menyesali tindakan mereka sebelum ini. Terdahulu, Hishammuddin berkata, 13 tahanan itu akan dibebaskan dalam masa terdekat sebaik proses dokumentasi selesai manakala bagi warga Indonesia dan Filipina, pembebasan akan dilaksanakan selepas langkah pengusiran diselesaikan dengan kerajaan negara berkenaan.
-
Beliau berkata, keputusan membebaskan semua 13 tahanan ISA termasuk tiga pemimpin Hindraf itu itu dibuat selepas pihaknya mendapati mereka sudah memenuhi syarat pembebasan yang ditetapkan mengikut undang-undang. "Kementerian dapati sudah tidak wajar lagi mereka ditahan dan ISA juga jelas menyatakan bahawa mereka hanya perlu ditahan sementara. Mereka dibebaskan kerana kita kini merasakan mereka sudah memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya.
-
Hishammuddin juga berkata, pembebasan M Manoharan tidak mempunyai kaitan langsung dengan hasrat Adun Kota Alam Shah itu meletakkan jawatannya kerana rasa bersalah dan tidak mampu menunaikan tanggungjawab kepada pengundi serta menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri. Mengenai sama ada lebih ramai tahanan ISA akan dibebaskan dalam pada masa depan, beliau berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku jika kerajaan berpuas hati bahawa tahanan ISA tidak lagi mengancam keselamatan negara.
-
Dua pemimpin Hindraf yang dibebaskan daripada tahanan ISA pada 3 April lalu ialah peguam pertubuhan haram itu, V Ganabatirau dan R Kenghadharan. Turut dibebaskan ialah warga India, Sundaraj Vijay dan dua lelaki Myanmar, San Khaing dan Amir Hussain serta tujuh anggota Darul Islam (DI), Binsali Omar, A Artas A Burhanudin, Idris Lanama, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Pakana Selama dan Mohd Arasad Patangari. Turut dibebaskan anggota Jemaah Islamiah (JI), Wan Amin Wan Hamat yang ditahan

Tuesday, May 5, 2009

Usah sampai Bumiputera jadi mangsa liberalisasi

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

EKONOMI negara tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada sektor pembuatan berorientasikan eksport. Justeru, untuk cabaran jangka panjang, kerajaan mula melakukan transformasi ke arah pembangunan ekonomi berteraskan kreativiti dan inovasi. Di bawah model baru ekonomi ini, kerajaan akan membangunkan sektor perkhidmatan menjadi peneraju pertumbuhan dan pembentukan kekayaan baru masa depan negara. Pada masa sama, kerajaan akan terus menggalakkan sektor pembuatan bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi.

Mengenai pemikiran kreatif dan inovatif, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora baru-baru ini menyebut: “Kita mesti berani keluar daripada kotak pemikiran konvensional. Bagi menangani krisis, kita tidak sesekali mampu bersifat dogmatik dan menolak secara awal sebarang opsyen. Semua opsyen mesti dipertimbangkan demi kepentingan negara”. Justeru, syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pengusaha perusahaan kecil sederhana (PKS) perlu menjadi pengeluar yang kompetitif bagi memastikan kelangsungan produk mereka kekal dalam pasaran.

Mereka harus menjadi peserta dan pemain aktif yang kreatif dan inovatif dalam pasaran tempatan dan global. Kejayaan Proton dalam mengeluarkan Exora dengan menggunakan hampir 90 peratus komponen dan alat ganti tempatan serta dihasilkan sepenuhnya rakyat tempatan baik daripada konsep, reka bentuk hingga kepada sistem kejuruteraan dan pengeluarannya harus dijadikan contoh kepada syarikat pengeluar barangan tempatan.

Satu lagi transformasi utama dilakukan kerajaan ialah melaksanakan proses liberalisasi kepada 27 subsektor perkhidmatan dan kewangan untuk tujuan meningkatkan kemasukan pelaburan asing. Tindakan kerajaan meliberalisasikan sektor terbabit memang kena pada masanya. Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, negara turut berdepan persaingan dari negara serantau yang kebanyakannya sudah melaksanakan dasar liberalisasi ekonomi.

Justeru, adakah kita mahu terus berada di takuk lama atau turut serta dalam persaingan itu? Jika kita mahu terus menarik pelaburan asing langsung (FDI) dan menjadi pemain utama dalam sektor tertentu, maka kita tiada pilihan lain kecuali turut serta dalam persaingan. Negara perlu mempertingkatkan promosi perdagangan dan menarik masuk FDI.

Tindakan kerajaan meliberalisasikan sektor perkhidmatan dan sektor kewangan mampu membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana pelbagai peluang pekerjaan. Liberalisasi sektor kewangan negara dilihat mampu menjadikan sektor itu lebih berdaya saing sama ada dalam sektor kewangan konvensional mahu pun sektor perbankan Islam. Pastinya pemberian dua lesen perbankan Islam kepada pelabur asing mampu menjadikan sistem muamalah berasaskan syariah berkembang dan membudaya di negara kita.

Pembangunan sistem kewangan Islam dan sistem takaful juga akan menjadi faktor penarik kepada pelabur asing dari Asia Barat kerana mereka lebih mesra dengan sistem perbankan dan takaful Islam. Kemampuan dan prestasi Bank Negara Malaysia (BNM) mengawal selia sistem kewangan negara memang tidak dapat diragukan. Penguasaan 70 peratus bank-bank tempatan ke atas sistem kewangan domestik membuktikan keupayaan bank pusat itu mengawasi dan mengurus sistem kewangan negara dengan cekap. Perbankan domestik memiliki modal kukuh dengan nisbah modal wajaran risiko (RWCR) pada 12.5 peratus dan purata saiz aset RM91.6 bilion.

Ini sekali gus meyakinkan kita bahawa bank tempatan mampu bersaingan dengan pelabur asing dalam sektor kewangan. Sejauh mana liberalisasi akan membawa kemakmuran kepada ekonomi negara adalah sesuatu yang perlu dipantau dari masa ke semasa. Unit Perancangan Ekonomi, BNM dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri harus membina mekanisme bersama dalam memantau kesan liberalisasi terhadap sektor perkhidmatan dan kewangan terbabit. Perlu diingat, dalam skala global, liberalisasi ekonomi lebih banyak memberi keuntungan kepada kapitalis Barat melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas.

Bagaimanapun, pada satu pihak lagi sering dibelenggu ketidakadilan yang akhirnya menyebabkan pengagihan ekonomi di kalangan rakyatnya menjadi isu. Liberalisasi ekonomi yang tidak diurus dengan baik boleh melebarkan lagi jurang pendapatan antara kaya dan miskin. Ia juga boleh menyebabkan wujud segelintir ahli korporat yang kaya semakin bertambah kaya. Selain itu, isu berkaitan dengan gaji dan kebajikan pekerja tempatan juga perlu diberi perhatian supaya mereka menerima upah yang sewajarnya hasil dari keuntungan yang dinikmati majikan.

Dalam konteks negara kita, perbezaan jurang pendapatan yang ketara antara kaum boleh menjadi kekangan terhadap usaha menyatupadukan rakyat di bawah konsep ‘1Malaysia’. Justeru, kita berharap liberalisasi ekonomi yang kini dijadikan polisi negara jangan sampai menyebabkan ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Masih ramai usahawan Bumiputera yang tidak mampu bersaing berasaskan meteriokrasi. Walaupun hari ini semangat kita meluap-luap dengan konsep ‘1Malaysia’, jangan kita lupa hak Bumiputera berasaskan Perlembagaan dan akar umbi sejarah bangsa Melayu itu sendiri.

Apa pun kita yakin kerajaan mempunyai kebijaksanaan dalam hal ini. Kerajaan mempunyai cara tersendiri dalam melaksanakan dasar liberalisasi. Walaupun kerajaan mensasarkan peningkatan sumbangan sektor perkhidmatan sehingga 70 peratus kepada pelabur asing, namun segmen yang mempunyai kepentingan negara seperti lapangan terbang dan pelabuhan akan terus dilindungi.

Kerajaan juga memberi jaminan bahawa liberalisasi terbabit tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan serta menjejaskan usahawan Bumiputera. Dasar 30 peratus pemilikan Bumiputera akan terus dipertahankan. Untuk itu, kerajaan menetapkan dua pendekatan ke arah meningkatkan penyertaan Bumiputera.

Pertama, bagi menjana pertumbuhan, kerajaan menggalakkan golongan terbabit menyalurkan dana pelaburan mereka melalui saham-saham amanah yang diurus secara profesional. Kedua, kerajaan akan menggunakan pendekatan memberi galakan khususnya melalui kewujudan komuniti industri komersial Bumiputera dengan menumpukan sekurang-kurangnya pada 13 kluster utama. Kerajaan akan memberi tumpuan kepada Bumiputera untuk menjayakan perniagaan, bukan saja dari segi pemilikan tetapi pelaksanaan pengurusannya dan sokongan pengembangan perniagaan seperti dalam sektor automotif dan dalam sektor minyak dan gas.

Akhirnya, kita berharap lapan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) yang dibubarkan dan diserapkan ke beberapa kementerian akan benar-benar dapat membantu menjayakan pembentukan masyarakat industri Bumiputera yang teguh dan berdaya saing. Peranan mereka harus terus dipantau oleh kerajaan.

- BH 6/5/09