Sunday, August 3, 2008

The Seven Sisters' boneka Amerika

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

SELEPAS berakhirnya Perang Dunia Kedua, minyak mula menjadi idaman kuasa Barat dan kemudian muncul tujuh syarikat minyak antarabangsa. Tujuh syarikat terbabit ialah Oil of New Jersey, Royal Dutch Shell, Anglo Persian Oil Company (BP), Standard Oil of California (Chevron), Standard Oil of New York (Exxon Mobil), Gulf Oil dan Texas Oil Company (Texaco).

Pakar tenaga Itali, Enrico Mattei menamakan ketujuh-tujuh syarikat gergasi minyak itu sebagai 'The Seven Sisters'.

Majalah perniagaan terkemuka Fortune dalam salah satu edisi keluarannya pada 1973 menyatakan 'The Seven Sisters' dikuasai pemodal Yahudi. Berpuluh tahun sebelum lahirnya Pertubuhan Negara Pengeluar Minyak (Opec), mereka mendominasi sebanyak 40 peratus industri pengeluaran minyak dunia.

Kelahiran Opec pada 1960 memberikan saingan kepada 'The Seven Sisters' kerana negara Arab secara beransur-ansur mula berupaya mengurus dan mengendalikan pengeluaran minyak mereka sendiri.

Perkembangan ini pastinya tidak disenangi kuasa Barat, terutama Amerika Syarikat (AS). AS yang mula muncul sebagai kuasa unipolar selepas runtuhnya Soviet Union (ideologi komunis) mula menjadi rakus dan gelojoh untuk menguasai negara Teluk, kawasan pengeluaran minyak dunia.

Ini selari dengan 'doktrin minyak' AS sejak berlakunya perang Arab-Israel 1973. Berikutan sekatan minyak Arab ketika itu, mendorong AS menjadikan minyak sebagai perancangan strategik dasar luarnya.

Justeru, tidak hairanlah AS sering memberikan tekanan kepada Opec dan Arab Saudi terutama dalam pengeluaran minyak. Walaupun politik Arab Saudi dikatakan berkiblat AS, dalam hal pengeluaran minyak, negara itu tidak mudah tunduk kepada tuntutan AS.

Arab Saudi pada awal penemuan minyaknya di wilayah al-Hasa tidak mempunyai kepakaran teknologi dan pengurusan dalam pengeluaran minyak. Justeru, negara berkenaan memberikan konsesi mengusahakan industri minyaknya kepada dua syarikat minyak dari AS iaitu Standard Oil Company of California (1933) dan Texas Oil Company (1934).

Pada 1945 kedua-dua syarikat minyak berkenaan bergabung dan dikenali sebagai Caltex. Selepas itu ia bergabung dengan badan yang mengurus hal-ehwal minyak Arab Saudi. Gabungan ini dikenali sebagai Arabian American Oil Company (Aramco) yang bertanggungjawab mengurus industri minyak Arab Saudi sehingga kini.

Kemunculan tujuh syarikat gergasi baru iaitu Aramco (Arab Saudi), NIOC (Iran) Gazprom (Russia), PDVSA (Venezuela), CNPC (China), Petrobras (Brazil) dan Petronas (Malaysia) memberi cabaran kepada 'The Seven Sisters'.

The Financial Times (2007) menulis mengenai kebangkitan syarikat gergasi minyak baru ini dengan tajuk The New Seven Sisters. Namun, The New York Times (Jun 2008) melaporkan bahawa Shell, BP, Exxon Mobil, Total dan Chevron masih tetap bertenaga mendominasi pengeluaran minyak dunia.

The New York Times menganggap kelima-lima syarikat asal itu sebagai pewaris The Seven Sisters. Laporan 'The Role of Asian Oil Companies' menyatakan penguasaan pemain baru dalam industri minyak global masih kecil (sekitar dua peratus) daripada pengeluaran minyak global pada 2005-2006.

Positifnya, Badan Tenaga Antarabangsa (EIA) meramalkan 40 tahun akan datang, mereka dijangka mampu menyaingi syarikat gergasi minyak dunia yang asal.

'The Seven Sisters' menolak apa yang dinamakan sebagai nasionalisme minyak Iraq pada era Saddam Hussein. Serangan AS ke atas Iraq pada 2003 adalah usaha negara berwatak 'koboi' itu menguasai pengeluaran minyak dunia dan sekali gus memastikan 'The Seven Sisters' terus mendominasi pengeluaran minyak.

AS membohongi dunia kononnya Iraq memiliki senjata pemusnah besar (WMD). Kini, tuduhan cuba dikenakan ke atas Iran dan ketegangan hubungan AS-Iran semakin memuncak.

Amat jelas, selepas mengorbankan ratusan ribu nyawa penduduk Iraq, AS mula menguasai kawasan telaga minyak dan gas Iraq. 'The Seven Sisters' akan menjadi 'anak emas' menandatangani transaksi pengeluaran minyak bernilai ratusan juta dolar untuk kerja mengeksplorasi minyak Iraq, terutama di Basra yang mampu mengeluarkan dua juta tong minyak sehari.

Apakah janji bakal calon Presiden AS, Barack Obama untuk membawa keluar semua tenteranya dari Iraq menjelang 2010 akan turut mengembalikan kedaulatan ekonomi Iraq, khususnya dalam penguasaan minyak? Rasanya sukar bagi AS berbuat demikian kerana 'doktrin minyak' menjadi sebahagian daripada dasar luarnya. ----------- BH 30/7/08

No comments: