Tuesday, April 29, 2008

1,000 DIJANGKA SERTAI KONGRES PERMUAFAKATAN MELAYU
Oleh : Hasniza Hassan/ Berita Harian 28 April 2008

JOHOR BAHRU 28 April - Kira-kira 1,000 wakil daripada lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan mengambil bahagian dalam Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan di sini pada 2 dan 3 Mei ini. Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dijadual merasmikan kongres berkenaan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Persada. Ketua 1 Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Md. Ali Hanafiah berkata, antara NGO yang menghantar wakil ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Anak Melayu Johor dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Menurutnya, lebih 15 kertas kerja mengenai kedaulatan dan politik Melayu akan dibentangkan pada persidangan dua hari itu. "Tajuk-tajuk pembentangan itu nanti akan berteraskan kepada empat permasalahan iaitu kedaulatan politik Melayu, kedaulatan perlembagaan Malaysia, kedaulatan Ekonomi Melayu serta kedaulatan agama, budaya dan pendidikan Melayu," katanya. Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena) berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Kongres anjuran Majlis Muafakat Melayu yang diterajui Gapena dan 300 NGO Melayu itu merupakan reaksi terhadap perkembangan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.Perhimpunan tersebut diadakan berikutan keputusan pilihan raya umum menunjukkan masyarakat Melayu kini berpecah belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi ekonomi dan politik. Antara mereka yang akan hadir dalam kongres tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Johor, Tan Sri Muhammad Ali Hashim; tokoh budaya, Prof Datuk Dr. Zainal Kling dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Hassan Ahmad. Utusan Malaysia merupakan akhbar rasmi kongres berkenaan. Amiruddin berkata, kongres yang bertemakan Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa itu juga akan membuka peluang kepada wakil-wakil NGO untuk memberikan pendapat secara terbuka pada persidangan meja bulat pada hari kedua kongres. "Persidangan tersebut akan dipengerusikan oleh Setiausaha Dua Gapena, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan budayawan, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling," katanya. Amiruddin berharap dengan berlangsungnya kongres itu nanti, bangsa Melayu akan lebih bersatu tanpa mengira fahaman politik demi menegakkan hak yang sepatutnya dijaga. "Jangan sampai kita diperlekeh dan dipermainkan hanya kerana kita tidak tahu hak sebenar orang Melayu," jelasnya.

No comments: