Wednesday, August 27, 2008

Semangat nasionalisme pencetus kemerdekaan

Oleh Mohd Ayop Abd Razid


KEMERDEKAAN negara dicapai melalui gerakan menentang penjajah. Gerakan awal antipenjajah di Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak adalah bersifat setempat (kenegerian), bertujuan mempertahan status quo pemerintah dan pembesar Melayu.

Namun, satu ciri yang jelas gerakan antipenjajah awal ini ialah bangkitnya semangat patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat tempatan yang tidak rela dijajah oleh kuasa asing. Gerakan anti-British dalam bentuk nasionalisme moden muncul pada awal abad ke-20.

Suntharalingam (1985) mendefinisikan nasionalisme sebagai satu fahaman yang matang membabitkan pengiktirafan terhadap kedaulatan rakyat. Ia adalah satu bentuk semangat kebangsaan yang melampaui batasan sempadan politik kenegerian dengan semangat ingin mengangkat kedudukan dan martabat bangsa kepada kedudukan yang maju.

Peringkat awal nasionalisme Melayu dipelopori golongan agama yang menerima pendidikan dari Asia Barat. Tasawur Islam menjadi asas utama golongan yang dikenali 'Kaum Muda' ini. Di antara tokohnya ialah Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin Al-Azhari, Syeikh Mohd Salim Al-Khalali, Hj Abbas Mohd Taha dan Syed Syeikh Ahmad al-Hind.

Selain madrasah, majalah Al-Imam yang diterbitkan di Singapura (1906) menjadi wadah utama mereka menyebarkan idea pembaharuan (islah) dan pemurniaan Islam (tajdid) yang dipelopori Sheikh Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid Ridha dari Asia Barat.

Sekitar 1920-an gerakan nasionalisme Melayu mula membuka wacana perbahasan berhubung soal politik, ekonomi, sosial dan agama. Kebanyakan tokoh nasionalis peringkat ini adalah lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim (ditubuhkan 1922).

MPSI dianggap institusi awal yang menjadi pusat menentang penjajah British sehingga memaksa British menggunakan pendekatan 'pemutihan' dengan memindahkan tokoh akademiknya yang aktif seperti Cikgu Za'ba, Cikgu Abdul Hadi Hassan, Cikgu Harun Aminurrashid dan lain-lain.

Semangat anti-British turut disemarakkan oleh kemunculan kesatuan politik Melayu radikal iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada 1938. KMM bersifat antifeudal dan memperjuangkan gagasan Indonesia Raya.

Ia dianggap 'berfahaman kiri'. Di antara tokoh utamanya ialah Ibrahim Yaakob, Abdul Karim Rashid, Isa Mohamad dan Hassan Manan. Sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua lahir pula pelbagai persatuan yang memberi perhatian kepada matlamat politik, kebajikan dan kepentingan masyarakat Melayu.

Di antara yang dapat disebutkan di sini ialah Kesatuan Melayu Singapura (1926), Persatuan Melayu Perak (1937), Persatuan Melayu Selangor (1938), Persatuan Melayu Miri (1936) dan Persatuan Melayu Sarawak (1939). Antara persatuan yang paling berpengaruh ialah Persatuan Sahabat Pena Melayu (PASPAM) yang ditubuhkan di Pulau Pinang pada 1934.

Selepas Perang Dunia Kedua, nasionalisme Melayu dikaitkan dengan penentangan terhadap Malayan Union yang akhirnya membawa kepada tercapainya kemerdekaan Tanah Melayu (1957). Peranan golongan nasionalis Melayu, khususnya yang mendapat pendidikan Barat dan pendidikan Melayu mendominasi semangat nasionalisme selepas perang.

Kongres Melayu diadakan di Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 memutuskan untuk menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno). Umno lahir pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor.

Umno lahir hasil perpaduan dan semangat nasionalisme yang kuat di kalangan orang Melayu yang berdepan ancaman British. Selepas menjalankan pentadbiran British Military Administration (BMA) selama tujuh bulan, British ingin melaksanakan kerajaan awam pertama dikenali sebagai Malayan Union. Gagasan Malayan Union dibentangkan di House of Commons, London (1945), diluluskan oleh Parlimen England (1946) dan diisytiharkan secara rasmi di Kuala Lumpur pada April 1946.

Malayan Union ditentang hebat orang Melayu kerana kandungan pelaksanaannya menghapuskan kuasa Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam akan tercabar, pemberian kerakyatan kaum imigran mengancam status quo orang Melayu dan beberapa perkara lain yang merugikan orang Melayu.

Akhbar Melayu seperti Majlis, Utusan Melayu dan Pelita menjadi saluran utama menyalurkan suara penentangan ini. Hanya golongan Melayu radikal yang menyokong Malayan Union seperti Parti Pemuda Insaf (Api), Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan Barisan Tani Malaya (Batas). Golongan yang dilabelkan berhaluan kiri ini menyokong kerana mereka antifeudal di samping terpengaruh dengan idea negara republik dan idea 'Melayu Raya' yang diperjuangkan oleh golongan radikal Indonesia.

Kemuncak penentangan Malayan Union ialah apabila orang Melayu dan Raja-Raja Melayu memulaukan majlis perisytiharan Malayan Union pada 1 April 1946. Reaksi tegas yang ditunjukkan oleh orang Melayu menyebabkan British terpaksa berunding dan akhirnya bersetuju untuk menarik balik Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu (1948) melalui perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

--- BH 27/8/08

No comments: