Tuesday, April 8, 2008

Karpal minta PAS lupakan usaha nak jadikan Malaysia negara Islam

Pengerusi DAP Karpal Singh berkata PAS mesti menerima dan menghadapi kenyataan bahawa rakyat Cina dan India di negara itu tidak akan dapat terima pewujudan sebuah negara Islam atau pengenalan kepada undang-undang hudud.

Bagaimanapun, Karpal berkata DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara ini seperti yang termaktub mengikut Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya PAS tidak harus menyimpang daripada apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Karpal menyatakan demikian dalam satu kenyatan Isnin untuk menafikan laporan media bahawa beliau memperkecil-kecilkan usaha kerajaan Kelantan untuk mempromosikan Islam seperti yang didakwa oleh Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Katanya apa yang beliau bantah adalah pengakuan PAS yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.


Beliau berkata tidak syak lagi bahawa kaum Cina dan India di Kelantan yang diterajui PAS berasa gembira "tetapi itu tidak bermakna mereka bersetuju dengan pewujudan sebuah negara Islam atau pengenalan kepada undang-undang hudud".

"Masanya sudah tiba untuk PAS menghentikan usahanya bagi menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan berusaha ke arah kepentingan semua rakyat negara ini tanpa mengira warna kulit, bangsa atau keturunan," kata Karpal.


Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menjelaskan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata pada minggu lepas, PAS sepatutnya menjadi tunjang Pakatan Rakyat sekiranya parti itu mahu merealisasikan hasratnya untuk mewujudkan sebuah negara Islam.

"Kenyataan Menteri Besar Kelantan bahawa saya memperkecil-kecilkan usaha kerajaan negeri Kelantan untuk mempromosikan Islam, adalah mengelirukan. Saya tidak pernah, pada bila-bila masa pun, memperkecil-kecilkan Islam. Kami tidak berbalah dengan PAS melainkan berhubung ideologi asas parti itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud," kata Karpal.

Ahad Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat dilaporkan mengkritik Karpal kerana mengatakan PAS tidak seharusnya bermimpi untuk menjadi tunjang Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu dan mewujudkan sebuah negara Islam.

Nik Aziz turut menyifatkan kenyataan Karpal itu sebagai memperkecil-kecilkan usaha kerajaan negeri Kelantan untuk mempromosikan Islam.- Agenda Daily 7/4/2008


* Lihat pula Apa kata Nik Aziz


Nik Aziz selar kenyataan Karpal Singh perlekeh usaha bangunkan Islam

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh meminta agar PAS tidak memasang angan-angan untuk menunjangi Pakatan Rakyat kerana khuatir ia akan menegakkan negara Islam, sebagai memperlecehkan usaha membangunkan Islam oleh kerajaan Kelantan.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta Karpal Singh memberikan bukti di mana kelemahan PAS yang telah mentadbir Kelantan mengikut acuan Islam selama 18 tahun itu.

"Saya nak tahu apa tak kena Islam dan apa lagi yang dia (Karpal Singh) tak setuju Islam. Semua masyarakat bukan Islam gembira berada di bawah kami (PAS)," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie di pejabatnya di Kota Bharu Ahad.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata PAS wajar menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat yang dibentuk oleh parti- parti pembangkang sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah negara Islam

Ahmad berkata, impian itu akan hanya tercapai akhirnya jika semua pihak memahami dan menerima konsep Islam yang sebenar, yang merupakan agama untuk semua umat manusia.

Nik Aziz menjemput Karpal Singh melawat Kelantan dan melihat sendiri pembangunan di negeri itu yang dibangunkan mengikut acuan Islam.

"Saya tanggung kos penginapan hotel. Tak payah jumpa saya pun tidak apa, jumpalah masyarakat bukan Islam di Kelantan dan lepas itu beritahu apa yang tidak baik dengan Islam ini," katanya.


Nik Aziz berkata, sistem kewangan Islam yang diterapkan kerajaan Kelantan juga telah diikitraf oleh pakar-pakar ekonomi seluruh dunia dan sejak Kelantan di perintah PAS banyak penambahbaikan telah dilakukan termasuk penghapusan riba dan mewujudkan pajak gadai Islam.

Bukan itu sahaja, masyarakat bukan Islam juga diberi hak dengan dilantik sebagai penyelia masyarakat dan saya nak tanya di mana tidak baiknya apa yang kami buat ini," katanya.
Beliau berkata masyarakat bukan Islam juga tidak pernah dipaksa untuk memeluk agama Islam dan sejak penerapan nilai Islam oleh PAS itulah menyebabkan kaum lain merasa selesa di bawah pemerintahan PAS.

Mengulas kunjungan Masahiko itu, Nik Aziz berkata duta itu tertarik dengan kerajinan wanita Kelantan mencari nafkah yang berbeza di tempat lain.

"Saya jemput duta itu untuk melawat Pasar Besar Siti Khadijah dan Pasar Borong Wakaf Che Yeh untuk melawat dari dekat kerajinan wanita Kelantan ini," katanya.- Agenda Daily 6/4/2008


* Apa pula komen anda tentang dua pandangan tersebut?







No comments: