Thursday, October 30, 2008

Fahami kontrak sosial, elak ketegangan kaum

Mohd Ayop Abd Razid


IDEA mengenai 'kontrak sosial' mula berkembang di Eropah pada abad ke-17 dan ke-18. Istilah ini digunakan untuk menjelaskan wujudnya persetujuan bersama secara sukarela di kalangan rakyat sesebuah negara berkaitan hak dan tanggungjawab mereka. Tokoh seperti Jaque Rousseau, John Locke dan Thomas Hobbes dianggap sebagai pencetus idea kontrak sosial yang dikaitkan dengan demokrasi.

Dalam bukunya Du Contract Social (1762), Rousseau menyatakan 'manusia dilahirkan bebas tetapi di mana-mana saja, mereka dibelenggu pelbagai peraturan sosial'. Rousseau lebih menekankan kepada 'hasrat umum', iaitu penyatuan keseluruhan hasrat individu yang wujud di dalam sesuatu masyarakat. Beliau membezakan antara hasrat umum dan hasrat semua orang.

Hasrat umum meneliti kepentingan dan faedah bersama, sedangkan hasrat semua lebih bertumpu kepada kehendak dan faedah peribadi (The Social Contract, terjemahan M Craston, 1968). Baginya institusi seperti Raja, perwakilan rakyat dan birokrasi tidak dapat mengatasi hasrat umum.

Piagam Madinah (Sahifah Madinah) yang diasaskan Nabi Muhammad SAW ketika pembentukan negara Islam Madinah adalah dianggap sebagai kontrak sosial dan perlembagaan bertulis yang pertama di dunia. Dalam tamadun Melayu, kontrak sosial dikesan di dalam Sejarah Melayu (Salalatus Salatin) tulisan Tun Seri Lanang (1612) yang menyebut perjanjian antara Sang Sapurba (Raja) dan Demang Lebar Daun (rakyat).

Yang dipersetujui bersama ialah perlunya rakyat patuh kepada Raja selagi Raja berlaku adil. Ungkapan yang dipegang oleh rakyat ialah 'Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah.'

Dalam masyarakat moden hari ini 'semangat' kontrak sosial dimaktubkan di dalam kebanyakan Perlembagaan di dunia. Pernah berlaku dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) isu mengenai kedudukan orang kulit hitam di dalam Perlembagaannya.

Ketika Perlembagaannya dirunding, orang kulit hitam dianggap sebagai harta yang menjadi milik orang kulit putih. Justeru, dalam kes perhambaan di Amerika Syarikat (kes Dred Scott, 1857) Mahkamah Agung Amerika Syarikat tidak mengiktiraf orang kulit hitam sebagai pihak yang berkontrak ketika Perlembagaan itu dirundingkan. Keputusan berkenaan mencetuskan perang saudara yang akhirnya membawa kepada pindaan Perlembagaan Amerika Syarikat (Abdul Aziz Bari, 2008).

Ketika negara mencapai kemerdekaan, sebuah suruhanjaya bebas dibentuk oleh British pada 8 Mac 1956 bertujuan mengkaji bentuk Perlembagaan untuk Tanah Melayu yang merdeka. Ia dipengerusikan Lord Reid dan dianggotai Ivor Jennings, Sir William McKell, B Malik dan Hakim Abdul Hamid. Suruhanjaya ini bertanggungjawab menggubal Perlembagaan untuk Tanah Melayu berdasarkan demokrasi berparlimen.

Umno yang sudah pun wujud ketika itu mengambil berat mengenai proses pembentukan Perlembagaan. MCA dan MIC juga tidak berkecuali. Pada 9 April 1956, Tun Abdul Razak Hussein dilantik oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno mempengerusikan Jawatankuasa Siasah. Jawatankuasa ini mengumpul semua memorandum daripada Jawatankuasa Umno Perhubungan Negeri. Di antara isu panas yang diberi perhatian ialah kerakyatan berasaskan prinsip 'jus soli' dan kedudukan bahasa rasmi.

Tun Razak turut mempengerusikan Majlis Kebangsaan Perikatan, bertujuan menimbang memorandum daripada Umno, MCA dan MIC. Di antara perkara yang diputus dan dipersetujui majlis berkenaan ialah mengiktiraf orang Melayu sebagai Bumiputera dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara.

Mengenai soal kerakyatan, jawatankuasa berkenaan menolak prinsip 'jus soli' seperti dicadangkan MCA dan MIC. Mereka bersetuju dengan cadangan bahawa mereka yang dilahirkan di Tanah Melayu dan kemudian daripada pengisytiharan kemerdekaan menjadi warga negara Tanah Melayu dengan syarat tertentu.

Apa yang diterima bersama oleh pemimpin pelbagai kaum mengenai kontrak sosial itu ialah menghapuskan semangat perkauman yang ekstrem ketika Perlembagaan awal ingin dibentuk, iaitu Perlembagaan Malayan Union 1946 dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1947. Ketika itu isu perkauman melatari usaha untuk mewujudkan Perlembagaan terbabit.

Perkara ini dapat difahami dalam memorandum dan surat yang dihantar kepada Jawatankuasa Perundingan Cheeseman yang bertujuan meneliti Perlembagaan untuk Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Jelaslah bahawa perkara mengenai kontrak sosial menjadi keutamaan dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan 1957. Perkara seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan hak istimewa Bumiputera adalah terma yang disebut dan dipersetujui bersama. Perkara ini disentuh di dalam memorandum parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid.

Dokumen Political Testament of the Alliance ini akhirnya menjadi sebahagian pertimbangan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan 1957. Bagaimanapun, apa yang dianggap kontrak sosial di dalam Perlembagaan negara adalah quid pro quo (beri-memberi) yang masih berasaskan kepada kepentingan kaum yang dipersetujui bersama.

Elemen kepentingan kaum ini diakui oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ketika berucap membentangkan cadangan Perlembagaan pada Majlis Perundangan Kebangsaan 10 Julai 1957. Perkara ini jelas dalam pemberian kerakyatan kepada orang bukan Melayu, sementara Perkara 153 adalah berkaitan hak istimewa Melayu, termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Menurut Profesor Khoo Kay Kim, Perkara 153 perlu difahami sebagai kontrak sosial yang mendukung konsep dominasi Melayu atau 'ketuanan Melayu' yang dipersetujui bersama di kalangan pemimpin pelbagai kaum.

Begitu pun, seperti juga kebanyakan kontrak atau perjanjian yang wujud, ia boleh dipinda mengikut keadaan dan kesesuaian. Oleh itu, jika benar kontrak sosial yang ada dalam Perlembagaan, khususnya yang berkaitan dengan orang Melayu dianggap tidak relevan, maka adalah baik ia dikaji dan diteliti semula.

Namun, segala perubahan itu mestilah dipersetujui bersama dan tidak melenyapkan sejarah, tradisi dan warisan Melayu yang menjadi sebahagian ciri Perlembagaan negara. Selain itu, cadangan beberapa pihak supaya sejarah kontrak sosial diajarkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu diberi perhatian sewajarnya.

BH 29/10/08

Thursday, October 23, 2008

Rempah ratus berita:
-
'Pengkid' (Tomboyism) :

MAJLIS FATWA KEBANGSAAN mengharamkan amalan wanita membuat penampilan seperti lelaki ('pengkid') - Muzakarah J/K Majlis Fatwa Kebangsaan 23 Oktober 2008
---

Masjid Cina:

Zulkifli Noordin (PKR), Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu mencadangkan kerajaan membina sebuah masjid Cina di KL sepertimana Masjid Cheng Ho di Surabaya, Indonesia. Lokasi pembinaan yang dicadangka ialah di Tapak Penjara Pudu.
---

Khazanah Nasional:

Buat pertama kalinya Khazanah Nasional memiliki pejabatnya di luar negara, iaitu di Beijing, China. Pembukaannya telah dirasmikan oleh PM pada 23 Oktober 2008.
----

Ubat Gemuk:

Dr Zhari, Pensyarah Pengajian Sains Farmasi USM menghasilkan ubat mengatasi obesiti (kegemukan) /menguruskan badan daripada pokok kaduk. Ubat tersebut dikenal pil 'nobesiti'. Secara tradisionalnya pokok kaduk digunakan untuk merawat kecacingan, sakit gigi, malaria, sakit belakang badan, otot serta sendi. Pucuk mudanya dibuat kerabu.
----

Pemilihan Umno:

Pemilihan Umno akan tetap diadakan pada Mac 2009 seperti yang telah diputuskan MT Umno sebelum ini. Perkara ini ditegaskan oleh Pak Lah selepas merasmikan pembukaan pejabat Khazanah Nasional diBeijing, China pada 23 Oktober.
---

Anwar buntu:

DSAI ketika ditanya oleh pemberita Bloomberg baru-baru ini mengenai tarikh membentuk kerajaan baru menjawab bahawa beliau telah kehabisan pilihan untuk menentukan tarikh pembentukan kerajaan baru yang diangan-angankannya.

--

Shah Rukh Khan:

Stesyen tv Astro, melalui saluran Zee akan menyiarkan siaran langsung pengurniaan Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk kepada pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan pada tarikh yang dijangkan 29 November 2008. Majlis pengurniaan tersebut akan disempurnakn oleh Yang DiPertua Negeri Melaka, Tan Sri Khalil Yaakop.





Wednesday, October 22, 2008

Permuafakatan BN tak perlu gadai status Umno

Oleh Mohd Ayob Abd Razid/ ayop_60@yahoo.com

"Tuntutan melampau bukan Melayu, pelanggaran kontrak sosial jejas keharmonian masyarakat"


KETIKA merasmikan Perhimpunan Agung Gerakan ke-37 baru-baru ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan idea keahlian terus ahli Barisan Nasional (BN) tanpa perlu menganggotai mana-mana parti komponennya.

Asas cadangan adalah kerana beliau mendapati ramai penyokong parti pemerintah tidak berminat menyertai mana-mana parti komponen dalam BN. Konsep ini bukan bererti parti komponen BN perlu dibubarkan. BN akan tetap kekal dengan struktur seperti sedia ada.

Kaedah yang dicadangkan untuk keahlian terus ini ialah dengan mewujudkan Kelab Penyokong BN. Cadangan ini mungkin baik dalam sudut tertentu, tetapi mungkin tidak relevan dari sudut lain. Pada asasnya ia membolehkan mereka yang tidak suka kepada parti komponen BN menjadi ahli dan penyokong BN.

Namun, ia boleh memberi masalah kepada parti komponen kerana ahli mereka mungkin mengambil langkah keluar untuk menjadi ahli terus BN. Jika ini berlaku, maka sistem keahlian terus akan mengubah BN menjadi satu parti pelbagai kaum. Itu harapan mereka seperti disuarakan Gerakan.

Hujah mereka yang mahukan BN menjadi satu parti pelbagai kaum ialah kononnya boleh mengelakkan penguasaan parti tertentu serta dapat membentuk perpaduan kaum yang lebih kukuh. Persoalannya, benarkah sistem satu parti pelbagai kaum mampu menghilangkan rasa perkauman? Benarkan sistem itu dapat menjamin keadilan yang benar-benar untuk semua kaum?

Siapa yang menguasai BN? Setahu saya, selama ini Umno diterima sebagai parti teras dalam BN kerana ia adalah parti terbesar dan mempunyai ramai Ahli Parlimen. Jika kita berpendapat bahawa dengan sistem satu parti pelbagai kaum dapat mengikis sentimen perkauman, ia mungkin satu pandangan yang kurang tepat.

Pada pendapat saya, sebelum BN dijadikan satu parti, adalah lebih baik kita membetulkan beberapa perkara yang menjadi asas pembinaan negara. Jika kita benar-benar jujur mahu memecahkan masalah perkauman, mengapa tidak bermula daripada sistem pendidikan?

Sanggupkah kita menerima pakai sepenuhnya sistem persekolahan satu aliran dengan menghapuskan sekolah aliran Cina dan Tamil? Biar seluruh anak bangsa Malaysia menerima satu aliran pendidikan kebangsaan menggunakan aliran bahasa Melayu.

Jika ini dapat diterima dan dilaksanakan, maka saya yakin akan tiba masanya nanti sistem satu parti pelbagai kaum menjadi mudah untuk dilaksanakan kerana melalui sistem persekolahan bersifat kebangsaan tulen berjaya 'memencilkan' rasa perkauman daripada minda dan hati rakyat.

Sepatutnya inilah yang harus disuarakan oleh mereka yang mencadangkan supaya BN menjadi satu parti pelbagai kaum. Kita sepatutnya yakin bahawa melalui sistem pendidikan kebangsaan tulen mampu mewujudkan suasana harmoni dan perpaduan antara kaum.

Dalam soal ekonomi pula, sanggupkah pengusaha, peniaga dan usahawan Cina membantu dan bekerjasama dengan pengusaha, peniaga dan usahawan Melayu secara ikhlas, telus dan jujur. Sebagai contoh, rangkaian pemborongan dan pengedaran barangan masih terus dikuasai peniaga Cina dan mereka seolah-olah tidak mahu monopoli ini dipecahkan sedangkan orang Melayu sudah lama memecahkan monopoli politik mereka.

Paling tidak wajar sistem satu parti boleh menafikan sejarah, warisan dan kedudukan politik Melayu. Dalam konteks ini, sistem satu parti tidak lebih sebagai satu 'perangkap samar' yang akan memusnahkan warisan politik Melayu. Beberapa asas kontrak sosial yang terkandung dalam Perlembagaan mungkin tergugat apabila parti politik Melayu (Umno) tidak lagi dianggap parti teras.

Sejak kebelakangan ini, orang Melayu mula berasa kecewa dan gelisah apabila sejarah mereka dipertikai oleh mereka yang jahil. Justeru, adalah munasabah Majlis Raja-Raja Melayu mengeluarkan peringatan supaya apa yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu termasuk kedudukan agama Islam seperti yang terkandung dalam perlembagaan, tidak dipertikaikan mana-mana pihak.

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) juga baru-baru ini meminta supaya jangan ada mana-mana pihak mempertikaikan ciri-ciri Melayu dan asal-usul mereka.

Politik Melayu adalah warisan dan kesinambungan peradaban Melayu di negara ini. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan agama Islam di dalam Perlembagaan adalah lambang kepada warisan politik Melayu. Ia adalah sebahagian kontrak sosial yang dipersetujui bersama.

Bayangkan apa akan berlaku apabila Umno yang keahliannya mencecah tiga juta orang dan menguasai jumlah kerusi Parlimen yang besar, tidak lagi menjadi parti teras kerana konsep satu parti?

Saya yakin konflik yang hebat akan berlaku. Konflik ini bukan gara-gara rasa perkauman tetapi kerana Umno dan orang Melayu ketika itu rasa mereka sudah kehilangan sesuatu yang menjadi warisan mereka.

Pastinya, orang Melayu tidak rela sama sekali perkara ini terjadi kepadanya, kecuali golongan Melayu yang sudah 'tidak berjiwa'. Walaupun selama ini orang Melayu mendominasi politik tanah air tetapi mereka bukannya bangsa yang bersifat perkauman. Seperti kata Perdana Menteri bahawa Umno bukan parti 'pembuli'.

Hakikatnya, dalam konteks landskap politik negara, konsep dan pendekatan BN selama ini terbukti berkesan dalam memberikan keadilan kepada semua kaum, malah ada kaum yang menikmati kekayaan di negara ini lebih daripada orang Melayu sendiri.

Bukankah sudah terbukti bahawa kerana berkesannya konsep BN, maka parti utama pembangkang menubuhkan Pakatan Rakyat? Janganlah goyah dengan asakan pembangkang. Justeru, adalah tepat sindiran Perdana Menteri terhadap tingkah laku sesetengah parti komponen BN yang menggelabah seolah-olah parti pemerintah kalah pada pilihan raya umum lalu.

Kembalikan semangat permuafakatan serta kefahaman terhadap sejarah dan warisan budaya tanah air. Sekiranya hubungan parti-parti komponen kembali pulih, pasti kemenangan dapat diraih semula.

-- BH 22/10/08

Tuesday, October 14, 2008

Rasuah politik kikis semangat kebangsaan

Oleh Mohd Ayob Abd Razid

DUNIA politik sering dikatakan kotor pada hal asal politik tidaklah begitu. Dunia politik menjadi kotor kerana persaingan kuasa. Ia menjadi kotor kerana jiwa pemainnya kotor dan bermasalah. Ia bukan saja berlaku di peringkat politik tempatan, malah politik antarabangsa.

Pada hakikatnya persaingan kekuasaan dan konflik politik sering didorong oleh 'nafsu besar' ahli politik untuk mencapai agenda peribadi. Seperti juga dalam perniagaan, 'peniaga politik' yang bernafsu besar ini hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga sanggup mengetepikan nilai dan etika berpolitik.

Sifat dan tabiat buruk ini akhirnya menjadikan dunia politik itu penuh dengan kejelekan. Dalam lagu berjudul 'Gila kuasa' nyanyian Wahid Satay dan Zainal Abidin daripada filem Celorong Celoreng, ada lirik yang berbunyi 'kita mulia kerana kuasa, mabuk kuasa mula jadi gila' baik untuk direnungi ahli politik untuk diambil iktibar.

Demikianlah politik yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan bangsa, agama dan tanah air akan bertukar menjadi agenda dan kepentingan peribadi apabila aktor politiknya bersifat 'gila kuasa'. Penyakit gila kuasa juga menjadi penyebab saluran demokrasi menjadi 'tersumbat' sehingga demokrasi tidak dapat berfungsi dengan baik dan akhirnya hancur.

Demikianlah politik gila kuasa mendorong sesetengah aktor politik menjadikan 'matlamat menghalalkan cara.' Oleh itu, tidak hairanlah politik wang menjadi penyakit yang bukan saja mengancam masa depan sesebuah parti politik, malah turut mengancam bangsa dan negara.

'Politik wang' adalah amalan menabur wang yang dilakukan seseorang calon yang bertanding sama ada dalam pemilihan parti atau sesuatu pilihan raya bagi meraih sokongan dan undi untuk jawatan yang ditandinginya.

Sebenarnya 'rasuah politik' ini bukan saja menjadikan wang sebagai unsur meraih kemenangan, malah ia mungkin diberi dalam bentuk lain seperti janji mendapatkan kontrak, tender atau habuan memegang jawatan tertentu.

Namun, penggunaan wang adalah kaedah paling popular sementara habuan berbentuk jawatan adalah terhad kepada penyokong yang berpengaruh saja yang biasanya adalah 'broker' utama bagi seseorang calon perasuah mendapatkan sokongan akar umbi.

Masalahnya, ramai yang tahu keburukannya tetapi mereka tidak menghiraukannya. Hati dan fikiran mereka ditutup daripada kebenaran mengenai kesan buruk politik wang. Apa yang penting ialah keuntungan besar menjadi hasrat mereka yang bernafsu besar ini.

Justeru, tidak hairanlah dunia politik kita hari ini semakin dipenuhi penipuan dan pelbagai skandal yang mengaibkan. Mereka seolah-olah lupa firman Allah SWT yang bermaksud: 'Wahai sekalian manusia! Makanlah sebahagian daripada makanan yang ada di bumi ini, yang halal dan baik, dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata." (Surah Al-Baqarah:168).

Hari ini ramai ahli politik dan pendukung parti yang sanggup menjadi hipokrit kerana budaya politik wang. Penulis sendiri sering mendengar kata-kata daripada akar umbi bahawa 'kekuasaan ditentukan wang dan tipu daya politik', 'untuk apa memegang jawatan kalau tidak memberikan apa-apa pulangan', dan 'siapa yang berduit dialah yang berkuasa'.

Kita bimbang jika penyakit politik wang ini tidak dibendung, maka tujuan sebenar kuasa itu sudah tidak tercapai. Penaburan wang untuk membeli kuasa dan kemenangan ditentukan jumlah wang yang ditaburkan hanya akan melahirkan ahli politik yang menipu diri sendiri dan menipu rakyat.

Politik wang menyebabkan pemilihan pemimpin bukan lagi dibuat atas siapa yang sanggup memperjuangkan kehendak rakyat dan kepentingan negara, sebaliknya siapa yang banyak menabur wang dan menjanjikan habuan kepada pengikutnya jika menang.

Hakikat politik wang ialah kita sebenarnya mengajar pengikut menjadi tidak bertanggungjawab dan kita mendidik mereka untuk menipu. Kuasa bukan lagi untuk kepentingan masa depan, sebaliknya kuasa menjadi jambatan kekayaan. Kesannya, politik kita semakin jauh daripada perjuangan politik kebangsaan.

Politik kekuasaan hanya akan melahirkan golongan ahli politik kaya raya yang menggunakan kuasa dan kekayaan untuk 'menjajah' pemikiran rakyat. Apabila politik wang sudah membarah serta tidak dapat diubati lagi, maka ia membantutkan penyertaan politik yang bermoral dan beretika.

Jangan marahkan rakyat, khususnya bangsa Melayu sekiranya mereka terus meminta minta dan mengharapkan tongkat kerana puncanya adalah didikan ahli politik yang gilakan kuasa menabur wang untuk menang dalam persaingan kuasa.

Rakyat yang dididik dengan suapan politik wang akan memiliki pemikiran politik yang tertutup dan kesannya akan lahir masyarakat yang tidak lagi mampu menggunakan hak politik mereka untuk mengangkat ahli-ahli politik yang dapat membina pemerintahan yang sihat.

Mereka dilihat sebagai pemimpin kerdil yang tidak diperlukan dalam parti dan politik tanah air. Keadaan ini perlu diperbetulkan. Justeru, kita berharap Umno yang setakat ini masih kekal sebagai parti terbesar dan parti teras dalam politik nasional mengorak langkah membina semula penyertaan politik di kalangan ahlinya secara sihat, berakhlak dan beretika.

BH 15/10/08

Wednesday, October 8, 2008

Datuk Seri Abdullah berkorban untuk parti
Teka teki sama ada Pak lah akan mempertahankan jawatan Presiden atau sebaliknya telah terjawab. Paka Lah telah memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno .
Dengan keputusan tersebut bermakna proses`peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib akan menajdi kenyataan pada , Mac tahun depan.
Esok, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan akan mengadakan persidangan akhbar di Terengganu untuk menjawab pertanyaan mengenai peralihan kuasa tersebut.
Dalam keadaan terharu, kesamua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Pak Lah.
Bagi Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting ia menyifatkannya sesuatu yang bersejarah kerana parti-parti komponen diberi peluang menyertai perbincangan dalam perjumpaan dengan Pak Lah.
Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu pula berpendapat Pak lah telah membuat satu keputusan yang baik.
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menghormati keputusan Pak lLah serta menyifatkannya sebagai satu penghargaan kepada BN dan parti komponen lain.
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini meminta disegerakan peralihan kuasa menganggap ianya satu pengorbanan yang besar dan wajar dihormati. Muhyiddin dilaporkan akan mengumumkan pendiriannya bertanding jawatan Timbalan Presiden Jumaat ini.
Mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang selama ini banyak mengkritik pentadbiran Paka Lah menyifatkan keputusan tersebut yang dibuat Pak lah sebagai tindakan dan keputusan yang baik untuk parti. Beliau turut mengingatkan najib supaya menunjukkan kepada rakyat beliau boleh melakukan perubahan, bukan sekadar menuruti.
Adakah Datuk Seri Najib akan dicabar, sama-samalah kita tunggu selepas selesai mesyuarat-mesyuarat bahagian Umno nanti.
-- Megatrambai.
Umno memaknakan seruan Hang Tuah

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

DALAM meniti perjuangan selama 61 tahun, Umno melakar banyak kejayaan untuk bangsa, agama dan negara. Kelahiran Umno di Istana Johor pada 1946 membawa makna yang cukup penting terhadap perubahan dan kemajuan orang Melayu. Walaupun secara relatifnya, pencapaian bangsa Melayu masih boleh dipersoal, tetapi realitinya Umno yang menerajui Barisan Nasional (BN) berjaya melaksanakan pelbagai dasar dengan mengambil kira kepentingan bangsa Melayu.
--

Namun, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu, kedudukannya mula goncang. Walaupun prestasi Umno tidaklah seburuk MCA, MIC dan Gerakan, ia turut menerima kesan. Umno-BN gagal mentadbir Perak dan Selangor kerana kekalahan MCA dan MIC di negeri terbabit.
Sejarah tidak pernah berbohong. Justeru, jika kita mahu menilai secara adil maka kita harus akui Umno bukan saja membawa kemajuan zahir (material), malah juga membangun dan membina minda dan psikologi bangsanya adalah realiti yang boleh ukur.
--
Dalam jangka masa kira-kira 50 tahun selepas merdeka, kemajuan bangsa Melayu melonjak begitu pantas dalam semua bidang sedangkan hampir lima abad penjajah berjaya melemahkan psikologi dan minda bangsa Melayu. Ia sesuatu yang mengagumkan.
--
Dengan mengambil kira kedudukan bangsa Melayu dan kefahaman rakan politik bukan Melayu yang sama-sama merangka 'kontrak sosial', maka aspirasi bangsa Malaysia dicerna melalui pelaksanaan beberapa dasar negara seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).
--
Demikianlah untuk tempoh 20 tahun (1971-1990) kerajaan Umno-BN berjaya melaksanakan transformasi sosioekonomi rakyat ke arah mencapai perpaduan negara. Semangat DEB dilanjutkan melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) sejak 1991 yang diterap dan dilaksanakan melalui rancangan pembangunan lima tahun sehingga 2020.
--
Malangnya, sejak akhir-akhir ini wujud segolongan generasi muda yang saya kira jauh sekali daripada memahami akar umbi dan sejarah tanah air, mula mempersoalkan sejarah bangsa Melayu, ketuanan Melayu, hak-hak keistimewaan orang Melayu bahkan lebih jauh daripada itu mempersoalkan kedudukan agama Islam.
--
Perkara yang sudah sahih ini ditimbulkan melalui pelbagai forum yang dianjurkan oleh golongan yang mempunyai agenda tertentu. Dengan berpandukan teori Barat yang lemah dan diputarbelitkan, golongan ini berani menyatakan bahawa orang Melayu adalah juga kaum pendatang yang berasal dari Yunnan (teori Heine-Geldern) atau berasal dari Champa (teori Hendrick Kern) sedangkan sumber China menyebut sejak 645 Masihi lagi, sudah wujud sebuah kerajaan bernama Mo-lo-yue yang terletak di Kota Jambi.
--
Demikian juga teori yang dibangunkan oleh ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati ras Melayu-Polinesia sudah wujud di alam Melayu sejak ribuan tahun lalu yang bertebaran di seluruh Nusantara.
--
Justeru, saya ingin bertanya suara siapakah yang berniat jahat sebenarnya? Siapakah sebenarnya yang mencetuskan isu-isu sensitif ini terlebih dulu? Suara songsang terbabit seolah-olah mengimbau kembali isu Melayu ketika sebelum kelahiran Umno. Umno lahir atas latar belakang sejarah bangsanya yang cuba dimusnahkan oleh Inggeris secara halus dan licik.
--
Kemuncak melemahkan politik Melayu berlaku selepas Perang Dunia Kedua apabila Inggeris cuba menukar kedudukan negeri Melayu sebagai negeri-negeri naungan (protected states) kepada tanah jajahan Inggeris sepenuhnya melalui perjanjian dengan Raja Melayu yang dikenali sebagai Malayan Union.
--
Malayan Union mencabar identiti Melayu dan atas kesedaran inilah lahirnya Umno. Orang Melayu sedar bahawa Malayan Union mahu melemahkan sama sekali politik Melayu yang bertunjangkan kepada kedudukan Sultan dan raja-raja Melayu. Namun, orang Melayu tidak hilang arah ketika berdepan saat genting tekanan penjajah.
--
Gagasan Malayan Union yang memerangkap raja-raja Melayu untuk menyerahkan kedaulatan negeri Melayu kepada Inggeris dihadapi melalui semangat perpaduan yang jitu. Hari ini kita dapati konsep 'Malaysian Malaysia' yang diperjuangkan kembali oleh golongan tertentu cuba memerangkap orang Melayu sekali lagi.
--
Umno lahir dengan semangat ingin mempertahan dan mengekalkan identiti Melayu. Identiti Melayu bergantung kuat kepada kedudukan Raja-raja Melayu yang berdaulat, Bahasa Melayu, adat istiadat Melayu dan agama Islam. Justeru, bertitik tolak daripada persoalan identiti Melayu yang dicabar inilah, maka Umno meletakkan 'ketuanan Melayu' sebagai asas dan tonggak perjuangannya.
--
Untuk memastikan identiti dan politik Melayu tidak hilang arah, maka Umno bersetuju untuk meletakkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan segala yang bersangkut dengan institusi itu sebagai lambang dan identiti kuasa Melayu. Demikianlah Umno cuba memaknakan seruan Hang Tuah 'takkan Melayu hilang di dunia'.
--
Jumaat ini, Umno akan memulakan mesyuarat bahagiannya. Walaupun dijangkakan isu kepemimpinan akan menjadi fokus utama, Umno harus serius membincangkan agenda bangsa Melayu. Umno tidak perlu takut atau dayus membincangkan ketuanan Melayu kerana selama ini terbukti ketuanan Melayu tidak merampas hak-hak kaum lain.
--
Sesungguhnya kekuatan Umno bergantung kepada akar umbinya. Akar umbi akan berfungsi dengan baik dan berkesan jika ia tidak mudah dipengaruhi amalan politik wang kerana budaya keji ini boleh menutup pintu demokrasi dalam parti. Dengan jumlah ahli hampir tiga juta, Umno harus menjana kemunculan pemimpin pelapis yang bertenaga dan berwibawa.
-
--- BH 8/10/08

Sunday, October 5, 2008

Tasawuf penawar kemelut kehidupan

Oleh Mohd Ayop Abd Razid ayop_60@yahoo.com

'SELAMAT Hari Raya, Maaf Zahir Batin'. Ucapan tradisi yang lazim dilafazkan kepada rakan taulan ketika menyambut lebaran. Dalam masyarakat kita ucapan itu turut diucapkan oleh masyarakat bukan Islam kepada rakan Islam mereka. Ia menggambarkan perpaduan, kemesraan dan keharmonian hidup masyarakat kita.

Aidilfitri adalah masa untuk kita membuktikan ketakwaan. Ia selari dengan tujuan dan matlamat ibadat puasa itu sendiri. Tujuan dan hikmah Aidilfitri adalah untuk menzahirkan syiar Islam. Inilah masanya hubungan sesama manusia dipereratkan kembali. Syawal sepatutnya menjadi bulan kemaafan sesama manusia dengan menghulur tangan bersalam-salaman penuh keikhlasan. Inilah kesan ‘madrasah’ Ramadan yang membentuk diri dan masyarakat berasaskan keimanan.

Madrasah Ramadan mendidik kita menjaga lidah, mata, menahan diri daripada marah, sabar dan membuang segala sifat tercela yang selama ini bersarang di hati.

Justeru, janganlah kita rosakkan kebersihan jiwa yang terbina sepanjang Ramadan dengan melakukan kembali kejahatan zahir dan batin di Aidilfitri ini. Bukankah Aidilfitri itu membawa maksud ‘kembali kepada fitrah’? Justeru, mengapa harus kita kotor dan rosakkan kembali fitrah kita?

Ramadan dan Syawal adalah bulan mulia. Ia adalah bulan terbaik untuk kita menjernihkan dan membersih jiwa daripada kekotoran rohani yang melekat di kalbu. Kedua-dua bulan ini menyediakan ‘jalan rohani’ untuk membina keinsafan. Jalan rohani dalam Islam sering dikaitkan dengan amalan tasawuf, iaitu amalan al-mujahadah.

Al-Mujahadah adalah perjuangan bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu supaya diri yang terhijab (terdinding) dapat keluar daripada akhlak hina dan masuk ke dalam akhlak yang mulia.

Bertolak daripada pengertian di atas, maka dalam tulisan kali ini ingin saya membicarakan mengenai tasawuf sebagai kaedah penyelesaian kepada kemelut kehidupan hari ini.

Saya bukanlah ahli dalam selok belok tasawuf atau pengamal tarikat, tetapi sebagai seorang Muslim, saya sentiasa berusaha meneliti tulisan ilmuwan, di samping membiasakan diri mendengar kuliah atau tazkirah agama di masjid dan surau. Yang penting, kita hendaklah membuka minda, melapangkan dada serta bersabar dalam menuntut ilmu.

Bagi saya tasawuf sebenarnya mempunyai impak positif dalam kehidupan sekiranya ia difahami dengan petunjuk al-Quran dan sunnah nabi SAW. Saya yakin jika kita memahami tasawuf secara positif, bukan secara kabur dan menyeleweng, maka ia dapat membantu kita ke arah pembentukan jiwa yang sentiasa takut (khauf) akan ‘balasan akhirat’ dan ‘pengadilan Ilahi’ di Padang Masyar nanti.

Kita bukannya ingin menjadi wali atau manusia maksum kerana itu sukar dicapai oleh manusia seperti kita. Bagi orang sufi, ia adalah pilihan dan pemberian Allah kepada hambanya yang terpilih. Yang kita dambakan ialah hati yang sentiasa hidup untuk bertaubat serta rindu dengan pencipta kita Allah SWT.

Menerusi tasawuf juga bukan bermaksud kita perlu memencilkan diri di satu sudut mehrab tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling kita. Bukan itu maksudnya. Nabi dan sahabat tidak berbuat demikian, malah mereka sangat prihatin dan peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Sikap mereka sentiasa menegakkan ’amar maaruf nahi mungkar’, bukannya sibuk merebut kuasa atau mencari pengaruh serta harta kekayaan.

Bagaimana kita melihat dunia bergantung kepada tasawwur yang kita miliki. Ada manusia yang melihat alam ini sebuah ‘phantasmagoria’ (sebuah permainan) dan ada pula yang melihat dunia ini bagaikan penjara yang dikuasai kejahatan. Tasawwur Islam melihat dunia adalah fenomena ciptaan dan rencana Tuhan yang indah sebagai tempat latihan dan beribadah. Dalam Islam, istilah ‘al-dunya’ membawa pengertian sesuatu yang ada, selain Allah SWT (‘ma siwa Allah’).

Tasawuf melihat dunia sebagai hijab yang menjadi halangan sampainya hubungan rohani seorang hamba kepada khaliknya (penciptanya). Justeru, amalan zuhud adalah kaedah terbaik memecahkan hijab antara hamba dengan tuhannya. Bagi orang sufi, amalan zuhud akan menatijahkan berlakunya pengosongan kalbu daripada selain tuhan dan pada masa sama dipenuhi kalbunya dengan zikir (ingatan) terhadap Allah SWT.

Indah nampaknya, tetapi bukannya mudah untuk dirasai melainkan dengan mujahadah. Profesor Fazlur Rahman mengungkapkan zuhud bukanlah bermaksud mengabaikan hal-hal duniawi, tetapi ia adalah aspek praktik tasawuf dalam rangka memberikan penyelesaian terhadap masalah sosial, politik, ekonomi dan budaya.

Prof Dr HM Amin Syukur dalam bukunya Menggugat Tasawuf (1999) menyatakan ada dua elemen yang terkandung dalam nilai tasawuf iaitu ‘futuwwah’ dan ‘itsar’. Futuwwah ialah sikap berusaha menghapus rasa keangkuhan diri, membina sabar dan tabah terhadap ujian. Ia adalah kunci segala kebaikan.

Itsar pula adalah nilai yang mengutamakan orang lain daripada diri sendiri. Nilai itsar akan membawa seseorang itu prihatin terhadap kesulitan dan musibah yang dihadapi orang lain lalu ia dengan mudah menghulurkan pertolongan dengan tulus ikhlas demi keredaan Allah SWT. Justeru, pada Syawal yang mulia ini tunjukkanlah kemurahan dan kedermawan kita kepada mereka yang memerlukan.

Apa pun, kita sebenarnya memiliki warisan khazanah ilmu dan amalan tasawuf yang boleh dijadikan panduan dan amalan dalam berhadapan pelbagai kemelut kehidupan, termasuk kemelut politik sekali pun.

Apa yang penting ialah ajaran tasawuf harus dilihat secara positif dan diamalkan mengikut petunjuk al-Quran dan as-Sunnah, bukannya mengikut kehendak guru tasawuf yang memiliki agenda peribadi dan menyeleweng.

BH 1/10/08