Sunday, October 5, 2008

Tasawuf penawar kemelut kehidupan

Oleh Mohd Ayop Abd Razid ayop_60@yahoo.com

'SELAMAT Hari Raya, Maaf Zahir Batin'. Ucapan tradisi yang lazim dilafazkan kepada rakan taulan ketika menyambut lebaran. Dalam masyarakat kita ucapan itu turut diucapkan oleh masyarakat bukan Islam kepada rakan Islam mereka. Ia menggambarkan perpaduan, kemesraan dan keharmonian hidup masyarakat kita.

Aidilfitri adalah masa untuk kita membuktikan ketakwaan. Ia selari dengan tujuan dan matlamat ibadat puasa itu sendiri. Tujuan dan hikmah Aidilfitri adalah untuk menzahirkan syiar Islam. Inilah masanya hubungan sesama manusia dipereratkan kembali. Syawal sepatutnya menjadi bulan kemaafan sesama manusia dengan menghulur tangan bersalam-salaman penuh keikhlasan. Inilah kesan ‘madrasah’ Ramadan yang membentuk diri dan masyarakat berasaskan keimanan.

Madrasah Ramadan mendidik kita menjaga lidah, mata, menahan diri daripada marah, sabar dan membuang segala sifat tercela yang selama ini bersarang di hati.

Justeru, janganlah kita rosakkan kebersihan jiwa yang terbina sepanjang Ramadan dengan melakukan kembali kejahatan zahir dan batin di Aidilfitri ini. Bukankah Aidilfitri itu membawa maksud ‘kembali kepada fitrah’? Justeru, mengapa harus kita kotor dan rosakkan kembali fitrah kita?

Ramadan dan Syawal adalah bulan mulia. Ia adalah bulan terbaik untuk kita menjernihkan dan membersih jiwa daripada kekotoran rohani yang melekat di kalbu. Kedua-dua bulan ini menyediakan ‘jalan rohani’ untuk membina keinsafan. Jalan rohani dalam Islam sering dikaitkan dengan amalan tasawuf, iaitu amalan al-mujahadah.

Al-Mujahadah adalah perjuangan bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu supaya diri yang terhijab (terdinding) dapat keluar daripada akhlak hina dan masuk ke dalam akhlak yang mulia.

Bertolak daripada pengertian di atas, maka dalam tulisan kali ini ingin saya membicarakan mengenai tasawuf sebagai kaedah penyelesaian kepada kemelut kehidupan hari ini.

Saya bukanlah ahli dalam selok belok tasawuf atau pengamal tarikat, tetapi sebagai seorang Muslim, saya sentiasa berusaha meneliti tulisan ilmuwan, di samping membiasakan diri mendengar kuliah atau tazkirah agama di masjid dan surau. Yang penting, kita hendaklah membuka minda, melapangkan dada serta bersabar dalam menuntut ilmu.

Bagi saya tasawuf sebenarnya mempunyai impak positif dalam kehidupan sekiranya ia difahami dengan petunjuk al-Quran dan sunnah nabi SAW. Saya yakin jika kita memahami tasawuf secara positif, bukan secara kabur dan menyeleweng, maka ia dapat membantu kita ke arah pembentukan jiwa yang sentiasa takut (khauf) akan ‘balasan akhirat’ dan ‘pengadilan Ilahi’ di Padang Masyar nanti.

Kita bukannya ingin menjadi wali atau manusia maksum kerana itu sukar dicapai oleh manusia seperti kita. Bagi orang sufi, ia adalah pilihan dan pemberian Allah kepada hambanya yang terpilih. Yang kita dambakan ialah hati yang sentiasa hidup untuk bertaubat serta rindu dengan pencipta kita Allah SWT.

Menerusi tasawuf juga bukan bermaksud kita perlu memencilkan diri di satu sudut mehrab tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling kita. Bukan itu maksudnya. Nabi dan sahabat tidak berbuat demikian, malah mereka sangat prihatin dan peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Sikap mereka sentiasa menegakkan ’amar maaruf nahi mungkar’, bukannya sibuk merebut kuasa atau mencari pengaruh serta harta kekayaan.

Bagaimana kita melihat dunia bergantung kepada tasawwur yang kita miliki. Ada manusia yang melihat alam ini sebuah ‘phantasmagoria’ (sebuah permainan) dan ada pula yang melihat dunia ini bagaikan penjara yang dikuasai kejahatan. Tasawwur Islam melihat dunia adalah fenomena ciptaan dan rencana Tuhan yang indah sebagai tempat latihan dan beribadah. Dalam Islam, istilah ‘al-dunya’ membawa pengertian sesuatu yang ada, selain Allah SWT (‘ma siwa Allah’).

Tasawuf melihat dunia sebagai hijab yang menjadi halangan sampainya hubungan rohani seorang hamba kepada khaliknya (penciptanya). Justeru, amalan zuhud adalah kaedah terbaik memecahkan hijab antara hamba dengan tuhannya. Bagi orang sufi, amalan zuhud akan menatijahkan berlakunya pengosongan kalbu daripada selain tuhan dan pada masa sama dipenuhi kalbunya dengan zikir (ingatan) terhadap Allah SWT.

Indah nampaknya, tetapi bukannya mudah untuk dirasai melainkan dengan mujahadah. Profesor Fazlur Rahman mengungkapkan zuhud bukanlah bermaksud mengabaikan hal-hal duniawi, tetapi ia adalah aspek praktik tasawuf dalam rangka memberikan penyelesaian terhadap masalah sosial, politik, ekonomi dan budaya.

Prof Dr HM Amin Syukur dalam bukunya Menggugat Tasawuf (1999) menyatakan ada dua elemen yang terkandung dalam nilai tasawuf iaitu ‘futuwwah’ dan ‘itsar’. Futuwwah ialah sikap berusaha menghapus rasa keangkuhan diri, membina sabar dan tabah terhadap ujian. Ia adalah kunci segala kebaikan.

Itsar pula adalah nilai yang mengutamakan orang lain daripada diri sendiri. Nilai itsar akan membawa seseorang itu prihatin terhadap kesulitan dan musibah yang dihadapi orang lain lalu ia dengan mudah menghulurkan pertolongan dengan tulus ikhlas demi keredaan Allah SWT. Justeru, pada Syawal yang mulia ini tunjukkanlah kemurahan dan kedermawan kita kepada mereka yang memerlukan.

Apa pun, kita sebenarnya memiliki warisan khazanah ilmu dan amalan tasawuf yang boleh dijadikan panduan dan amalan dalam berhadapan pelbagai kemelut kehidupan, termasuk kemelut politik sekali pun.

Apa yang penting ialah ajaran tasawuf harus dilihat secara positif dan diamalkan mengikut petunjuk al-Quran dan as-Sunnah, bukannya mengikut kehendak guru tasawuf yang memiliki agenda peribadi dan menyeleweng.

BH 1/10/08

No comments: