Thursday, August 14, 2008

Rakyat bijak menilai kerajaan prihatin

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

KETIKA merasmikan Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Antarabangsa (ICC) 2008 Kedua di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu pada 16 Jun lalu, Datuk Seri Najib Razak dalam ucap tama bertajuk 'Meneraju Melangkaui Sempadan: Pembaharuan di Sebalik Revolusi' memberi gambaran bahawa kerajaan di seluruh dunia mungkin berdepan bajet defisit kesan krisis minyak dan makanan global.

Realitinya, kenaikan harga minyak dan krisis makanan global mendorong kenaikan harga barang, sekali gus menyebabkan krisis inflasi global. Pada keseluruhannya kadar inflasi negara untuk 2007 adalah sekitar dua peratus, manakala Thailand pada kadar tiga peratus, Singapura (empat peratus), Indonesia (6.2 peratus), Filipina (tiga peratus), Korea Selatan (tiga peratus), China (enam peratus) dan Taiwan (empat peratus).

Pada Jun lalu kadar inflasi negara meningkat kesan kenaikan harga minyak domestik. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop meramalkan inflasi Jun meningkat kepada tujuh peratus sementara Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad pula meramalkan kadar inflasi pada Jun ialah 7.7 peratus, iaitu tertinggi sepanjang 27 tahun.

Kenaikan kadar inflasi memberi tekanan kepada kehidupan rakyat. Justeru, beberapa langkah dilaksanakan kerajaan untuk berdepan suasana ini. Terbaru ialah mewujudkan Majlis Ekonomi bagi menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi. Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut dianggotai sektor swasta.

Kewujudan Majlis Ekonomi mengingatkan kita ketika berlaku krisis kewangan serantau pada 1997/98 apabila kerajaan ketika itu membentuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang menjadi alat berkesan membina keyakinan masyarakat pedagang, pelabur dan rakyat. Justeru, kita berharap Majlis Ekonomi akan menjadi alat yang mampu memantau, mencadang dan menyelia pelaksanaan polisi serta program bagi mengatasi masalah inflasi dan kelembapan ekonomi dengan berkesan.

Penstrukturan semula subsidi minyak adalah langkah awal kerajaan meringan bebanan peningkatan kos hidup rakyat. Ia bertujuan memastikan pemberian subsidi dapat dinikmati kumpulan sasar. Pemilik kenderaan menikmati subsidi langsung (rebat) antara RM50 hingga RM650. Selain itu, pengurangan cukai jalan sebanyak RM200 diberikan kepada kenderaan persendirian yang lebih daripada 2000cc dan RM50 untuk motosikal persendirian lebih daripada 250cc dan RM200 kepada pemilik dan pekerja perkapalan berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

Kerajaan turut prihatin terhadap bekalan makanan negara. Pelaksanaan Dasar Jaminan Bekalan Makanan dengan peruntukan RM2.49 bilion membuktikan keprihatinan kerajaan. Melalui dasar ini, petani dan peladang turut menikmati subsidi kos input pertanian melalui peruntukan sebanyak RM513 juta sebagai satu insentif kepada mereka.

Bagi mereka yang mengusahakan sawit dan getah mampu menseimbangkan keadaan kehidupan mereka hasil lonjakan harga komoditi berkenaan. Perlu diingat bahawa sebelum ini kerajaan sudah memberi pinjaman buku teks percuma kepada semua lapisan masyarakat.

Melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), empat langkah bagi membantu sektor pembuatan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilaksanakan. Ia termasuk mengurangkan kadar pinjaman mudah untuk PKS serta meningkatkan had pembiayaan sehingga 90 peratus, membenarkan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) iaitu institusi kewangan di bawah Miti, meluaskan skop pembiayaannya meliputi semua sektor perindustrian.

Dua lagi langkah ialah membenarkan pekilang mendapatkan bayaran 10 peratus daripada jumlah keseluruhan geran Perbadanan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) dan geran Smidec untuk pembelian mesin dan peralatan dibayar terus kepada pembekal mesin dan peralatan. Cara ini mengurang beban kewangan PKS.

Kerajaan juga memberikan perhatian kepada usaha membasmi kemiskinan. Justeru, usaha mengurangkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin menjadi keutamaan kerajaan termasuk mengurangkan kemiskinan antara kaum.

Kita yakin kerajaan berupaya mencari jalan keluar daripada kemelut ekonomi semasa sementara rakyat pula bijak menilai apa yang dilaksanakan kerajaan. Kita juga yakin Bajet 2009 yang akan dibentangkan pada akhir bulan ini akan menawarkan sesuatu yang dapat melegakan emosi dan minda rakyat yang sekarang ini tertekan dengan kenaikan kos hidup. Apa yang jelas ialah rakyat mahu pun kerajaan kini sedang membuat anjakan dan perubahan menghadapi situasi global. ---------- BH 13/8/2008

No comments: