Tuesday, August 23, 2011



Barat guna propaganda media sembunyi agenda politik jahat
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Secara teorinya media sepatutnya bergerak melalui ’pasaran idea’ (market place of ideas) serta mewakili suara rakyat. Perkara ini selari dengan Artikel 19 Deklarasi Hak-hak Asasi Manusia (UDHR) 1948 yang menyebut bahawa kebebasan informasi adalah landasan utama bagi manusia.
-




Dalam konteks ini, Barat sering dijulang sebagai contoh unggul dalam mengamalkan kebebasan dan pendemokrasian media. Justeru, pejuang-pejuang kebebasan media termasuk di negara kita sering memomokkan bahawa Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS) berjaya mengamalkan kebebasan media secara total dan telus.

-

Reuters, Associated Press (AP), Agence France Presse (AFP) dan United Press International (UPI) adalah sebahagian dari agensi-agensi berita utama dunia yang dimiliki oleh Barat. Agensi-agensi berita terbabit membekalkan 80 peratus berita yang bersifat satu arah, iaitu dari Utara ke Selatan. Kebanyakan berita berkaitan peristiwa-peristiwa yang terjadi di seluruh dunia itu pula ditulis, diolah, disaring, dipotong mengikut kaca mata orang Barat.

-

Kita masih ingat dalam Laporan Perang Teluk media AS dan negara Barat lain telah menyebarkan pelbagai kepalsuan dan propaganda politik yang jijik terhadap dunia Islam, khususnya Irak, Afghanistan dan Iran. Islam digambarkan sebagai zalim dan ganas sehingga media Barat berjaya mencetuskan ’Islamophobia’ di dunia barat. Peristiwa hancurnya World Trade Center di New York dijadikan landasan untuk mempropagandakan ’kebejatan’ Islam.
-
Media Barat menuduh tanpa usaha mencari kebenaran atau sengaja menyembunyikan kebenaran. Propaganda media Barat juga mempunyai agenda tersendiri iaitu untuk melaga-laga dunia Islam dan Barat. Sikap yang sama juga diperlakukan oleh media Barat terhadap dunia ketiga dan negara sedang membangun.
-
Media Barat tidak memberikan perhatian yang sewajarnya mengenai negara ketiga, bersifat berat sebelah dalam pemberitaan dan jarang memuatkan mengenai proses pembangunan negara membangun. Mereka lebih gemar menyiarkan berita-berita mengenai rampasan kuasa yang kebanyakan peristiwa pergolakan politik di negara-negara terbabit itu turut didalangi oleh agenda jahat politik Barat.
-
Justeru, tidak hairanlah Rosemblum (1977) menyatakan bahawa monopoli berita oleh New York, London dan Paris adalah menandakan munculnya kolonialis baru dan dominasi budaya. Galliner (1978) juga menyebut agensi-agensi berita antarabangsa yang dikuasai Barat hanya melaporkan bahagian-bahagian tertentu dunia sahaja dan mengesampingkan bahagian-bahagian dunia yang lain yang tidak memberi dukungan kepada mereka. Jika ada pun maklumat yang dipaparkan ia lebih banyak bersifat ‘manipulatif’ dan negatif semata-mata.
-
Hakikat dan kenyataan sebenar menunjukkan bahawa media Barat sendiri tidak sepenuhnya tepat dan betul dalam amalan media antarabangsanya. Prejudisnya terhadap negara-negara Islam adalah satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan. Sikap prejudis, kegilaan media mencari keuntungan serta trend akhbar-akhbar di AS menyebarkan budaya kurang sihat menyebabkan medianya telah hilang arah.
-
Menyedari akan hakikat tiadanya ’keseimbangan informasi antarabangsa’ itu telah mendorong Setiausaha Agung UNESCO menubuhkan sebuah suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Sean MacBride pada tahun 1970an. Suruhanjaya terbabit telah memberi fokus kepada persoalan mengenai kawalan arus informasi antarabangsa yang didominasi oleh media-media barat seperti Reuters, AP, UPI dan AFP.
-
Sewaktu berlangsungnya persidangan UNESCO di Paris (1978), Suruhanjaya itu telah menyerahkan laporan yang diberi nama “Many Voices – One World”. Laporan itu kemudiannya disahkan oleh persidangan UNESCO di Belgrade, 1980. Menariknya, laporan MacBride itu menyarankan negara-negara sedang membangun terutama negara-negara Islam mewujudkan satu saluran media untuk disalurkan ke seluruh dunia.
-
Saranan itu membuktikan bahawa kawalan arus informasi yang didominasi oleh media-media barat itu gagal menyalukan berita yang telus dan seimbang terhadap dunia Islam serta negara-negara membangun. Saranan tersebut telah menyebabkan lahirnya saluran media Al-Jazeera yang diwujudkan pada tahun 1996 yang berpusat di Doha, Qatar. Saluran media alternatif ini telah menjadi pembekal maklumat yang telus dan bebas yang menyalukan sumber-sumber terkini kepada dunia Islam.
-
Kesimpulan, kebabasan media yang bersifat mutlak adalah satu momokan Barat semata-mata. Media Barat sendiri kerap memuatkan liputan berita yang tidak telus dan seimbang.


-BH 26/7/2011

No comments: