Wednesday, April 30, 2008


MILF Blames Manila for Peace Crisis

MANILA, The Moro Islamic Liberation Front (MILF) on Tuesday, April 28, accused the government of dragging its feet over the implementation of a deal on creating a Muslim homeland in the southern island of Mindanao, the birthplace of Islam in the Philippines.

"The Philippine government bears the responsibility to comply with its commitment to adhere to the consensus points and agreed Memorandum of Agreement draft proposal on Ancestral Domain," MILF leader Murad Ebrahim said in a statement posted on the groups website.

MILF and Manila thrashed out a Malaysian-brokered deal last November on creating a Muslim homeland in the south and revenue-sharing with the federal government.

They agreed to the scope and boundaries of "ancestral domain" or communal land that Muslims lost when the colonial government introduced a system of land titles.

The deal was supposed to serve as a cornerstone for further peace talks, which have since stalled because government hawks oppose giving large swathes of land and water to the MIFL.

MILF has been calling for a regional government in Mindanao, the birthplace of Islam in the Philippines, and a greater control over the region's wealth of resources.

The mineral-rich southern region of Mindanao is home to more than 5 million Muslims.

Clashes Feared
MILF also blamed the Manila government for the scheduled withdrawal of Malaysian peacekeepers from the south.

Malaysia said it would pull out its 60-person force from the International Monitoring Team (IMT) when its mandate expires in September, expressing concern over the talks' slow progress.

Kula Lumber heads the IMT, tasked with monitoring the implementation of a 2004 ceasefire in Mindanao.

"If the peace process fails as a result of the government's dilly-dallying and spoiling, we are left with no choice but to seek other means of achieving our objective," warned Ebrahim.
"Should that happen, the government is to blame for failing to settle the conflict through diplomatic means."

Rommel Banlaoi, of the Philippine Institute for Political Violence and Terrorism Research, warned that the ceasefire could collapse if Malaysia pulled its peacekeepers.

"Malaysia is making a signal to the Philippine government that something has to be accomplished after almost four years of Malaysian presence in the southern Philippines," he told the Voice Of America (VOA).

Muslims make up nearly 8 percent of the total populace in Catholic Philippines, which Islam reached in the 13th century about 200 years before Christianity.

The near 40-year conflict in Mindanao has killed more than 120,000 people, displaced about two million and left large parts of the island mired in poverty.

Source: www.islamonline.com

Tuesday, April 29, 2008

1,000 DIJANGKA SERTAI KONGRES PERMUAFAKATAN MELAYU
Oleh : Hasniza Hassan/ Berita Harian 28 April 2008

JOHOR BAHRU 28 April - Kira-kira 1,000 wakil daripada lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan mengambil bahagian dalam Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan di sini pada 2 dan 3 Mei ini. Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dijadual merasmikan kongres berkenaan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Persada. Ketua 1 Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Md. Ali Hanafiah berkata, antara NGO yang menghantar wakil ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Anak Melayu Johor dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Menurutnya, lebih 15 kertas kerja mengenai kedaulatan dan politik Melayu akan dibentangkan pada persidangan dua hari itu. "Tajuk-tajuk pembentangan itu nanti akan berteraskan kepada empat permasalahan iaitu kedaulatan politik Melayu, kedaulatan perlembagaan Malaysia, kedaulatan Ekonomi Melayu serta kedaulatan agama, budaya dan pendidikan Melayu," katanya. Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena) berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Kongres anjuran Majlis Muafakat Melayu yang diterajui Gapena dan 300 NGO Melayu itu merupakan reaksi terhadap perkembangan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.Perhimpunan tersebut diadakan berikutan keputusan pilihan raya umum menunjukkan masyarakat Melayu kini berpecah belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi ekonomi dan politik. Antara mereka yang akan hadir dalam kongres tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Johor, Tan Sri Muhammad Ali Hashim; tokoh budaya, Prof Datuk Dr. Zainal Kling dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Hassan Ahmad. Utusan Malaysia merupakan akhbar rasmi kongres berkenaan. Amiruddin berkata, kongres yang bertemakan Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa itu juga akan membuka peluang kepada wakil-wakil NGO untuk memberikan pendapat secara terbuka pada persidangan meja bulat pada hari kedua kongres. "Persidangan tersebut akan dipengerusikan oleh Setiausaha Dua Gapena, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan budayawan, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling," katanya. Amiruddin berharap dengan berlangsungnya kongres itu nanti, bangsa Melayu akan lebih bersatu tanpa mengira fahaman politik demi menegakkan hak yang sepatutnya dijaga. "Jangan sampai kita diperlekeh dan dipermainkan hanya kerana kita tidak tahu hak sebenar orang Melayu," jelasnya.

Sunday, April 27, 2008


Isu keris: Ketua Pemuda Umno mohon maaf
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta maaf dalam isu keris. Persoalannya, tercabarkah maruah Melayu?
Datuk Syed Ali Al-Habshee, Ketua Umno Bahagian Cheras mengkritik tindakan Hishammudin sebagai menjatuhkan maruah orang melayu. Kritikannya dibuat ketika berucap merasmikan perhimpunan agung khas Umno bahagian Cheras di ibu negara pada 27 April di hadapan 222 perwakilan yang menghadiri perhimpunan tersebut.
Antara hujahnya ialah: i) Keris adalah lambang orang melayu ii) keris terdapat dalam bendera orang Melayu iii) Seri Paduka Baginda YDPA pun mencium keris ketika pertabalan baginda.
Apa pula komen anda?
Makanan asas ‘ancam’ kedaulatan

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

KRISIS makanan dunia semakin meruncing dengan sekurang-kurangnya tiga negara pengeluar utama beras bertindak menguatkuasakan larangan eksport, menyebabkan harga komoditi itu melambung di pasaran antarabangsa, kelmarin.

Langkah Vietnam, Brazil dan India menyekat eksport beras bagi menjamin bekalan mencukupi untuk rakyatnya juga mencetuskan kebimbangan sehingga mendorong mereka menyorok bahan itu, manakala beberapa negara lain menaikkan harganya.

Menurut seorang pegawai Bank Dunia, Thailand membekalkan sepertiga bekalan beras dunia mungkin mengehadkan jualannya tahun ini, manakala bekalan gandum, jagung dan kacang soya juga semakin sukar diperoleh, menyebabkan ketegangan di beberapa negara, termasuk Haiti dan Mesir.

Beras adalah makanan ruji atau makanan asas negara. Justeru, perkara berkaitan sekuriti makanan perlu menjadi keutamaan negara. Pertubuhan Makanan dan Pertanian Antarabangsa (FAO) (1983) mendefinisikan sekuriti makanan sebagai ‘akses’ bagi semua penduduk ke atas makanan yang cukup untuk hidup sihat dan aktif.’

Konsep sekuriti makanan mengikut tahap antarabangsa pula ialah tanggungjawab semua negara untuk memastikan pasaran dan harga makanan stabil, manakala pada tahap negara pula ia didefinisikan sebagai keupayaan untuk memastikan penawaran makanan yang stabil dalam pasaran domestik.

Biasanya sesebuah negara mempunyai dua pilihan dalam menentukan bekalan makanannya, iaitu sama ada mengimport atau menghasilkannya sendiri. Jika negara memutuskan untuk mengimport makanan dari negara lain, maka negara harus bersedia mengambil risiko.

Pilihan terbaik ialah kita mengurangkan pergantungan terhadap negara luar sebaliknya meningkatkan pengeluaran makanan secara berstrategi dan terancang.

Dalam keadaan dunia berdepan krisis makanan global, maka persoalan mengenai sekuriti makanan negara perlu diberi perhatian serius, bukan saja dari sudut bekalan, malah sudut akses kepada makanan. Kita wajar melihat makanan asas rakyat membabitkan soal kedaulatan dan maruah negara.

Persoalan ini amat jelas apabila kita masih bergantung kepada pengimportan makanan melebihi RM12 bilion setahun. Pada 1996, import makanan (termasuk makanan ternakan) dan input pertanian adalah RM10.5 bilion berbanding RM4.6 bilion pada 1990. Pada 1997 (Januari-Oktober) importnya adalah RM9.1 bilion. Hari ini ia sudah melebihi RM12 bilion.

Negara hanya mampu menghasilkan kira-kira 1.1 juta tan metrik padi setahun. Jumlah ini hanya mampu menampung kira-kira 75 peratus daripada jumlah penduduk negara. Untuk menampung kekurangan beras, negara terpaksa mengimport dari luar, terutama dari Thailand yang mampu menghasilkan 30 juta tan metrik padi setahun. Pada 2005, import beras negara mencecah nilai hampir RM700 juta.

Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) adalah satu-satunya pengimport tunggal beras negara hanya mampu menyimpan kira-kira 600,000 tan metrik beras untuk tempoh selama enam bulan. Kedudukan semasa menunjukkan harga beras putih yang diimport naik lebih 150 peratus, iaitu meningkat daripada AS$328 satu tan metrik pertengahan tahun lalu kepada AS$567 satu tan metrik bulan lalu.

Dalam keadaan negara kekurangan makanan, maka sudah pasti kita terpaksa bergantung kepada ihsan negara luar. Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil kedaulatan dan maruah negara terancam.

Keadaan ini sudah berlaku di kebanyakan negara miskin yang mengharapkan belas ihsan badan dunia seperti FAO, Bank Dunia dan kuasa unipolar Amerika Syarikat kerana sudah menjadi tabiat negara Barat apabila menghulurkan bantuan atas nama kemanusiaan, mereka tetap mempunyai agenda lain.

Di kebanyakan negara miskin dan sedang membangun, penguasaan syarikat transnasional dan multinasional ke atas sebahagian besar input pertanian negara berkenaan memberikan tekanan kepada kerajaan dan rakyat negara itu sehingga mereka hilang maruah dan kedaulatan.

Negara berkenaan bukan saja terpaksa bergantung kepada input pertanian, malah sistem pemasaran, mekanisme simpanan dan penghantaran turut dikuasai syarikat pertanian konglomerat luar.

Rakyat Malaysia masih boleh berasa lega kerana kerajaan masih berupaya mengurus hala tuju pertanian negara, sekali gus dapat menjamin sekuriti makanan negara berada di landasan betul.

Dasar Pertanian Negara tetap mengambil kira keselamatan bekalan makanan negara dan kesan liberalisasi perdagangan terhadap daya saing pengeluaran dan perdagangan pertanian.

Bagaimanapun, seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kita tidak boleh menunggu sehingga keadaan bekalan makanan negara meruncing baru bertindak. Justeru, langkah perlu diambil sejak awal lagi. Dalam keadaan populariti kerajaan merosot selepas pilihan raya umum lalu, maka kerajaan mesti berhati-hati kerana jika negara terperangkap dalam krisis makanan, kerajaan akan terus menjadi sasaran.

Kerajaan harus mampu menganalisis kesan krisis yang bakal dihadapi dengan melihat kemungkinan yang boleh berlaku. Apa yang penting ialah dalam keadaan dunia berdepan kekurangan dan kenaikan harga makanan asasi disebabkan beberapa faktor global seperti pertumbuhan ekonomi dunia yang rendah, kenaikan minyak mentah dan perubahan iklim serta cuaca bersifat ekstrem, kerajaan perlu menyediakan mekanisme tertentu bagi mengatur langkah segera supaya bekalan dan pengeluaran makanan negara dapat dijamin kestabilannya.

Justeru, kita mengalu-alukan langkah kerajaan untuk melaksanakan Dasar Jaminan Makanan Negara dengan peruntukan awal sebanyak RM4 bilion.

Rakyat pula harus memiliki emosi yang stabil supaya tidak berlaku pembelian panik dan dalam masa sama mampu mengubah cara dan tabiat pemakanan. Di samping itu, rakyat juga harus bersedia memberikan maklumat segera kepada kerajaan mengenai sebarang kegiatan menyorok beras dan barang keperluan lain yang dilakukan oleh peniaga dan pemborong tidak beretika.

Antara faktor penting dalam pengeluaran makanan ialah tanah. Justeru, amatlah tidak wajar dalam keadaan krisis makanan semakin mengancam, kita dengan mudahnya menukarkan tanah pertanian kepada tanah pembangunan.

Abdullah pernah mengingatkan semua kerajaan negeri tidak ‘kedekut’ menyediakan tanah untuk kegiatan pertanian dan industri asas tani.

Kita juga boleh berasa lega apabila Sarawak akan dijadikan jelapang padi kesembilan negara. Sabah juga dilihat berpotensi dalam hal ini. Usaha itu hendaklah dipercepatkan supaya Sarawak yang masih mempunyai kawasan tanah luas benar-benar muncul sebagai negara jelapang padi baru.

Mana-mana tanah terbiar wajarlah dihidupkan semula untuk pertanian dan kerajaan patut memberi insentif kepada sesiapa saja yang sanggup menghidupkan semula kawasan pertanian terbiar, khususnya sawah padi. Dalam konteks ini minda rakyat, terutama generasi muda yang berpendidikan harus melihat industri pertanian bukan sektor orang miskin, tetapi ‘pertanian adalah perniagaan’ yang menguntungkan.

Berita Harian, Sabtu 26/4/2008

Saturday, April 26, 2008


Ulama seluruh dunia Islam yang berjihad memperjuang dan menegakkan agama Allah supaya terus bersinar di bumi ini. Ada di antara mereka telah syahid di tangan musuh dan ada yang masih terus berjuang dan berjihad hingga kini mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Thursday, April 24, 2008

‘Watak tertawan’ melemahkan jati diri bangsa
Allahyarham Professor Syed Husain Al-Atas dalam tulisannya Watak tertawan di negara membangun telah menghurai dan menjelaskan mengenai gejala, sikap dan perangai negara-negara Asia dan Afrika yang memiliki tabiat meniru apa sahaja yang datang dari Barat.
Gejala buruk ini diistilahkan beliau sebagai ‘watak tertawan’. Tulisan beliau terkandung dalam buku Pasca Kolonialisme Dalam Pemikiran Melayu, terbitan DBP pada tahun 2005 ( ms 1 – 11). Tulisan beliau adalah salah satu daripada beberapa tulisan yang terkandung dalam buku tersebut.
Menurut beliau, selepas negara--negara Asia dan Afrika mencapai kemerdekaan- (pasca kolonialisme) wujud satu budaya suka meniru Barat. Penniruan ini kebanyakannya dilakukan tanpa pemikiran yang kritis. Apa sahaja yang disogokkan oleh barat semuanya baik, indah dan bertul belaka.
Lebih lanjut lagi, beliau menjelaskan terdapat dua gejala berkaitan dengan watak tertawan ini.
Pertama, akibat terlalu meniru tanpa usul periksa dan penilaian kritis maka tersebarlah pengaruh budaya Barat yang tidak menguntungkan malah merosakkan masyarakat. Ekoran dari terlalu meniru maka timbullah gejala kedua, iaitu budaya barat menjadi kuasa imperialis. Dalam pengertian lain, budaya barat yang dtiru itu telah menjajah minda dan jiwa anak bangsa kita.
Pertama, akibat terlalu meniru tanpa usul periksa dan penilaian kritis maka tersebarlah pengaruh budaya Barat yang tidak menguntungkan malah merosakkan masyarakat. Ekoran dari terlalu meniru maka timbullah gejala kedua, iaitu budaya barat menjadi kuasa imperialis. Dalam pengertian lain, budaya barat yang dtiru itu telah menjajah minda dan jiwa anak bangsa kita.
Tidak ada masalah dengan budaya yang positif seperti budaya membaca tetapi masalah timbul apabila yang ditiru itu tidak diberi penilaian sewajarnya dan inilah kebiasaan yang berlaku.

Menurut beliau, masalah watak tertawan adalah masalah keperibadian kita yang terikut-ikut secara membuta tuli dan ia akhirnya membawa kepada bangsa yang meniru itu menjadi alat pemikiran dari luar yang bercanggah dengan tamadun, budaya dan anutan agama bangsa itu. Proses ini berlaku secara tidak disedari akibat dari ketiadaan pemikiran kritis dan rasional.
Lebih lanjut lagi Prof. Syed Husain menjelaskan bahawa watak tertawan mengambarkan sesuatu bangsa tidak berupaya atau tidak mempunyai kebolehan ‘meramalkan’ (prediction) terhadap masalah yang akan terjadi akibat peniruan yang membabi buta itu.
Watak tertawan itu mengambarkan kita bukannya bangsa yang berfikir.

Ada bebara cirri yang diketengahkkan tentang watak tertawan ini. Di antara yang dapat saya sebutkan di sini ialah:

*Peniruan (miitative) iaitu peniruan yang khusus tanpa sikap yang rasional dan kritis.

*Tidak berupaya mewujudkan persoalan baru dalam hubungan hidup, sebaliknya hanya mampu meneruskan persoalan yang dicetuskan oleh barat (maksudnya kita gagal melahirkan idea bernas dan praktikal).

*Dalam pendidikan kita terlalu bergantung sepenuhnya bacaan atau sumber dari barat.
Kesimpulannya, watak tertawan merupakan satu masalah besar yang membelenggu minda, mengengkang kemajuan intelektual dan merosakkan jati diri sesuatu bangsa. Nilailah bagsa kita sendiri, adakah kita mempuyai watak yang disebutkan oleh Prof tersebut. - Megatrambai



Tuesday, April 22, 2008

Fitna”: the “religious illiteracy”
By Megatrambai

The film”Fitna” has become controversial and it sparked a religious and political storm all over the world, especially in the Muslim countries. It is obvious that the film reflect the deeply hate on Islam.

The maker of the film, Geert Wilders make a negative assumption against Islam that has been prevailing among western society. Wilders phenomena reflected the “religious illiteracy” among western society.

However, we cannot deny that Muslim society also has the same perception on Christian and the West. The only different, the Muslim does not despicable the Christian religious like western did.

In general and in order to be fair, Muslim should realize that this incident does not reflect the position of western society. In western there are people like Cardinal Rowan William, the Archbishop of Canterbury who support the Islamic law to be implemented in Britain. The cardinal raised the prospect of Islamic law to be recognized within British family law.

In addition, Muslim should look on the positive side of the western society. Today, in some degree, Islam has place in Europe. Readers might agree with me that, today the western society have positive outlook upon the religion. Of course, the negative predisposition will always be.

Historically, the European reformation and enlightenment in 16th, 17th and 18th century is closely correlated with Islam. The dynamism of the Islamic practice and teaching during the “golden era” of the Islamic civilization inspired the European towards changes and reformation. In these contexts, several Muslim thinkers had even been the inspirations for the European humanists in 16th and 17th century.

As conclusion, Wilders understand Islam apart from its context and he did not obtain sufficient information about Islam in a correct perspective.

Monday, April 21, 2008

Menangani krisis makanan global
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Pemanasan global, tumpuan biofuel jejas bekalan punca kenaikan harga

KRISIS makanan dunia kini sudah sampai ke tahap kecemasan. Inilah kenyataan dan amaran yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, beberapa hari lalu.

Krisis ini sudah meningkatkan kebimbangan global apabila pengeluaran beberapa jenis tanaman kontan seperti gandum, jagung dan beras susut secara mendadak di negara pengeluar utama. Beberapa negara Asia turut merasainya meskipun kebanyakan mereka adalah negara pengeluar beras utama dunia.

Keadaan ini memaksa Kerajaan Thailand dan Filipina mengeluarkan stok simpanan beras negara untuk diagihkan kepada rakyatnya. Di Indonesia, keadaan menjadi gawat apabila negara itu terpaksa bergelut dengan kenaikan harga barang seperti gula, gandum dan minyak masak sehingga memberi tekanan kepada kehidupan rakyatnya.

Negara Arab juga tidak terlepas daripada krisis ini. Mereka berdepan dengan kenaikan harga barang keperluan terutama harga gandum yang naik dua kali ganda sejak enam bulan lalu. Yaman, negara Arab yang dianggap paling miskin berdepan dengan kenaikan harga barang sehingga 20 peratus.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) yang bertanggungjawab memantau keperluan makanan dunia bimbang krisis global ini memungkinkan berlakunya lebih banyak rusuhan terutama di negara miskin. Protes keganasan sudah pun berlaku di beberapa negara seperti Haiti, Cameroon, Mesir, Argentina, Mexico, Senegal dan Burkina Faso.

Program Pemakanan Sedunia (WFP) sebuah organisasi yang mengurus bantuan kepada pelarian turut bimbang kenaikan harga barangan yang berterusan akan menjejaskan usaha mereka membantu kira-kira empat juta pelarian rakyat Iraq, Yaman, Palestin dan Mesir.

Keadaan menjadi semakin gawat apabila beberapa negara pengeluar mengambil tindakan menghentikan eksport makanan bijiran mereka ke negara lain. Mesir sudah mula menghentikan eksport beras mereka bagi memastikan bekalan domestiknya kekal pada harga murah, di samping memastikan rakyatnya tidak berdepan krisis kekurangan makanan.

Ban melihat krisis makanan global boleh mengancam usaha badan dunia itu, khususnya dalam kempen memerangi kelaparan kemiskinan sejagat. Ada kira-kira 854 juta penduduk dunia yang kelaparan dan bilangan itu bertambah empat juta orang, setiap tahun.

Untuk menangani krisis kekurangan makanan, beliau meminta masyarakat antarabangsa bertindak segera secara bersepadu supaya ia tidak membawa kepada kesan lebih parah yang boleh mengancam politik dan keselamatan dunia.

Setiausaha Agung PBB itu mencadangkan langkah kecemasan jangka pendek perlu dilakukan bagi memenuhi keperluan makanan yang mendesak di samping melaksanakan tindakan jangka panjang bagi meningkatkan pengeluaran bijirin. Usaha ini dilihat amat mendesak bagi mengelak berlakunya kebuluran di banyak rantau di dunia.

Bolehkah masyarakat antarabangsa mengotakan janji untuk menyumbang bantuan kewangan bagi menangani masalah harga makanan yang semakin meningkat ketika ini? Setakat ini Amerika Syarikat (AS), sudah menghulur bantuan kecemasan sebanyak AS$200 juta (RM640 juta) bagi membantu negara yang mengalami kenaikan harga makanan.
Bantuan ini dikeluarkan AS daripada rizab makanannya yang dikenali sebagai Dana Amanah Kemanusiaan Bill Emerson.

Bantuan yang dihulurkan AS itu bertujuan membantu memenuhi keperluan makanan penduduk di negara Afrika dan rantau lain untuk tempoh masa yang pendek. Bantuan AS itu juga bertujuan mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi ke atas program bantuan makanan kecemasan AS.

Perkembangan semasa menunjukkan harga makanan dunia meningkat sebanyak 40 peratus dan kadar simpanan makanan kini pada tahap terendah. Di antara punca peningkatan harga barang makanan dunia adalah kesan daripada lemahnya ekonomi dunia berikutan kenaikan berterusan harga minyak mentah.
Kini minyak mentah mencecah AS$110.87 (RM349.24) setong dan dijangka mencecah harga tertinggi iaitu sehingga AS$118 (RM371.70) setong. Ketua Pengarah FAO, Jacque Diouf pernah menyatakan kepada akhbar Telegraph bahawa peningkatan harga minyak dan harga makanan dunia bakal mengundang krisis sosial yang teruk pada masa depan.

Kenaikan harga minyak mentah yang tinggi ini memaksa negara maju seperti AS dan Australia membeli bahan bijirin seperti gandum, jagung dan soya dengan harga tinggi untuk penyelidikan biofuel.

Langkah negara maju ini memburukkan lagi krisis kekurangan bekalan makanan terutama di negara miskin. Selain itu, perubahan iklim dunia turut menjejaskan pengeluaran bahan makanan di beberapa tempat sehingga menyebabkan kenaikan harga makanan yang mendadak.

Perubahan iklim disebabkan pemanasan global mula dirasai sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Perubahan ini menyebabkan beberapa wilayah tanaman gandum di Kanada menjadi kering-kontang. Cuaca yang tidak menentu juga turut menjejaskan pengeluaran gandum.

Beberapa negara Asia sudah mula merasai masalah kekurangan bekalan makanan ruji. Begitu juga di Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan India.

Pemanasan global memberi impak kepada perubahan geografi seperti daratan, tumbuhan, haiwan dan sumber air serta habitatnya. Semuanya dilihat semakin susut dan mengancam manusia. Bencana alam yang berlaku saban hari di kebanyakan tempat di dunia. Tahun lalu WFP melaporkan 57 negara termasuk 29 di Afrika, 19 di Asia dan sembilan di Amerika Latin dilanda banjir buruk yang menjejaskan sumber makanan.

Laporan itu turut menyatakan bahawa kemarau dan bahang panas di Asia, Eropah, China, Sudan, Mozambique dan Uruguay adalah sebahagian daripada bencana yang boleh menjejaskan pengeluaran makanan dunia.

PBB turut mendedahkan hasil pertanian dan ternakan terus susut berbanding kepesatan penduduk. Pertambahan penduduk dunia dalam masa 50 tahun meningkat daripada tiga bilion orang (1957) kepada 9.5 bilion orang (2007). Peningkatan ini tidak seimbang dengan hakikat sumber makanan yang semakin berkurangan.
Laporan FAO menyebut keluasan tanah bagi setiap orang semakin mengecil atau susut iaitu daripada 0.38 hektar pada 1970 kepada 0.23 hektar pada 2000 dan cuma 0.15 hektar pada 2050. FAO mendakwa, 30 peratus ternakan dan 75 peratus hasil pertanian pelbagai genetik sudah pupus.

Persoalannya mampukah dalam tempoh terdekat PBB mencari jalan untuk menangani masalah global ini? Dapatkah PBB memastikan bantuan kecemasan AS$500 juta (RM1.6 bilion) kepada WFP diperoleh selewat-lewatnya 1 Mei ini?

Ini memerlukan tindakan segera yang harus dilakukan Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick tetapi ramai mengetahui bahawa Bank Dunia sering dipengaruhi oleh agenda tertentu.
Persoalan lain ialah apakah krisis global ini ada kaitannya dengan kezaliman, penindasan, kekufuran dan ketidakadilan yang semakin berleluasa dalam masyarakat antarabangsa hari ini sehingga mengundang bala dari Allah SWT?

Sama-samalah kita renungkan dan ia terpulang kepada akidah dan kepercayaan masing-masing.
- Berita Harian Isnin 21/4/08

Thursday, April 17, 2008

Pakatan Rakyat dibelenggu perbezaan ideologi
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

PENUBUHAN Pakatan Rakyat pada 1 April lalu yang dianggotai Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menandakan pembangkang cuba membina satu bentuk pakatan politik yang padu sebagai saingan kepada Barisan Nasional (BN).

Ia sekali gus cuba menawarkan kepada rakyat satu pakatan politik alternatif pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Yang jelas konsep permuafakatan politik BN sudah menjadi inspirasi kepada Pakatan Rakyat. Parti pembangkang yang selama ini memiliki ego tersendiri, kini mula sedar untuk menjadi saingan kepada BN, mereka memerlukan persefahaman dan permuafakatan bagi menjalin ikatan yang kukuh.

Kemenangan mereka mengekalkan penguasaan di Kelantan dan menguasai lima negeri dan Wilayah Persekutuan, memberikan suntikan baru kepada mereka untuk terus mara pada pilihan raya akan datang.

Pakatan ini bermula dengan tiga komponen utama parti politik iaitu Pas, DAP dan PKR. Jika kita masih ingat, ketika parti Perikatan yang menggunakan simbol kapal layar ditubuhkan, ia juga terdiri daripada tiga komponen utama parti politik iaitu Umno, MCA dan MIC tetapi komponennya bertambah apabila Perikatan menjadi BN.

Apakah Pakatan Rakyat mampu menggamit parti politik lain untuk bersama mereka, adalah sesuatu yang mungkin dalam dunia politik. Justeru, BN harus melihat pakatan ini sebagai satu cabaran baru supaya strategi berkesan dapat diatur untuk memastikan BN terus unggul sebagai gabungan serta pakatan politik berwibawa.

Anggaplah ini sebagai satu pertarungan politik yang tidak boleh dipandang ringan. Persetujuan penubuhan Pakatan Rakyat dicapai pada mesyuarat antara Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Perbincangan mereka dilakukan di pejabat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya. Wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti itu dijangka mengadakan satu konvensyen pada 27 April ini bagi memantapkan pemahaman atas semua dasar yang dipersetujui mereka.

Perkara pokok yang perlu dilihat ialah wujud perbezaan yang ketara antara gabungan BN dan Pakatan Rakyat. BN diasaskan atas permuafakatan tulen bagi kepentingan politik nasional yang bertitik tolak daripada semangat kemerdekaan dan kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum (Umno, MCA dan MIC) ketika itu.

Atas semangat inilah BN berjaya membina perpaduan dan kejayaan besar dalam setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Sebaliknya, gabungan Pakatan Rakyat dilihat lebih berasaskan kepada kepentingan untuk mentadbir kerajaan negeri yang dimenangi mereka pada pilihan raya baru-baru ini. Dalam konteks ini, pakatan terbabit dilihat tidak tulen yang dapat menggambarkan semangat sebenar permuafakatan dan toleransi di kalangan mereka.

Asas hujahnya ialah selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, tiada satu parti pembangkang pun boleh menubuhkan kerajaan negeri, kecuali di Kelantan. Justeru, di negeri yang dimenangi, mereka terpaksa membentuk kerajaan campuran.

Sebagai usaha memperkukuhkan kedudukan mereka, ketiga-tiga parti pembangkang terbabit cuba mewujudkan gabungan yang dikenali Pakatan Rakyat. Tujuan utama adalah bagi membolehkan mereka mentadbir negeri yang dikuasainya secara berkesan. Itu adalah harapan mereka yang bukan mudah untuk dilaksanakan.

Jika sebelum ini, pembangkang sering menuduh BN adalah berasaskan kepada perkauman (merujuk kepada parti Umno, MCA, MIC), maka apa bezanya dengan Pakatan Rakyat. Rakyat tahu Pas dan DAP adalah dua parti yang mewakili kaum tertentu dan kedua-duanya bersifat ekstrem dalam ideologi. Begitu juga PKR dilihat parti yang didominasi orang Melayu.
Nampaknya melalui Pakatan Rakyat ini, Pas dan DAP cuba memulihkan kerjasama antara mereka. PKR pula tidak memiliki ideologi tertentu dan ia lebih fokus memperjuangkan politik sivil dengan menonjolkan imejnya sebagai pembela hak rakyat.

Usaha Pas untuk mempamerkan imej barunya tidak dipercayai oleh DAP. Justeru, tidak hairanlah apabila Karpal Singh meminta Pas melupakan saja hasrat untuk menegakkan negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud.

DAP melalui lidah Karpal mengingatkan Pas supaya menerima realiti bahawa kaum Cina dan India di negara ini tidak dapat menerima undang-undang hudud dan negara Islam yang diperjuangkan Pas.

Karpal berkata, DAP hanya menerima Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub mengikut Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Semua kenyataan terbaru ini dibuatnya selepas beberapa hari penubuhan Pakatan rakyat. Sebagai tindak balas, Nik Aziz menyelar kenyataan Karpal dan menganggapnya memperlekeh usaha Pas membangunkan Islam di negara ini. Ingatan DAP kepada Pas jelas menggambarkan bahawa DAP masih tidak meyakini Pas. Justeru, persoalan ideologi akan terus menjadi isu dan kekangan dalam Pakatan Rakyat.

Persoalan seterusnya ialah parti mana yang akan menjadi teras kepada Pakatan Rakyat? Jika dalam BN, Umno dapat diterima sebagai parti teras oleh barisan komponen politiknya maka bagaimana pula dalam Pakatan Rakyat? Pas pastinya mahu meletakkan dirinya sebagai parti teras. Adakah PKR tiada hasrat yang sama?

Jika mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat berhasrat meletakkan dirinya sebagai parti teras, apakah pula kewajarannya? Ini berbeza dalam BN, kerana Umno diterima sebagai parti teras berasaskan kepada warisan sejarah Melayu di negara ini.

Jika mahu menjadikan warisan sejarah sebagai asasnya, maka Pas yang sewajarnya dianggap sebagai parti teras dalam Pakatan Rakyat ini. Soalnya bersediakah PKR dan DAP mengiktirafnya?

Kesimpulannya, sejauh mana Pakatan Rakyat ini mampu bertahan bergantung sepenuhnya kepada semangat setia kawan yang diasaskan kepada permuafakatan dan toleransi tulen sesama mereka.

PKR, DAP dan Pas mesti bersedia secara jujur untuk mengorbankan ideologi politik masing-masing dan ini menjadi prasyarat untuk pakatan terbabit bertahan dan menjadi pesaing politik kepada BN. Pastinya BN akan terus dilihat sebagai gabungan yang masih relevan demi kepentingan politik nasional dan pembangunan negara.
- Berita Harian, Sabtu 12/4/2008

Wednesday, April 9, 2008

Isu babi membadai Selangor
Oleh:Anak Watan

Quote:

RM100 juta untuk ternak babi di Selangor

Kontroversi penyiaran gambar lima ekor ‘babi panggang’ dalam laman web Ahli Parlimen Seputeh dan ADUN Kinrara, Selangor, Teresa Kok membawa kepada pengumuman oleh Teresa sendiri bahawa mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pada 2 April 2008 telah meluluskan peruntukan RM100 juta bagi tujuan pembinaan ladang ternakan babi moden.

Beliau yang mempersoalkan kenapa isu penyiaran gambar itu menjadi kontroversi melahirkan rasa gembiranya dengan keputusan kerajaan negeri itu memberitahu beliau mahu projek ini menjadi contoh kepada kerajaan negeri lainnya.

Dalam tulisannya juga beliau memberitahu, Exco yang bertanggungjawab dalam bidang pertanian ialah Yaakob Sapari dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan pakar dalam bidang pertanian moden.

Teresa memaklumkan keputusan mesyuarat Exco Selangor berkenaan ekoran kontroversi penyiaran gambar lima ekor ‘babi panggang’ di laman webnya semasa meraikan kejayaannya pada pilihanraya umum lalu di Salak Selatan. - http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?


Pandangan Anak Watan:
Kalut… sungguh kalut nampaknya kerajaan campuran Pakatan Rakyat (PR) di Selangor ni. Apa tak kalutnya apabila kerajaan campuran PR di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim meluluskan projek ternakan babi bernilai Rm100 juta di Sepang, Selangor. Nampaknya selaku orang yang bertanggungjawab dalam memajukan industri di Selangor, perkara awal yang Tan Sri nampak ialah memajukan industri penternakan babi di Selangor.

Nak Tanya Tan Sri Khalid beberapa soalan:

1. Sejak bila lenyapnya sensitiviti melayu Tan Sri? Apakah dek kerana mahu membalas sumbangan pengundi cina yang telah memenangkan pakatan PR maka Tan Sri menjadi terlalu lunak dengan mereka? Nampaknya Tan Sri Khalid menjual sensisiviti kemelayuannya semata-mata kerana nak mengambil hati dan sokongan masyarakat cina. Inilah nama politik kurang cerdik melayu. Mungking juga beliau terpaksa akur dengan tuntutan rakan-rakan politiknya dari DAP.

2. Takde ke projek lain selain projek ternakan babi? Mengapa tidak dibuka ladang lembuke, ladang kambingke, ladang selembuke atau apa-apa ladang binatang lain yang halal dimakan dan boleh dikomersialkan untuk semua kaum di negara ini.

3. Sudahkah dikaji dan perhalusi kesan jangka panjangnya? Ingat ! babi adalah jenis spesis yang pernah mengemparkan negara dengan penyakit JE (kes Bukit Pelandok). Babi jugalah yang pernah menjadi punca pencemaran teruk pantai Kuala Sungai Baru, Melaka hingga menganggu ketenanagan hidup penduduk di situ.

4. Mungkin Tan Sri Khalid mahu jadikan penternakan babi sebagai penyumbang besar pendapatan kerajaannya dalam menampung kewangan negeri pada masa depan yang dijangka akan mengahadapi masalah. Bukankah penternakan babi tu satu projek komersial yang menguntungkan kerana babi adalah spesis yang banyak melahirkan anak dan mudah membiak? Babi melahirkan anak 3x setahun dan setiap kali beranak ia melahirkan lebih kurang 11 ekor anak babi. Lumayankan. Syabas Tan Sri Khalid kerana kehebatan minda Tan Sri memajukan penternakan babi di Selangor.

Hai… apalah malangnya nasib orang melayu Selangor yang beria-ia sangat ingin menukar kerajaan. Kini nasib mereka terawang-awang, sebaliknya pemodal penternak babi mula mendapat labanya. Harap-harap takdele pengusaha melayu-Islam yang menternak babi kerana kalau mengikut logik Tan Sri babi hanya haram di makan. Logik tersiratnya, kalau sesiapa di kalangan melayu yang nak ternak babi boleh kot. Itu andaian sahaja … mungkin ada yang mula berfikir-fikir untuk menjadi penternak babak.... agaknya. Nauzubillah minzalik.

Berbangga pulak tu mahu jadikan projek penternakan babi yang didakwa mereka akan diurus secara moden boleh dijadikan contoh oleh kerajaan-kerjaan negeri yang lain. Waw.. hebatnya perjuangan DAP yang berjaya menjadikan TanSri Khalid sebagai perkakas mereka di Selangor. Mungkin belaian dan suara lunak mengoda Tressa Kok agaknya yang melunturkan jiwa Tan Sri. Agakanya… apa pun syabas Tressa Kok (DAP). Jangan marah ye Tan Sri.


Memang ternakan babi amat menguntungkan jika ianya dapat dikembangkan di seluruh negara kerana spesis babi ni melahirkan anak yang banyak dan mudah membesar dan membiak. Maka jadilah tanah airku tanah penternakan dan pengekspot babi terbesar suatau ketika nanti, khusunya untuk penduduk cina Singapura yang melarang perternakan babi dilakukan di negara kota tersebut.

Akhirnya sekalung tahniah juga kepada Pas yang turut kalut dan mabuk dengan kemenangan beberapa orang calonnya di Selangor yang turut serta bersetuju dengan projek tersebut. Memetik daripada sebuah akhbar nasional, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali, berkata "Kita tidak ada masalah, kita (Pas) sokong. Kita orang Islam hanya diharamkan daripada memakan daging babi, tetapi orang bukan Islam pula mereka makan babi, itu hak mereka," katanya.


Renungan tentang babi:


Firman Allah swt :”Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor” -[Surah al-Baqarah : 145]

Daniel S Shafiro (MD) Pengarah Clinical Microbiology Laboratories, Boston Medical Center, Massachusetts dan juga Penolong Profesor Perubatan di Pathology & Laboratory Medicine, Boston University School of Medicine Massachusetts, merumuskan lebih 25 penyakit bawaan babi- sila rujuk http://medicine.bu.edu/dshapiro/zoopig.html .

Tuesday, April 8, 2008

Karpal minta PAS lupakan usaha nak jadikan Malaysia negara Islam

Pengerusi DAP Karpal Singh berkata PAS mesti menerima dan menghadapi kenyataan bahawa rakyat Cina dan India di negara itu tidak akan dapat terima pewujudan sebuah negara Islam atau pengenalan kepada undang-undang hudud.

Bagaimanapun, Karpal berkata DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara ini seperti yang termaktub mengikut Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya PAS tidak harus menyimpang daripada apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Karpal menyatakan demikian dalam satu kenyatan Isnin untuk menafikan laporan media bahawa beliau memperkecil-kecilkan usaha kerajaan Kelantan untuk mempromosikan Islam seperti yang didakwa oleh Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Katanya apa yang beliau bantah adalah pengakuan PAS yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.


Beliau berkata tidak syak lagi bahawa kaum Cina dan India di Kelantan yang diterajui PAS berasa gembira "tetapi itu tidak bermakna mereka bersetuju dengan pewujudan sebuah negara Islam atau pengenalan kepada undang-undang hudud".

"Masanya sudah tiba untuk PAS menghentikan usahanya bagi menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan berusaha ke arah kepentingan semua rakyat negara ini tanpa mengira warna kulit, bangsa atau keturunan," kata Karpal.


Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menjelaskan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata pada minggu lepas, PAS sepatutnya menjadi tunjang Pakatan Rakyat sekiranya parti itu mahu merealisasikan hasratnya untuk mewujudkan sebuah negara Islam.

"Kenyataan Menteri Besar Kelantan bahawa saya memperkecil-kecilkan usaha kerajaan negeri Kelantan untuk mempromosikan Islam, adalah mengelirukan. Saya tidak pernah, pada bila-bila masa pun, memperkecil-kecilkan Islam. Kami tidak berbalah dengan PAS melainkan berhubung ideologi asas parti itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud," kata Karpal.

Ahad Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat dilaporkan mengkritik Karpal kerana mengatakan PAS tidak seharusnya bermimpi untuk menjadi tunjang Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu dan mewujudkan sebuah negara Islam.

Nik Aziz turut menyifatkan kenyataan Karpal itu sebagai memperkecil-kecilkan usaha kerajaan negeri Kelantan untuk mempromosikan Islam.- Agenda Daily 7/4/2008


* Lihat pula Apa kata Nik Aziz


Nik Aziz selar kenyataan Karpal Singh perlekeh usaha bangunkan Islam

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh meminta agar PAS tidak memasang angan-angan untuk menunjangi Pakatan Rakyat kerana khuatir ia akan menegakkan negara Islam, sebagai memperlecehkan usaha membangunkan Islam oleh kerajaan Kelantan.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta Karpal Singh memberikan bukti di mana kelemahan PAS yang telah mentadbir Kelantan mengikut acuan Islam selama 18 tahun itu.

"Saya nak tahu apa tak kena Islam dan apa lagi yang dia (Karpal Singh) tak setuju Islam. Semua masyarakat bukan Islam gembira berada di bawah kami (PAS)," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie di pejabatnya di Kota Bharu Ahad.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata PAS wajar menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat yang dibentuk oleh parti- parti pembangkang sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah negara Islam

Ahmad berkata, impian itu akan hanya tercapai akhirnya jika semua pihak memahami dan menerima konsep Islam yang sebenar, yang merupakan agama untuk semua umat manusia.

Nik Aziz menjemput Karpal Singh melawat Kelantan dan melihat sendiri pembangunan di negeri itu yang dibangunkan mengikut acuan Islam.

"Saya tanggung kos penginapan hotel. Tak payah jumpa saya pun tidak apa, jumpalah masyarakat bukan Islam di Kelantan dan lepas itu beritahu apa yang tidak baik dengan Islam ini," katanya.


Nik Aziz berkata, sistem kewangan Islam yang diterapkan kerajaan Kelantan juga telah diikitraf oleh pakar-pakar ekonomi seluruh dunia dan sejak Kelantan di perintah PAS banyak penambahbaikan telah dilakukan termasuk penghapusan riba dan mewujudkan pajak gadai Islam.

Bukan itu sahaja, masyarakat bukan Islam juga diberi hak dengan dilantik sebagai penyelia masyarakat dan saya nak tanya di mana tidak baiknya apa yang kami buat ini," katanya.
Beliau berkata masyarakat bukan Islam juga tidak pernah dipaksa untuk memeluk agama Islam dan sejak penerapan nilai Islam oleh PAS itulah menyebabkan kaum lain merasa selesa di bawah pemerintahan PAS.

Mengulas kunjungan Masahiko itu, Nik Aziz berkata duta itu tertarik dengan kerajinan wanita Kelantan mencari nafkah yang berbeza di tempat lain.

"Saya jemput duta itu untuk melawat Pasar Besar Siti Khadijah dan Pasar Borong Wakaf Che Yeh untuk melawat dari dekat kerajinan wanita Kelantan ini," katanya.- Agenda Daily 6/4/2008


* Apa pula komen anda tentang dua pandangan tersebut?







Monday, April 7, 2008

Pastikan UMNO terus relevan
Oleh Mohd Ayop Abd Razid


KITA tidak mahu generasi muda kita terlalu terpengaruh dengan slogan pembangkang yang mahu mencorak masa depan baru untuk Malaysia sepertimana yang diuar-uarkan oleh DAP dan PKR.
Rakyat, khususnya orang Melayu harus kritis menilai apakah wajah Malaysia baru yang ingin dicipta itu. Apakah ia akan terpisah daripada hakikat kedudukan Melayu sebagai ‘bangsa induk’ di negara ini?

Kita juga tidak mahu orang Melayu lebur dalam impian permainan politik pembangkang yang kini, jika direnung dan dianalisis menampakkan arah aliran atau trend yang berpaut kepada sentimen perkauman yang akan memusnahkan masa depan negara.
Jika UMNO mahu terus menjadi parti yang relevan untuk bangsa Melayu, khususnya di kalangan generasi muda maka teruslah melangkah dengan membuat perubahan yang drastik dan meyakinkan. Aspek integriti UMNO itu sendiri mesti dipulihkan. Kini harapan besar umat Melayu masih disandarkan kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden parti terbesar Melayu ini. Keupayaan beliau untuk berbuat demikian masih diyakini oleh sebahagian besar orang Melayu. Beliau diharap akan dapat mewariskan UMNO yang kukuh kepada pelapis Melayu selanjutnya.
UMNO harus bijak mengembalikan perjuangannya ke landasan yang betul dan murni supaya dapat menawan minda dan hati generasi Melayu agar berpaut dan bersatu di bawah satu kesatuan yang bertitik tolak kepada fakta sejarah bahawa Melayu adalah teras dan bangsa induk kepada negara ini di mana survival politiknya perlu dipertahankan.
Ini adalah cabaran getir buat UMNO yang kepimpinannya mula dipertikai dan ditolak oleh bangsanya sendiri, sedangkan orang lain mula membina kekuatan daripada penolakan ini.
Selama 50 tahun UMNO telah menjadi teras dan pengimbang perpaduan dan kemajuan negara melalui pakatan BN yang berasaskan permuafakatan dan toleransi tulen telah mula tidak diyakini rakyat.
Perasaan
UMNO perlu ada perasaan untuk membersih segala kekotoran dan najis yang melanda tubuh badannya. Sementara generasi muda yang mula agresif untuk mengambil alih warisan kepimpinan UMNO perlu ditarbiyah erti perjuangan UMNO yang sebenarnya iaitu untuk bangsa, agama (Islam) dan tanah air bukannya untuk agenda dan kepentingan diri.
Tanpa prejudis kepada UMNO, saya melontarkan pandangan bahawa jika parti ini terus gagal memahami hati nurani bangsanya sendiri maka tidak mustahil satu-satunya jalan untuk orang Melayu meletakkan kepercayaan nasib mereka ialah kepada parti Pas. Pas akan berada dalam kotak minda Melayu sebagai penyelamat maruah bangsa dan agama. Ini adalah lontaran soalan yang mencabar jati diri dan keikhlasan UMNO untuk memikirkannya. UMNO jangan menafikan kemungkinan ini.
Perkara ini tidak mustahil kerana pilihan raya umum baru-baru ini telah menampakkan kecenderungan orang Melayu menyokong Pas adalah jelas. Pas juga mula mendapat kepercayaan orang bukan Melayu kerana berlaku ramai pengundi Cina dan India turut mengundi parti itu. Selain itu, terdapat ramai petugas di kalangan anak muda Cina dan India yang membantu parti Pas di pondok-pondok panas mereka. Suasana ini dapat dilihat di kebanyakan kawasan di Selangor.
Jika UMNO mahu terus menjadi parti yang relevan untuk bangsa Melayu, khususnya di kalangan generasi muda maka teruslah melangkah dengan membuat perubahan yang drastik dan meyakinkan. Aspek integriti UMNO itu sendiri mesti dipulihkan. Kini harapan besar umat Melayu masih disandarkan kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden parti terbesar Melayu ini. Keupayaan beliau untuk berbuat demikian masih diyakini oleh sebahagian besar orang Melayu. Beliau diharap akan dapat mewariskan UMNO yang kukuh kepada pelapis Melayu selanjutnya
- Utusan Malaysia- 21 Mac 2008